16 March 2012

Mereka pergi...


DI HARI PEMAKAMANMU

Kandaku,
siapalah aku
untuk menghalang
pemergianmu...
kerana
hakikatnya
kau pergi
menemui
Kekasih Sejati dan Hakiki...
Tuhan Yang Esa.

Cheras Indah
15 MAC 2012. 



Nukilan ayahanda kepada kekandanya tercinta. Al - Fatihah buat Mak Long Mariah. 
---

Minggu ini basah dihujani lebat linangan air mata.

Mengapa air mata ini tidak mahu berhenti? Bukankah mereka yang pergi berjumpa Illahi?

Terkilan sungguh rasa hati tak sempat berjumpa dengan Mak Long sewaktu di Malaysia tempoh hari. Tak sempat berjumpa adik-adik saudara yang saya kasihi. Tuhanku, kurniakanlah kekuatan dan kesabaran kepada mereka dalam menempuh hari-hari mendatang. Mereka masih kecil, masih terlalu muda Ya Allah.

Sungguh kekuatan itu milik-Mu Tuhan. Milik-Mu Tuhan. Milik-Mu Tuhan.

Dua orang Ibu telah dipanggil pergi berjumpa Illahi. Selepas ibu angkat yang dirindui pergi kini ibu saudaraku pula menyusuli. Biarlah air mata yang tumpah ini sentiasa mengingatkan aku masih punya bonda yang belum cukup untuk aku berbakti kepadanya. Biarlah air mata yang berlinang ini sebagai tazkirah kepada diri bahawa ajal itu tidak mengenal waktu dan ketika. Biarlah air mata yang jatuh ini sebagai peringatan bahawa Allah itu Maha Kuasa setiap nyawa itu milik-Nya. Mereka pergi dalam husnul khotimah. Mereka pergi dalam redha.

Moga perginya kita nanti jua dalam Iman dan Islam. Moga 'kelak' di sana kita akan berjumpa lagi.


 يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً فَادْخُلِي فِي عِبَادِي وَادْخُلِي جَنَّتِي 

Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Rabbmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam surga-Ku. (QS. 89:27-30)

إنا لله و إنا إليه لراجعون 

اللهم وسع عليها قبرها واشرح صدرها و ثبتها عند السؤال واعنها على الاجابة

اللهم ارحمها وارفع عنها

اللهم بدل سيئاتها حسنات وضاعفها المئات والالف

اللهم ارحمها ~ اللهم ارحمها~اللهم ارحمها

اللهم اغفر لها وارحمها وعافها وأعف عنها وأكرم نزلها ووسع مدخلها واغسلها بالماء والثلج والبرد

" آميـــن " 


Hati di sini  membisikkan doa semoga dalam setiap langkah mereka di bawah penjagaan-Nya 
Sedang hati-hati di sana sentiasa mendoakan agar diri ini sentiasa dibawah lindungan Yang Esa.
Saling bercinta atas redha Yang Maha Pemberi Cinta. Aku cintakan mereka sentiasa.



15 March 2012

Teguran buat diri

Tergerak hati kecilku menonton video ini.
Mereka kata kita masih punya harapan lagi.
Mereka kata sentiasa ada sisi sinar yang baik itu lagi.



Sayu. Deras air mata jatuh ke pipi. Sebak  Sampai suatu tahap manusia itu akan rimas bergelumang dengan kotoran dosa yang dipalit pada diri. Hitam dan jijiknya dosa itu amatlah dibenci sekali. Lantaran fitrah manusia itu sendiri sangat bersih dan suci.


Hidayah itu milik Allah. Namun, pernah tak kita berusaha sedaya upaya menjadi penyaksi sebenar atas keindahan hidayah yang dimiliki?. Hulurkanlah tanganmu kepada mereka yang terkapai dalam kegelapan. Ayuh dekati mereka. Tarik mereka ke arah cahaya kebenaran. Supaya kelak nanti pabila dipersoalkan kita punya jawapan. Kerana dahulunya di dunia, dakwah itu telah dilaksanakan.

Persoalannya, sudah cukupkah usaha kita mengajak mereka?


Lalu bagaimana mungkin aku dapat pulang dengan tenang?

Cukupkah hanya dengan menjadi contoh terbaik buat mereka di sini tanpa aku benar-benar ceritakan kepada mereka? Menegur saudaraku yang seagama?

Ah, lemah sungguh iman ini. Aku akui aku daie yang lemah. Tapi itu bermakna aku akan mengalah?

Baki-baki hidup aku di sini perlu aku gunakan sebaiknya mengajak mereka kembali.

Ingatkan mereka semula sebenarnya kemenangan itu milik kita.

 Inilah medan yang aku perlu telusuri sebelum medan sebenar menanti.

Amat rugilah andai kejayaan sahaja yang dikejar. Ilmu sahaja yang digarap.

Tanpa sebenar-benar perhati akan pedoman di sekeliling.

Usahlah berselindung di balik timbunan kitab-kitabmu.

 Cukup-cukuplah bersama kawan sebangsamu.

Sudah-sudahlah bersenang di dalam gebar tebalmu itu.

Keluar!. Keluar dari kepompong itu. Dekati bangsa mereka sementara masa masih ada.



Mari mula dari sekarang kita amalkan ilmu yang kita tadah.

Praktiskan di sini tanpa perlu tunggu untuk pulang ke tanah air kita.

Tunggu apa lagi?  Beruntung bukan kita punya asas agama?

Bukan untuk dibangga dijaja tetapi berkongsilah kebaikan itu bersama-sama.

Berusahalah. Jangan pernah tinggalkan mereka. Apatah lagi memandang hina.

Sungguh andai sukar yang ditemukan,  Allah sentiasa dekat bersama. 


09 March 2012

Mereka adalah Kita, Tiada Beza

Bismillahi as solatu was salamu a'la rasoulillah


 Andai suatu hari nanti Allah tukarkan tempat rakyat Malaysia dengan tempat saudara kita di Syria dan Palestin.. Adakah kita akan sekuat mereka? 

Andai kau membutakan matamu yang celik, memekakkan telingamu yang berfungsi itu atas penderitaan saudara kita di sana. Jangan pula kau hairan andai suatu hari nanti kau pula diperlakukan sedemikian rupa. 




Hulurkanlah doa buat mereka wahai saudaraku. 
Sekurang-kurang usaha yang kita mampu.
Cukuplah Allah sebaik-baik Penolong dan Pelindung buat kita.

 اللهم اِنَّنا نَجْعَلُكَ فى نُحُورِ أعداءِنَا و نَعُوذُ بِك مِن شُرُورِهِم, اللهم بَدِّدْ شَمْلَهُم و فَرِّقْ جَمْعَهم و شَتِّتْ كَلِمَتَهم و زَلْزِلْ أَقْدَامَهم و سَلِّطْ عليهم كَلْبًا مِن كِلَابِك

يا قهَّار , يا جبَّار , يا مُنْتَقِم , يا الله , يا الله , يا الله , يا رب العالمين


اللهم يا مُنْزِلَ الكتاب و يا مُجْرِىَ السَحاب و يا هَازِمَ الأحزاب , اِهزِمْهم وَلَّا هُم , وانصُرْنا عليهم



07 March 2012

maafkan aku



Pada wajah anak itu ada cahaya yang menarik.

Cahaya harapan masa hadapan. 

Kenapa wajahmu itu  penuh dengan debu derita? 

Kenapa matamu bengkak bertangkung air mata? 

Kenapa aku di sini pula bergelak ketawa? 

Kenapa masih aku di sini asyik terlupa? 

Kenapa aku di sini tenang terlena? 

Mengapa mereka tidak mendengar teriakanmu?  

Mengapa masih ramai yang membutakan mata mereka?

Sedang mereka melihat deritanya kamu di sana? 

Duhai anak, aku di sini turut sakit. 

Walau sakitnya tidak seperit seksanya dirimu.

Sakit melihat dagingmu disiat-siat. 

Kepalamu dipisahkan dari jasadmu. 

Ayahmu meratapi pemergianmu sayang. . 

Sungguh syahid itu sudah milikmu duhai sayangku. 

Kami di sini pula terleka alpa. 

Sibuk dengan keasyikan dunia. 

Sedang kau bertarung nyawa. 

Menyelamatkan diri menegakkan agama.

Sayangku, kami di sini masih berdengkuran.

Sungguh jihadmu dan jihadku berbeza bukan?

Yakinlah sayangku, kau takkan ditinggalkanNya.

Sudah kau hidu haruman kasturi firdausi  

Sayangku, cukupkah hanya doa dan air mata untukmu?

Maafkanku wahai sayangku. Tolong maafkan kami.

Semoga kami lekas bangkit dari tiduran ini.

Semoga tangkas kami susun kembali ummah ini.

Semoga bingkas kami bangun walau terjelopok jatuh di lubang yang sama.

Kemenangan pasti akan tiba. Keindahan Islam sedang tersebar luas.

Biarlah angka-angka kosong itu disedarkan semula.

Bahawa mereka masih punya kerja yang masih belum bermula.




28 February 2012

10 Tip Elak Berkahwin Orang yang Salah




Bismillahi as-solatu was salamu a'la Rasoulillah

Fatrah taaruf. Satu tempoh pengenalan sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Satu langkah yang sangat besar dibantu istikharah munajat kepadaNya. Kenalilah bakal suami/isteri anda sebaiknya. Jikalau terasa tidak serasi anda masih ada masa sebelum menyesal di kemudian hari. Selamat membaca! 

AMARAN : Post ini adalah untuk mereka yang serius memikirkan masa hadapan. Serius panjang!

Ada cara yang betul dan cara yang salah mengenali seseorang untuk sebuah perkahwinan. Cara yang salah adalah membiarkan diri dalam keseronokan dan keasyikan bibit-bibit perhubungan dan di dalam proses tersebut langsung terlupa untuk bertanya soalan-soalan penting yang membantu menentukan keserasian antara pasangan. Salah satu kesilapan besar yang dilakukan oleh remaja Muslim sekarang adalah terburu-buru untuk berkahwin tanpa betul-betul dan benar-benar teliti dalam mengenali seseorang. Kononnya fatrah berpasangan (couple) adalah tempoh yang tepat dan cukup untuk mengenal pasti keserasian dua orang insan. Kemudian secara logiknya apabila semakin lama anda berbual/bercakap dengan seseorang, semakin baik anda mengenalinya. Masalah yang timbul melalui "cara" ini adalah tiadanya konsiderasi yang diberikan tentang bagaimanakah masa tersebut diluangkan.


Kini semakin ramai Muslim couples terlibat dengan "halal dating" iaitu secara asasnya keluar bersama  dengan kehadiran kawan-kawan dan/atau keluarga. Bergantung kepada keluarga dan juga adat, perbualan mungkin singkat dan ditemani atau lebih teruk, tiada had dan tiada pengawasan. Apabila kita letakkan had-had tersebut membuatkan seseorang kehairanan bilakah sebenar-benarnya, jika ada sekalipun, adakah perbualan serius akan berlaku? Malangnya, bagi kebanyakan orang, jawapannya tidak pernah berlaku dan mereka terpaksa hidup merana dengan kesan-kesan mendatang. Jikalau anda mahupun orang yang anda kenali sedang melalui fatrah "mengenali seseorang", panduan-panduan berikut boleh dijadikan sebagai nasihat mengenai apakah sebenarnya yang perlu dicari dan dijauhi.


1) Jangan Berkahwin kerana Potensi:

Selalunya lelaki apabila berkahwin, dia mengharapkan perempuan tersebut tidak pernah berubah, dan perempuan pula apabila berkahwin dia berharap untuk mengubah lelaki tersebut. Ini adalah pendekatan yang salah bagi kedua-dua pihak. Apabila anda berkahwin dengan seseorang, jangan anggap anda mampu mengubah mereka dan mencapai potensi mereka. Tiada sebarang jaminan walaupun perubahan-perubahan tersebut adalah untuk kebaikan. Malah, selalunya ia akan menjadi sebaliknya. Kalau anda tidak mampu menerima seseorang atau membayangkan untuk hidup bersama mereka seadanya, maka, jangan berkahwin dengan mereka. Perbezaan ini termasuklah fikrah, pendapat dalam beragama, tabiat, kebersihan, skil komunikasi dan sebagainya.



2) Pilih Sikap (sifat,watak,peribadi) melebihi Keserasian (chemistry):

Tidak dinafikan keserasian dan daya tarik amatlah penting, namun sikap melebihi kedua-duanya. Bak pepatah yang masyhur, “Chemistry ignites the fire, but character keeps it burning.” Idea untuk "jatuh hati'' sepatutnya tidak menjadi asbab utama untuk mengahwini seseorang; cinta sangat mudah dikelirukan di antara keberahian dan nafsu. Antara sifat yang perlu dititik beratkan dalam pemilihan termasuklah rendah diri, kebaikan, tanggungjawab dan kebahagiaan. Berikut adalah pecahan mengikut setiap sifat:

  • Rendah diri: Orang yang merendah diri tidak pernah memaksa orang lain tetapi selalu berbuat baik kepada yang lain. Mereka meletakkan nilai-nilai dan prinsip mengatasi keselesaan dan kesenangan diri. Mereka tidak cepat marah, bersederhana dan menjauhi materialisme.
  • Kebaikan: Orang yang baik hati adalah seorang pemberi. Mereka mencari kesenangan dan cuba untuk mengurangkan kesakitan orang lain. Cara untuk mengetahui sama ada seseorang itu adalah pemberi, perhatikan cara dia melayan keluarga, adik-beradik dan juga ibu bapanya. Adakah mereka berterima kasih terhadap ibu bapa mereka untuk setiap pengorbanan yang dilakukan? Jikalau tak, maka ketahuilah mereka tidak akan menghargai anda untuk apa yang anda lakukan. Bagaimana mereka melayan orang yang tidak perlukan kebaikan seperti keluarga ( cth: pelayan, pekerja, promoter dll) Bagaimana mereka menghabiskan wang mereka? Bagaimana mereka mengawal kemarahan, kemarahan mereka dan juga cara mereka bertindak terhadap kemarahan orang lain?
  • Tanggungjawab: Orang yang bertanggungjawab adalah mereka yang mempunyai kewangan, pekerjaan, hubungan dan sikap yang stabil. Anda boleh bergantung kepada mereka dan percaya apa yang mereka katakan.
  • Kebahagiaan: Orang yang bahagia adalah orang yang merasa cukup dengan bahagian mereka dalam kehidupan. Mereka rasa senang dengan diri dan kehidupan mereka. Mereka fokus dengan apa yang mereka miliki dan bukannya apa yang mereka tidak miliki. Mereka jarang sekali merungut.



3) Jangan Abaikan Keperluan Emosi Pasangan Anda: 

 Lelaki dan wanita kedua-duanya mempunyai keperluan emosi, bagi membina sebuah perkongsian yang berjaya keperluan tersebut perlu saling melengkapi. Asas keperluan emosi seorang wanita adalah untuk dicintai. Asas keperluan emosi seorang lelaki pula adalah untuk dihormati dan dihargai. Untuk menjadikan seorang wanita rasa dicintai, berikannya tiga AAAs: Attention (Perhatian), Affection (Kasih Sayang) dan Appreciation (Penghargaan). Untuk menjadikan seorang lelaki rasa dicintai pula berikannya tiga RRRs; Respect (Kehormatan), Reassurance (Kepastian) dan Relief (Pelepasan/Kelegaan). Telah menjadi kewajipan bagi setiap pasangan untuk memastikan pasangannya bahagia dan ini termasuk juga keintiman. Selagi mana setiap pasangan memenuhi keperluan emosi pasangannya, hubungan akan menjadi lebih intim dan lebih mesra.



4) Jauhi Arah Tuju Hidup yang Bertentangan:

Dalam perkahwinan anda hanya akan hidup bersama atau hidup berasingan. Berkongsi arah tuju hidup yang sama akan meningkatkan peluang bahawa anda akan hidup bersama. 

  • Anda mesti tahu kecenderungan pasangan anda. Dalam erti kata lain, apakah perkara yang paling mereka suka lakukan (passionate) ? Kemudian tanya diri anda, "Adakah saya menghormati kesukaannya ini?" "Adakah saya menghormati apa yang dia cenderungkan?"
  • Lebih terperinci anda mentakrifkan diri anda seperti nilai-nilai, kepercayaan dan gaya hidup, lebih baik peluang untuk anda mencari pasangan hidup, pasangan sehati sejiwa iaitu orang yang paling serasi dengan diri anda.
  • Ingat, sebelum memilih siapa yang anda ingin bawa bersama dalam sebuah pengembaraan, anda harus tentukan terlebih dahulu destinasi anda.  



5) Jangan dekati zina! Hubungan Seks sebelum Berkahwin / Physical activity:

  • Ketahuilah bahawa hikmah disebalik mengapa Allah menyuruh kita untuk menahan diri dari sebarang hubungan sebelum berkahwin; adalah untuk menghalang kemudharatan yang besar malah untuk menjaga kesucian anggota yang paling penting dalam sebuah perhubungan antara lelaki dan wanita.
  • Selain daripada kekacauan rohani yang nyata, apabila sebuah hubungan dicemari aktiviti fizikal sebelum waktunya, perkara-perkara penting seperti sikap, filosofi hidup, dan keserasian akan terabai. Kesannya, semua perkara nampak indah dan menjadi lebih sulit dan sukar untuk bercakap tentang perkara-perkara tersebut inikan pula teringat tentangnya.
  • Komitmen secara intelek (bijaksana) mestilah terlebih dahulu diutamakan sebelum komitmen secara emosi mahupun komitmen secara seksual.
 


6) Jauhi Kekurangan Hubungan Emosi:

Anda perlu menjawab YA untuk empat soalan berikut :
  • Adakah saya menghormati dan mengagumi si dia?  Apakah sebenarnya yang saya hormati dan kagumi tentangnya?
  • Adakah saya mempercayai si dia? Bolehkah saya bergantung kepadanya? Adakah saya percayakan keputusannya? Adakah saya percaya kata-katanya? Bolehkah saya memepercayai apa-apa yang dia katakan?
  • Adakah saya berasa selamat? Apakah secara emosinya saya berasa selamat dengannya? Bolehkah saya berterus terang? Bolehkah saya menjadi diri saya? Bolehkan saya mengekspresikan diri saya?
  • Adakah saya berasa tenang dan damai apabila bersama dengan si dia?

Jika jawapannya "Saya tak tahu, Saya tak pasti, dll" teruskan menilai sehingga anda betul-betul pasti dan sepenuhnya memahami apa yang anda rasa. Jika anda rasa tidak selamat sekarang, anda takkan rasa selamat pabila anda sudah berkahwin. Jika anda tidak mula percaya sekarang, ia takkan berubah selepas anda berkahwin.


7) Tumpukan perhatian pada Emosi Kebimbangan Anda: 

 Memilih seseorang yang anda tidak merasa selamat dengannya secara emosi bukanlah resepi yang baik untuk sebuah perkahwinan yang berkekalan dan penuh kasih sayang. Apabila anda tidak rasa selamat, anda tidak dapat meluahkan perasaan dan pendapat anda. Belajarlah cara untuk kenali diri sama ada anda di dalam sebuah hubungan yang dizalimi ataupun tidak. Jika anda rasa anda perlu perhatikan apa yang anda katakan, apabila bersama seseorang itu dan anda rasa tidak bebas untuk menjadi diri sendiri dan selalu berhati-hati dalam setiap langkah anda, itu tandanya anda mungkin di dalam abusive relationship . Sila perhatikan perkara-perkara tersebut:

  • Tingkah laku yang mengawal: Termasuklah mengawal perilaku anda, cara anda berfikir, cara anda berpakaian, cara anda memakai tudung / menyikat rambut dan cara anda luangkan masa. Ketahui perbezaan di antara cadangan dan permintaan. Permintaan adalah ekespresi kawalan dan jika kawalan yang digunakan, anda wajib untuk mengikutinya atau akan ada kesan berikutnya. Begitulah tanda-tanda yang jelas iaitu penderaan personaliti.
  • Isu Kemarahan: Seseorang yang meninggikan suaranya daripada biasa, seorang pemarah, sering memarahi anda, melempiaskan kemarahannya kepada anda, menggunakan kata-kata kesat dll. Anda tidak perlu mengalah dalam layanan sebegini. Kebanyakan orang yang bersikap sebegini mempunyai latar belakang didera. Jika ini terjadi kepada anda mahupun orang yang anda kenali, cepat-cepat dapatkan bantuan. Selesaikan masalah tersebut sebelum berkahwin atau sebelum berfikir untuk berkahwin. 


8) Berjaga-jaga dalam kurangnya Keterbukaan Pasangan Anda:

Banyak pasangan melakukan kesilapan untuk tidak membincangkan semua perkara dari permulaannya.  Tanya diri anda, "Apakah yang perlu saya tahu untuk saya betul-betul pasti saya akan berkahwin dengan orang ini?" "Apakah yang buat saya runsing mengenai si dia atau hubungan ini?" Sangat penting untuk mengenal pasti apakah yang merunsingkan anda, perkara-perkara yang anda ingin tahu, dan perkara-perkara yang anda takut untuk dibangkitkan dalam perbincangan. Maka anda perlu berbincang secara telus tentang perkara tersebut. Ini adalah cara yang terbaik untuk menguji kekuatan hubungan anda berdua. Bangkitkan isu-isu apabila wujud ketidaksefahaman adalah masa terbaik untuk menilai sebaik mana anda berkomunikasi, berbincang dan bekerjasama sebagai satu kumpulan. Apabila kita mula rasa ingin berkuasa dan mula menyalahkan antara satu sama lain, itu tandanya mereka tidak sesuai bekerjasama sebagai satu kumpulan.

Penting juga untuk sentiasa terbuka apabila bersama. Tanya soalan-soalan yang mendalam dan lihatlah reaksi pasangan anda. Bagaimana mereka mengatasinya? Adakah mereka mempertahankan diri? Adakah mereka lebih menyerang? Adakah mereka menyerah kalah? Adakah mereka rasa marah? Adakah mereka menyalahkan anda? Adakah mereka tidak menghiraukannya? Adakah mereka mengelak, berselindung? Atau mereka menerima soalan tersebut dengan rasional? Jangan hanya dengar apa yang mereka katakan tapi lihatlah bagaimana cara mereka katakannya.



9) Berjaga-jaga untuk Tidak Mengelakkan Tanggungjawab Peribadi:

Sangatlah penting untuk kita sentiasa ingat bahawa tiada siapa yang bertanggungjawab terhadap  kebahagiaan anda. Ramai orang silap apabila mereka fikir orang lain yang akan memberi kebahagiaan kepada mereka dan menjadikan hidup mereka lebih baik dan itulah sebab bagi mereka untuk berkahwin. Mereka gagal untuk menyedari jika mereka tidak bahagia sebagai seorang yang bujang, mereka akan terus menderita apabila mereka berkahwin. Jika anda sekarang tidak bahagia dengan diri anda, tidak suka diri sendiri, tidak suka arah tuju hidup ke mana anda pergi, silalah bertanggungjawab terhadap diri anda buat masa sekarang dan baiki perkara-perkara tersebut sebelum berfikir untuk berkahwin. Jangan bawa isu-isu tersebut ke dalam perkahwinan dan mengharapkan pasangan anda untuk membaikinya.



10) Perhatikan Kekurangan pada Kestabilan & kesediaan Emosi Pasangan Anda: 

Ramai orang memilih pasangan yang emosinya tidak sihat dan tidak bersedia. Masalah besar yang timbul apabila pasangan tersebut tidak berupaya mengimbangi hubungan emosinya dengan ahli keluarga, perkahwinan tersebut pada akhirnya menjadi 3 (atau lebih) orang di dalamnya dan bukannya dua. Contohnya, lelaki yang terlebih bergantung kepada ibunya akan membawa hubungan tersebut ke dalam perkahwinan,  ini sememangnya adalah resepi kepada bencana. Perkara-perkara yang perlu di ambil kira juga adalah :

  • Jauhi orang yang kosong emosi dalam diri. Termasuklah juga orang yang tidak suka akan diri mereka disebabkan kurangnya kemampuan untuk menghadirkan emosi. Mereka sentiasa menyesakkan diri dengan kekurangan, ketidak yakinan diri dan fikiran-fikiran negatif. Mereka bertarung dengan kemurungan, tidak rasa hebat, memencilkan diri, sentiasa mengkritik dan kuat pertimbangan, tidak ramai kawan dan tidak percayakan orang malah takut dengan orang di sekeliling. Tanda-tanda lain yang jelas mengenai orang seperti mereka ialah sentiasa tidak cukup dengan apa yang mereka kecapi mereka sering rasa marah, mereka beranggapan orang lain sepatutnya menjaga mereka dan bukan diri mereka. Sering terbeban dan benci dengan keperluan orang lain. Orang-orang seperti ini secara emosinya tidak available untuk membina hubungan yang baik.

  • Ketagihan juga boleh membataskan tahap kesediaan seseorang untuk membina hubungan emosi yang mantap. Jangan berkahwin dengan orang ketagih. Ketagihan bukan hanya pada dadah dan juga arak. Tetapi juga ketagihan dan kebergantungan pada kerja, internet, hobi, sukan, shopping, duit, kuasa, pangkat, materialisme dan sebagainya. Apabila seseorang terbelengu dengan ketagihan, mereka tidak  boleh dan tidak akan bersedia untuk membina sebuah hubungan yang intim dengan anda. 



Perkara-perkara Tambahan untuk Dipertimbangkan:


  1. Secara faktanya bukan semua orang akan selamanya kelihatan seperti 25 tahun. Pada akhirnya, kita menyintai orang yang kita kahwini melebihi paras rupa mereka. Apabila kita sudah kenali seseorang yang kita cintai dan sanjungi, kita akan cintakan mereka untuk kecantikan dalamannya dan keluhuran peribadi.
  2. Apabila sudah bertemu dengan seseorang, secara sedar ataupun tidak sedar kita seboleh-bolehnya mahukan semua perkara berjalan mengikut kehendak kita tanpa melihat dan mempersoalkan setiap yang terbentang di hadapan mata kita; pasangan kita mungkin bersikap kasar pada pelayan, cakap perkara buruk tentang orang lain, kasar terhadap anda, dll. Tapi kita tidak berhenti dan bertanya, "Apakah maksud di sebalik sikap-sikap tersebut?"
  3. Jangan pernah pisahkan seseorang daripada keluarganya, latar belakang, pendidikan, kepercayaan dll. Tanya soalan-soalan yang dapat mencerahkan lagi perkara-perkara tersebut. Soalan seperti, "Apakah maknanya untuk mempunyai hidup yang serba  ringkas?" "Apakah yang anda inginkan daripada sebuah perkahwinan?" "Bagaimana anda dapat bantu mengenai kerja rumah?"  Bandingkan pendapat anda dan pendapat mereka.
  4. Jadilah orang yang fleksibel. Berfikiran terbuka!
  5. Menginginkan sebuah perkahwinan yang bahagia sepatutnya tidak dikelirukan dengan mati syahid. Sepatutnya perkahwinan sesuatu yang membahagiakan dan melihat pasangan anda juga bahagia disebabkan hubungan anda dengan mereka.
  6. Moral dan kerohanian adalah kualiti-kualiti yang benar-benar mendefinasikan seseorang selain daripada kecantikan, wang, dan kesihatan. Orang yang bermoral dan mempunyai rohani akan sentiasa berdiri di sebelah anda dalam susah mahupun senang. Jika seseorang tidak bertuhan dan tidak berusaha mendekatkan diri mereka kepada Tuhan, maka mengapa anda perlu berharap mereka akan memenuhi kehendak yang anda perlukan? Pasangan yang ideal adalah seseorang yang berusaha memberi keuntungan dan bukannya menyebabkan kerugian. Berkongsi dan mempunyai persamaan dalam sebuah hubungan kerohanian akan membuahkan sebuah perkahwinan yang berjaya. Selain itu, sebuah perkahwinan yang berjaya adalah perkahwinan yang mempertahankan undang-undang keluarga yakni memerlukan tahap kawalan diri dan disiplin diri, termasuklah juga hubungan fizikal, emosi dan rohani sebuah perhubungan. Mencari persamaan dan keseimbangan di antara aspek emosi dan rohani dalam perhubungan adalah kunci utama untuk sebuah perkahwinan yang sihat dan berkembang.

Phewwww..alhamdulillah..berjaya juga akhirnya saya cuba terjemahkan artikel 10 Ways to Avoid Marrying the Wrong Person!. Tahniah buat mereka yang berjaya baca artikel ini sampai habis.

Jika anda rasa janggal dengan terjemahan ini atau mungkin tidak faham langsung dengan intipati terjemahan saya, silalah klik ini untuk bacaan kali kedua. Saya budak masih belajar. Ini adalah cubaan terjemahan semata-mata sebagai latihan untuk subjek Tarjamah semester kali ini.

Saya sama sekali bukan seorang yang pakar mahupun arif dalam bab perkahwinan, tapi kita boleh sama-sama belajar bukan? Pemilihan tajuk juga adalah random dan sekadar bahan bacaan pilihan yang menarik untuk dikongsi bersama. Entah mengapa terdapat kekuatan untuk terjemahkan artikel ini. ^^

Semoga mendapat faedah bersama. Selamat beramal.

24 February 2012

Anak yang berdoa

Bismillahi as-solatu was salamu a'la Rasoulillah

"Umi nak baca apa sekarang ni?" soal anak kecil 5 tahun usai salam diberikan selepas solat berjemaah bersama ibunya. "Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku dan dosa-dosa kedua ibu bapaku. Jadikanlah aku anak yang solehah"  bisik Umi ke telinga sambil memegang kedua-dua tangan kecil anak itu menadah tangan.

رضا الله في رضا الوالدين. Keredhaan Allah itu terletak pada keredhaan ibu bapa

Ingat tak pembaca sekalian, waktu di bangku sekolah dulu-dulu, setiap kali belek Majalah Sekolah, pasti akan ada satu ruang khas untuk pelajar-pelajar tahun akhir. Gambar kelas yang lebih special dan besar saiznya beserta nama dan alamat juga kata-kata hikmat. Dan di ruang tersebut, saya pasti akan tulis kata-kata di atas. Namun, apakah sudah cukup amal bakti saya kepada mereka? Apakah keredhaan mereka telah saya kecapi? Apakah Allah telah redha kepada saya?

"Aku tak sanggup tinggalkan ibu bapa aku untuk belajar jauh-jauh, aku boleh jatuh sakit demam selalu. Tapi kuat sungguh engkau kan.?" kata seorang anak jantan jati kelahiran Casablanca kepada saya. Bagai ditenyeh garam pada luka yang terbuka. Nak-nak lagi  baru tahun satu pengajian di bumi Maghribi, senyuman tetap terukir di bibir. Inilah pengorbanan kita dalam mencapai keredhaanNya, haruslah tetap bersabar dan lakukan yang terbaik supaya kelak ibu bapaku akan turut berbangga atas pencapaian kita. 

Aduhai hanya hati sahaja yang mengerti betapa kerinduan seorang anak perantauan itu kepada keluarga di tanah air itu bagaimana rasanya.  Anak-anak yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sudah pasti akan berpisah dengan keluarga. Lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang melanjutkan pelajaran ke luar negara semestinya kerinduan kepada keluarga berlipat ganda daripada biasa. 

Namun sedikit kita yang tahu dan sentiasa alpa sebenarnya ibu bapa kita lebih menanggung badai kerinduan yang lebih besar kepada anak-anaknya yang tidak berada di depan mata. Tidak dapat melihat kita, tidak mendengar suara riang tawa, tidak tahu perkembangan, kesihatan dan keselamatan kita . Maka diserahkan segalanya hanya kepada Allah sebaik-baik pelindung dan penjaga. 

Ibu bapa adalah wasilah untuk kita mendapat keredhaan Allah. Anak-anak iaitu kita pula adalah amanah Allah kepada ibu bapa. Penentu syurga dan neraka. Jika baik terbentuk seorang anak, maka baik jugalah akhirat ibu bapanya. Pabila saat kematian telah tiba, ketahuilah akan terputuslah segala amalan kita melainkan 3 perkara.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W.

“Apabila mati seseorang anak adam itu maka akan terhenti segala amalanya kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi guna, doa anak – anak yang soleh”



Jadilah kita anak-anak yang mendoakan kesejahteraan ibu bapa. Selalulah bertanya khabar kepada mereka. Ambillah sedikit masa, usahakanlah walau apa jua cara sekalipun untuk bertanya khabar kepada mereka. Jangan dibiarkan kerinduan mereka berpanjangan. Titipkan jua doa kesejahteraan buat mereka. 



Kenangi Ibu Bapa
Doakanlah Sejahtera
Kita Anak Harus Membela
Apabila Sudah Dewasa

Jangan Biarkan Mereka
Sia-Sia Di Hari Tua
Kecewa Hidup Dan Merana
Kerna Perbuatan Anak Derhaka

Bahgiakan Mereka
Hingga Ke Hujung Usia
Bila Sampai Waktu Ajalnya
Anak Soleh Sebagai Harta

Hai... Ibu Bapa
Kami Permata Anda
Tidak Jemu Berdoa
Agar Sejahtera Terpelihara

Di Dunia Bahagia
Akhirat Pun Begitu Jua
Inilah Harapan Kami Semua
Moga Allah Kabulkan Doa





Jangan sesekali pernah kecewakan dan hampakan hasrat mereka untuk melihat kejayaan kita di dunia dan juga di akhirat. Sedarlah bahawa anda adalah aset ibu bapa anda di akhirat kelak. Usahlah humban mereka ke neraka. Gandakanlah, beratkanlah saham pahala ibu bapa ke syurga. Setinggi mana pun seorang anak melanjutkan pelajarannya, semewah mana pun hidup anak itu pada akhirnya, besar lagi harapan ibu bapanya untuk anak itu berbakti menjaga mereka sampai ke syurga.

Moral:

1) Selalulah tanya khabar mak ayah taw.

2) Buat yang lebih baik semester baru ni ^^

Insya allah. Redha Allah mengiringi kejayaan. Selamat mujahadah!