03 August 2012

Tadarus


Bismillahi as solatu was salamu ala Rasoulillah

Sesuatu ibadah itu apabila dilakukan secara berjemaah terasa sungguh indah dan penuh barakah. Mengaji seorang diri kadang-kadang selalu tersyok sendiri. Kononnya, semua harakat dan dengung sudah kita baca dengan betul. Tapi sebenarnya, apabila bertadarus bersama, barulah kita sedar yang banyak rupanya kesalahan yang kita terlepas pandang. Kalau mengaji sorang-sorang cepat mengantuk, mengaji ramai-ramai memang terbukti seronok!




Saya tak pasti sama ada semua graduan luar negara akan rasa perkara yang sama atau pun tidak sepulangannya mereka ke tanah air, tapi yang pasti, saya agak inferior untuk menghadapi masyarakat. Bagaimana saya dapat suaikan diri nanti? Bagaimana saya perlu mulakan bicara?
Adakah saya dapat pilih perkataan yang sesuai? Dapatkah mereka menerima saya?.

Terima kasih mak cik semua atas pengalaman yang berjaya merobohkan sedikit tembok inferior dalam diri saya. ^ ^ Walaupun hanya empat hari bersama, saya pasti akan merindui bulatan gembira ini. 


Minggu depan saya akan mula tinggal di Johor temankan atuk mak, atuk abah di Parit Tengah dan nenek di Parit Raja sampai hari raya. Mungkin saya tak dapat online selalu dan tulis seperti biasa (macamlah saya selalu sangat update kan.. hihi) . 

Semoga Ramadhan ini dapat kita manfaatkan sebaiknya.



Sehingga kita berjumpa lagi nanti, incha Allah!

They compete in the #Olympics for Gold. We compete in #Ramadan for Jannah. 
The world watches them, Allah watches us.


01 August 2012

Jejaka Kacak

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah


Post kali ini akan penuh dengan pujian. Pujian buat jejaka hensem (baca : gentleman) yang sudi menolong golongan lemah walau di mana jua anda berada.


Terima kasih saya ucapkan buat mereka yang banyak membantu kami (budak-budak yang balik Msia hari tu) angkat beg-beg yang beratnya separuh daripada berat badan mereka. Jazakumullah khayr. (Sambil lap air mata terharu)

Saya suka gelarkan lelaki yang gentleman sebagai hensem. Saya pun tak tahu kenapa. Mungkin lelaki-lelaki tersebut terus mengingatkan saya kepada baginda Rasulullah s.a.w dalam taamul baginda dengan para wanita. Betapa kacaknya baginda bukan sahaja pada wajahnya namun dalam tingkah lakunya. Baginda yang murah dengan senyuman bak bulan purnama senantiasa membantu mereka yang memerlukan. Contoh agung yang perlu diikuti semua. Sollu 3lan nabiy~



Sehinggakan ada kisah seorang wanita tua yang selalu membenci Nabi Muhammad s.a.w masuk Islam kerana akhlak baginda yang membantu wanita tua tersebut mengangkat barangnya.

Sepanjang perjalanan kami pulang ke Malaysia, semua perkara buat kami terbayang ke Morocco dan rakyatnya. Kononnya saya tak nak menampakkan kerinduan dan rasa berat hati meninggalkan bumi Gerbang Andalus tersebut. Tapi pada akhirnya, saya akui saya rindu mereka.

Saya rindu abang-abang dan pak cik-pak cik hensem yang selalu mengalah tempat duduk dalam bas untuk diberikan kepada mak cik dan ibu mengandung. Abang-abang yang sentiasa ringan tulang bantu mengangkat barang-barang berat tanpa diminta tolong. Dengan kacaknya membantu sehingga ke akhirnya. Tanpa sebarang upah, cukup sekadar doa, Allah Yarham bil Walidayk. Moga Allah merahmati kedua ibu bapamu.

Tapi sampai sahaja di bumi tanah tumpah darahku ini, sangat kurang yang begitu. Kisahnya begini, hand luggage yang saya bawa naik flight ke Kuantan beratnya kira-kira 15 kg. Al-maklumlah, coklat Milka sahaja 12 bar dalam beg stewardess saya tu. Nampak kecik molek tapi beratnya masya Allah. Nak katanya, saya tak berkuasa untuk mengangkat beg tersebut naik compartment beg. Saya duduk di 22 C, kebetulan di 23 C ada seorang abang yang tunduk sedang baca buku. Kot lah tak perasan agaknya saya tengah cungap-cungap angkat beg dari pintu depan. Saya teragak-agak nak bagi salam sebab abang ni pakai seluar short atas lutut. 


Pramugara MAS yang berpakaian segak jauh di depan pula, maka, dengan muka kurang segannya, saya minta tolong abang seluar short tadi. Dia diam, tak pandang saya terus angkat beg naik atas. Ok, terima kasih banyak ya, kata saya. Saya duduk terus pejam mata. Penat.

Tidur-tidur ayam saya tak sedar dah 40 minit rupanya kapal terbang berlepas dan sudah selamat sampai Kuantan. Tetiba kepala saya disiku sesuatu. Oh, abang tadi punya majalah tersondol kepala saya sikit. Tak apa-tak apa. Dengan senang hatinya saya bangun ambil beg galas saya yang beratnya agak-agak 10 kg sambil berhusnuzzon abang tadi akan turunkan beg saya tadi. Namun, hampa. Abang tadi sekali lagi tak pandang pun saya. Terus dia ambil beg dia dan saya tidak diendahkannya. 

Saya tahu, semua orang mesti nak keluar laju-laju kan. Akhirnya saya buat keputusan mintak tolong Pramugara baju segak tadi untuk angkat beg saya. Saya tunggu semua orang keluar. Pintu depan dan pintu belakang dibuka. Tinggallah saya seorang tertunggu-tunggu Pramugara tadi. Saya angkat tangan sikit macam nak tanya soalan.


Pramugara tu angguk-angguk, "Ya, boleh keluar kat sini" tunjuk dia ke pintu belakang.

"Er, saya nak mintak tolong angkatkan beg boleh?" kata saya sambil jari telunjuk menuju ke atas.

Dia pun bergegas tolong saya, "Awak pegang belah sana saya pegang belah sini, kita angkat sama-sama" kata dia.

"ermmm.." hati saya bersuara sambil buat-buat sentuh beg tersebut.

"Beg ini patutnya letak kat bahagian kargo kalau berat, kami pun sakit-sakit belakang angkat beg passenger" bebel kakak Pramugari yang sedari tadi tunggu saya turun. 

"Terima kasih banyak ya, saya minta maaf sangat-sangat.. terima kasih ya" tertunduk-tunduk saya ucap terima kasih dan minta maaf sambil terkedek-kedek usung beg berat untuk keluar dari flight tersebut. 

"Selamat berpuasa ya!" jerit abang Pramugara tadi. "Ya,,selamat berpuasa juga!" balas saya tanpa menoleh ke belakang terus berjalan laju keluar.

Sedang menuruni tangga, mulut saya terucap "Rindunya abang-abang Morocco". Nah, terucap jua akhirnya. 

Rasulullah ada berkata : "....sebaik-baik di antara kamu adalah mereka yang terbaik buat isteri-isteri mereka"


Allah pun ada sebut dalam surah An Nisa' ayat 34 : "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan..."

Dengan ini saya menyeru semua ikhwan mujahideen yang saya kasihi kerana Allah untuk selalu membantu kami, nak-nak lagi dalam hal mengangkat barang berat. Bukan kami tak mahu angkat ramai-ramai, tapi kerana Allah telah menciptakan kalian yang lebih kuat dan tampan untuk membantu kami. Baru-baru ini diceritakan ada seorang akhawat berjumpa doktor dan disuspect rahimnya terlari sedikit akibat banyak mengangkat barang berat. 

Ok, Incha allah, mungkin lepas ni, ikhwan sekalian boleh jadi jejaka hensem acuan sunnah Rasoulillah. Kalau nampak akhawat mahupun mak cik-mak cik angkat barang berat terus dengan tampannya offer diri, "Takpe-takpe biar saya angkatkan" lantas melemparkan senyuman setulus hati. Ah.. subhanallah.. kacaknya jejaki acuan Rasoulullah tersebut. 

Mana tahu, terus mak cik tu jadikan calon menantu. ehhe. gurau-gurau. Kalau agak susah untuk ikhlaskan diri, bayangkan sahaja mak cik tersebut seperti ibu kalian, dan akhawat yang ingin dibantu itu adik dan kakak kalian. Incha allah, moga terus laju menghulur tangan meringankan beban. ^ ^

Selamat beramal!

Wassalam

p/s: Moga setiap bantuan yang kalian hulurkan buat mereka yang tidak berupaya itu dibalas kebaikannya oleh Allah dengan ganjaran pahala di sisiNya.

p/s 2: Abang-abang dan pakcik-pakcik tu orang Maghribi~~~

26 July 2012

Jujur dalam bercinta

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Mungkin kalian sudah bosan dengan tulisan drama air mata saya. Oh, tolong maafkan saya~

Sedar tak sedar tinggal sehari sahaja lagi keberadaan saya di bumi Maghribi. Subhanallah.. pantas sangat masa berlalu. Diri saya pada waktu ini terkejar-kejar dengan banyak perkara. Terasa susah meninggalkan bumi ini dalam masa yang sama, masih banyak perkara yang belum diselesaikan. Kadang-kadang apabila saya di dalam fatrah yang susah, saya selalu membayangkan diri saya di masa hadapan, terus tekan butang fast forward dalam otak dan bayangkan keadaan diri saya selepas berjaya mengharungi sesuatu kepayahan. 

Semalam, sewaktu mendaki bukit sebelum sampai ke rumah saya sudah membayangkan keberadaan diri saya di Malaysia. Sedang saya menapak satu demi satu langkah ke hadapan, terus saya menegur diri, buat apa perlu saya membayangkan diri di masa hadapan, seolah-olah mahu cepat meloloskan diri dari dunia realiti. Terus juga saya menyoal diri, bukankah lebih indah andai setiap detik masa itu walau pun payah untuk di harungi, tetap kita hayati satu persatu saat hidup itu. Sesungguhnya hidup kita ini bukan disulam dengan benang sutera kesenangan sahaja malah dikait pula dengan benang ujian. Walaupun sulam itu lembut dan indah, benang yang kasar itu juga memberi warna dan corak yang menyerlah juga.


Saidah Fathi
Saidah Jayid


Malam semalam sempat juga saya habiskan ziarah ke rumah ibu-ibu angkat saya. Ingat tak lagi pembaca sekalian dengan dua orang sahabat baik saya, Saidah Fathi dan Saidah Jayid? Dua orang kebahagiaan seperti makna nama mereka yang Allah hantarkan dalam hidup saya sebagai teman baik di sini. Dua orang yang sangat berbeza, Saidah Jayid kaya orangnya, tinggal di villa besar tapi sangat merendah diri. Saidah Fathi pula datang daripada keluarga yang sangat sederhana. Saidah Jayid pelajar Arabyah, Saidah Fathi pula pelajar Injlizyah. Subhanallah. 

Kedua-dua sahabat ini sudi berkongsi kasih ibu mereka dengan saya. Walau berbeza kulit warna dengan anak mereka tetap ibu-ibu ini menerima saya seadanya. Percaya tak, saya menangis teresak waktu peluk mak Saidah berdua daripada peluk anak mereka. Pelik kan? Saya pun tak pasti kenapa. Mungkin berkat kasih sayang dalam makanan yang mereka sediakan dah sebati dalam diri saya. Segala kuskus, tajine, maraq dan harirah yang dimasak dengan cinta tanpa mengira bangsa membuatkan saya lebih berat tinggalkan mereka.

Saya tak pandai buat ayat cakap "Ummi, tolong halalkan makan minum saya" atau "Ummi, tolong maafkan salah silap saya kalau pernah terkasar bahasa, tak faham apa yang saya nak kata" untuk dialih bahasa dalam Bahasa Arab. Cuma yang pasti, saya jujur dalam saya katakan, "Kanbghekoum bzaf", sungguh aku sayang sangat pada kalian. "Kalau kita tak berjumpa di dunia, harapnya kita akan berjumpa di syurga" tegas saya sebelum berlalu pergi.

mama saidah jayid (tak ada gambar yang lebih dekat T_T)
ummi saidah fathi
Apa yang cuba saya sampaikan di sini, jangan pernah malu untuk menyatakan cinta kita pada mereka yang kita sayang terutamanya ibu bapa kita. Semahunya kita sampaikan kata-kata ini setiap hari buat insan mulia yang selama ini selalu berkorban sedaya upaya memberi kita segala macam kebaikan.

Mula-mula tu mungkin kita akan rasa malu dan agak canggung. Percayalah! Saya pun terasa bahang kemerahan di pipi waktu kali pertama sebut perkataan "I Love You" di hujung panggilan telefon ke Malaysia. Bahkan sampai ke hari ini, saya masih rasa terlalu bahagia apabila saya dapat jatuhkan ego yang kononnya bertakhta untuk sebut "I Love You" terlebih dahulu kepada mereka. Pelbagaikanlah cara menyebut perkataan itu, ibu bapa kalian pasti terasa kejujuran cinta yang cuba ingin kita sampaikan. Apabila kita betul-betul terasa kebahagiaan dan kasih sayang apabila berukhwah dengan sesiapapun, janganlah segan untuk mengungkapkan, "Saya sayang kamu kerana Allah".

Maka, jujurlah kalian dalam mengucapkan kata-kata cinta pada yang selayaknya. Usah biarkan diri terbeban dengan penyesalan andai tak sempat untuk meluahkan perasaan. Bukan hanya pada makhluk sahaja bahkan jua pada Pencipta dan RasulNya. Moga-moga kasih sayang yang kita jalinkan utuh membawa kita pada redhaNya.

Cikgu Tawfiq dan Cikgu Siti

Ayuh, kita sama-sama jujur dalam bercinta!

p/s: saya saaaaaayang umi ayah saya~~~ *hearts*

23 July 2012

Penangan Cinta

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Amaran : Post ini agak cheesy. 

Ada suatu perasaan yang tak dapat digambarkan oleh kata-kata dan tidak mencukupi untuk diluahkan dengan air muka. Perasaan yang tidak diilhamkan ini membuatkan seseorang mampu untuk tidak makan dengan kenyangnya, lebih diam daripada berkata-kata dan lebih banyak tersenyum apabila ditanya. Air mata bisa mengalir tak kira masa. Sekarang ini baru saya tahu, oh, inilah perasaannya. Perasaan berat untuk meninggalkan mereka yang kita cinta. Cinta kerana Allah. 

Ok, tolong jangan muntah. Nanti kena ganti puasa,.

Kalau dahulu (macam lama pulak bunyinya kan?^ ^), saban tahun, antara peristiwa yang paling berat untuk saya hadiri adalah Majlis Konvokesyen dan juga hantar senior di Aeroport Mohamed IV. Bilangan mahasiwa-mahasiswi di Maghribi sangat sedikit bilangannya. Secara kasarnya, dalam satu Maghribi ni, bilangan kami hanyalah seramai 85 orang. Ah, tak suka sangat perasaan ditinggal. 


Buat semua yang masih belum tahu, paling singkat keberadaan pelajar Morocco di sini adalah tiga tahun. Maka, nak katanya, kasih sayang seorang kakak senior tu kami tak dapat nikmati dalam waktu masa yang lama. Sekejap-sekejap sahaja. Paling lama pun dua tahun, dan senior kami akan graduate. Kiranya, adik-adik junior saya pun bakal merasa perasaan yang saya rasa dahulu.
Adakah (?)

Satu perkara yang saya perhatikan sejak akhir-akhir ini, kami lebih rapat antara satu sama lain. Lagilah rasa sayang nak tinggalkan. Hasrat hati mahu sahaja saya duduk lama di sini, sambung Master pula. Tapi apakan daya, kita hanya mampu berusaha sahaja, pada akhirnya, saya pasti saya akur dengan keputusan ibu bapa. Tapi yang sebenar-benarnya, kami budak-budak YP dah kehabisan duit. ==''

Apa motif post ni ditulis ya? Setiap pertemuan itu pasti di akhiri dengan perpisahan. Ayat cliche yang selalu kita dengar. Tapi sejauh mana kita hargai ukhuwah yang dibina sepanjang pertemuan itu, hanya kita sahaja yang dapat ____________. Sila isi tempat kosong itu. :)




22 July 2012

Kenapa???

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Perkara paling berharga yang dapat saya pelajari sepanjang tiga tahun saya di bumi Maghribi adalah berkaitan dengan kebergantungan kita pada Pencipta dan berbaik sangka padaNya.  

Hidup kita sangat indah, penuh dengan kejutan dan ujian. Kadang-kadang doa kita dimakbulkan, terkadang seolah-olah diendahkan. Selalunya juga kita akan melihat kelebihan dan nikmat yang Allah berikan kepada orang lain tanpa kita sedari, betapa banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Sedang kita berada dalam fasa ketidaksedaran tersebut, selalu kita mengeluh dan mempersoalkan keadilan Tuhan, "Kenapa semua perkara tampak terlalu mudah bagi dirinya?", "Kenapa aku selalu di dalam kesusahan", "Kenapa rezekinya tampak berganda-ganda, ah, seronoknya!".


Tanpa kita sedar jua, kita telah mempersoalkan takdir Tuhan. Terus menggelapkan hati mencari cahaya kesabaran dan hikmah di sebalik setiap ujian. Ah, manusia memang selalu lupa. Ya, itulah manusia dalam fatrah ujian, terkadang ada masa menaik menjulang tahap iman. Terkadang juga iman kita jatuh terjelopok di dataran. 

Bersangka baiklah kita dengan Pencipta. Ya, memang buat masa sekarang ini, semua perkara seakan senang buat mereka. Namun yakinlah, kesenangan itu sudah tersedia buat kita. Mungkin sekarang rezeki buat mereka terbentang di hadapan mata. Siapa pula yang tahu, rezeki lebih besar sudah tertulis di Luh Mahfuz sana menanti  di masa hadapan kita?. Rahsia Allah, siapakan yang tahu melainkan Dia yang Maha Mengetahui. 



Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nisa' Ayat 32)

Jauhi hasad dengki yang merosakkan hati. Membanding-bandingkan nikmat mereka dengan nikmat yang kita terima hanya sia-sia. Sedang kita mengipas bara api dengki di dalam hati, ketahuilah, sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Dia takkan pernah menzalimi hamba-hambaNya yang sentiasa berdoa dan meminta dengan penuh kesabaran. Bukankah Allah sudah berfirman dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, ‘Aku adalah apa yang hambaKu fikirkan’.


Ayuh, kita baiki prasangka kita pada Pencipta. Nah, cuba letakkan diri kita di tempat mereka yang sentiasa dihujani ujian tidak bertepian. Letakkan diri di tempat saudara kita di Palestin, Syria mahupun Burma. Sentiasa berada di dalam ketakutan dan pengharapan. Betapa kuatnya pergantungan mereka kepada Tuhan, betapa indahnya prasangka mereka dalam mendambakan syahid pengakhir kehidupan. Saudara seakidah kita di Somalia, Afrika sentiasa dalam kelaparan dan kehausan. Namun, tetap iman mereka utuh sentiasa mengharapkan bantuan dan belas kasihan daripada Tuhan.



Kalau diikutkan tahap ujian kita berbanding ujian yang dihadiahkan buat mereka, sudah pasti kita akan sentiasa bersyukur atas segala nikmat ujian yang selama ini Allah berikan. Bersyukurlah, berbaik sangkalah selalu. Hidup ini bukan untuk kita sia-siakan dengan mengeluh dan merungut tidak berkesudahan. Bukankah lebih indah andai kita hiasi bibir kita dengan senyuman dan ucapan Alhamdulillah setiap kali ditimpa ujian?. 

Moga segala urusan kita sentiasa Allah permudahkan serta dikirimkan sekali kesabaran.

Salam Mubarak Ramadhan!~






26 June 2012

Donat Kehidupan

Bismillahi as-solatu wa salamu a'la rasoulillah.

Perjuangan menjadi seorang hamba yang sentiasa sedar akan hakikat kehidupannya di atas muka bumi sangat payah. Apatah lagi menjadi hamba yang sekurang-kurangnya sentiasa bersyukur kepada Pencipta. 

"Perghh, memang payah lah nak mantain tahap kesyukuran ni" kata Mamat.

Kebelakangan ini, pelbagai perkara datang dan pergi dalam hidup saya. Kejayaan, kesusahan, kegembiraan, mahupun kelesuan semuanya hadir dan bergilir-gilir menghiasi baki-baki hari di bumi Maghribi. 

Pada akhirnya, dapat saya konklusikan bahawa hidup saya dapat saya bahagikan kepada 3 fasa yang berbeza. Saya tak pasti perkara yang sama berlaku pada pembaca sekalian juga ataupun tidak, tapi saya akan cuba terangkan.

Saya akan analogikan hidup saya sebagai sebuah donat. Kenapa donat? Sebab saya masih fail buat donat. Donat bulat yang lembut dan sedap perlu melalui proses ulian dan sukatan adunan yang tepat. Sama juga dengan kehidupan. Susah sebenarnya nak membentuk kehidupan. Donat yang sedap itu pula saya bahagikan kepada 3 topping yang berbeza. Salutan Kopi, Taburan Coklat Pelangi, dan juga Taburan Gula.


Sila maafkan lukisan amateur yang comot  lagi tidak menyelarakan di atas. (=='')


Bahagian donat yang bersalut gula adalah seperti hidup pada hari-hari kebiasaannya kosong tanpa sebarang ujian mahupun berita gembira terkadang rasa hambar. Sekadar rasa kenyang apabila sudah makan dan enaknya tidur selepas berhempas  pulas seharian bekerja. Bukanlah terlalu membosankan tapi saya dah terbiasa dengan keadaan ini. Sama seperti rasa donat bersalut gula, rasa yang biasa sebiji donat itu.

Kehidupan yang terlalu selesa sehingga saya jadi lalai dan hanyut sebentar. Tidaklah sehingga melupakan kewajipan-kewajipan dalam menyembah Allah, cuma terasa sekadar ritual dan tidak terasa zouq dalam manisnya beribadah. 

Contoh kondisi : Seorang pelajar di musim pembelajaran. Belajar seperti biasa.

Sehinggalah tiba ujian Allah kirimkan, salutan donat tersebut bertukar menjadi Salutan Kopi Pahit Manis. Salutan Kopi Pahit Manis rasanya kurang diminati, tapi masih ada rasa manis yang membuatkan perisa tersebut bolehlah diterima. (No offense to all the coffee addicts! sekadar analogi ) Samalah dengan ujian yang Allah kirimkan dalam hidup saya, mula-mula terasa berat sangat untuk diterima, rasanya tidak digemari. Mengapalah perlu ada ujian dalam hidup sedangkan dah sedia baik dengan kehidupan yang biasa itu?

Contoh kondisi : Seorang pelajar di musim peperiksaan. Berusaha bagai nak rak!


Tetapi, saya tetap ''kunyah'' dan telan jua setiap ujian dan musibah yang melanda, perlahan-perlahan saya dapat terima perisa pahit itu dan mula terasa manisnya ujian itu sebab secara fitrahnya kita akan kembali meminta bantuan pada Allah. Terasa kemanisannya  sewaktu berkomunikasi dengan Allah. Kebergantungan pada Allah untuk diberi kekuatan mengunyah dan menelan ujian itu membuatkan saya bersemangat dan rajin beribadah. Makin lama, makin saya dapat terima ujian itu tanda Allah sayangkan saya.

Huih, berlipat-lipat kali ganda saya cuba berusaha memberi janji dan kata-kata manis untuk lebih dekat pada Pencipta. Maka, tibalah suatu saat pula, Allah kabulkan doa dan rintihan hambaNya yang meminta dan berikan mereka kejayaan dan kebahagiaan.



Taburan Coklat Pelangi itulah hadiah yang Allah berikan selepas hambaNya berhempas pulas mengharungi ujian yang diberikan. Kita bahagia, kita suka, dan kita bersyukur sangat berterima kasih pada Tuhan. Tapi syukur itu terkadang berpanjangan tapi fitrah manusia yang cepat lupa. Kita terlalu seronok dengan rasa bahagia itu dan akhirnya kembalilah kita terlalai. 

Terlupa dan menganggap semua perkara itu biasa-biasa sahaja, "yeah i don't have anything to worry about anymore", maka kembalilah kita pada salutan Gula pada mulanya. Saya jadi terlalu biasa dengan rasa itu saya jadi pelupa dan tidak peduli dengan apa-apa pun sebab dah terbiasa dengan kehidupan yang biasa itu.

Segala usaha amal ibadah yang banyak sewaktu susah, semakin berkurangan hari demi hari. Futur. 
Sama dengan kitaran kehidupan kita kan?
Contoh kondisi : Seorang pelajar selepas musim peperiksaan.



Begitulah sunnah kehidupan manusia yang dapat saya analogikan sebagai sebuah donat yang pelbagai perisanya. Rasa yang berbeza tapi saya akan tetap cuba gigit dan kunyah donat tersebut sehingga habis. 

Untuk menjadikan donat tersebut menjadi donat yang sentiasa penuh dengan rasa syukur iaitu sentiasa dekat pada Allah pada setiap masa, Saya perlu set mind dan letakkan diri dalam Salutan Kopi Pahit Manis tadi. Saya kena sentiasa ingatkan diri selalu tentang segala kesungguhan dan keindahan kebergantungan diri pada Allah pada saat-saat genting dan aplikasikan pada Fasa Salutan Gula dan Fasa Taburan Coklat Pelangi.

Hayati setiap detik waktu dalam nafas hanya untuk Allah. Saya perlu lebih mujahadah. Saya perlu bagi tahu diri bahawa waktu senang dan lapang itu juga ujian dan sentiasa perlukan bimbingan daripada Tuhan. Supaya tidak terbuang pergi waktu itu tanpa sebarang perubahan ke arah kebaikan.

Begitulah perkongsian saya untuk kali ini. Saya tak pasti ramai  antara kalian yang boleh kaitkan carta donut ini dengan kehidupan mereka atau tidak, yang penting, moga pembaca sekalian mendapat istifadah daripada post kali ini. Bak slogan Langit Ilahi, "Mari Menjadi Hamba" saya sudahi post ini dengan "Mari Menguli Donat Kehidupan yang penuh Kesyukuran". wink-wink  ^ ^


Wassalam.