21 October 2012

muhasarawak



Bismillahi as-solatu was salamu a'la Rasulillah.

Termasuk post ini, entah berapa banyak draft yang dah saya tinggalkan separuh jalan.

Anda. Saya menunjuk jari telunjuk saya kepada anda. Ya, anda yang sedang membaca post di Taman Hati ini. Ketahuilah, segala perkara yang saya tampilkan dan kongsikan di skrin anda mungkin hanyalah satu helah sahaja. Mungkin juga langsung tidak menggambarkan diri sebenar saya.

Dunia facebook, dunia blogger. Dunia yang telah banyak menjadikan diri saya seadanya saya sekarang. Kadang-kadang, bila terasa sangat penuh iman di dada, ilham pula datang, tangan saya laju menekan kekunci tulisan ini dan saat saya kongsikan bersama yang lain, kadang kala ramai yang bersetuju, kadang kala kurang responnya. Tapi saat itu, saya rasa sangat teruja untuk berkongsi.

Ada suatu tahap, saya rasa saya mahu kongsikan segala-galanya yang berlaku dalam hidup. 


Ada suatu tahap pula, saya akan rasa sangat malu dengan diri saya, ''Oh, apakah aku ini layak untuk menasihati orang sedang diri juga sering teruji?". Sampai saya rasa saya mahu tutup blog ini, sebab terasa sangat hipokrit dengan dunia sendiri. Itulah ujian yang menimpa diri ini. 

Kadang-kadang artikel saya terpilih dikongsikan di Iluvislam. Ramai yang akan mula "Add as friend" di Facebook. Banjiran tetamu baru mula menziarahi Taman Hati. Followers juga bertambah hari demi hari. Sampai ada yang sudi berkongsi masalah mereka sama ada melalui emel atau PM. Cloud Facebook Like akan disemak dan komen akan saya baca. Tanpa saya sedari, riak, ujub, takabbur sedang memvirus di hati. 

Kita sedang hidup dalam dunia yang membuka aib kita seluas-luasnya, dunia yang  menguji keikhlasan kita, dunia yang membuatkan selalu kita lupa rasa "Ihsan" iaitu rasa Allah itu Maha Melihat, dunia yang hanya mahukan kita mengejar kata pujian manusia sahaja, dunia yang mahukan kita orang lain turut bersetuju dengan kita, secara mudahnya, dunia yang membiarkan kita menjadi bukan diri kita.

Warna sebenar diri hanya akan dapat dinilai indah atau keruh nampaknya melalui perbuatan seseorang itu. Percakapannya, pergaulannya dengan manusia sekeliling. Penulisannya juga boleh dijadikan kayu ukur. Tapi semua itu bukan untuk kita risaukan apa kata manusia. Risaukan apa yang Tuhan manusia mahukan itu selalu tidak kita hiraukan.

Cukup-cukuplah wahai diri, sekadar tampil di hadapan manusia dengan sebaik rupa, walhal tidak cuba perbaiki diri tampil dihadapan Maha Pencipta sebagai sebaik-baik hamba.

Sila sepak diri selalu dengan tangan sendiri, biar tangan itu jadi saksi tatkala kita sedang pengsan dalam khayalan dunia. Bukan dunia matlamat kita, kerana kita akan meninggalkannya.

#astaghfirullah ...

22 September 2012

Anakku

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah..
Amaran : Post-post sebegini rupa akan membanjiri blog ini tak lama lagi ^ ^

Nikmat mempunyai anak dan rasa tanggungjawab serta amanah yang dipikul dalam membentuk anak tersebut amat besar. Sangat besar. Saya rasa saya telah mula selongkar rasa itu.

Rasa bagaimana untuk menyentuh hati anak tersebut, rasa untuk tidak berputus asa dalam memberikan pendidikan yang terbaik, rasa untuk selalu berusaha bersungguh-sungguh buat mereka.

Semakin besar rasa itu, semakin besar juga harapan yang terbina untuk melihat mereka berjaya dunia dan akhirat. 

Mungkin inilah perasaan ibu dan ayah kita bukan?   

Minggu ini sudah masuk minggu ketiga saya masih diberi peluang menjadi seorang murabbi. Kembali berbakti di Al Irsyad, taman permainan saya suatu ketika dahulu. Setiap hari pelbagai memori tercipta di sekolah. Seronok dan rasa tercabar untuk lebih kreatif dalam mendidik. 


Hasrat umi ayah nak saya sambung Master. Kata mereka, 21 tahun masih muda untuk tidak sambung belajar. Oh, sejujurnya, saya sudah jatuh cinta kepada mereka. Sayang pula rasanya untuk berhenti nanti. Tapi, walaupun saya hanya dapat menjadi guru ganti, saya tak mahu sekadar melepaskan batuk di tangga. Tidak serius dalam bekerja.  Insya allah, saya akan tetap bekerja sehingga akhir tahun ini sehingga bulan februari tahun depan.

1 Abu Bakar




Rezeki sambung belajar tahun depan? Kita tunggu dan lihat sahaja bagaimana. Buat masa sekarang, lebih baik saya fokus dalam mentarbiyah diri agar ilmu yang dapat saya sampaikan menyentuh hati mereka. Kalau saya berniat nak ubah insan di sekeliling saya, saya mestilah ubah diri saya dahulu kan? 

Allah ada berfirman dalam surah Ar-Ra'du  
 إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ...

Tarbiyah yang paling penting adalah tarbiyah buat diri sendiri terlebih dahulu. Anak-anak kecil sebenarnya masih boleh dibentuk, hati mereka masih bersih dan suci dari noda. Senakal mana pun seorang anak tersebut, marah bukan suatu pilihan, mendidik lebih diutamakan. 

Cabaran mengajar 7 kelas yang berbeza setiap minggu memang mengujakan tapi seronok sebenarnya. Macam mana ya nak cerita..hmm, saya mengajar subjek diniyyah, Feqah, Akhlak dan Aqidah. Subjek yang menceritakan tentang keistimewaan Islam. 

Jadi, bagaimana caranya saya nak beritahu kepada mereka betapa indahnya Islam ini? Sekadar membaca teks yang ada pada buku? Menyiapkan soalan-soalan dan latihan dalam Buku Aktiviti? Kelas yang saya dapat pula kelas anak-anak yang cerdas berlari sambil menjerit keriangan tanpa mempedulikan sesiapa pun di hadapan mereka. Oh Tuhan, nampak sangat kekredibilitian seorang muallimah bernama Nurul Husna masih belum terbina. ^ ^

3 Uthman







Minggu pertama, misi untuk buat mereka duduk. Minggu kedua, misi untuk buat mereka fokus 10 minit pun ok. Minggu ketiga, misi untuk suruh mereka buat latihan. Minggu keempat, minggu untuk semak latihan yang diberikan dan kesan pelajar bermasalah. Sebenarnya, setiap hari adalah hari yang baru. Cara mengajar juga perlu diperbaharui.

3 Umar



Banyak. Terlalu banyak perkara yang saya perlu belajar. Menjadi guru melalui pengalaman memang mengujakan tapi dalam masa yang sama boleh beri kesan pada diri. Sampai satu tahap, air mata saya mengalir sendiri waktu tulis di papan putih. Haish, nak buat macam mana kalau budak-budak tak mahu dengar kata kita. Kita bukan sesiapa pun, baru seminggu dua berkenalan. Masih tak hangat lagi hubungan antara muallimah dan pelajar. Maka, saya kena buat sesuatu yang menyeronokkan!. Yoshhh~~

Tipulah kalau saya tak pernah marah. Buat muka singa macam mana pun, kalau suara macam anak kucing, susah nak lawan juga karenah 30 anak-anak soleh solehah yang hyperactive di dalam kelas. Oh, subhanallah. Sekarang dah boleh kawal rasa marah dan geram, sebabnya, kalau tak dikawal, boleh jadi syahid dalam mengajar agaknya. Rasa sakit jantung setiap kali menjerit.

Nyaring sebuah jeritan suara,
bingitnya mungkin tidak dapat meyentuh hati..

Namun saat suara hati tulus berbisik keranaNya, 
biarpun perlahan kedengaran, sentuhannya berkesan.. 


Wahai Allah, Pemilik hati-hati manusia..
Tautkanlah hati-hati kami erat menuju keredhaanMu selalu..

p/s: orang kata kalau bergaduh, kita jerit kuat-kuat sebab hati kita tengah jauh, kalau bercinta, berbisik pun dengar, sebab hati kita sangat dekat.. maka kenalah bercinta dengan anak murid, tak perlu jerit-jerit.

Anak-anak muallimah, bukakanlah hati kalian untuk muallimah ya.. :)

Setiap kali mereka buat perangai, saya cubit kedua-dua pipi mereka dan suruh mereka istighfar 10 kali. Kalau tengah buat kerja lain, saya pinjam buku tu dan pegang. Kalau ada mainan, saya hulur je tangan, mereka akan bagi. OH, THE POWER OF A TEACHER! Sekali je saya hulur tangan sambil mata dikerlingkan , anak-anak ini akan terus bagi. Ajaib kan? Baik je anak-anak ni sebenarnya. Nakal sedikit je campur degil.

Saat melangkah masuk ke kelas.. 

Pelajar A : Muallimah.. muallimahh.. nyanyi sikit!

Pelajar B : Kita berkenalan dalam laman muka bukuuuu~~~


Pelajar C : Muka muallimah comel macam Najwa Latif.. suara pun sama..

Pelajar D : Muallimah.. muallimah, muallimah ada Facebook tak? Nak minta nombor telefon.. Sign sekali ya.... (sambil buku 3-5 disua)

Hati Muallimah Husna : Bertuah punya budak.. (=_='')



Masuk dua minggu, saya buat terapi bacaan Al Quran. Saya tak boleh nak menjerit kan? Jadi apa yang saya buat, 10 minit pertama saya ajak mereka baca ayat Al-Quran. Dua minggu ini, saya guide mereka baca surah Taha ayat 1-5. Sampai mereka dapat baca dengan lancar. Walaupun apa yang saya dapat ajarkan sedikit, biar ayat Al-Quran sahaja yang merawat hati mereka. 




Ayat pelembut hati, Surah Taha 1-5, ayat-ayat yang telah melembutkan hati Si Bengis Umar ibn alKhattab (r.a) untuk mencintai Islam. 

Setiap kali saya mengajar, saya cuba untuk memberi pendekatan logik kepada mereka, dan minta mereka berfikir. Setiap kali mereka buat hal, saya cakapkan pada mereka yang Syaitan tengah hasut kita untuk selalu malas dan nakal dalam kelas. Setiap kali mereka bergaduh pula, saya ambil dan pegang tangan sambil katakan yang tangan ini akan disoal di akhirat kelak.

Muallimah A : Masuk kelas nanti buat muka garang. Biar mula-mula ni nampak garang, nanti diorang lama-lama boleh baca kita.

Muallim B : Anti dapat kelas 3 Omar ya..susah sket kelas tu. Kasi nampak tegas sket bila masuk kelas nanti.

Aina : Adik aku dulu pun macam tu, dia kata memang kena garang-garang waktu mula-mula, nanti diorang pijak kita pula. 


Sesungguhnya silibus Gokusen 1, 2 dan 3 serta bermuka garang tak cukup untuk menyentuh hati dan membentuk anak didik andai hati kita kotor kan?. Astaghfirullah..



Saya belum jadi anak yang solehah, belum juga jadi kakak yang baik, namun Allah telah menghantar anak-anak Al-Irsyad untuk saya mentarbiyah diri, baiki kesilapan diri dan belajar dari mereka semua. Sebuah generasi ummat Muhammad yang beriman sedang dalam proses pentarbiyahan.
Moga Allah hulurkan sekali kekuatan dan kesabaran bersama. 

Difference between school and life?

School teaches you lessons and then gives you a test.

But life gives you a test and you learn the lessons.

p/s: semua orang suka kalau nama mereka diingati, tapi saya mudah lupa.. so saya kena tangkap gambar mereka.. ><''  2 Ali, 3 Ali, 4 Umar, 4 Uthman, 5 Abu Bakar dan 5 Umar akan saya update di post akan datang. incha allah.. ;)

16 September 2012

A confession : Kpop and me [Part II]


Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah.
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera pembaca semua!


Nah! Sila tonton cerita tentang kekasih saya..



Macam-macam fenomena luar biasa berlaku sekarang kan? Daripada gelombang Psy-Gangnam Style ke pembatalan saat akhir K-Fiqh Ummah dan akhirnya filem menjijikkan Innocence of Muslim yang kononnya dibikin untuk memberi penerangan tentang Islam, tapi sebenarnya menghina Nabi Muhammad dengan cara yang paling terkutuk.


Saya ada banyak benda yang dikongsikan. Tapi izinkan saya kongsikan sedikit pendapat mengenai K-Pop a.k.a Hallyu Wave yang sedang berombak ganas sekarang. 

Ingat tak post saya yang lepas mengenai A confession : Kpop and Me? Alhamdulillah, banyak respon baik yang diterima melalui post tersebut. 

Sejujurnya, saya masih lagi tak boleh buang 100% addiction saya terhadap K-Pop. But one thing for sure, saya dah tak lekat depan komputer macam saya dahulunya. 

Sebenarnya kan.. Dunia K-Pop banyak ajar saya tentang kehidupan juga. Melalui Big Bang, saya banyak dapat kenalan baru di Facebook. Yeah, kononnya dulu saya suka add dan approve mereka yang ada kaitan dengan Big Bang. Yalah kan, seronok boleh kongsi cerita dengan orang yang faham kita bila orang sekeliling kita tak faham kita. (faham je kan apa yang saya cuba maksudkan!) 

Melalui Big Bang juga, saya sangat bertuah dapat jumpa mereka yang sanggup berubah kepada yang lebih baik dengan berusah bersungguh-sungguh membuang jahiliyyah dalam diri mereka. Ingat senang ke? Susah kot.. 

yeah, sure, one of a kind, is he trying to say he's creating a new religion?
I have nothing against K-Pop or Big Bang. Plus, I am a big fan of G-Dragon too. Tapi sekali dia tunjukkan kepada dunia dirinya yang sebenar melalui Album One of Kind, takkan semurah itu kita nak gadaikan iman kita semata-mata kerana dia GD? Betul tak.. Yang salah tetap salah. Takkan semua perkara kita nak jadi buta dan sokong sewenang-wenangnya. GD's muslim fans, you know what I'm talking about right?

Instead of idolizing these genius artist such as Psy or even GD, copying the dance steps of Oppa Gangnam Style yang memang konfem-konfem tak membawa kita ke syurga. Apa kata kita gali lebih mendalam dasar cinta kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan selawat banyak-banyak jadi muslim yang lebih produktif dan jadi muslim yang lebih peka dengan dunia semasa.

Yup, memanglah the so called "tarian kuda" tu kelakar dan dapat memecahkan lemak-lemak di kaki anda dengan cara yang 'menyeronokkan' sebab sekarang kan 'trend'. Tapi, sedarlah, Psy yang buat tarian tu, dapatlah juga at least 1 million USD or more masuk dalam bank dia kan..kita?

Pak Cik Psy yang mengkagumkan

K-pop ajar saya tentang produktiviti dalam kehidupan. Dear Kpop fan, those idols that we all, fangirling, nosebleeding, drooling to are making a lots and lots of money. But we are still the same old lazy bums and being such an unproductive muslims that contribute nothing towards everything.

I'm not asking for you to stop and boycotting K-pop because you dont want to. I just want you to come to your sense and think. Kita dok habis-habis duit beli album, beli tiket konsert, duduk depan komputer berjam-jam, kelak kan, Allah akan tanya di akhirat. Mana pergi wang kita, mana masa yang kita habiskan. Kalau kita cuba hentikan mereka datang negara kita memang susah. Tapi tak susah halang diri sendiri dari terjebak dengan lebih jauh dalam dunia K-Pop ni.


They are just doing their job, entertaining people. Making a lot of money. Dont you think that we should be doing our job as a Muslim too? We should make a lot of money too! Who's going to help the Palestenian, Syrian and all other muslims??? It should be us. Their own brothers and sisters in Islam. Muslim.



Ok, bayangkanlah kan, tengah dok terkinja-kinja praktis tarian kuda tu ataupun sedang hadiri konsert K-Pop, saat itu Malaikat Izrael datang, kita tak nampak Malaikat tersebut, tapi Malaikat tetap datang dan cabut nyawa kita sedang kita buat perkara yang lagha. Wa naudzu billah min zalik. Tentu kita tak nak mati sebegitu hina bukan?

What I'm trying to say is, we should all take example of their hardwork in achieving their dreams by being a productive person. Itu yang patut kita contohi, mereka bekerja keras siang malam, berlatih 24 jam menari dan menyanyi dan mereka dibayar dengan gaji yang sangat lumayan untuk masa yang mereka korbankan. Kegigihan yang begitu patut kita contohi. Kegigihan dalam menjadi manusia yang lebih baik hari demi hari.


Siapa sangka, K-Pop mengambil alih dunia melalui Psy. Perintis ke pasaran Amerika dah berjaya dapat tempat #1 dalam US I-tunes Chart, lepas ni siapa pula? YG Entertainment tengah usaha bersungguh-sungguh kembangkan sayap 2ne1 atau JYP dengan Wonder Girls nya dan SM dengan SUJU.

Tapi pada akhirnya, muslim kita juga yang leka dan lalai lagi dengan dunia yang dicipta Korea ini. Haish, saya menegur diri saya terlebih dahulu dan moga-moga pembaca dapat manfaatnya.

Entah macam-macam lagi yang akan dipromosikan K-pop selepas ini. Mungkin tarian sotong pula? Ingat..mereka akan tetap datang 'menyerang' kita.  Jadi bagaimana kita nak 'lawan' mereka andai kita turut 'serta' dalam serangan mereka?.




Tak perlu cakap gebang-gebang, demonstrasi bagai nak rak andai solat subuh jemaah dan solat jumaat pun masih ponteng lagi. Ayuh koreksi diri. Cek balik, diri ini layak tak dapat syafaat nabi di hari yang tiada penolong nanti kalau di dunia asyik dengan hiburan semata, selawat tak bermain di bibir kita dan apabila kuffar (orang-orang kafir) menghina baginda kita buat-buat tak cakna. Allahu allah...


Susah, 
memang susah nak berubah, 
payah buang jahiliyyah,
tapi kita kan ada Allah,
Dia tahu kita sedang mujahadah! :)

03 August 2012

Tadarus


Bismillahi as solatu was salamu ala Rasoulillah

Sesuatu ibadah itu apabila dilakukan secara berjemaah terasa sungguh indah dan penuh barakah. Mengaji seorang diri kadang-kadang selalu tersyok sendiri. Kononnya, semua harakat dan dengung sudah kita baca dengan betul. Tapi sebenarnya, apabila bertadarus bersama, barulah kita sedar yang banyak rupanya kesalahan yang kita terlepas pandang. Kalau mengaji sorang-sorang cepat mengantuk, mengaji ramai-ramai memang terbukti seronok!




Saya tak pasti sama ada semua graduan luar negara akan rasa perkara yang sama atau pun tidak sepulangannya mereka ke tanah air, tapi yang pasti, saya agak inferior untuk menghadapi masyarakat. Bagaimana saya dapat suaikan diri nanti? Bagaimana saya perlu mulakan bicara?
Adakah saya dapat pilih perkataan yang sesuai? Dapatkah mereka menerima saya?.

Terima kasih mak cik semua atas pengalaman yang berjaya merobohkan sedikit tembok inferior dalam diri saya. ^ ^ Walaupun hanya empat hari bersama, saya pasti akan merindui bulatan gembira ini. 


Minggu depan saya akan mula tinggal di Johor temankan atuk mak, atuk abah di Parit Tengah dan nenek di Parit Raja sampai hari raya. Mungkin saya tak dapat online selalu dan tulis seperti biasa (macamlah saya selalu sangat update kan.. hihi) . 

Semoga Ramadhan ini dapat kita manfaatkan sebaiknya.



Sehingga kita berjumpa lagi nanti, incha Allah!

They compete in the #Olympics for Gold. We compete in #Ramadan for Jannah. 
The world watches them, Allah watches us.


01 August 2012

Jejaka Kacak

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah


Post kali ini akan penuh dengan pujian. Pujian buat jejaka hensem (baca : gentleman) yang sudi menolong golongan lemah walau di mana jua anda berada.


Terima kasih saya ucapkan buat mereka yang banyak membantu kami (budak-budak yang balik Msia hari tu) angkat beg-beg yang beratnya separuh daripada berat badan mereka. Jazakumullah khayr. (Sambil lap air mata terharu)

Saya suka gelarkan lelaki yang gentleman sebagai hensem. Saya pun tak tahu kenapa. Mungkin lelaki-lelaki tersebut terus mengingatkan saya kepada baginda Rasulullah s.a.w dalam taamul baginda dengan para wanita. Betapa kacaknya baginda bukan sahaja pada wajahnya namun dalam tingkah lakunya. Baginda yang murah dengan senyuman bak bulan purnama senantiasa membantu mereka yang memerlukan. Contoh agung yang perlu diikuti semua. Sollu 3lan nabiy~



Sehinggakan ada kisah seorang wanita tua yang selalu membenci Nabi Muhammad s.a.w masuk Islam kerana akhlak baginda yang membantu wanita tua tersebut mengangkat barangnya.

Sepanjang perjalanan kami pulang ke Malaysia, semua perkara buat kami terbayang ke Morocco dan rakyatnya. Kononnya saya tak nak menampakkan kerinduan dan rasa berat hati meninggalkan bumi Gerbang Andalus tersebut. Tapi pada akhirnya, saya akui saya rindu mereka.

Saya rindu abang-abang dan pak cik-pak cik hensem yang selalu mengalah tempat duduk dalam bas untuk diberikan kepada mak cik dan ibu mengandung. Abang-abang yang sentiasa ringan tulang bantu mengangkat barang-barang berat tanpa diminta tolong. Dengan kacaknya membantu sehingga ke akhirnya. Tanpa sebarang upah, cukup sekadar doa, Allah Yarham bil Walidayk. Moga Allah merahmati kedua ibu bapamu.

Tapi sampai sahaja di bumi tanah tumpah darahku ini, sangat kurang yang begitu. Kisahnya begini, hand luggage yang saya bawa naik flight ke Kuantan beratnya kira-kira 15 kg. Al-maklumlah, coklat Milka sahaja 12 bar dalam beg stewardess saya tu. Nampak kecik molek tapi beratnya masya Allah. Nak katanya, saya tak berkuasa untuk mengangkat beg tersebut naik compartment beg. Saya duduk di 22 C, kebetulan di 23 C ada seorang abang yang tunduk sedang baca buku. Kot lah tak perasan agaknya saya tengah cungap-cungap angkat beg dari pintu depan. Saya teragak-agak nak bagi salam sebab abang ni pakai seluar short atas lutut. 


Pramugara MAS yang berpakaian segak jauh di depan pula, maka, dengan muka kurang segannya, saya minta tolong abang seluar short tadi. Dia diam, tak pandang saya terus angkat beg naik atas. Ok, terima kasih banyak ya, kata saya. Saya duduk terus pejam mata. Penat.

Tidur-tidur ayam saya tak sedar dah 40 minit rupanya kapal terbang berlepas dan sudah selamat sampai Kuantan. Tetiba kepala saya disiku sesuatu. Oh, abang tadi punya majalah tersondol kepala saya sikit. Tak apa-tak apa. Dengan senang hatinya saya bangun ambil beg galas saya yang beratnya agak-agak 10 kg sambil berhusnuzzon abang tadi akan turunkan beg saya tadi. Namun, hampa. Abang tadi sekali lagi tak pandang pun saya. Terus dia ambil beg dia dan saya tidak diendahkannya. 

Saya tahu, semua orang mesti nak keluar laju-laju kan. Akhirnya saya buat keputusan mintak tolong Pramugara baju segak tadi untuk angkat beg saya. Saya tunggu semua orang keluar. Pintu depan dan pintu belakang dibuka. Tinggallah saya seorang tertunggu-tunggu Pramugara tadi. Saya angkat tangan sikit macam nak tanya soalan.


Pramugara tu angguk-angguk, "Ya, boleh keluar kat sini" tunjuk dia ke pintu belakang.

"Er, saya nak mintak tolong angkatkan beg boleh?" kata saya sambil jari telunjuk menuju ke atas.

Dia pun bergegas tolong saya, "Awak pegang belah sana saya pegang belah sini, kita angkat sama-sama" kata dia.

"ermmm.." hati saya bersuara sambil buat-buat sentuh beg tersebut.

"Beg ini patutnya letak kat bahagian kargo kalau berat, kami pun sakit-sakit belakang angkat beg passenger" bebel kakak Pramugari yang sedari tadi tunggu saya turun. 

"Terima kasih banyak ya, saya minta maaf sangat-sangat.. terima kasih ya" tertunduk-tunduk saya ucap terima kasih dan minta maaf sambil terkedek-kedek usung beg berat untuk keluar dari flight tersebut. 

"Selamat berpuasa ya!" jerit abang Pramugara tadi. "Ya,,selamat berpuasa juga!" balas saya tanpa menoleh ke belakang terus berjalan laju keluar.

Sedang menuruni tangga, mulut saya terucap "Rindunya abang-abang Morocco". Nah, terucap jua akhirnya. 

Rasulullah ada berkata : "....sebaik-baik di antara kamu adalah mereka yang terbaik buat isteri-isteri mereka"


Allah pun ada sebut dalam surah An Nisa' ayat 34 : "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan..."

Dengan ini saya menyeru semua ikhwan mujahideen yang saya kasihi kerana Allah untuk selalu membantu kami, nak-nak lagi dalam hal mengangkat barang berat. Bukan kami tak mahu angkat ramai-ramai, tapi kerana Allah telah menciptakan kalian yang lebih kuat dan tampan untuk membantu kami. Baru-baru ini diceritakan ada seorang akhawat berjumpa doktor dan disuspect rahimnya terlari sedikit akibat banyak mengangkat barang berat. 

Ok, Incha allah, mungkin lepas ni, ikhwan sekalian boleh jadi jejaka hensem acuan sunnah Rasoulillah. Kalau nampak akhawat mahupun mak cik-mak cik angkat barang berat terus dengan tampannya offer diri, "Takpe-takpe biar saya angkatkan" lantas melemparkan senyuman setulus hati. Ah.. subhanallah.. kacaknya jejaki acuan Rasoulullah tersebut. 

Mana tahu, terus mak cik tu jadikan calon menantu. ehhe. gurau-gurau. Kalau agak susah untuk ikhlaskan diri, bayangkan sahaja mak cik tersebut seperti ibu kalian, dan akhawat yang ingin dibantu itu adik dan kakak kalian. Incha allah, moga terus laju menghulur tangan meringankan beban. ^ ^

Selamat beramal!

Wassalam

p/s: Moga setiap bantuan yang kalian hulurkan buat mereka yang tidak berupaya itu dibalas kebaikannya oleh Allah dengan ganjaran pahala di sisiNya.

p/s 2: Abang-abang dan pakcik-pakcik tu orang Maghribi~~~

26 July 2012

Jujur dalam bercinta

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Mungkin kalian sudah bosan dengan tulisan drama air mata saya. Oh, tolong maafkan saya~

Sedar tak sedar tinggal sehari sahaja lagi keberadaan saya di bumi Maghribi. Subhanallah.. pantas sangat masa berlalu. Diri saya pada waktu ini terkejar-kejar dengan banyak perkara. Terasa susah meninggalkan bumi ini dalam masa yang sama, masih banyak perkara yang belum diselesaikan. Kadang-kadang apabila saya di dalam fatrah yang susah, saya selalu membayangkan diri saya di masa hadapan, terus tekan butang fast forward dalam otak dan bayangkan keadaan diri saya selepas berjaya mengharungi sesuatu kepayahan. 

Semalam, sewaktu mendaki bukit sebelum sampai ke rumah saya sudah membayangkan keberadaan diri saya di Malaysia. Sedang saya menapak satu demi satu langkah ke hadapan, terus saya menegur diri, buat apa perlu saya membayangkan diri di masa hadapan, seolah-olah mahu cepat meloloskan diri dari dunia realiti. Terus juga saya menyoal diri, bukankah lebih indah andai setiap detik masa itu walau pun payah untuk di harungi, tetap kita hayati satu persatu saat hidup itu. Sesungguhnya hidup kita ini bukan disulam dengan benang sutera kesenangan sahaja malah dikait pula dengan benang ujian. Walaupun sulam itu lembut dan indah, benang yang kasar itu juga memberi warna dan corak yang menyerlah juga.


Saidah Fathi
Saidah Jayid


Malam semalam sempat juga saya habiskan ziarah ke rumah ibu-ibu angkat saya. Ingat tak lagi pembaca sekalian dengan dua orang sahabat baik saya, Saidah Fathi dan Saidah Jayid? Dua orang kebahagiaan seperti makna nama mereka yang Allah hantarkan dalam hidup saya sebagai teman baik di sini. Dua orang yang sangat berbeza, Saidah Jayid kaya orangnya, tinggal di villa besar tapi sangat merendah diri. Saidah Fathi pula datang daripada keluarga yang sangat sederhana. Saidah Jayid pelajar Arabyah, Saidah Fathi pula pelajar Injlizyah. Subhanallah. 

Kedua-dua sahabat ini sudi berkongsi kasih ibu mereka dengan saya. Walau berbeza kulit warna dengan anak mereka tetap ibu-ibu ini menerima saya seadanya. Percaya tak, saya menangis teresak waktu peluk mak Saidah berdua daripada peluk anak mereka. Pelik kan? Saya pun tak pasti kenapa. Mungkin berkat kasih sayang dalam makanan yang mereka sediakan dah sebati dalam diri saya. Segala kuskus, tajine, maraq dan harirah yang dimasak dengan cinta tanpa mengira bangsa membuatkan saya lebih berat tinggalkan mereka.

Saya tak pandai buat ayat cakap "Ummi, tolong halalkan makan minum saya" atau "Ummi, tolong maafkan salah silap saya kalau pernah terkasar bahasa, tak faham apa yang saya nak kata" untuk dialih bahasa dalam Bahasa Arab. Cuma yang pasti, saya jujur dalam saya katakan, "Kanbghekoum bzaf", sungguh aku sayang sangat pada kalian. "Kalau kita tak berjumpa di dunia, harapnya kita akan berjumpa di syurga" tegas saya sebelum berlalu pergi.

mama saidah jayid (tak ada gambar yang lebih dekat T_T)
ummi saidah fathi
Apa yang cuba saya sampaikan di sini, jangan pernah malu untuk menyatakan cinta kita pada mereka yang kita sayang terutamanya ibu bapa kita. Semahunya kita sampaikan kata-kata ini setiap hari buat insan mulia yang selama ini selalu berkorban sedaya upaya memberi kita segala macam kebaikan.

Mula-mula tu mungkin kita akan rasa malu dan agak canggung. Percayalah! Saya pun terasa bahang kemerahan di pipi waktu kali pertama sebut perkataan "I Love You" di hujung panggilan telefon ke Malaysia. Bahkan sampai ke hari ini, saya masih rasa terlalu bahagia apabila saya dapat jatuhkan ego yang kononnya bertakhta untuk sebut "I Love You" terlebih dahulu kepada mereka. Pelbagaikanlah cara menyebut perkataan itu, ibu bapa kalian pasti terasa kejujuran cinta yang cuba ingin kita sampaikan. Apabila kita betul-betul terasa kebahagiaan dan kasih sayang apabila berukhwah dengan sesiapapun, janganlah segan untuk mengungkapkan, "Saya sayang kamu kerana Allah".

Maka, jujurlah kalian dalam mengucapkan kata-kata cinta pada yang selayaknya. Usah biarkan diri terbeban dengan penyesalan andai tak sempat untuk meluahkan perasaan. Bukan hanya pada makhluk sahaja bahkan jua pada Pencipta dan RasulNya. Moga-moga kasih sayang yang kita jalinkan utuh membawa kita pada redhaNya.

Cikgu Tawfiq dan Cikgu Siti

Ayuh, kita sama-sama jujur dalam bercinta!

p/s: saya saaaaaayang umi ayah saya~~~ *hearts*