03 January 2013

Dari Kaca Mata Seorang Perogol


Bismillahi as solatu was salamu a'la rasulillah.

Sila ambil masa untuk baca artikel ini, anda mungkin dapat menyelamatkan satu nyawa.


Kebanyakan penyerang akan menggunakan beberapa taktik untuk melarikan diri menggunakan kekasaran. Tak ramai yang tahu bagaimana untuk melindungi diri mereka lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan situasi sebegini. Semua orang wajib baca artikel ini khususnya buat semua gadis di dunia ini.

Satu kajian telah dijalankan ke atas sekumpulan perogol di dalam penjara tentang perkara yang mereka aim (baca : lihat) pada mangsa yang berpotensi untuk dirogol. Beberapa fakta menarik untuk dikongsi bersama:

1) Perkara pertama yang lelaki tengok pada mangsa adalah stail rambut. Mereka lebih memilih untuk mencari perempuan yang berambut tocang, bersanggul dan ber’braid’ atau lain-lain stail rambut yang mudah untuk dicapai dengan tangan. Mereka lebih mengejar perempuan yang berambut panjang. Perempuan berambut pendek selalunya tidak menjadi target. 

Muslimah (Perempuan Islam) diwajibkan memakai tudung. Nah, ini lah hikmahnya Allah suruh pakai tudung. Tak percaya? Sila rujuk Al quran di rak anda itu, cuba selak Surah An- Nur.

Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah,

Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [TMQ An-Nur (24):31]. 

Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.” [TMQ An-Nur (24):31].




2) Perkara kedua yang lelaki perhatikan adalah pakaian. Mereka akan mencari perempuan yang memakai pakaian yang mudah untuk ditanggal (oh! Ngerinya bunyiiii!!!).  Kebanyakan daripada mereka membawa bersama gunting untuk memudahkan kerja mencarik pakaian.

Sebab tu kita kena pakai baju yang labuh dan longgar bukannya ketat lagi nipis. Dalil lain yang menunjukkan bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah  kepada Asma’ binti Abu Bakar,




Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” [HR Abu Dawud] 


3) Mereka juga mencari perempuan yang sedang leka menggunakan telefon bimbit, khusyuk mencari barang dalam purse atau lain-lain aktiviti yang dilakukan semasa berjalan disebabkan oleh kelekaan (off guard) dan senang untuk dikalahkan.

4) Tempat pertama terjadinya kejadian penculikan/serangan ke atas wanita ialah tempat parking kedai runcit.

5) Tempat  kedua ialah tempat parking pejabat/garaj.

6) Tempat ketiga ialah tandas awam.

Lazimkanlah diri anda wahai wanita dengan Ayatul Kursi, semoga dalam lindungan Allah selalu dari mula langkah pertama kita keluar dari rumah hingga pulang kembali.

7) Seperkara lagi tentang lelaki-lelaki ini,  mereka menanti untuk menculik perempuan dan cepat-cepat pindahkan dia ke tempat yang selamat daripada ditangkap. 
(hoi!, meremang bulu roma)

8) Jikalau anda terus bertindak melawan dalam apa bentuk cara sekalipun, mereka akan terus berputus asa dan dalam beberapa minit mereka akan sedar terlalu banyak masa diambil dan tidak berbaloi untuk terus mengejar anda.

9) Lelaki-lelaki ini menyatakan mereka tidak akan memilih perempuan yang di tangan mereka mempunyai payung atau lain-lain alat yang serupa dengannya dan boleh digunakan dalam suatu jarak tertentu.

10) Anak-anak kunci tidak berkesan kerana anda perlu berada sangat dekat dengan penyerang untuk menggunakan kunci sebagai senjata. Maka, mereka hanya akan menganggap usaha anda tidak akan berjaya. 

Beberapa perkara untuk diingati bersama.

1) Jika seseorang mengekori anda dari belakang di jalan atau di garaj atau bersama anda di elevator atau tangga, pandang mereka berhadapan dan tanya soalan seperti, “Pukul berapa sekarang?”, atau cetuskan perbualan singkat “Panaskan hari ini?”, “Nampaknya hujan sangat lebat”. Sekarang anda dapat lihat dan cam muka mereka andai mereka ditangkap, anda akan terlepas daripada menjadi target.



2) Sekiranya seseorang sedang datang ke arah anda, halakan tangan anda di hadapan dan tengking “Berhenti! atau Pergi” . Kebanyakan perogol-perogol tersebut menyatakan mereka akan terus tinggalkan perempuan yang menengking  atau menunjukkan yang mereka tidak takut untuk melawan. Sekali lagi diingatkan, mereka mencari easy targett (baca : target mudah).

3) Jika anda membawa bersama Penyembur Lada Hitam (Pengajar tersebut sangat mencadangkan penggunaan Pepper Spray dan sentiasa dia sentiasa membawanya bersama ke mana sahaja dia berada). Jerit saya ada “Pemedih Mata!” dan pegang ke arah mereka akan berfikir dua kali untuk terus menyerang.

4) Jika seseorang merangkul anda dan anda tidak mampu untuk menyerang mereka, anda masih mampu melawan. Jika anda dirangkul dari belakang pada bahagian pinggang, cubit penyerang sama ada pada bahagian bawah lengan antara siku dan ketiak atau pada cubit bahagian peha atas – KUAT-KUAT (benamkan kuku anda!). Seorang perempuan dalam kelas ini pernah mencubit bahagian bawah seorang lelaki yang cuba merogolnya sewaktu berdating (date rape) dia terlalu marah sehinggakan perempuan tersebut telah mengoyakkan kulit dan otot lengan lelaki itu sehingga perlu dijahit. Cuba picit diri sendiri di tempat tersebut sekuat yang mungkin, mesti anda tak tertahan kesakitannya.

5) Selepas pukulan pertama, serang bahagian antara kelangkang mereka (alif nun waw). Saya tahu daripada beberapa episod malang, jika anda serang tempat tersebut ianya tersangat menyakitkan, senak. Anda mungkin fikir lelaki tersebut akan marah dan dia akan lebih mencederakan anda. Tetapi perogol-perogol tersebut memberitahu mereka hanya mahukan perempuan yang tidak akan mengakibatkannya pelbagai masalah. Maka, mulakan sesuatu masalah, dan dia akan pergi dari situ.

6) Apabila lelaki meletakkan tangannya ke atas anda, capai dua jarinya dan bengkokkan ke belakang sejauh yang mungkin dengan sekuat-kuat tekanan dan tolak ke arah mereka secepat mungkin. Pengajar tersebut telah cuba pada saya tanpa menggunakan apa-apa tekanan sehinggakan saya akhirnya melutut dan jejari saya ‘meletup’ kuat. 

7) Semestinya, perkara yang selalu kita dengar kita akan gunakan. Selalu perhatikan keliling anda, kalau boleh bawa seseorang bersama dan jika anda merasakan sesuatu yang ganjil jangan buat-buat tak tahu,  ikutlah gerak hati. Kadang-kadang anda mungkin rasa macam orang bodoh, tapi anda akan rasa lebih teruk jika lelaki tersebut adalah masalah sebenarnya.


Perempuan memang perlu berjalan dengan muhrimnya. Tidak boleh bermusafir seorang diri!

 Akhir sekali, tolong ingat perkara-perkara ini juga

Saya tahu anda memang dah biasa dengan perkara-perkara ni, tapi anda pasti akan ingat dan akan kata “hmm saya kena ambil peringatan”. Selepas anda selesai membaca artikel ini tolong sebarkan pada orang-orang yang tersayang, tak ada salahnya kita berhati-hati dalam dunia fana yang serba gila ini.

1) Tip Tae Kwon Do : Siku adalah poin terkuat pada badan kita. Jika anda rapat dengan penyerang pada bahagian siku, gunakannya!.

2) Saya belajar daripada seorang pemandu pelancong di New Orleans : jika ada perompak yang minta dompet anda, JANGAN HULUR PADANYA!. Buang ke tepi atau jauh dari anda.. berkemungkinan dia lebih berminat dengan dompet daripada anda. LARI MACAM LIPAS KUDUNG KE ARAH YANG BERTENTANGAN.

3) Jika anda dicampak ke dalam bonet kereta, tendang lampu belakang kereta dan keluarkan tangan anda dan lambai bersungguh-sungguh. Pemandu tak akan nampak anda, tapi orang lain akan perasan. Cara ini pernah banyak menyelematkan nyawa (saya pun baru tahu!)

4) Perempuan (spesis saya) selalunya selepas membeli belah atau makan atau bekerja suka masuk ke dalam kereta dan duduk sahaja. (Cek resit bayaran, baca buku nota atau buat list dsb.  JANGAN LAKUKAN PERKARA INI!. Pemangsa akan memerhatikan anda dan ini adalah peluang yang sangat sempurna untuk dia masuk ke tempat penumpang dan tuju pistol pada kepala anda. Kemudian beri arahan ke mana harus pergi. SELEPAS TUTUP PINTU KERETA, KUNCIKANNYA DAN PERGI.

5) Beberapa peringatan tentang masuk ke dalam kereta di lot parking atau garaj.

a. Peka / berhati-hati : Tinjau di sekeliling kereta anda kerana mungkin ada orang sedang bersembunyi di tempat penumpang, tengok ke dalam kereta, lantai di tempat penumpang dan di kerusi belakang. (LAKUKAN PERKARA INI SEBELUM MENAIKI TEKSI) 

b. Jika anda letak kereta bersebelahan van besar, masuk ke dalam kereta melalui pintu penumpang. Kebanyakan pembunuh bersiri menyerang mangsa semasa mangsa sedang cuba masuk ke  dalam kereta.

c. Tengok tempat duduk kereta yang bersebelahan kereta anda.  Jika ada lelaki sedang duduk bersendirian di tempat duduk berhampiran kereta anda, lebih baik anda patah balik ke dalam kedai, ata tempat kerja dan bawa bersama pak guard / polis untuk melindungi anda. LEBIH BAIK SESAL DULU PENDAPATAN, SESAL KEMUDIAN TIDAK BERGUNA. (dan lebih baik paranoid daripada mati)

6) GUNAKAN elevator daripada menggunakan tangga. Tangga adalah tempat-tempat menakutkan untuk bersenderian dan tempat yang sempurna utk melakukan jenayah.

7) Jika penyerang memiliki pistol/ senjata dan anda tidak dapat melawan mereka, PILIH UNTUK LARI. Penyerang hanya akan serang anda (yang sedang berlari) 4 kali dalam 100 serangan. Tempat-tempat yang terkena selalunya bukan organ utama.

8) Perempuan~ selalu mudah berasa simpati. HENTIKANNYAAAA! Anda mungkin akan dirogol atau dibunuh. Ted Bundy, seorang pembunuh bersiri adalahseorang yang kacak, berpendidikan dan selalu  berlakon meminta simpati. Dia berjalan menggunakan tongkat atau berjalan terhencot-hencot dan selalu meminta “tolong” untuk memimpinnya ke kereta atau menggunakan keretanya. Kemudian dia culik mangsa tersebut.

Saya sangat berharap anda akan kongsi artikel ini kepada semua wanita yang anda kenali. Ianya mungkin akan menyelamatkannya nyawa. Lilin tidak akan terpadam jika dinyalakan apinya pada lilin yang lain. Saya pada mulanya mahu berkongsi pada kawan perempuan sahaja, tapi wahai lelaki budiman, jika anda sayangkan ibu, isteri, kakak, adik dan anak  perempuan anda, anda mungkin mahu yang lain turut membaca artikel ini.

Kongsikan artikel ini kepada wanita yang anda rasa mereka perlu diingatkan bahawa dunia yang kita tinggal di dalamnya sekarang ini penuh dengan kegilaan dan lebih baik kita berhati-hati daripada menyesal di kemudian hari.

Tangan yang menghulurkan bantuan, lebih baik daripada bibir yang mendoakan.

Alhamdulillah, dapat juga saya terjemahkan artikel ni dengan jayanya. Saya memohon kepada Allah semoga semua insan yang bernama perempuan di atas muka bumi ini sentiasa dibawah lindungan Allah. Sama-samalah kita menjaga diri dan perbaiki pakaian kita, aurat kita dan pergaulan kita. Terkadang kita lupa, Allah hantarkan sesuatu untuk kita ingat dan terus mengambil pengajaran. Yok, sama-sama muhasabah.

Bagi mereka yang terasa janggal dengan terjemahan ini, sila rujuk link ini untuk bacaan yang lebih memuaskan. Wallahu a’lam.



video ini sangat lucu! tolonglah tengok~ :3


15 December 2012

I.l.h.a.m

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah..

Saya akan sentiasa kagum dengan mereka yang Allah selalu kirimkan ilhamNya untuk menulis menyebarkan kata-kata yang dapat menyentuh hati-hati manusia. Subhanallah.. hebat..

You Oh Allah..
Moga Allah sentiasa jadikan kita semua dalam kalangan mereka yang mendapat hidayahNya.. amin..

Angel Pakai Gucci
Conversation started 13 November
22:27 
NourlHousna Tawfiq 
assalamualaikum wbt,
en APG, nama saya husna, saya suka menulis dan mempunyai sebuah blog...
saya tak pasti kalau en APG pernah alami apa yang saya alami, tapi saya ingin bertanya,
1) pernah tak en APG diuji Allah dengan apa yang en APG nukilkan? bagaiman en bangkit dan terus menulis, sbb selalu saya rasa terus hina dan tidak layak untuk memberi nasihat pada yang lain..
2) adakah en punya jadual rutin untuk kekal istiqamah dalam menulis? atau menulis di waktu en APG mendapat ilham?
3) en APG sudah menjadi penyumbang artikel majalah JOM, en APG berminat utk menulis sebuah buku? 
ahlan wasahlan ke blog saya..
Taman ✿ Hati
resamkehidupan.blogspot.com 
Sunday
22:20 
Angel Pakai Gucci 
Salaam a'laikum warah matullah,
Maaf atas kelewatan menjawab mesej anda ni. IAllah saya cuba jawab secara ringkas:
1) PErnah, selalu sgt. T__T Tp kalau disebabkan tu kita amik keputusan ntok berhenti berdakwah, maka kita telah menggembirakan syaitan. Huhu.. Jgn mengalah dan teruskan mujahadah.
2) Takde. Menulis sewaktu idea dtg.
3) iAllah mmg ada niat. Doa2kan..
Allahu a'lam

 

firsly dont ever under estimate yourself, secondly,  never under estimate anyone, cause you dont know what they're capable of.. 

Credit to En Gabbana, Angel Pakai Gucci!

07 December 2012

Gangnam's story

Buat mereka-mereka yang masih sukakan Oppa Gangnam Style.. Tarik Nafas dan Sila baca.

Saya bukan nak "bajek" expert tentang Kpop. Tapi yang saya tahu, PSY seorang artis senior yang sinis dan menyalurkan pendapatnya melalui lagu, dia tulis hampir semua lagu dalam albumnya. At first, dia memang nak sindir budaya hidup di Gangnam sebuah daerah di South Korea, tapi pada akhirnya dia juga terjebak sama sejak lagunya meletup. Nah.. baca kisah di bawah dan sila bersyukur atas nikmat Iman dan Islam.

Saya kongsikan disini untuk dijadikan pengajaran walaupun kesahihannya juga tidak diketahui..
Allahu a'lam, dan Allah juga yang Maha Mengetahui.

KISAH BENAR: SECEBIS CERITA DUKA DARI GANGNAM



02 December 2012

tanggung - jawab

Bismillah as solatu was salamu a'la Rasoulillah. . .
19 November 2012


Tangan kiri masih bengkok tak bermaya. Siku pula terasa lenguh selepas enam minggu baru digerakkan. Sedang tangan kanan pula memegang nombor giliran 3086. Saya di HTAA lagi untuk sekian kalinya patuh menghadiri temujanji bersama doktor. Pergelangan tangan kiri masih nampak bengkak sedikit dan agak bengkok jadinya. Saya cuba gerak-gerakkan pergelangan dalam pusingan. Sakit. "Moga-moga hari ni dah tak payah pakai casing" bisik hati.

Duduk di hadapan saya dan Huda, sebuah keluarga bahagia sedang bermain bersama. Si Ayah bermain dengan anak sulung lelakinya, Si Ibu pula melayan anak perempuan yang berusia 6 bulan agaknya. Sayu pula tetiba terasa.

"Akak kena sihat, kalau tangan tu sakit, macam mana nak pegang baby nanti" kata-kata Ummi terngiang di telinga. Sayu hati. Dengan keadaan saya begini, angkat kuali pun terasa sakitnya. Oh Allah.. 

Suami. Anak. Satu episod kehidupan bagi mereka yang terpilih dengan izinNya. Kedua-duanya adalah modal pahala kita di dunia. Mungkin ramai yang pandang perkahwinan sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Tetapi ramai juga yang lupa modal pahala terbesar seorang anak juga adalah ibu dan bapa.

Sebelum kita menginginkan seorang pasangan, mendambakan anak, molek rasanya perbaiki diri terlebih dahulu. Semua mahukan suami yang beriman dan bertaqwa, maka, jadilah kamu seorang yang beriman dan bertaqwa. Kita mahukan anak yang soleh solehah, sudahkah kita menjadi anak yang menjadi penyejuk mata ibu bapa?

Perkahwinan adalah sebuah tanggungjawab. Didiklah diri menjadi manusia yang benar-benar bertanggungjawab. Bertanggungjawab pada diri sendiri adalah langkah permulaan yang sangat penting.

Budaya perkahwinan para remaja yang semakin pesat progresnya disambut dengan pelbagai reaksi. Namun, pada akhirnya, semua kembali kepada diri remaja tersebut sama ada mereka berjaya membuktikan diri mereka mampu berdikari dan menjadi seorang yang matang lagi bertanggungjawab.

wallahu a'lam.

# kakak senior ramai dah membina masjid, ramai juga yang sedang mengandungkan bakal mujahid..

subhanallah.. indah.. =')



video ni sangat comel dan berinformatif.. mereka yang baru melahirkan anak, mungkin video ini akan membantu.. :) 


19 November 2012

Ketagihan

Bismillahi as solatu was salamu 3ala Rasoulillah

Post ini telah ditulis khas buat ahli PMMM a.k.a mahasiswa Maghribi. Tapi saya yakin sahabat sekalian boleh relate sedikit sebanyak simptomnya pada diri masing-masing.

Ini jihad kita melawan nafsu, sedikit demi sedikit moga terus istiqamah.. Selamat Mujahadah!

Internet Addiction Disorder
(Gangguan Ketagihan Internet)



Adakah anda salah seorang daripada pesakit penyakit di atas? 
Mari kita jalankan soal selidik seperti di bawah.
Pilih Ya atau Tidak bagi setiap soalan. 
  • Adakah anda terlalu asyik menggunakan Internet? (sehinggakan sering menanti sambil terbayang nikmatnya waktu online seterusnya )
  • Adakah anda merasa keperluan untuk menggunakan Internet bertambah semata-mata untuk memenuhi kepuasan hati?
  • Adakah anda sering gagal dalam setiap kali cubaan menghentikan, mengurangkan dan mengawal penggunaan ?
  • Adakah anda menjadi resah, penat, tidak keruan, tertekan, dan gelisah setiap kali anda cuba mengawal atau menghentikan penggunaan Internet?
  • Adakah anda online melebihi waktu yang anda inginkan pada awalnya?
  • Pernahkah anda gagal dalam sesuatu perkara seperti dalam melaksanakan kerja, belajar dan  melepaskan peluang yang lain disebabkan penggunaan Internet yang berlebihan?
  • Pernahkah anda mengelak dan memberi alasan kepada ahli keluarga anda mahupun teman semata-mata untuk memenuhi kepuasan menggunakan Internet?
  • Adakah anda menggunakan Internet untuk lari daripada masalah, melepaskan tekanan, dan menenangkan diri anda mood yang tidak stabil?

Jikalau jawapan YA yang anda berikan melebihi 4 kali, 
malangnya anda telah dijangkiti penyakit IAD atau Internet Addiction Disorder yang melampau.
Simptom berikut pula merupakan Gangguan Ketagihan Internet yang telah ditunjukkan oleh 
mahasiswa-mahasiswi Malaysia di Maghribi.

  • Simptom 1 : Menghabiskan sebahagian besar masa menghadap laptop daripada menghadap kitab.
  • Simptom2: Mengupdate drama bersiri dan movie-movie terkini  Melayu, English, Korea, Jepun mahupun Thailand dan Hindustan.
  • Simptom 3 :  Berpisah daripada laptop mahupun tidak dapat online ketika bermusafir ke wilayah lain merupakan taboo untuk mereka.
  • Simptom 4 : Waktu beramah mesra dengan ahli rumah dihadkan kepada waktu ketika line Internet terputus atau lambat, waktu makan, dan waktu solat berjemaah serta usrah sahaja(jikalau aktiviti tersebut masih dijalankan bersama).
  • Simptom 5 : Ketibaan tetamu di rumah tidak disedari dan tidak terlayan kerana asyik menghadap laptop sambil telinga dipasang headphone yang melekap.
  • Simptom 6 : Pencarian maklumat untuk menyiapkan urudh (assignment) dan kerja rumah yang diberikan pensyarah lebih tertumpu kepada penggunaan Internet (COPY-PASTE) berbanding penggunaan perpustakan.
  • Simptom 7 : Kebolehan menaip menggunakan keyboard laptop menjadi lebih laju,pantas dan efisyen dekkerapnya menaip perbualan chat di Yahoo Messenger, MSN dan lain-lain.
  • Simptom 8 : Pergaulan dengan masyarakat sekeliling dan kawan-kawan Arab sekuliah dihadkan mahupun dihapuskan secara total untuk lebih memberi ruang kepada masa beronline.
  • Simptom 9 : Kebolehan menulis dan membaca teks Bahasa Arab masih lemah kerana masa lebih diluangkan dengan pembacaan blog, cerpen, novel bersiri mahupun fiksyen dalam Bahasa Malaysia dan English dan aktiviti beronline yang lain.
  • Simptom 10 : Mengantuk dan tidak fokus di dewan kuliah kerana berjaga malam untuk menonton cerita, berbual di YM, bermain game, dan lain-lain perkara yang tidak bermanfaat untuk mereka.
  • Simptom 11 : Rumah ahli persatuan PMMM tidak ubah seperti sebuah Cyber Cafe yang besar dilengkapi ruang tamu, bilik tidur, tandas dan dapur 

Anda tersengih bersendirian?  

Siapa makan oren mesti dia terasa masam manisnya bukan?
Elakkan diri anda daripada menyesal di kemudian hari. Bendunglah penyakit ini dengan bersungguh-sungguh. Setiap saat dan minit yang berlalu merupakan sejarah yang telah kita cipta. Selangkah kehadapan tidak akan sama dengan selangkah ke belakang, kerana kedua-duanya merupakan sejarah yang berbeza. 

Sepanjang keberadaan kita di bumi Maghribi ini menuntut ilmu, ciptakanlah sejarah manis melalui pengalaman yang berharga yang dapat anda perolehi di sini. Setiap usaha kita dan titik peluh dalam mengejar ilmu itu saksinya adalah satu. Dialah yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui. Dia jugalah yang akan menghitung setiap amal yang kita lakukan di dunia ini.

~وقل رب زدني علما~

17 November 2012

Paranoid.

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah..

Tarik nafas panjang-panjang. Teruskan menaip husna. Terus dan jangan berhenti.

Assalamualaikum semua.. dah lama kan saya tak menulis?
Incha Allah, pos kali ini saya ingin berkongsi sebuah kisah.

Kisah Paranoid Seorang Muallimah.

Pada tanggal 3 Oktober 2012, saya masih ingat hari bersejarah tersebut hari Rabu. Muallimah Husna segak berabaya hitam ke sekolah (saya lah tu). Macam hari-hari sebelumnya, rutin harian seorang muallimah berlalu  seperti biasa. 

Hari itu saya rasa agak mesra rakyat terlebih pula. Usai solat Zohor dalam perjalanan pulang dari Masjid selepas berjemaah dengan anak-anak Irsyad untuk ke Bilik Guru, saya dikerumuni anak-anak 3 Umar sama-sama berjalan pulang ke kelas. Salman, ditolak pelajar darjah 4 cedera. Kawan-kawannya sibuk melaporkan kejadian macam saksi yang mahu menegakkan kebenaran. Saya ada kelas Akidah dengan mereka. Masih ada dua masa berbaki sebelum tamat sekolah pukul tiga petang.

Oh ya, pada hari yang sama juga, saya telah merawat lebih tiga orang pelajar yang datang ke Bilik Guru dengan macam-macam lagi sakitnya. Ya, sekali anda menjadi seorang guru, nak-nak lagi Guru Kelas sesungguhnya anda telah dinobatkan dalam masa yang sama menjadi seorang Jururawat, Tukang Sapu, Pereka Dalaman dan Pakar Kaunseling. Pengalaman..

Menjadi seorang muallimah(guru) yang baru sahaja bekerja selama sebulan. Saya masih mentah dalam menangani masalah pelajar. Saya masih terlalu Ideal. Mahukan kesempurnaan, perubahan dalam setiap perkara yang kita lakukan. Terlalu Optimis sehingga menjadi terlalu Perfectionist. Dah mula boleh agak ke mana jalan cerita ini akan pergi? wink-wink ;)

Alkisahnya, ada kisah chenta dalam kalangan anak-anak darjah tiga. Kebetulan, saya mengajar semua kelas darjah tiga. Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Makanya, saya boleh baca gerak-geri pelajar. Sambil-sambil bergosip dengan mereka, bocorlah jua maklumat mereka yang berutus-utus surat cinta. Terpengaruh dengan lagu-lagu chenta Najwa Latif dan Ainan Tasneem agaknya. Mereka sangat berani dalam menyatakan hasrat hati jiwa dan raga. Oh!

Hendak dipendekkan cerita,saya dapat laporan daripada guru lain, anak-anak dara kelas saya sibuk berutus surat dengan anak teruna kelas lain. Saya terasa sangat protective dan tak dapat menerima pada mulanya bagaikan seorang ibu yang tak mahu anak daranya berperilaku sebegitu rupa. Terasa tak masuk akal, kecik-kecik dah pandai bermain surat. Mungkin bagi sesetengah orang akan berkata, ''alahai comelnya lahh dah pandai main surat", namun saya yang tak cool ini gagal nampak apa pun yang comel daripada perbuatan tersebut. Malah, saya rasa tersangat tidak selesa.

Tetapi, apabila perutusan surat berlaku di depan mata saya, sewaktu saya sedang mengajar, dalam masa yang sama mereka langsung tak mengendahkan apa yang saya cuba ajarkan di hadapan, saya terus mengambil langkah. Geram memang geram tapi saya tak mahu buat sesuatu yang mengaibkan mereka, mata saya terpaku ke arah banat (budak perempuan) yang sibuk menulis surat, dan berjalan laju merampas surat tanpa sebarang kata. Saya simpan surat-surat tersebut di bawah buku PnP dan terus mengajar seperti biasa. 

" Kelas, muallimah nak antum bayangkan sebuah pokok yang tinggi penuh dengan epal-epal yang ranum." saya mencelah lalu saya melukis sebatang pokok dan buah-buah epal di papan putih.
"Banat, muallimah nak kamu jadi epal-epal yang tinggi, mahal, susah nak dicapai, bukan macam epal-epal yang jatuh kat bawah tanah dah busuk. Walad pun sama, kena tolong banat, muallimah tak nak lah dengar benda yang bukan-bukan, main-main surat, muallimah pun tak pernah ada boyfriend taw" bebel saya.

Ah, saya pasti mereka agak kurang faham dengan penjelasan saya. Tapi saya harap mereka rasa apa yang saya cuba sampaikan. Oh Allah.. Waktu itu, Syafaatullah dan Taha seronok bergurau sampai tak sengaja terkoyakkan kertas edaran saya hari itu. Saya keluar kelas dan ambil kertas A4 kosong dan pulang untuk tulis semula soalan ulangkaji Aqidah. Saya terus sambung mengajar dan saya baru teringat yang saya masih belum mengedarkan jadual peperiksaan untuk minggu hadapan. Terus saya minta izin lagi untuk keluar.

Dalam Bilik Guru, saya tersempak dengan Muallimah Jameelah,
"Muallimah, kita ni berbesan lah nampaknya, budak-budak ni main-main surat lagi" kata saya dengan nada berseloroh.

 "Ye ker? Siapa yang mula dulu? Muallimah rasa banat yang selalunya suka mulakan dulu" kata muallimah. Terasa sedikit tertampar waktu itu.

"Oh macam tu ya, tapi saya dah rampas surat-surat tu hari ini."

"Surat...!" saya terjerit kecil, terus saya teringat surat-surat yang saya tinggalkan dalam kelas. Emosi mengalahkan rasional, paranoid menjelma. Saya terus bangkit dari kerusi dan berlari anak dalam abaya keluar dari Bilik Guru yang perlukan kami menanggalkan kasut sebelum masuk ke bilik itu. Tetiba saya mula terbang melayang.

Saat saya melangkah keluar, saya nampak dunia terus melaju pergi dan saya tergelincir ke kiri dengan ayunya bak seorang puteri. Lebih kurang macam gambar ini.. 


Rasa malu terus menghempap! Ya Allah,saya nak bangun cepat-cepat. Alhamdulillah, waktu tu kelas sedang berlangsung maka tak ramai yang menjadi saksi kejadian yang agak memalukan tersebut. Saya terus bingkas bangun sambil mengawal keayuan raut wajah menahan kesakitan tangan kiri saya yang tiba-tiba terasa kebas. Saya bergegas ke kelas, memberi alasan kepada rakan guru yang menjadi saksi "Saya ok je" sambil  mengangguk-angguk tersengih tawar.

Sampai di kelas, saya hulurkan jadual yang ada di tangan kanan dan terus duduk. Kesakitan yang amat mula terasa. Tapi saya masih menggelabah mencari surat yang dirampas tadi. Puas saya bertanya mereka, rupa-rupanya surat itu masih tersimpan baik. Saya mula perasan yang jari saya tak dapat digerakkan. Saya menunduk ke bawah melihat tangan sambil cuba mengurut. Budak-budak mula bising " Jangan bisinglah, muallimah tengah menangis tu", "Weyh, muallimah husna merajuk lahh..", "Muallimah, kenapa ni?". mereka bertanya.

Kepala diangkat sambil tersenyum, "Tak ada apa-apalah, muallimah sakit sikit je, tadi muallimah terjatuh, dah semua orang duduk ya, siapa dah siap latihan.. hantar". Saat itu, dua orang budak kacak lagi bertuah, Syafaatullah dan Taha terus bergurau, dan akhirnya kertas latihan yang saya tulis buat kali kedua tadi, koyak lagi. Ya Allah, saya agak tensyen waktu tu, dengan tidak semenanya, Muallimah Husna menjadi Super Saiyan.

Saya jerkah mereka dimulai dengan "Awak ingat murah ke kertas yang muallimah bagi tu??.............. "
Tanpa saya sedari, air mata saya mulai berderai. Dengan penuh syahdunya saya menasihati mereka dengan air mata berjujur (agaknya sebab saya rasa sakit kot). Saya selitkan lagi tentang surat-surat tadi, dan akhirnya saya meminta maaf kepada mereka dan minta izin untuk keluar kelas. Sebabnya, saya memang tak dapat tahan rasa sakit. Mujur hanya berbaki 10 minit sebelum tamat kelas.

Petang itu, saya ditahan di wad. Keesokan harinya, saya tidak hadir ke sekolah. Maha Suci Tuhan, dengan hanya tergelincir, tangan saya boleh patah dan teralih tulang Radius dari pergelangan tangan. 




Sewaktu ditahan di wad, pelbagai soalan menerpa "Paranoid sangatkah aku?"satu suara berbisik. Satu suara lagi membalas, "Sepatutnya aku lebih percayakan mereka, tak perlu risau tentang surat tu".  "Biarlah mereka belajar daripada kehidupan, belajar daripada kesilapan, kadang-kadang ada benda yang boleh disuluhkan, kadang-kadang ada perkara yang perlu kita biarkan" bisik hati lagi. 

Salah ke apa yang aku cuba buat?. Saya cuma tak nak mereka ambil ringan bab ikhtilat. Tapi mungkin cara saya salah. Saya masih baru bersama mereka. Saya tak layak untuk menghakimi tanpa betul-betul mendekati. Dan akhirnya, saya menerima hakikat bahawa ini adalah hukuman dan peringatan buat diri saya. Manakan tahu, mungkin saya dah terguriskan hati ibu bapa saya. Manakan tahu, ini juga balasan atas dosa-dosa saya yang lalu. Mungkin jua ini peringatan untuk mereka yang disekeliling saya.

Yang pasti, simen ini mengajar saya untuk lebih bersyukur atas nikmatNya. Terasa kehilangan nikmat kesempurnaan sewaktu menadah tangan untuk berdoa, mengangkat takbir untuk bersolat dan dalam pekerjaan lain. 19 haribulan ini saya akan mula buka simen selepas enam minggu bertangan batu.

Apa moral dan pengajaran daripada post ini? Saya pun tak dapat nak highlightkan yang mana satu. Sebab sekarang ini pun saya masih struggle dengan diri sendiri cuba menjadi yang lebih baik hari demi hari.


sekalipun kita terjelopok dalam kumbahan dosa..

maksiat mengotori jiwa, mengkaburkan mata..


terasa indah walhal tertipu dalam kebahagiaan dunia..


ingatlah.. hujan hidayah dari Allah akan sentiasa menyapa..


hanya tinggal kita mahu menyental kotoran itu atau dibiarkan sahaja..




Saya jadi sangat malu dengan diri.  Tatkala, saudara kita di sana sedang bermati-mati mepertahankan diri.

Saya tersangat lena bermimpi membazirkan waktu 'menggemukkan' diri.



Moga Allah menerima taubat kita selalu dan selalu mengirimkan hidayahnya tanpa jemu. Transformasikanlah (hijrah) diri kita menjadi manusia yang lebih baik hari demi hari. Sebab kita tak tahu, bila kita akan mati. Kita mahu syahid sebagai pengakhiran bukan? T____T



# Allahu Akbar