16 February 2015

Muda Sentiasa





Bismillah as solatu was salaamu a'la Rasulillah..


Sensatif. Ego. Dua perkara yang semakin bercambah dalam diri. Dua perasaan yang pelik ini semakin membesar tanpa disedari. Anda boleh teka mengapa perasaan ini hadir?.


Ya, kerana kita semakin menua. Oh, saya yang semakin berusia. 


Aku jadi penat.
Berkawan dengan Dewasa yang tenat.

Berhidung tinggi merasa hebat.
"Terima kasih" pula ditutur pelat.
Ada yang tak kena terus diumpat.
Marahnya cepat tapi redanya lambat.
Memohon maaf itu teramat berat.
Bila memaafkan masih ada ralat.
Hinggakan aku turut terjerat.
Ajarkan aku menjadi mereka,
Yang sabar dan betul betul dewasa.

Puisi ini saya karang selepas suatu perasaan geram timbul dalam diri. Mahu sahaja saya pos terus sebaik tulisan ini siap ditaip. Tapi saya privatekan dahulu. Rasionalkan pemikiran, "Andai aku terus post tulisan ini, pasti sahaja ada yang terasa dengan kata kata ini". 

Bila difikirkan semula emosi yang mula menjadi banyak dalam diri seorang Dewasa hanyalah emosi yang negatif. Nama sahaja Dewasa tetapi tindakannya belum menggambarkan bahawa dia benar-benar dewasa. Malah terlalu kebudak-budakan. 

Samada anda yang telah tersinggung, atau anda sendiri yang sedar bahawa anda semakin mudah tersinggung. Begitulah gambarannya yang saya cuba sampaikan di dalam kata-kata di atas. 

Mungkin sahaja kita boleh tersinggung dek kerana ada junior yang telah lupa untuk memberi salam menegur kita di tepi jalan. Walhal, mungkin dia benar-benar tidak perasan akan kehadiran kita. Tapi kita sudah pulang dengan hati yang berang. "Kenapa pula dia tak tegur aku? Takkan tak kenal kot?".

Urutlah dada yang sedang sempit itu agar tidak semput.

Bukankah Rasulullah mengajar kita untuk berlumba-lumba memberi salam. Jadi, kenapa perlu kita tunggu orang yang lebih muda itu untuk menegur kita lantas mengambil pahala memberi salam. Rebutlah kebaikan yang terbentang. Ketepikan ego anda yang tidak berguna itu. Haishh.

Boleh jadi juga, kita marah akan pekerja birokrasi yang seakan tidak bersungguh dalam menjalankan tugas mereka. Semarah marah kita, mereka boleh pula buat-buat lupa, buat buat sibuk dengan minum paginya, membuatkan kerja kita terbantut.

Tenanglah wahai diri. Pandang sahaja dengan kaca mata hikmah.

Mungkin ada bahagian dosa kita yang membuatkan kerja kita tidak dipermudahkan. Mungkin juga mereka benar-benar bermasalah, didoakan supaya mereka cepat-cepat berubah.

Pada akhirnya, semuanya kembali kepada Allah. Sebagaimana hubungan kita dengan Allah, begitulah hubungan kita dengan manusia. Baik tautannya, baik juga balasannya.

Lap peluh..

Istighfar. Muhasabah. Banyakkan bersedekah. Moga yang susah akan akhirnya jadi mudah.

Dah tu apa kaitannya dengan muda sentiasa Cik Husna oii?


Maksudnya, banyakkanlah bersabar. Biar muda sentiasa kerana otot muka kita tidak dikerah untuk mengekspresikan emosi marah, geram mahupun sedih.

Senyumlah.

06 September 2014

Bantu aku



Sekuat mana seorang wanita itu menahan hatinya daripada terjatuh buat sekian kalinya. Dia pasti akan kalah dengan rasa jiwa. Jiwa yang tidak dituntun dengan bacaan kalam Pencipta, jiwa yang kontang daripada zikir akan Tuhannya, jiwa yang kedekut rasa cinta pada Rasulnya.

Masakan jiwa itu mampu menahan hati daripada berterus terusan kuat menghadapi dunia. Sedang jiwanya itu sebegitu rupa.

Maafkan saya.

Saya juga mahu semulia Fatimah, saya mahu jadi sebaik baik wanita yang tidak memandang apatah lagi dipandang. Namun saya hanya manusia biasa.

Tolong bantu saya. Saya juga mahu menjadi wanita yang tinggi, letaknya di puncak yang sukar digapai. Namun saya hanya wanita biasa.

Selalu saya malu menjadi diri. Apakah pernah ada rasa malu dalam diri?

Pada akhirnya kepada siapa kita mahu tonjolkan diri kita?

Sembahkan hatimu pada Pencipta. Kelak Dia akan hadiahkan hatimu pada yang selayaknya.

Jatuhkan hatimu pada cinta yang kekal selamanya. Kelak Dia akan berikan kamu cinta ke syurga.

Sudah sudahlah kamu membahagiakan manusia. Sudah sudahlah kamu memuaskan hati mereka.

Cukup cukuplah dengan usaha menawan mereka. Mulakan dengan menawan diri kamu dan ikat cinta pada Tuhanmu dahulu.

Bukan saya mahu menidakkan rasa fitrah itu. Namun, tuntunlah hati itu, rasa itu, fitrah itu dengan mendekatkan diri pada Yang Memegang Hati itu,

Kamu sedang mengisi jiwa kosong itu dengan ketawa senda, lagu bahagia, namun tetap tidak berjaya.

Kerna kamu telah tersalah memilih. Hati itu terasa makin pedih.

Kembalilah wahai diri. Allah sedang menunggumu, Allah sedang menanti rintihan kamu. Merayulah padaNya. Pinta, rayu, adu.


22 May 2014

Harga Sebuah Jiwa





Harga sebuah jiwa tertakluk pada masa yang digunakannya.
Manusia akan sentiasa terlibat dalam jual beli.
Masa akan jadi wangnya.
Semua jiwa diberi 24 jam yang sama.
Kita akan terus membeli dan membeli tanpa kita sedar sudah terlalu banyak 'wang' yang terbazir.
Kita terlalu banyak membeli.
Tidak melaburkan.
Kita terlalu cepat menghulur wang.
Tanpa sedar kita sudah tersalah membeli.
Nampak orang mewah dengan keseronokan.
Kita teruja sama. Walhal seronok itu sementara.
Nampak orang susah dengan kebaikan.
Banyak 'wang'nya bukan untuk dirinya. Tapi untuk kebaikan orang lain.
Tidak pula kita teruja menjadi sepertinya.
Kerana dia punya sedikit wang sahaja untuk dirinya.
Wangnya yang sedikit itu juga dia laburkan untuk Tuhannya.
Pada zahirnya dia tampak susah, lelah, banyak wangnya habis. Tapi hakikatnya dia bakal bahagia di syurga.
Kerana dia sudah laburkan wangnya ke sana.
Dia sedar dunia ini sementara.
Sudah dia siap siap bina istana bertemankan bidadari jelita.
Kerana dia ada apa yang tiada pada kita. Keberkatan wangnya.
Ya. Keberkatan dalam masa.
Dia tidak leka. Dia tidak lena.
Dia tidak terpedaya. Dia tidak terpesona.
Dengan dunia.
Dia sudah tekad. Dia sudah nekad.
Dia sudah terpikat. Dia sudah terikat.
Dengan janji Syurga buat mereka yang menjual dirinya pada jalan Allah.
Kita tak pernah terlambat. Berbuat baik itu tidak bertempat.
Pilihlah wahai kamu menjadi insan yang hebat.
Kelak keringat itu tidak akan kamu ingat.
Berkat sabar itu syurga manisnya teramat.
Sampai terlupa kita pahitnya penat.

23 April 2014

أغنية صوفية : الحبيب المصطفى







الحبيب المصطفى
مولاي صلي وسلم دائماً أبدا على        حبيبك خير الخلق كلهم

يا رب صلي على محمد             وعلى سادتنا وصحبه الكرم
محمد سيد الكونين والثقلي ن      والفريقين من عرب ومن عجمِ
نبينا الآمرُ الناهي فلا أحدٌ       أبر في قولِ لا منه ولا نعم
هو الحبيب الذي ترجى شفاعته        لكل هولٍ من الأهوال مقتحم
دعا إلى الله فالمستمسكون به   مستمسكون بحبلٍ غير منفصم
اللّـهـمّ صـلّ علـى المصطـفى      حـبيبـنا محمّـد عليه السّـلام
هم بالنّـبي واسأله كشـف الهموم        بالآل و الصّـحب الهداة النّـجوم
ولـذ بـه يا صـاح تحيى سعـيد     وارج الـعطا منهم تنـل ما تروم
الله
لا إلـــــه إلاّ اللّــــــه لا إلـــــه إلاّ اللّــــــه

صاح فاغنم المعاشا        كم ميْت أتاهم عاشا
حاشا أن يخيب حاشا         من أتى بصدق النية
جدّ سيرا للمناز              وانتهج نهج الأوائل
لا تصغ لقول عاذل                   إنما الإصغا بلية
أهلَ حزبِ الديان                    حارَ العقلُ منّي
إني هائم ولهان                   غائبٌ عن أبني
كنا وأما الآن                  تهنا عن الكونِ
لا جهة لا مكان               ندري فيها وطني
لا فضا لا أركان             حيثُ نضَع بدتي
حالي مثلي حيران               فيما وقع مني

.Ada sahabat minta carikan lirik qasidah di atas
.Katanya dia tak faham sebab dalam bahasa darijah
.Rupanya qasidah ini memang digabungkan daripada pelbagai qasidah dan syair yang lain
.Tapi inilah bunyinya suara suara Maghribi
.Dalam azannya, dalam tilawahnya, dalam qasidahnya. Rindu 

.Terima kasih buat sahabat yang mengingatkan saya pada Maghrib
.Moga Allah permudahkan urusan kamu

21 April 2014

Sebuah kelahiran





Sebuah angan angan yang belum terealisasi oleh diri memaksa-maksa seluruh fisik untuk terus memikirkan tentangnya. Bukan hanya akal yang penuh dengan soalan tetapi jiwa menjadi runtun terlalu cemburu akan mereka yang sudah dapat menggenggam angan angan mereka itu.

Hela nafas berat.

Belum cukup keyakinan untuk terus menulis. Membukukan segala pengalaman yang dikongsikan bersama perlu pada satu tajuk yang menarik. Cukup untuk menggambarkan betapa segala isinya itu dapat memberi manfaat kepada mereka.

Adakah saya cukup bersedia? Adakah cerita kita dapat diterima?

Apakah arah tuju penulisan saya?

Mampukah ianya terlaksana?

Lihat, belum lagi langkah dibuat terus terduduk langsung memegang lutut. Terasa lemah longlai dengan segala asakan mainan jiwa.

Biarkan apa pun keputusannya, yang penting kita sudah usaha. Saya tahu.

Tapi terasa perlu ada satu tolakan sokongan segenap penjuru untuk saya dapat kembali bangun dari terduduk sahaja memikirkan yang bukan-bukan.

Allah..

***
Apa pendapat sahabat sekalian andai saya bukukan siri pengalaman saya menjadi sebuah buku? :)


05 April 2014

Selamatkan





Selamatkan aku daripada terjunam
Gaung putus asa dihadapanku

Selamatkan aku daripada terlemas
Kakiku kejang di hambat keliru

Selamatkan aku daripada tersesat
Kerap mataku tersalah melihat

Selamatkan aku daripada terbelah
Pedang masa tak perlu diasah tajam

Selamatkan aku daripada terbakar
Tanah akan hangus di tangan api

Selamatkan aku daripada diriku
Pantul di cermin tidak ku kenal

Selamatkan aku daripada tersungkur
Terus tersembam tidak bangkit

Tiada siapa akan peduli
Saat peluh di tengkuk

Tiada siapa akan peduli
Saat benang seurat tidak terlihat

Tiada siapa akan peduli
Saat buku di baca

Hanya satu
Hanya satu

Selamatkan aku daripada tersujud
Banyak yang ku puja dariMu ku sembah

Selamatkan aku daripada terkoyak
Iman jiwa senipis kulit bawang

Pegang aku
Aku merayu

Asal yang mencipta syurga dan dunia
Tetap ada dengan ku sentiasa bersama