08 March 2021

Pandang Hadapan

بسم الله الصلاة والسلام على رسول الله

Assalamualaikum wbt, 

Buat kalian yang Allah muliakan dengan rasa malu yang tinggi. 
Buat kalian yang Allah pelihara dalam lindunganNya.

Saat Allah sudah menjawab doa kalian atas istikharah yang dikerjakan, turutlah tanda-tanda itu. Akur.
Pilihan itu akhirnya ada di tangan kamu. Usahlah berjalan ke hadapan dengan kepalamu teleng ke belakang. Pasti kamu akan tersadung lagi dan lagi. Apabila kamu mahu bergerak ke hadapan, teruskan saja berjalan dengan mata, kepala dan badan yang fokus ke hadapan. Bawa sekali hati pergi sekali. 

Semak maksud istikharah. Bukankah Allah sudah pilihkan buat kamu. Yakin. 

Allah Maha Mengetahui.

03 March 2021

Penggunaan Medical Card, Sebaceous Cyst dan Minor Surgery musim Covid 19.

Panjang bukan tajuknya? Panjang juga ceritanya, mari bersabar dengan saya.

Ini adalah perkongsian pengalaman saya menjalani pembedahan minor membuang cyst di KPJ Pahang pada fasa PKPB dan PKPP.

Semoga bermanfaat!

1. Saya mempunyai cyst yang semakin membesar, memerah dan sakitnya mula terasa pada musim PKP ini. Nama cyst nya sebaceous cyst di belakang badan. Sakitnya sehingga saya tak dapat baring dan tidur dengan baik.

2. Seperti kebanyakan wanita yang lain, saya pilih untuk mencari doktor perempuan (ala-ala Dr Pimple Popper) untuk merawat saya.

3. Saya pergi ke klinik yang menawarkan surgeri kecil. Setelah saya pergi ke dua klinik berbeza, akhirnya saya akur untuk ke hospital besar selepas kedua-dua doktor tidak berani menjalankan operation atas sebab takut pendarahan berlebihan berlaku.

Khamis 11 Jun 2020

1. Maka menapaklah saya pula ke HTAA Kuantan. Namun, apabila tiba di Bahagian Surgeri, soalan pertama yang ditanya doktor bertugas pada waktu tersebut adalah, "Puan miliki medical card?" soalnya.

Saya mengiyakan pertanyaannya. "Jadi, lebih baik Puan ke KPJ atau KMC. Kalau nak juga di HTAA giliran puan mungkin Mac tahun depan" ujarnya. 

"Saya pun pergi hospital swasta untuk rawatan", tergelak doktor meyakinkan saya. 

"Kalau buat di sini pun, bukan dapat doktor pakar kalau di swasta sudah pasti dapat doktor yang berpengalaman".

2. Rupa-rupanya, terlalu ramai pesakit dalam list menunggu untuk dibedah telah tertangguh sejak PKP bermula. Katanya, jika saya mahu juga dirawat di HTAA kemungkinan besar giliran saya pada tahun hadapan.

3. Maka, beliau menasihati saya untuk manfaatkan medical card saya yang belum pernah digunakan sebelum ini.

Fuh, berdebar pula fikir prosedur dan pertama kali masuk hospital swasta.

Jumaat 19 Jun 2020

1. Usai kerja pada pukul 12pm, saya menyerahkan diri ke KPJ Pahang pada pukul 2.00 pm dan bertemu Dr. Mardzuki.

2. Saya bawa bersama surat rujukan dari HTAA dan terus ke aras Surgeri.




3. Medical card Great Eastern adalah opsyen saya sebagai bayaran untuk menerima rawatan.

4. Setelah bertemu dengan Dr Mardzuki, doktor menyatakan saya perlu ditahan di ward untuk membuang cyst tersebut.

5. Saya perlu menjalani ujian darah untuk pengesahan Guarantee Letter dari pihak insurans. Seterusnya, menjalani swab test Covid 19 sebelum dapat menjalani pembedahan.

Maka, pulanglah saya menunggu hari Isnin pula tiba memandangkan hari sudah lewat.

Isnin 22 Jun 2020

1. Saya mengambil ujian darah pada pukul 9.30 am untuk kelulusan GL dan pada pukul 12.07 pm saya menerima panggilan pengesahan untuk masuk bilik.
Insuran saya telah diluluskan. Sebelum itu saya perlu buat swab test baru dapat check in bilik.

2. Swab test Covid 19 di KPJ Pahang hanya dibuat pada pukul 2.00 pm untuk pesakit yang ingin masuk ward juga untuk orang awam yang mahu jalani ujian. Harga ujian adalah RM388.




3. Bayaran ujian ditanggung medical card sekiranya ujian adalah atas arahan KKM. Great Eastern hanya menyediakan RM300 sahaja. Selebihnya perlu di top-up pesakit. Kalau atas arahan hospital? Perlu bayar sendiri.

4. Jam 2.30 pm saya duduk bersama orang-orang yang ingin menjalani test Covid19 di ruang legar Emergency menanti nama dipanggil.

5. Apabila nama saya dipanggil, saya masuk ke dalam sebuah bilik yang didalamnya ada dua pegawai kesihatan berpakaian PPE.

6. Salah seorang pegawai tersebut berhati-hati memasukkan alat ke dalam hidung dan juga tekak untuk mengambil sampel.

Cermat dan sekejap sahaja prosesnya. Tidak perit atau sakit seperti yang diceritakan adik saya yang pulang dari Sabah tempoh hari.

7. Selepas ujian, saya dibawa ke kaunter bayaran. Tapi urusan semuanya akan dibuat sewaktu discharge dan selesai operation.

8. Saya dibawa ke bilik 505 di Ward Selendang. Saya mendapat bilik individu khas untuk saya.

9. Sepatutnya, pembedahan berlaku hari ini tapi saya salah faham maksud Doktor untuk makan kenyang kenyang waktu sarapan. Rupanya doktor maksudkan perlu berpuasa dan tidak makan tengah hari.🤭 Sekurang-kurangnya 6 jam puasa sebelum operation.

7. Pembedahan saya berlaku pada keesokan harinya dan mula berpuasa jam 3 pagi.

Selasa 23 Jun 2020

1. Pukul 8 am nurse datang meminta saya tukar baju biru khas untuk masuk bilik bedah. Barang-barang saya juga disimpan mereka atas faktor keselamatan.




2. Pukul 11 lebih saya ditolak di atas katil ke tempat pembedahan. Sebelum gerak, saya minta maaf dulu sebab saya berat! Sepanjang masa ditolak itu, terbayang scene orang diusung atas katil dalam drama. Terbayang beginikah cara orang mati. Terfikir patutlah Firaun itu angkuh dan bongkak sebab dia tk pernah sakit, pengalaman ini sangat menginsafkan saya sebab ramai yang bantu kita.

3. Dr. Siva memperkenalkan diri sebelum surgeri bermula, beliau adalah pakar bius saya pada hari tersebut.

4. Cecair bius dimasukkan dan saya perlu menghidu gas yang membuat saya pengsan. Selebihnya saya tak sedarkan diri.

5. Terasa sekejap proses berlaku, saya terjaga dengan suara nurse membawa saya pulang ke bilik pada pukul 1.30 pm. Belakang badan saya berasa sakit yang lain dari sebelum ini.

6. Dr Mardzuki datang ke bilik pada jam 5.00 pm untuk memberi laporan. Saya perlu ditahan lagi 2-3 hari untuk Doktor pastikan luka saya bersih dan tiada lagi infection.

Rabu 24 Jun 2020

1. Saya ambil peluang untuk keluar sebentar dari bilik dan pergi ke kereta. Konon-konon ambil barang. Pukul 11 am Dr SIva datang bertanya khabar, adakah saya pening-pening atau mual kesan daripada bius semalam.

2. Tak lama selepas itu, Dr Mardzuki pula datang untuk membersihkan luka saya. 

3. Saya bertanya kepada doktor adakah luka pembedahan sudah boleh dijahit. Khabarnya, luka masih belum boleh dijahit. 



4. Kelas-kelas saya masih berlangsung seperti biasa meskipun ditahan di wad.


Jumaat 26 Jun 2020

1. Test swab saya menunjukkan negatif, kali ini saya diusung ke bilik bedah dengan cara yang berlainan sedikit dari awal pembedahan.

2. Lubang luka ditutup dengan benang saat saya dibius separa sedar.

3. Ditahan lagi untuk Doktor cek tiada air nanah pada luka saya. 

Ahad 28 Jun 2020

1. Saya yang sudah mula kebosanan di hospital akhirnya menerima lawatan daripada rakan-rakan sejabatan. huuu. 





Isnin 29 Jun 2020

1. Setelah 8 hari 7 malam saya akhirnya dibenarkan keluar dari hospital. 

2. Kos rawatan saya dan penginapan serta layanan kelas pertama juga makanan yang sedap dilayan bak VIP semuanya adalah sebanyak RM15 000. Simpanan saya pun tak ada sebanyak amaun tersebut.





3. Akhirnya, saya hanya perlu mengambil resit dan pulang. 

Moral post ini:

Sila jaga pemakanan dan kesihatan. Mohon uruskan stress dan kemurungan dengan baik. Dapatkan bantuan orang yang rapat jika perlu. Kesemuanya, memberi kesan kepada kesihatan kita. Melaburlah mengikut kemampuan untuk medikal kad. Biar sakit kita tak menyusahkan diri dan keluarga. 

Saya bersyukur kerana saya telah melanggan kad medik Great Eastern Takaful sejak mula bekerja pada tahun 2017. 

  • Saya dapat pilih bilik yang menjaga aurat saya dan mempunyai tandas sendiri. 
  • Saya dapat bilik yang selesa untuk saya solat. 
  • Saya dapat layanan yang baik. 
  • Keluarga serta kawan-kawan dapat menziarahi saya dengan mudah. 
  • Saya tak perlu membayar RM15,000 untuk kos rawatan dan penginapan di hospital.
  • Saya dapat RM100 sehari, jadi untuk seminggu saya dapat RM700 daripada pihak Takaful.
  •  Saya juga dapat claim bayaran susulan rawatan berjumpa Doktor sebanyak RM450. 
Meskipun, urusannya agak remeh (biasalah filing) . Saya amat bersyukur dan berpuas hati. 

Sahabat sekalian pasti ada kenalan atau kawan yang menjadi agen Takaful. Dekatilah mereka, tanyakan plan takaful yang bersesuaian dengan bajet kita. Mulakan sekarang, sediakan payung sebelum hujan.





25 May 2020

wildan jannah


sebuah janji tuhan untuk penghuni syurga
Kisah seorang guru yang juga andartu dihantar Tuhan dalam misi mencari syurga dunia.

Allah kabulkan doa saya dalam keadaan yang unik.

Pada tahun Sheikh Muzaffar menjadi angkasawan negara, kisahnya yang sangat menginspirasikan tersbar di dada akhbar dan majalah. Saya pada waktu sangat terinspirasi untuk membaca kisah beliau yang datang daripada keluar yang kesemuanya anak lelaki. Pada waktu saya sangat berhajat untuk melahirkan anak lelaki. Ya, seperti yang anda dapat teka sekarang ini, saya mahukan lima orang anak lelaki. Semakin membesar dan mempunyai pengalaman dengan lelaki lelaki (bukan semuanya) yang kurang bermoral membuatkan saya terlalu ingin membesarkan anak lelaki agar dapat saya didik dengan sempurnanya. Pada hemat saya ketika itu, saya mampu mendidik anak saya agar menjadi lelaki budiman. Keyakinan dan kesungguhan saya pada waktu sangat berkobar-kobar tinggi. Sehinggalah beberapa tahun kemudian, Allah menjawab doa saya dengan caraNya yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Allah Al A'limu Al Hakim.

Sahabat pembaca,
Mari saya pecahkan dua hajat saya pada waktu naif saya seperti yang saya kisahkan sebentar tadi. Pertama, saya mahukan anak-anak lelaki. Semua lelaki. Kedua, secara spesifiknya saya mahukan lima anak lelaki. Allah dan segala rahsia perancangannya telah mengkabulkan doa saya.

Izinkan saya untuk flashback pada tahun 2017, setahun sudah saya menjadi pensyarah sambilan di sebuah kolej tempatan namun tiada tanda-tanda saya akan diserap masuk sebagi pensyarah tetap. Pada waktu itu, saya membuat dua kerja. Siang harinya saya menjadi pensyarah dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang. Pada waktu malam selepas solat maghrib, saya akan bergegas ke Masjid kolej saya untuk mengajar Al Quran pula sehingga jam 10.30 malam. Begitulah rutin saya sebagai freelancer pada waktu itu. Penat. Memang penat tetapi saya dapat tinggal bersama ibu bapa dan dapat menyimpan wang dengan baik ketika itu. Sehinggalah pada suatu hari, ayah menyuruh saya menghadiri sebuah interviu di sebuah sekolah di Melaka.

Saya pun merelakan dan pergi bersama keluarga bermalam dan menghadiri temuduga pada hari Sabtu minggu terakhir Oktober. Isnin nya, saya lantas mendapat panggilan untuk melaporkan diri pada Isnin hadapan kerana saya telah berjaya dalam sesi temuduga tersebut. Seminggu itu jugalah saya dan kecamuk dalam diri berkira-kira mahu tinggalkan Kuantan. Seminggu saya menangis, berkali kali saya istikharah mahukan petunjuk. Adakah ini yang terbaik? Meninggalkan ibu bapa dan pergi berhijrah ke negeri orang untuk bekerja. Pada waktu itu, tugas saya sebagai pensyarah sudah tamat kerana pelajar-pelajar sedang bercuti semester. Namun, tugasan saya sebagai guru Al Quran masih berbaki sebulan pembelajaran.  Dengan berat hati, saya melepaskan semua tanggungjawab saya dengan baik. Saya kembali berjumpa dengan semua rakan sekerja dan meminta maaf atas kekhilafan saya sebelum ini. Saya bertemu dengan semua murid Al Quran dan turut meminta maaf dalam linangan air mata yang tidak berhenti. Saya sendiri keliru mengapa perlu saya menangis tidak henti. Rupanya, Allah ingin  membalas air mata ini dengan sebuah kebahagiaan yang lain.

Perjalanan saya sebagai guru di sebuah sekolah swasta tahfiz ini bukanlah dianyam dengan sutera kebahagiaan, namun disaluti juga dengan tali kepayahan. Kasar dan keras ujian itu berkali-kali membuatkan saya terduduk menangis. Namun, saya mendapat sebuah kepuasan yang sangat di dambakan sebelum ini. Kepuasan mendidik, berkhidmat, memberi tunjuk ajar. kesemuanya saya dapat di Imtiaz.



Kebahagiaan yang disulami air mata turut berganti dengan kebahagiaan yang lain. Setelah 2 tahun berkhidmat bersama wildan jannah, saya mendapat rezeki pulang ke negeri kelahiran saya untuk duduk dekat dengan keluarga pula.

Kali ini, saya yakin ini adalah doa kedua ibu bapa saya pula yang dimakbulkan. Kembalilah saya ke pangkuan mereka pula. Meninggalkan 208 anak murid dengan sebuah perpisahan. Perpisahan yang menautkan kecintaan. Cinta luar biasa yang hanya kami sahaja rasa. Ikhlasnya membawa ke syurga. Hendaknya.


10 August 2018

Syurga kita


Di antara saat saat yang akak sangat merasakan perlunya seorang lelaki adalah

1. Kereta rosak
2. Tak capai barang di tempat tinggi waktu shopping
3. Tak boleh buka jar ketat
4. Tayar pancit

dan keadaan-keadaan yang menyebabkan diri terasa sangat tidak berdaya selaku seorang perempuan. Aduhai. Solusi pertama akak, akak akan hubungi kawan-kawan se'single' yang dapat menemani kedukaan ini bersama. Ya lah kan, tak kan akak nak hubungi kawan-kawan yang sudah berkahwin kan? 

Solusi Kedua, akak pergi sahaja minta  bantuan abang Bangladesh atau terus sahaja ke mekanik kereta. Senang.

Namun jauh di sudut hati nurani kecilku ini, akak tak dapat nafikan betapa terasa seakan loser nya akak. lol. Tak baik kan akak fikir macam tu. 

Sudah sudah.

Akak nak move forward. Jalan terus sahaja! 

Syurga akak buat masa ini bersama ibu bapa dan anak anak didik akak.



Jadi sehabis baik akak usahakan dengan apa yang ada di tangan.

Akak bukan seorang LOSER kerana akak belum berkahwin. Akak perlu bersyukur dan berterima kasih dengan Allah. Allah cukupkan segalanya pada akak. Tinggal sahaja akak optimis dengan takdirnya. Allah tahu waktu yang sesuai akak membina keluarga. Siapa akak untuk mempersoalkan.

Doakan akak ya. 

16 November 2017

BA bersama OsNa #3 : Menyusun ayat

Bismillahi as solatu was salaamu a'la rasoulillah

Baiklah, pada perkongsian kali ini OsNa akan kongsikan salah satu corak soalan PT3 yang selalu ditanya saban tahun iaitu menyusun ayat.

Maka aktiviti bahasa yang agak menarik untuk dibuat di dalam kelas adalah dengan membuat cebisan kertas dan minta pelajar untuk menyusun semula perkataan tersebut menjadi ayat yang sempurna.

Para guru boleh memudahkan pelajar dengan mewarnakan setiap ayat dengan warna yang berbeza seperti ini. sebenarnya memudahkan guru juga


Kemudian, guru gunting setiap ayat mengikut perkataan dan isikan setiap kepingan ke dalam sampul surat seperti ini.

Setiap kumpulan akan menerima sekeping sampul surat didalamnya terbentuk kepingan-kepingan kertas yang akan membina 5 ayat yang berbeza.



Sebelum guru memulakan kelas, guru perlulah menerangkan terlebih dahulu القوالب bagi الجملة الفعلية  dan juga الجملة الاسمية kepada para pelajar.

Guru-guru membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan. Lebih kecil bilangan ahli kumpulan lebih bagus supaya semua pelajar membuat aktiviti bersama.

OsNa telah mewajibkan bagi setiap kumpulan untuk membuat 15 ayat. Maka, pelajar perlu bertukar sampul dengan kumpulan lain setiap kali mereka berjaya menyelesaikan 5 ayat dengan jayanya.

Setiap ayat yang terhasil akan disemak oleh guru dan pelajar akan menulis ayat-ayat tersebut di dalam buku tulis.

OsNa terlupa sungguh untuk mengambil gambar pelajar membuat aktiviti di atas. Tapi saya berani jamin fokus dan tumpuan pelajar dalam mebuat ayat pasti membuatkan mereka


05 November 2017

Jodoh : Spesifik Sepotong Doa

Bismillahi As Solatu Was Salamu A'la Rasulillah

Sebagai seorang yang belum berkahwin pasti sahaja mata akak tertangkap dengan artikel-artikel berkaitan jodoh yang lalu di wall Facebook.

Menariknya artikel yang akak baca adalah berkaitan dengan sepotong doa dalam bentuk permintaan seorang lelaki akan seorang isteri.  Artikel asal boleh dijumpai di link ini.

Perkongsian kali ini lebih berfokus kepada penggunaan ayat yang lebih tepat dalam berdoa untuk kita-kita si perempuan.

Kenapa perlu kita berdoa dengan uslub yang baik?
Bukankah Allah faham sahaja doa kita walaupun berlainan bahasa?
Inikan pula kalau tersalah tatabahasa.

Jangan begitu sahabat.

Sedangkan proposal yang terlalu banyak kesalahan tatabahasa serta uslub ayat yang salah dipulangkan semula Supervisor, inikan pula doa kepada Pencipta yang Maha Agung.

Bukankah lebih molek untuk kita spesifikkan permintaan?

Nah, berikut adalah doa yang akak sudah baiki uslubnya untuk gegadis di luar sana


Dan ya, jangan risau akak tak lupakan juga doa untuk Si Lelaki. Akak bukan rasis okay..
Itu sahaja perkongsian akak untuk kali ini. Bak kata seseorang "Selagi mana Allah detikkan hati kita untuk berdoa, bermakna Allah mahu hadiahkan kita dengan permintaan tersebut."

Doa boleh kita lafazkan dalam apa jua bahasa. Lafazkanlah segala permintaan dengan penuh pengharapan. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Terus berusaha ya wahai sahabat sekalian, saya doakan kalian dikurniakan pasangan yang soleh/solehah bersama hingga ke syurga insha allah.

Selamat beramal!

03 November 2017

BA bersama OsNa #2 : Membuat ayat

Assalamualaikum pembaca yang setia,

OsNa sudah bertukar tempat kerja di sebuah negeri yang jauh dengan famili. Pertama kali kerja di negeri orang terasa juga homesickness mula mendatangi. Maka, untuk mengurangi rasa rindu yang terpendam ini akan saya kongsikan pengajaran yang menarik boleh digunakan untuk mengajar Bahasa Arab.

Jadi minggu ini kami ditugaskan untuk menjaga kelas mengikut jadual anjal tingkatan dan semalam saya mengajar Tingkatan 1 bagi subjek Bahasa Arab bersama guru-guru lain.

Pengalaman di KUIPSAS sangat memberi suatu keyakinan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti bahasa secara kreatif.

Masa yang diberikan adalah sejam sahaja. Antara bahan-bahan mengajar yang diperlukan adalah;

1. Buku teks
2. Kertas Mahjong
3. Marker pen

Aktiviti pengajaran dan pembelajaran

1. Guru membahagikan pelajar kepada kumpulan. Tingkatan satu di sekolah ini ada 72 orang. Maka 9 orang pelajar dibahagikan kepada 8 kumpulan.

2. Setiap kumpulan akan diberikan tajuk yang berbeza mengikut tajuk di dalam buku teks. Bagi silibus tingkatan satu, mereka berkenalan dengan tajuk الاسم dan الفعل.

3. Guru mengarahkan setiap pelajar untuk membina ayat berdasarkan struktur ayat الجملة الفعلية iaitu الفعل + الاسم + الاسم +حرف + الاسم

4. Setiap ayat yang dibentuk pelajar perlu ditunjukkan kepada guru untuk disemak terlebih dahulu sebelum ditulis di atas kertas mahjong.

5. Selesai semakan dibuat, pelajar boleh menulis di atas kertas mahjong dan mula melukis mengikut ayat masing-masing.

6. Jika masa mencukupi guru boleh meminta pelajar untuk membentangkan hasil kerja di hadapan kelas.




Begitulah minggu pertama di IMTIAZ yang masih tenang jadualnya. Doakan saya di tempat baru ya pembaca yang budiman.

04 October 2017

Topeng

Semua orang hidup memakai topeng-topeng berbeza mengikut situasi, tempat dan masa serta khalayak mereka

Ada topeng yang menampakkan kita mulia

Ada topeng yang menampakkan kita bahagia

Namun sebenar-benar wajah adalah saat kita sendirian akhirnya

Wajah itu barangkali indah tanpa noda, boleh jadi juga seburuk buruk rupa

Andai benar buruk wajah sebenar kita, tetaplah untuk menutup wajah itu dan jangan dibuka topeng mulia

Kerana sedang Allah sudah menutup aib kita mengapa perlu ditayang terbuka segala dosa

Mengapa perlu berbangga dengan hinanya dosa?

Kata kamu hipokrit itu suatu dusta

Namun kata aku hipokrit itu satu usaha

Usaha untuk kita menjadi mulia dengan memaksa kita mencari pahala menjauhi dosa

Topeng mulia jua topeng hina kedua-duanya tetap diri kita yang sama

Topeng mana yang kau pilih pada akhirnya penentu syurga dan neraka

16 January 2017

Kerana Aku Pendidik

Kerana aku seorang pendidik,
Tugasku bukan hanya masuk ke kelas,
Duduk dan membaca teks sahaja.

Kerana aku seorang pendidik,
Aku ingin menjadikan setiap pelajar itu,
Saham syurgaku.

Ya, aku masih belum punya anak, apatahlagi seorang suami.

Selain keluarga, merekalah sumber pahala dan ladang amalan buatku.

Kerana aku seorang pendidik,
Aku tidak mampu untuk sekadar mengajar.
Cukup bulan, gaji ku terima, pelajar ku biar.

Kerana aku seorang pendidik,
Aku akan usaha sehingga mereka faham.

Segala yang kurang aku tambah.
Segala yang salah aku perbetul
Segala yang baik aku puji.
Segala yang berubah aku ambil peduli.

Kerana aku seorang pendidik.

13 December 2016

Muka


manusia itu hidupnya tidak pernah tidak bermuka-muka

topengnya banyak dipakai satu pada sesuatu ketika 

boleh jadi yang dipamerkan pada yang lain itu senyuman

sedangkan dirinya dalam kemurungan

boleh jadi yang ditayangkan pada yang lain itu kebaikan

sedangkan dirinya dalam kegelapan

manusia dan segala macam topengnya

sehingga suatu masa manusia tidak lagi upaya bermuka-muka

dibiarkan sahaja satu topeng menghiasi wajahnya

pandangan matanya kosong

bicaranya kosong

manusia itu hidup sekadar menghabiskan waktu

paginya dinanti, malamnya ditunggu

esoknya diulang kembali rutin yang sama

mati tapi masih bernyawa

12 December 2016

BA bersama OsNa #1 : Lirik Lagu

Assalamualaikum,

Apa khabar pembaca sekalian? Memandangkan saya sudah lama tak sentuh blog dan dalam masa yang sama saya sudah mula mengajar Bahasa Arab semula, saya ingin gunakan platform ini untuk tajamkan semula bahasa ketiga saya dengan berkongsi beberapa cara yang seronok untuk belajar Bahasa Arab.

Post ini akan saya letak dibawah tag BA bersama OsNa untuk memudahkan pembaca sekalian mengikuti perjalanan dalam mempelajari bahasa ini.

Amaran: Post ini mungkin tidak sesuai untuk orang yang kurang gemar pendekatan hiburan dalam mempelajari sesuatu bahasa. Mohon tekan butang x di tab atas dan tinggalkan blog dengan aman.

BA bersama OsNa adalah singkatan untuk Bahasa Arab bersama Ostazah Husna. Mengapa Ostazah? Sebutannya sama sahaja. ^^ Sebab sengaja tulis macam ala-ala orang Maroc terpengaruh Perancis dan juga kerana Ostazah ni tak thiqah langsung.

Baiklah dalam bahagian pertama OsNa akan kongsikan cara belajar kemahiran menulis dengan cantik sambil menambah perkataan baru dalam kamus anda.

Oh ya! List perkara wajib ada,
1) Komputer/Handphone dengan internet (wifi sebaiknya)
2) Youtube
3) Buku nota (KHAS)
4) Pen/Pensel

Mengikut tajuk yang saya letakkan di atas, kita akan belajar Bahasa Arab menggunakan kaedah membaca sarikata atau subtitles. Secara khususnya, lirik lagu. Nanti OsNa akan kongsikan beberapa video-video lain dalam siri seterusnya okay. Sekarang kita fokus pada lagu.

Pembaca boleh memilih apa sahaja jenis lagu dengan menaip lagu anda beserta Arabic Sub di Youtube, cth: _____________ Arabic Sub. Memandangkan lagu Melayu masih kurang subbers yang boleh berbahasa Arab, maka pilihlah lagu yang lebih popular seperti genre English/Korea/Jepun.

(Kan, ostazah dah kata cara OsNa tak thiqah langsung.. proceed with cautious)

Okay, anda akan jumpa beberapa buah video yang sama tetapi terjemahannya berbeza. Pilih satu video dan tulis terjemahan yang disediakan.

Sebahagian besar daripada pembaca yang lahir di tahun 90 an, mesti pernah buat perkara yang sama. Lebih-lebih lagi kawan-kawan perempuan yang suka tulis lirik lagu dalam buku. Cuma kali ini dalam Bahasa Arab. ^^

Okay, selepas sudah siap menulis terjemahan, kembali semula ke bahagian search tadi dan tekan video-video yang lain. Mula membaca terjemahan di video tersebut dan bandingkan dengan terjemahan yang pertama tadi. Anda akan dapati, setiap penterjemah menggunakan uslub (gaya) dan mufradat (perkataan) yang berbeza bukan?

Nah, catit tambahan tersebut dalam buku anda sebagai tambahan perkataan yang baru. Seronok kan?

Ini contohnya: 

Video 1: I need your love before I fall  أحتاج حبك قبل أن أقع


Video 2: I need your love before I fall  أحتاج حبك قبل أن أسقط
https://www.youtube.com/watch?v=wxP7fJKVg54




Video 3: I need your love before I fall  أحتاج إلى حبك قبل أن أسقط


ِAnda akan dapati setiap terjemahan menggunakan perkataan dan gaya yang berbeza. Kalau anda kurang pasti apa maksud perkataan tersebut, saya sarankan untuk gunakan kamus AlMaany sebagai rujukan. 


Selain daripada menambah perkataan baru anda dapat praktis membaiki tulisan anda dengan lebih kemas. Sediakan masa yang khas untuk belajar dan tulis dengan tenang. 30 minit sudah memadai. 

Sekian sahaja untuk post pertama. OsNa akan kembali dengan post lain pada Isnin hadapan,
Insha Allah. Selamat mencuba!








14 November 2016

Kembalikan aku

Aku dan keadaan diriku ketika ini sangat merunsingkan.

Saat yang selayaknya aku bertungkus lumus menyiapkan diri untuk mati telah aku sibukkan dengan keseronokan dunia.

Apa sahaja bekal yang aku bawa bertemu Pencipta?

Apa sahaja bekal yang dapat aku tunjukkan pada Muhammad s.a.w?

Sungguh aku rindukan diri aku yang dahulu.

Dahulu yang sangat mulus daripada dosa.

Dahulu yang betul betul fokus mengumpul pahala.

Dahulu yang terus menerus mengejar cita-cita.

Aku kini menjadi manusia yang sekadar mengikut arus apa adanya.

Sudah sejuk bara kecintaan pada suatu yang bernama syurga.

Bilamana aku terlalu asyik dengan dunia yang hina.

Dunia yang hanya sekadarnya........

18 July 2016

Risau

Aku melihat seorang sahabat berkongsi rasa penat dan serabut keadaanya pada waktu itu dengan tekanan kerja. Sedang aku di sini mahukan dirinya berasa tersangat beruntung. Mohon bersyukur, bersabarlah dalam pekerjaan kamu itu!, jerit hati aku yang hanya mampu membaca status tersebut. Sekurang-kurangnya kamu beruntung sudah punya kerja dan gaji. Sudah mampu melepas rasa lega walaupun mungkin sedikit cuma.

Aku pula? Aku juga sedang resah dan risau. Dengan pelbagai peringkat dan manusia yang perlu aku tempuhi demi membukukan ratusan helai kertas bernama tesis. Seakan tidak bergerak kemana-mana. Sehinggakan sesak nafasku dalam penantian.

Hei kau. Bukankah sama situasi kau dengan sahabat tadi?

Bersyukurlah. Sekurang-kurangnya kamu sudah berada di tahap akhir. Sedikit sahaja lagi. Bersabarlah. Kau sudah terlalu beruntung untuk berada di tahap ini. Bakal menggalas sebuah Ijazah Sarjana. Apa lagi yang kau risaukan? Kerja? Hutang pendidikan?

Ah, kau dan segala kerisauan yang kau letakkan di kepala membatasi keyakinan diri pada rezeki yang telah tertulis. Apa sahaja yang berbuah daripada kerisauan itu? Khabarkan pada aku. Mungkin sahaja dapat menjana pendapatan jika dijual sebuah buah hasil tuaian kerisauan itu? Sama sekali tidak bukan.

Fokus pada pembaikan diri. Tambah nilai pada diri. Perbaiki segala kelemahan. Tinggal sahaja kau benar-benar fokus pada yang positif. Optimis dalam perancangan Tuhan. Bukankah telah Dia katakan, Aku pada sangkaan hambaKu. Yakin. Yakin dalam usaha.

Jadi magnet kebaikan. Fikir yang baik baik sahaja. Kau mampu!

Tiada siapa yang dapat membantu diri kamu selagi mana kamu tidak berusaha memulakan perubahan. Mulakanlah dengan bersyukur. Kelak Dia akan tambahkan.

Bentangkan segala kerisauan dalam sujud. Persembahkan segala perancangan dalam istikharah. Senaraikan segala kemahuan dalam hajat. Mohon keampunan dalam taubat. Carilah ketenangan dalam tahajud.

Aku doakan kau kuat Husna. Mendung ini sementara. Meski gelapnya membawa murung. Bukankah hujan itu sedang menyejukkan bumi jiwa yang panas, membawa air subur iman yang kering, menakung semula hati yang dambakan pertolongan Tuhan.

Saat mentari kejayaan muncul dengan pelangi ria. Kau pasti akan terus lupa mendung. Sedang mendung itu membawa kau basah dengan pengharapan dan doa. Mendekatkan engkau dengan Pencipta. Sehingga kau benar-benar basah dalam air mata sujud dalam pengharapan, selagi itu Dia akan membawa lagi awan-awan mendung itu. Berat menanggung air bernama ujian dan dentum guruh kesusahan. Kuat pukulan guruh dan kilat dihantar sehingga kau tertunduklah mengakui kelemahan. Bahawasanya, kau hanya hamba yang mampu merancang dan berusaha sehabis tenaga. Selebihnya itu, serahkan pada Sang Rabb.

Cukuplah berselimut saat hujan turun. Pergi capai kaki payung itu dan mula berjalan. Harungi segala hujan ke arah mentari di sebalik gunung itu.


25 May 2016

Hiduplah

Assalamualaikum awak yang sedang membaca,

Saat yang paling indah dalam merasakan makna 'hidup' bagi saya adalah saat saya berdepan teguh di hadapan masalah. Saat itu saya rasa benar-benar hidup. Saya tidak lari ke dalam gua escapisme ciptaan saya. Duduk diam memilih untuk tidak berbuat apa apa. Malah, saya lebih menolak diri untuk menerima segala permasalahan dan menghadap segala kritikan dengan matang.

Suatu perasaan yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata, apatah lagi dalam bentuk penulisan.

Apa yang pasti, saya mohon awak yang sedang membaca ini untuk terus kuat memecahkan tembok yang dicipta minda sendiri. Tembok yang menghalang awak untuk mara lebih jauh ke hadapan.

Awak adalah seorang insan yang hebat. Usah bandingkan diri dengan orang lain. Kembara hidup kita berbeza. Maknailah hidup dengan sebaiknya tanpa penyesalan.

Sesekali menginap dalam gua escapisme itu boleh. Cuma jangan terlalu lama. Takut sejuknya gua itu mereputkan tulang muda dan membekukan minda sejahtera kita.

Jalan terus!

06 May 2016

Kotak 30kg




Bebelan Jumaat
Hari ini akak sebilik yang baik hati menemani saya ke pejabat pos.
Berat juga kotak yang kami angkat bersama. Ditimbang rupanya mencecah 30kg walaupun hanya dipenuhi kain.
Terkulat-kulat dua gadis mengangkat kotak sebesar kotak TV masuk ke pejabat pos.
***
Kak Tikah: Husna, akak serius tak faham. Abang tadi tegur je. "Boleh ke angkat tu?"
Kenapa tak tolong terus?
Masuk-masuk pulak abang pekerja pun tengok je. Serius tak faham.
Husna: Bukan budaya kita kak. Saya dah tawar hati lama dah. Kalau di negara Arab dan Eropah dah berlari tolong angkat.
Kak Tikah: Akak nampak juga ada mata-mata yang pandang nak tolong. Tapi dia teragak agak.
Husna: Entahlah kak. Belum jadi budaya kita.
***
Ar rijalu qawwamuna a'lan nisaa. Lelaki itu lebih perkasa daripada perempuan.
Harapan masih ada. Masih ada jejaka yang diluar sana yang budiman.
Cuma bukan rezeki kami berjumpa dengan mereka hari ini.
***
Ini nota status di FB saya hari ini. Ada beberapa sahabat turut memberi pandangan mereka mengenai perkara ini. Pada akhirnya, konklusi yang dapat kongsikan adalah

1. Perempuan jangan malu meminta tolong.
Ah, dia macam nampak sibuk je? Dia nak tolong ke? 

2. Lelaki jangan malu memberi pertolongan
Eh, nanti dia kata kita beria nak menolong. Nanti dia ingat kita nak tunjuk power.

Buang jauh-jauh persepsi yang jahat di dalam minda. Ya, saya akui salah saya tidak meminta tolong. Ini akan saya ingat selamanya. Bukan semua orang boleh membaca minda. Bukan semua orang boleh membaca situasi. 

Maka, berkomunikasilah. Tawarkan pertolongan, "Perlukan bantuan?" "Boleh saya bantu?". Mintalah pertolongan, "Boleh bantu saya?" "Barang ini agak berat untuk kami angkat".

Mungkin dek kerana pernah berjumpa lelaki budiman yang terus bergegas membantu tanpa sebarang kata, saya pukul rata semua lelaki begitu. Salah. Fikiran saya salah. Ini pengajaran buat saya.

Mari hidup dalam harmoni. Saling membantu tanpa sebarang prejudis. 

Damai buat semua.

17 March 2016

Munafik





Bismillahi as solatu a'la Rasoulillah

Sebenarnya saya sudah mula kehilangan lagi. Tercari-cari ke ceruk mana hilangnya semangat untuk saya menulis. Puas juga saya bertanya kembali bagaimana suatu ketika dahulu saya sangat ghairah untuk berkongsi. Selalu semangat untuk mencurahkan segala isi hati dan pendapat pada semua. Namun akhir-akhir ini, api mara di dalam hati itu mula malap. Sudah basah barangkali kayu api yang menyalakan unggun di dalam hati dengan kurangnya inspirasi. Ya, seperti sudah sangat sedikit motivasi yang hadir. Ah, tidak sudah menyalahkan Writer's Block yang menjadi alasan. Bukan sebab itu saya tidak mula berkongsi. 

Sehinggalah semalam saya keluar bersama sepupu dan adik menonton filem Munafik. Ini kali pertama dalam hidup saya menonton filem genre seram di pawagam. Ada yang menonton untuk kisah seramnya, sinematografi, plot dan watak yang dibawa. Saya sangat terkesan dengan mesej yang Tuan Syamsul ingin sampaikan melalui skrip yang mantap. Lenggok bahasa yang kemas dan penggunaan Bahasa Arab yang betul menunjukkan cerita ini dikaji dengan penuh teliti dari pelbagai aspek. Pembawaan mesej klise tetapi dalam masa yang sama berlainan pendekatan yang ditonjolkan membuatkan saya jatuh hati dengan filem ini.




Pada hemat saya, mesej filem dan fikrah yang dipersembahkan secara keseluruhannya benar-benar menjadi lantunan seiring dengan penghijrahan Tuan Syamsul. Mesejnya jelas, penceritaan dan skrip yang digunakan juga memberi kesan kepada penonton diselitkan mesej dakwah yang sangat kuat makna yang dibawa. Bayangkan, filem ini juga ditonton oleh orang bukan muslim. Ramai pula bilangannya, masha allah. Hebat bukan?

Dan ketika itulah, hati ini mula cemburu akan pahala yang diperoleh Tuan Syamsul beserta krew penerbitan dan pelakon-pelakon filem ini. Ya, itulah yang membuat saya mahu berkongsi. Saya akan selalu cemburu pada mereka yang sangat kreatif dan hebat berkongsi kalimah tauhid lantas berjaya menyentuh hati-hati yang sedang mencari. Pada saya, mereka itu dipilih Allah untuk menjadi penyampai kalimahNya. Cara mereka barangkali berbeza. Boleh jadi dalam bentuk penulisan, nyanyian, lakonan atau apa sahaja medium yang berjaya membuat ramai tertarik pada Tuhan. Menarik bukan? Pahala yang mengalir berterus terusan bilamana sahaja si pendengar, penonton atau pembaca menjadi insaf dan mula terasa untuk berubah. Apatah lagi, kalau-kalau perkongsian kita itu menjadi asbab berimannya seorang hamba Allah kembali kepada fitrah. Alangkah besarnya saham pahala yang diterima!

Saya tidak pandai berkata-kata. Tulisan sahaja yang mampu menyampaikan idea dan fikrah yang dapat saya kongsikan meski pembacanya sangat sedikit bilangannya. Bukankah usaha itu yang Allah nilai? Ganjaran pahala ataupun kesenangan yang tiba selepas itu adalah kurniaan daripada Yang Maha Pemurah. Usahalah terlebih dahulu. Mana mungkin kita mahukan syurga sedang di buku amalan kita, catatan usaha di dunia itu hanya sedikit cuma. Ya, saya tahu Syurga itu pada akhirnya milik Sang Rahim, atas rahmatNya jua kita dapat masuk ke syurga. Tetapi tingkatan Firdausi yang teratas jua kita idamkan bukan? Semestinya dengan usaha amal kebaikan.

Hari ini pula saya berjumpa dengan murabbi kesayangan Dr Abd Rahman Chik dan beliau meninggalkan pesanan ini. "Yang membuatkan saya terus untuk kekal dalam bidang Bahasa Arab ini adalah Ath Thawab الثواب. Ganjaran pahala apabila mempelajari Bahasa Arab yang memerlukan usaha yang lebih. Lebih usaha kerana saya bukan orang Arab, ibu bapa bukan orang Arab dan persekitaran juga bukan di negara Arab. Bukankah di situ sudah 3 pahala yang saya dapat apabila bersungguh mendalami bahasa ini. Pahala usahanya lebih daripada orang Arab yang mempelajarinya dalam suasana serba serbi lengkap dengan pelbagai kelebihan."

Nampak tak formulanya disitu? Usaha dahulu kemudian akan datangnya Pahala/Ganjaran selepas itu. Boleh jadi usaha kita tidak membuahkan hasil yang kita jangkakan, di situ kita diuji dengan kesusahan itu juga ganjaran yang melipat gandakan lagi Pahala andai sahaja kita bersabar dan tetap terus tekun dengan berusaha. Nah, hayatilah ayat Tuhan ini.



"Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka ia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya; dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh - dari lelaki atau perempuan - sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga; mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung." Ghafir (40:40)

Melihat kembali kepada peranan dua sosok tubuh insan yang saya nyatakan sebentar tadi membuatkan saya tertanya kembali pada diri. Apa sahaja yang sudah engkau usahakan? Cukupkah sekadar itu sahaja usahamu? Apa sudah tiada daya lagi untuk kau terus berusaha?

Semoga kita tetap terus terinspirasi untuk berusaha atas tiket mendekatkan diri kepada Allah. Bawa diri dan orang lain bersama. Semoga dipermudahkan urusan dan diluruskan niat serta ditunjukkan jalan yang benar buat kita. Sebagai pengakhiran tulisan ini, saya kongsikan doa yang dibacakan Dr Abd Rahman kepada saya siang tadi ditambah doa yang dibacakan Adam iaitu watak Tuan Syamsul  pada babak terakhir dalam cerita Munafik yang sangat menyentuh jiwa.


اللهم يا مسبب الأسباب يا مفتح الأبواب يا مجيب الدعوات يا قابل الحاجات يا سامع الأصوات
Ya Allah Tuhan Penyebab segala perkara, Wahai Tuhan Pembuka segala Pintu, Wahai Tuhan yang Memakbulkan segala doa, Wahai Tuhan Penerima segala Hajat, Wahai Tuhan Maha Mendengar segala suara.

اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ، وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ لَا إِلَهَ 
إِلَّا أَنْتَ


Ya Allah, aku merayu jangan kau biarkan aku dengan urusanku walau sekelip mata, dan kau baikilah segala urusanku kerana sesungguhnya tiada tuhan yang disembah melainkan Engkau.


p/s: tiada usaha dakwah terlalu kecil pada pandangan Allah

03 February 2016

Tiada silibus

Kau mahu tahu, apa lagi yang paling penting aku dapat menjadi seorang dewasa?.
Bahawasanya sampai suatu ketika kita akan berjalan sendirian dalam mengharungi kehidupan.
Mengapa aku katakan sedemikian?
Bayangkan, untuk kebanyakan daripada kita, sedari kecil kita dibawa ke tadika, kemudian ke sekolah rendah dan akhirnya ke sekolah menengah bersama rakan rakan.
Kita tidak ketinggalan untuk "bersama" dalam setiap fasa kehidupan. Baik cemerlang mahupun tidak prestasi kita di sekolah. Sekurang kurangnya memori persekolahan kita masih sama. Sehinggalah suatu fasa baru datang menghempuk keselesaan diri bersama. Kita mula dikenalkan dengan dunia sejuk lagi perit bernama awal dewasa. Di sini, kita membawa haluan yang berbeza. Kita baru alah alah mencelup kaki ke lautan kenyataan. Tetiba ombak dewasa menarik seorang demi seorang ke dasar tanggungjawab dan kerjaya. Ada yang masih bermain di gigi pantai tanpa sebarang unsur komitmen yang besar. Aku yang turut bermain di gigi pantai itu mula melihat seorang demi seorang terjun ke dalam lautan kenyataan tadi dengan penuh keyakinan. Ombak dewasa tadi memercikkan air masin kecemburuan melihat hanya sahaja mudah sungguh sahabat terjun ke karang indah perkahwinan. Ah, cemburunya itu memakan makan hati kerana aku sedang bermain di gigi pantai bersendirian. Sedang sahabat aku sudah berenang renang keriangan bersama pasangan ke dasar perkahwinan. Ya, aku sedar dalam keriangan mereka itu pasti dipukul jua ombak kepenatan dan sebagainya. Namun, masinnya percikan tadi tidak pula terhenti begitu sahaja. Aku pergilah ke bahagian gigi pantai yang lain sedang tiba tiba mereka yang bersama aku tadi ditarik sebuah ombak komitmen baru yang bernama kerjaya. Ah, baru sebentar tadi engkau masih bersama aku di gigi pantai ini mencuba pelbagai pengalaman yang sama. Sudah aku ditinggalkan lagi memandang kamu menurut laju ombak kerjaya ke dasar tanggungjawab dengan penuh keyakinan. Aku? Aku hanya masih basah dihembus percik air kecemburuan lagi ditambah air kerisauan. Melihatlah aku dari kejauhan kalian berseronok dalam dunia komitmen. Aku masih aku bertarung di gigi pantai.


30 January 2016

Jambatan

Ajarkan aku untuk tidak mencintai dunia.
Kata sang tua bijaksana,"Dunia ini hanya jambatan, siapa sahaja mahu mencantikkan jambatan untuk dijadikan rumah?".
Katanya jambatan itu fungsinya membawa kita ke seberang.
Ya. Seberang sana itu tempat yang selamanya.
Namun perlu aku ingat. Seberang sana itu ada dua.
Sama ada Syurga atau Neraka.

Aku sedang bertarung dengan diriku yang sedang keliru.
Adakah kamu juga begitu?
Aku bukan bersendirian bukan?
Aku terlalu laju berlari daripada realiti.
Mencipta dunia sendiri yang bebas daripada beban.
Aku selesa?
Aku pun sedang keliru dengan dunia ciptaanku.

Dunia ciptaanku. Dunia realiti. Dunia abadi.

Dunia yang berbeza.

Sebolehnya aku selaraskan dunia ciptaanku dengan dunia realiti.
Kerana dengan jambatan yang kukuh sahaja dapat aku ke dunia abadi.

Ya. Aku sedar jambatan yang aku sedang bina masih tidak kukuh.
Selagi mana dunia ciptaanku dan dunia realiti tidak seiring.
Ke mana sahajalah dunia abadi buat aku.

Tuhan, dunia realiti sangat kejam buatku.
Aku tahu tidak kau campakkan aku di dunia ini untuk dimurkai.
Aku tahu wahai Tuhan.
Cuma, aku sedang terlalu asyik dalam dunia ciptaanku.
Aku jadi takut dengan kerasnya dunia realiti.

Tapi untuk aku bertemu denganMu wahai Tuhan.
Aku perlu gagahkan diri berjalan melalui semua dunia.

Bantu aku. Aku sedang keliru.


16 January 2016

Dewasa

Menjadi dewasa tidak semudah yang kita sangka.

Menjadi seorang manusia yang dilabel dewasa kerana umurnya bertambah satu lagi angka.

Hidup sebagai dewasa tiba dengan tanggungjawab yang tak pernah diduga kita.

Hidup seorang dewasa datang dengan pelbagai perasaan yang berbeza.

Pernahkah kita sedar kita sudah menjadi dewasa?

Kerana aku sudah meletakkan kedua kakiku ke alam itu dengan tidak bersedia.

Apakah aku sudah dewasa dengan erti kata seiring usia?

Tunjukkan aku caranya.




06 November 2015

Dakwah melalui Media Sosial

Bismillahi as solatu was salaamu a'la Rasoulillah.

Hari ini saya cuba menulis sebuah teks khutbah Jumaat. Dah lama sangat saya tak serius duduk menulis seperti hari ini. Tiga jam tanpa henti saya siapkan dan terus hantar ke pejabat. Oh ya, saya hantar teks ini untuk memasuki pertandingan dan hari ini adalah tarikh akhir penyertaan.


Sepanjang hidup 24 tahun, inilah kali pertama saya menyertai pertandingan menulis. Ah, saya tak tahu apa keputusannya lagi, tapi saya puas hati. Sekurang-kurangnya idea saya dapat dikongsikan melalui penulisan. Nah, berikut saya kongsikan teks khutbah yang saya karang siang tadi. Tajuk khutbah yang saya pilih, "Dakwah melalui Sosial Media".

Semoga ada manfaatnya buat semua.


السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Wahai hamba Allah! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketakwaan  kita  kepada  Allah  dengan  mentaati suruhanNya  dan  menjauhi  laranganNYa. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Firman Allah dalam Surah Yusuf ayat 108
قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."
Dakwah bukanlah suatu perkara baru dalam peradaban Islam, malah dakwah adalah sebuah sunnah utama yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Dakwah merupakan ajakan atau usaha yang dilakukan untuk mengajak manusia beriman dan mentaati Allah dengan mengajak mereka ke arah kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Tuntutan dakwah adalah kewajiban bagi setiap umat Islam dan bukan sahaja milik agamawan. Malah, Allah memuji mereka yang berusaha untuk menyebarkan risalah dakwah di dalam Surah Fussilat ayat 33.

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, dan dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah sesungguhnya kepada Allah)!".

Bagi melaksanakan tuntutan ini, kita seharusnya menggunakan setiap metode yang ada seiring dengan gelombang modenisasi pada masa kini. Manusia dan media sosial pada zaman ini sudah tidak dapat dipisahkan. Tambahan pula dengan kecanggihan teknologi telefon pintar yang dilengkapi kemudahan Internet membuatkan setiap lapisan masyarakat bukan sahaja remaja, malah orang dewasa serta warga senior turut memanfaatkan laman sosial. Kewujudan laman sosial yang berlambakan merupakan salah satu platform yang sangat baik untuk menyebarkan dakwah. Dibantu pula dengan kemudahan aplikasi telefon pintar seperti  Facebook, Whatsapp, Twitter, Youtube dan lain lain, ianya mudah untuk dilayari dan lingkungan capaiannya juga sangat luas. Bersesuaianlah dengan firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 16,
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya : Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita kepentingan untuk mengajak manusia mengenali Allah dengan cara yang berhikmah iaitu dengan cara yang bijaksana. Hikmah juga dapat diterjemahkan sebagai keperlbagaian dalam penggunaan wasilah untuk menyampaikan dakwah. Sesuai dengan peredaran zaman yang semakin maju, tidak dapat tidak, berdakwah melalui media sosial menjadi suatu keperluan utama juga mengikut kehendak masyarakat.

Hadirin,
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Allah mengajak kita untuk saling membantu dalam menyampaikan dakwah dengan mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran seperti yang dinyatakan di dalam Surah At Taubah ayat 71,
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.   
Aspirasi dakwah yang berjaya tidak akan tercapai melalui individu yang bergerak secara solo tanpa bantuan jemaah yang lain. Berbekalkan teknologi Internet dan video rakaman siaran secara langsung, kini, dakwah tidak lagi terhad hanya kepada ceramah di masjid-masjid. Namun, usaha ini bukan sahaja tertumpu pada penceramah sahaja, malah memerlukan kerjasama pasukan yang baik daripada setiap individu dalam kumpulan dakwah tersebut seperti cameraman, pencahayaan, dan audioman. Contoh yang dapat kita kaitkan adalah usaha ZonKuliah yang gigih merakamkan ceramah para ustaz di masjid-masjid dan dipancarkan secara langsung melalui laman web mereka. Bukan itu sahaja, kita juga dapat turut memberi sumbangan dana buat pembelian perkakasan rakaman dan projek kembara mereka. Secara tidak langsung pahala dakwah yang mereka laksanakan turut mengalir buat kita.

Namun, haruslah diingatkan di sini bahawasanya dakwah dan perkongsian ilmu melalui media sosial tidak akan sama sekali mengambil alih tugas masjid menjadi taman ilmu. Rasulullah s.a.w berpesan,
" مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ تَعَالَى يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ ، وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ ، وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ "
Maksudnya : “Tidaklah suatu kaum berkumpul diantara rumah-rumah Allah sambil membaca Kitabullah, dan saling mempelajari diantara mereka. Kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, dan diberikan rahmat serta malaikat akan menaunginya. Dan mereka akan diingat disisi Allah.”

Dakwah dan perkongsian ilmu melalui media hanyalah menjadi pencetus kecintaan buat mereka yang sedang mencari ilmu. Bukannya menggantikan fungsi ulama, masjid, dan majlis-majlis ilmu untuk mempelajari Al Quran. Seharusnya kecintaan untuk mencari ilmu itu membuatkan kita lebih berusaha untuk keluar dari zon selesa pergi menuntut ilmu. Usahlah terlalu taksub berkongsi lambakan ilmu yang mudah diakses di laman-laman web tanpa terlebih dahulu mempelajarinya bersama seorang guru. Ingatlah bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda,


 مَنْ سَلَكَ طَرِيقُ عِلْمٍ سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
Barang siapa berjalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. (HR. Muslim).  Maka, ketahuilah bersusah payah dalam mencari ilmu itu memudahkan jalan kita ke syurga.

Hadirin,
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Sesungguhnya dalam setiap ciptaan manusia itu pasti ada kebaikan dan keburukannya. Pepatah Arab ada menyebut,
 السِّكِينُ سِلاَح ذُو حَدَّين
Pisau itu senjata yang mempunyai dua mata. Pisau memberi manfaat buat kita untuk memasak dan membuat kerja-kerja harian. Pisau juga mampu digunakan sebagai alat untuk membunuh. Samalah juga kiranya bagi penggunaan media sosial sebagai dakwah. Kemudahan untuk berkongsi maklumat dan menyebarkan risalah sangat senang dilaksanakan. Sehinggakan penyebaran hadis-hadis palsu dilihat sangat kritikal berlaku kebelakangan ini. Kebanyakan daripada kita sangat teruja untuk berkongsi pahala dalam menyebarkan maklumat, namun, tanpa disedari telah menyebarkan sebuah dusta pada nabi kita. Marilah kita sama-sama mengaplikasikan konsep S.R.S dalam menyampaikan dakwah di media sosial. S yang pertama adalah semak. Apabila menerima sebuah maklumat atau hadis, perlulah kita untuk menyemak terlebih dahulu kesahihah hadis tersebut. R yang kedua adalah rujuk. Kita perlulah merujuk setiap perkongsian yang kita terima pada ahlinya iaitu para agamawan. Setelah kita memastikan kebenaran dan kebaikan dalam perkongsian tersebut, barulah kita lakukan S yang seterusnya iaitu sebar. Sebarkan dan kongsikan maklumat yang sudah kita yakini kesahihan dan ketulenan isinya dengan orang lain.

Ingatlah juga firman Allah s.w.t yang mengajar kita untuk sentiasa mencari kebenaran melalui bukti dan fakta sebelum menyampaikan sesuatu berita. Surah Al Hujurat ayat 6 merekodkan, Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Hadirin yang dirahmati Allah,
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ
Ketahuilah bahawa Allah mengangkat kita sebagai umat yang terbaik hanya sekiranya kita menjalankan dakwah.

وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ
Ketahuilah juga bahawa pertolongan Allah itu hanya akan datang sekiranya kita menolong agamanya. Ingatlah, laknat yang Allah timpakan kepada Bani Israil hanya kerana mereka berdiam diri, memeluk tubuh daripada menyampaikan dakwah. Dengan kecanggihan teknologi dan media, tiada lagi alasan buat kita untuk tidak berkongsi tentang keindahan Islam. Semoga dengan dakwah yang kita lakukan menjadi hujjah dan saksi buat kita apabila menghadap Allah s.w.t kelak. “Sesungguhnya aku telah menyampaikan”.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Update: Saya telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut. Alhamdulillah!