21 August 2013

Surat ayahanda Asmaa Beltaji






Air mata ini mengalir saat saya menterjemah surat ini.


Surat daripada Dr Mohamed Beltaji buat anak perempuannya yang telah syahid.

Berikut adalah terjemahan bagi surat asal:

Wahai anakku sayang, sang guru bermaruah, Asma al-Beltaji;
Ayah tak akan ucapkan selamat tinggal kepadamu; Ayah ucapkan sehingga kita bertemu lagi di esok hari.

Dikau telah hidup dengan maruah yang tinggi, menentang kezaliman dan belenggu, dikau cintakan keamanan. Dirimu telah hidup sebagai peneroka dalam diam mencari sisi baru untuk membina semula negara ini di antara rakyatnya.

Dikau tidak pernah menyibukkan dirimu dengan perkara yang sebayamu igaukan. Walaupun pendidikan di sekolah tidak kau minati, namun masih juga kamu yang teratas di dalam kelas.

Sememangnya ayah tidak akan pernah berasa cukup dengan detik-detik berharga bersamamu di dalam hidup yang singkat ini.Terutamanya keterbatasan waktu yang menghalang ayah untuk menemanimu.

Saat terakhir kita duduk bersama adalah di dataran Rabaa Al Adawiya, dirimu bertanya kepada ayah, "Walaupun ayah bersama kami, ayah tetap sibuk". Dan ayah berkata "Nampaknya hidup di dunia ini takkan pernah cukup untuk kita menikmati saat saat bersama, jadi ayah berdoa moga kita dapat nikmati saat saat bersama di syurga nanti"

Dua malam terakhir sebelum kamu dibunuh, ayah melihat dirimu di dalam mimpi ayah memakai busana perkahwinan berwarna putih dan dirimu kelihatan sangat jelita. Apabila kamu duduk di sebelah ayah, ayah tanya kamu, "Ini malam perkahwinan kamu?" Kamu jawab, " Sekarang tengah hari ayah, bukan petang".

Dan apabila mereka menyampaikan berita kamu dibunuh pada tengah hari Rabu itu, barulah ayah faham apa yang kamu katakan dalam mimpi ayah. Dan ayah tahu Allah menerima jiwamu sebagai syuhada'.

Kamu telah mengukuhkan lagi kepercayaan ayah yang kita dalam pihak yang benar dan musuh kita dalam kesesatan.
Terasa perit bagi ayah untuk tidak dapat bersua dengan kamu buat kali terakhirnya, tidak mampu untuk mengucup dahimu; dan tidak dipilih untuk menjadi Imam solat jenazah kamu.

Ayah bersumpah kepada Allah wahai sayangku, Ayah tidak takut akan kehidupan ini atau dari ketidakadilan penjara, tetapi Ayah mahu menyampaikan mesej buat mereka bahawa jiwamu terkorban untuk menyempurnakan revolusi ini, untuk menang dan untuk menyempurnakan objektifnya.

Jiwamu telah diangkat dengan setinggi-tingginya menentang kezaliman. Peluru khianat telah menembusi dadamu. Betapa cekalnya keazamanmu, begitu suci jiwamu. Ayah yakin yang kamu ikhlas kepada Tuhanmu dan Dia telah memilih kamu di antara mereka yang dimuliakan sebagai syuhada.

Akhirnya, wahai anakku yang tercinta, sang guru bermaruah;
Ayah tak akan ucapkan selamat tinggal kepadamu; namun Ayah ucapkan sehingga kita bertemu lagi.

Kelak kita akan berjumpa dengan Rasul dan para sahabatnya di Syurga dimana tempat impian kita untuk menikmati saat saat bersama dengan yang tercinta akan menjadi kenyataan.