12 February 2012

Manifestasi Cinta

pesanan : saya minta maaf awal-awal..lately blog post saya agak "cheezy".. (= ='') 

Bismillahi as-solatu was salamu a'la Rasoulillah

**


"Kalau ada jodoh, ada lah kan?. Kalau bukan dia sekalipun, saya bersyukur sebab dia dihantar Allah dalam hidup saya sebagai ujian." pasrah saya menulis.

"hahahahaha" gelak kawan saya menceriakan keadaan.

"Saya yakin, ada yang lebih baik untuk saya" sambung saya menulis.

"Macam frust jek..hahaha..frust menonggeng lah husna..hahaha" ceria sungguh kawan saya menulis. 

Tapi saya agak tersentak dengan tulisannya.

"Insya allah, masih ada iman dalam hati saya. Saya masih beriman pada Qada' dan Qadar Allah.Frust sikit kot. Tapi tak lah sampai menonggeng. hahahah." saya turut bergurau pada akhirnya.

***

"Kesian aku tengok kau. Sudah-sudahlah. Aku tahu kau sakit dengar ni. Tapi aku nak kau buang juga perasaan tu. Tak payah fikir dah, dia untuk kau, kau untuk dia ke, korang kongsi persamaan yang banyak ke. Dah lama kan. Kalau aku di tempat kau, aku masih tak bersedia. Aku tak nak kau buat keputusan atas dasar emosi sahaja, ok?" kata sahabat baik nun di Mesir mengingatkan.

***

"Bagi aku kalau dia dah taqdim orang lain, maksudnya dia memang dah tak ada perasaan pada kita. Dia memang dah bersungguh lah tu. Tak pelah kawan, akan datang juga yang lebih baik. Agaknya memang bukan dia untuk kau". pesan sahabat di Vienna melalui skype sewaktu saya meminta nasihatnya.

***

Saya tahu kebiasaannya apabila benda ini terjadi. Saya akan putar lagu-lagu sedih. Lagu-lagu cinta tak berbalas. Lagu-lagu yang menggambarkan cinta sebelah tangan. Nevermind I'll find someone like you.

haish..

Asyik-asyik jatuh hati, asyik-asyik cepat sangat taruh perasaan. Payah sungguh hidup dalam fasa pra-matang ini. Allahu akbar. Sakit. Perit. Hati dah terpikat, tapi bukan semua yang kita idamkan itu baik untuk kita bukan? Allah lagi mengetahui.

***


Sesungguhnya memasak adalah antara terapi kesedihan yang sangat menenangkan bagi saya. Maka terhasillah kuskus khudor berlaukkan daging. Ditakdirkan pula petang itu, sahabat baik saya datang ke rumah sewa kami. Kami makan kuskus bersama-sama sambil sahabat menyatakan hasratnya untuk menghabiskan minggunya bersama kami. Aduhai, gembiranya hati. Saya pegang muka dia, saya kata

"Subhanallahhhh.. awak tahu tak Allah hantar awak untuk saya??

" Blur mukanya sambil mata terkedip-kedip memandang saya.


Maha suci Allah. Dia takkan pernah menzalimi hambanya. Dia takkan pernah uji hambanya kalau dia tak tahu hambanya mampu untuk mengatasi ujian yang diberikan. Dia Maha Mendengar segala rintihan saya. Dia Maha Mengasihani hambanya. Dia Maha Mengetahui apa yang lebih baik untuk saya.  Allah sangat sayangkan saya. Allah tak biarkan saya bersedih selamanya. Allah hantar pula sahabat-sahabat meriahkan lagi minggu saya. Allah tak nak saya fikir pasal perkara ini lagi. Allahumma laka lhamd ya rob. Minggu itu kami ada sambutan Manifestasi Cinta Muhammad.  Tiga usrah menjadi satu bergabung menyambut kelahiran nabi di rumah Villa A.B.U ini. Kami adakan pelbagai aktiviti, kuiz, bernasyid, forum dan lain-lain.

Terdetik di benak, sungguh Allah mahu ingatkan saya, siapakah sebenarnya lelaki yang sepatutnya saya cintai. Siapakah dia lelaki yang patut saya lebih rindukan dan kasihi. Lelaki yang selayaknya saya pandang tinggi. Lelaki yang sepatutnya saya cintai melebihi sesiapun jua. Dialah Nabi Muhammad tercinta. Salamun a\'la rasulina. Ketika itu mula tersedar, baginda selalu rindukan ummatnya. Namun kita selalu lupakan baginda. Baginda selalu menangis mengenangkan kita ummat yang tidak pernah bertemu dengannya. Namun, jarang sekali kita menangis terkenangkan baginda. Lantas bagaimana kita mahukan syafaatnya di akhirat sana? Mari muhasabah.

***


Baginda rindukan ummatnya. Kita? 
***

Saya selalu pesan pada sahabat-sahabat. Fatrah yang dilalui sekarang ini, sebenarnya ujian Allah berikan kepada saya, dan menjadi pengajaran kepada mereka. Saya tahu doa-doa mereka sentiasa mengiringi. Saya tahu mereka sangat sayangkan saya. Saya hanya mahu berpesan, jagalah hati dengan sebaiknya, usah cepat terpesona dengan indahnya peribadi seseorang. Usah cepat menaruh hati pada yang tidak selayaknya. Maka bagaimana harus kita mengurus hati? Peliharalah mata dan hati. Jagalah batas-batas dalam pergaulan. Mintalah kepada Yang Mencipta hati kita. Dia yang memegang setiap hati manusia.


Dalam setiap keputusan dan pilihan yang kita mahu lakukan juga, jangan pernah lupa beristikharah, kerana anda takkan pernah kecewa dengan takdir yang Allah tentukan. Malah, rasa cinta kepadaNya, rasa kebergantungan untuk menggapai redhaNya akan sentiasa bercambah. Allah akan bagi jawapan yang terbaik. Allah akan menjawab segala persoalan kita dan hajat kita melalui istisyarah iaitu bermaksud meminta pendapat mereka yang boleh dipercayai untuk membantu seseorang itu membuat keputusan. Allah sudah jawab istikharah dan persoalan-persoalan saya lalu dihulurkan juga ketenangan bersama-sama.

Sepayah mana ujian yang Allah berikan kepada kita. Berbahagialah duhai diri. Bersyukurlah selalu. Kerana saat air mata itu jatuh takkan dapat kita rasakan lagi jikalau hati sudah mati. Air mata itu juga takkan pernah jatuh sewaktu kita bahagia lagi alpa. Bersyukurlah atas rahmat ujian. Kepada remaja-remaja seperti saya, Selamat menjalani kehidupan pra-matang dengan penuh kematangan buat semua Semoga Allah sentiasa hulurkan kekuatanNya selalu buat kita.

Mari, berjiwang-jiwangan dan berindu-rinduan pada Pencipta dan Kekasihnya. Manifestasi Cinta pada selayaknya.

lagu ini sangat comel ok!




I'm blessed with His love and the love of people around me :3





09 February 2012

untuk kamu solehah..

Artikel Iluvislam : Untukmu Solehah

Bismillahi as-solatu was salamu a'la Rasoulillah

Assalamualaikum solehah,


Apa khabar hati dan imanmu hari ini? 

Mengapa aku lihat dirimu bagaikan tidak keruan? Soal hati ya..

Wahai solehah, payah bukan tatkala kita jatuh cinta? 

Kadang-kadang rasa itu hadir, kadang-kadang rasa itu hilang.



Percayalah, saya tahu bagaimana rasanya. 

Jangan pernah dibunuh rasa itu!

Namun, tuntunlah fitrah itu sebaiknya dengan zikrullah. 

Usah lumurkan sucinya fitrah itu menjadi lumpur fitnah.  

Usah pula dipalitkan hatimu dengan kerinduan yang dusta.

Hatimu dan hatinya bukan milik sesiapa.

Milik pencipta kita selamanya. Dia yang memegang hati kita.

Hadirnya rasa itu sebagai hadiah ujian. Sebagai tarbiah.

Tabahlah wahai solehah, moga diberi kekuatan selalu. 

Pintalah pada Pemilik Hati yang mengawal rasa itu. 

Dia Maha Mengetahui bahawa kita mampu. 

Yakinlah, rintihan kita, aduan kita takkan pernah sia-sia.

Dia Maha Mendengar bukan? Dia lagi Maha Penyayang.

Mana mungkin doa-doa hambanya yang solehah tidak didengari.

Ingat, Tuhan kita akan berikan kita semua yang kita perlu, 

bukan hanya semua yang kita mahu.




Kelak pada akhirnya, selepas semua ini berjaya kita harungi,

semuanya akan menjadi tersangat indah. 

Waktu itu akan tiba jua duhai solehah.

Saat hatimu dan hatinya tenang bersatu diabdikan hanya kepadaNya.

Imam solatmu akan tiba kelak. Dekat.

Penantianmu akan berakhir dengan sebenar-benar persediaan.

Ilmu, hati dan doa perlu dirapi

Andai belum cukup bersedia. Mujahadahlah wahai solehah.


Doaku untukmu agar selalu dirimu kuat.

Selamat bermujahadah sayangku solehah.


Sayang fillah,
bint tawfiq. 

29 January 2012

Beza antara Lelaki dan Perempuan

Bismillahi as-solatu was salamu a'la Rasoulillah,
Assalamualaikum wbt,

10:50 pm, Sabtu, 28/1/2012

Mata saya dah berat, kepala saya dah mula pening-pening. Tapi saya akan cuba juga menulis tentang malam ini dalam sejarah. Petang tadi, berangkat pergi dua orang ahli Mohamedia lagi keluar wilayah. Ahli wilayah seramai 6 orang kini hanya tinggal berdua sahaja selepas yang lain-lain telah pergi berkelana di bumi Tuhan. Musafir mentadabbur alam dan manusia. 

"Nah ni kunci, nanti Zakhir nak datang, akak bagi kunci kat dia k, kalau dia tak datang-datang jugak akak bagi kunci ni pada Bushaib " pesan Izzat sambil dihulurnya  dua bentuk kunci dan semangkuk ayam kari tiga ketul air tangan Herdi. Izzat akan ke Marrakech dan Herdi pula ke Rabat. Syarafi dan Farid dah selamat ke Spain.

Sebak pula rasa semua orang dah mula berjalan membawa haluan masing-masing. Moga selamat pergi dan  selamat pulang hendaknya. Bertambah sebak sebab tetiba terbayang macam mana pula perasaan waktu kami akan benar-benar tinggalkan bumi Maghribi ini. Oh Tuhan..

Kami pun menjalani aktiviti harian seperti biasa sambil menanti ketibaan saudara Zakhir. 

Dung,dung,dung. Bunyi besi diketuk. Saya bergegas keluar dengan telekung melekat di kepala bersama 2 bentuk kunci yang telah diamanatkan. Kepala dihulur keluar dengan harapan saudara Zakhir di hadapan pintu, rupanya anak-anak jiran yang datang.

" Tadi ada dua orang datang rumah tapi dia dah pergi" kata seorang budak.

" Diorang pergi mana? Maliziyin ke?" soal saya.

"Haah, Maliziyin, tapi aku tak tahu dia dah pergi mana" jawab budak tadi sambil seorang mak cik menggesa supaya mereka cepat-cepat berlalu.

"Kenapa dia tak ketuk pintu kita dulu Yusra?" tanya saya kepada Yusra. "Entahlah".

Mata sudah semakin layu, saya dah tak larat nak tunggu, jadi saya pesan pada Yusra kunci-kunci tadi ada di atas meja saya.

"Debub!" satu bunyi kuat menjagakan saya dari mamai. Terus saya panggil Yusra untuk keluar menghulurkan kunci. Tapi Yusra kata itu bukan bunyi pintu, tetapi bunyi kerusi jatuh.

Saya bingkas bangkit bersama kunci ke arah pintu. "Shkouun?" soal saya sebelum membuka pintu. Sekali lagi kepala dijengukkan keluar. Masih tiada siapa di luar. 

Dan mulalah kedengaran bunyi-bunyi seakan ada hidupan yang bergerak di rumah atas. 

"Siapa pulak kat atas tu?? Zakhir dah sampai ke?? Kat mana pulak dia dapat kunci??" bebel saya sendiri.

Saya arif bahawa diri saya mewarisi sikap paranoid daripada keluarga yang sukar untuk dikawal. Terus saya menjengah keluar ke ampaian untuk menjenguk ke arah tingkap atas. Gelap. Tidak bercahaya. Saya bergegas pula keluar mengetuk pintu rumah atas. Saya baru perasan lampu tangga mereka terbuka. 

"Siapa pula buka lampu tangga ni. Izzat tak tutup ke tadi?" kata hati. Diketuk-ketuknya saya pintu dengan syiling. Tiada jawapan. Yusra memberi salam pula. Masih tiada jawapan. 

Saya terus berpakaian lengkap ke kedai Maryam untuk membeli ta'biah, malangnya kedai tutup. Dengan bantuan kakak-kakak Rabat, kami yang sudah ke'panik'kan ini meminta mereka menelefon rumah atas. Manalah tahu, tetiba ada yang mengangkat telefon. 

"Yusra, jomlah kita berdua naik atas. Tengok siapa yang ada." saya mula mengajak Yusra.

"Tak nak lah saya.. takutt.. antara harta dan nyawa, nyawa lagi pentingg" kata Yusra.

Nak katakan takdir Allah sangat teratur, Wan Syafirdaus sedang bagi tugasan pada Yusra, dan dengan baik hatinya Wan hantar mesej pada Izzat untuk telefon kami semula selepas Yusra meminta bantuannya.

Selang 3 minit kemudian, henset saya berbunyi. Izzat di talian. Terus saya bercerita tentang dua orang misteri yang datang dan pergi begitu sahaja dan juga tentang bunyian yang kami dengar sebentar tadi.

Saya bertanya, " Izzat awak ada buka lampu tangga tak tadi?". "Tak ingatlah kak" jawabnya pula.

" Awak tahu tak tadi akak ada dengar bunyi-bunyi kat rumah atas, nak akak tengok ke??" kata saya.

" Tak pa akak pasang ayat Alquran kuat-kuat sebelum tidur, satgi benda tu pergi lah" jawab Izzat dengan selambanya. Sempat lagi budak ni bergurau. Orang tengah panik ni.

"Isk budak ni, akak risau awak punya laptop dan barang-barang penting hilang..". Tup. Izzat kehabisan kredit pula. 

"Ok, kalau macam tu akak pergi kat kedai Si Mohamad tu, suruh dia teman akak ngan kak yusra naik atas, cakap nak tengok Internet" tenang Izzat memberi arahan seterusnya menggunakan henset orang lain.

"Si Mohamad yang jaga kedai tu kan? Ok-ok, akak cuba minta tolong dia temankan kitorang naik atas" kata saya.

Maka bergegaslah kami ke tingkat atas bertemankan kawan Si Mohamad sebab dia tak boleh tinggalkan kedai., Najib masih di Maqha tengok bola.

Dengan muka tebal dan yakin, saya ajak kawan Si Mohamad terus naik rumah atas dengan alasan nak tengok modem Internet. Sebijik sebuntat saya ikut arahan Izzat. Rupanya semua pintu semua masih berkunci. Saya jengah masuk beserta salam. Saya periksa tingkap di ruang tamu dan tandas. 

Kesemuanya masih bertutup dengan baik. Tiada tanda-tanda rumah dipecah masuk atau lain-lain insiden yang berlaku. Turunlah kami semula ke tingkat bawah sambil menceritakan hal sebenar kepada kawan Si Mohamad. Serius saya lupa nak tanya nama. Dia kata jangan takut tak ada apa-apa pun yang akan berlaku. Tetiba dihulurnya tangan untuk bersalaman, terus dilapik tangan dengan tudung labuh hitam dan disambut salam kawan tersebut.

Canggung. Awkward. Memang pelik benar dilihatnya. Tapi saya hanya ingin menyambut salam disebabkan kesudiannya meneman kami naik ke atas dan hanya satu cara untuk bersalam iaitu dengan lapik.

Maka tenanglah sudah hati ini bahawa Insya allah, tiada orang yang pecah masuk rumah seperti imaginasi saya yang gila merawang.

Maha Suci Tuhan. Berbeza sungguh sifat lelaki dan perempuan. 

Lihat sahaja betapa sifat tenang  seorang lelaki yang ditunjukkan oleh Izzat dan kawan Si Mohamamd ternyata menjadi penawar kerisauan seorang perempuan seperti saya. Mereka lebih fikir dengan rasional dan ternyata tidak menggunakan emosi. Berbeza bukan dengan perempuan? Terlalu banyak fikir dan terlalu banyak perkara yang nak dirisaukannya.

Walaupun misteri 2 orang lelaki yang datang dan bunyi-bunyi di tingkat atas masih belum terjawab. Saya akan tetap tenang dan cuba untuk terus memberi sepenuh keyakinan kepada Allah. Moga  kita dibawah rahmatNya selalu, insya Allah. Nampak benar takutnya tu.




Ok, saya dah sangat mengantuk sangat. Minta diri dulu. Insya allah, pagi-pagi esok bila dah cerah saya dan Yusra akan naik semula ke atas pastikan semua barang baik-baik.

update : percaya atau tidak, barang-barang tersusun rapi tiada kesan pecah masuk atau sebagainya. misteri masih tidak selesai. atau mungkin makhluk dari dunia yang lagi satu memang sengaja nak main-main dengan kami.. :)

Wassalam.