06 October 2013

Mencari diri





Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Mencari hikmah dalam setiap episod kehidupan. Itu yang membezakan kita dengan mereka. Setiap hari yang dilalui, setiap langkah yang dipateri patut meninggalkan kesan yang lebih positif dalam diri. Andai sesuatu perkara kita lakukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga, semak semula apa yang tidak kena.

Saya membelek setiap post yang ada di halaman ini satu per satu. Hajat di hati yang selama ini terkubur mula saya gagahi. Menghasilkan sebuah buku. Menulis atau mengumpul dua perkara yang berbeza. Dan setiap kali saya meneliti kembali setiap ayat yang pernah dikarang, membuat saya tertanya sendiri,

"Kemana hilangnya aku yang ini?".

"Mengapa aku tidak seperti aku yang dahulu?''

Suatu perasaan sudah hilang dalam diri. Ya, dahulunya saya sangat berahi untuk berkongsi setiap perkara yang berlaku di sekeliling saya. Mencari gali setiap hikmah yang tersurat lagi tersirat. Namun sekarang, rasa untuk berkongsi itu semakin berkurang. Entah mengapa saya menjadi semakin kelu dan kebas dalam menulis.

Saya sudah lupa akan apa sebenarnya yang saya mahukan daripada sebuah penulisan. Pahala berterusan. Itu sememangnya menjadi dambaan.

Justeru, saya perlu sentiasa menulis, menulis dan menulis. Bukan mengharapkan penulisan saya itu menjadi suatu aset kemasyhuran, namun menjadi pelaburan tidak bertepian. Melalui nasihat dan juga pedoman yang dapat dikutip melalui lorong-lorong kehidupan.

Seorang sahabat tidak penat dan tidak gagal untuk bertanya lagi mengingatkan, "Husna, bila mahu tulis post yang baru?, saya rindukan soalan itu.

Saya akan cuba menulis dan berkongsi setiap perkara yang dimanfaatkan buat yang lain. Meski berkali-kali hasrat di hati mahu sahaja ditutup blog ini, namun, saya harapkan masih ada yang setia menanti, memerhati dan memberi doa dalam sepi buat saya teruskan usaha murni ini.

Doakan saya terus kuat dalam menulis. Semoga Allah memberi kekuatan buat diri kalian juga dalam terus melakukan kebaikan. Wallahu a'lam.


21 August 2013

Surat ayahanda Asmaa Beltaji






Air mata ini mengalir saat saya menterjemah surat ini.


Surat daripada Dr Mohamed Beltaji buat anak perempuannya yang telah syahid.

Berikut adalah terjemahan bagi surat asal:

Wahai anakku sayang, sang guru bermaruah, Asma al-Beltaji;
Ayah tak akan ucapkan selamat tinggal kepadamu; Ayah ucapkan sehingga kita bertemu lagi di esok hari.

Dikau telah hidup dengan maruah yang tinggi, menentang kezaliman dan belenggu, dikau cintakan keamanan. Dirimu telah hidup sebagai peneroka dalam diam mencari sisi baru untuk membina semula negara ini di antara rakyatnya.

Dikau tidak pernah menyibukkan dirimu dengan perkara yang sebayamu igaukan. Walaupun pendidikan di sekolah tidak kau minati, namun masih juga kamu yang teratas di dalam kelas.

Sememangnya ayah tidak akan pernah berasa cukup dengan detik-detik berharga bersamamu di dalam hidup yang singkat ini.Terutamanya keterbatasan waktu yang menghalang ayah untuk menemanimu.

Saat terakhir kita duduk bersama adalah di dataran Rabaa Al Adawiya, dirimu bertanya kepada ayah, "Walaupun ayah bersama kami, ayah tetap sibuk". Dan ayah berkata "Nampaknya hidup di dunia ini takkan pernah cukup untuk kita menikmati saat saat bersama, jadi ayah berdoa moga kita dapat nikmati saat saat bersama di syurga nanti"

Dua malam terakhir sebelum kamu dibunuh, ayah melihat dirimu di dalam mimpi ayah memakai busana perkahwinan berwarna putih dan dirimu kelihatan sangat jelita. Apabila kamu duduk di sebelah ayah, ayah tanya kamu, "Ini malam perkahwinan kamu?" Kamu jawab, " Sekarang tengah hari ayah, bukan petang".

Dan apabila mereka menyampaikan berita kamu dibunuh pada tengah hari Rabu itu, barulah ayah faham apa yang kamu katakan dalam mimpi ayah. Dan ayah tahu Allah menerima jiwamu sebagai syuhada'.

Kamu telah mengukuhkan lagi kepercayaan ayah yang kita dalam pihak yang benar dan musuh kita dalam kesesatan.
Terasa perit bagi ayah untuk tidak dapat bersua dengan kamu buat kali terakhirnya, tidak mampu untuk mengucup dahimu; dan tidak dipilih untuk menjadi Imam solat jenazah kamu.

Ayah bersumpah kepada Allah wahai sayangku, Ayah tidak takut akan kehidupan ini atau dari ketidakadilan penjara, tetapi Ayah mahu menyampaikan mesej buat mereka bahawa jiwamu terkorban untuk menyempurnakan revolusi ini, untuk menang dan untuk menyempurnakan objektifnya.

Jiwamu telah diangkat dengan setinggi-tingginya menentang kezaliman. Peluru khianat telah menembusi dadamu. Betapa cekalnya keazamanmu, begitu suci jiwamu. Ayah yakin yang kamu ikhlas kepada Tuhanmu dan Dia telah memilih kamu di antara mereka yang dimuliakan sebagai syuhada.

Akhirnya, wahai anakku yang tercinta, sang guru bermaruah;
Ayah tak akan ucapkan selamat tinggal kepadamu; namun Ayah ucapkan sehingga kita bertemu lagi.

Kelak kita akan berjumpa dengan Rasul dan para sahabatnya di Syurga dimana tempat impian kita untuk menikmati saat saat bersama dengan yang tercinta akan menjadi kenyataan. 

16 July 2013

Rindu







Bismillahi as solatu was salaamu a'la Rasoulillah

Rindu itu adalah anugerah dari Allah. Insan yang berhati nurani, punyai rasa rindu. Rindu pada...

Haa sambung-sambung.

Tak pernah dengar lagu ni?


Ini lagu nasyid klasik daripada kumpulan Hijjaz. Kadang-kadang kita akan terasa sangat rindu dengan seseorang. Walaupun seseorang itu ada dihadapan kita, apatah lagi yang sudah tiada.

Saya ada terbaca satu post, katanya, kalau kita rindukan seseorang, letakkan tangan di hati dan baca Surah Al-Fatihah buatnya. Moga si dia turut terasa kerinduan kita, dalam masa yang sama, kita turut sedekahkan pahala tersebut buat dirinya.


Haaaaa.. fikir si buah hati letteww. Padam itu dari ingatanmu sebentar.. ecewah.

Kakak, abang, kawan-kawan dan adik-adik sekalian,
Mari, pernah tak kita rindukan Rasoulullah, sebagaimana rindu kita pada orang yang kita sayang? Hadiahkanlah Surah Al-Fatihah buat baginda.


Apa kata kita dahulukan Al-Fatihah tersebut buat diri sendiri dahulu. Sedekahkan Al Fatihah buat diri yang suka lari dari mengingati Tuhan. Kekadang, bak kata orang Johor kena Yasinan (baca: Baca Surah Yasin) jugak buat diri macam kita baca untuk orang dalam nazak. Sebab kita selalu tercungap-cungap dalam bab ibadah, tak cukup nafas selalu. Tapi kalau bab seronok duniawi, tabarakallah, tak cukup tanah jalan. [sepak diri sendiri]

Aishhh, cheogmal?! (baca: betul kan??)

Dahulukan juga pahala tersebut buat kedua-dua ibu bapa kita. Jadilah kita aset pahala dan bukan aset dosa buat mereka. Ya, meski mereka ada di depan mata. Tak pernah terlambat untuk berbakti buat mereka.

Seterusnya, alirkan kerinduan itu juga buat ahli keluarga dan para sahabat yang sudah tiada.

Kemudian, buat semua sahabat kenalan kita dunia dan akhirat. (Yes, its you my lovelies!)

gambar sekadar hiasan, yang tiada dalam gambar, i lap u more!


Jangan dilupa, Al-Fatihah buat saudara seakidah kita di serata dunia. Moga mereka dalam lindungan Allah selalu, dan diberi kekuatan untuk pertahankan akidah mereka meski diseksa.

Yok, kita cuba jadi orang pemurah dalam memberi sedekah pahala. Kita niatkan pahala bacaan Al-Fatihah itu buat mereka. Moga lebih utuh kasih sayang sesama kita.

Bukankah doa sahabat yang mendoakan sahabatnya yang lain tanpa diketahui, itu antara doa yang paling mustajab? Jadi, mari kita banyakkan berdoa sambil bersedekah.

Kadang, kita tiada harta untuk dihulur, tiada kudrat untuk membantu, terlalu jauh pula untuk menggapai tangan-tangan mereka yang kita sayangi, apatah lagi memandang tepat ke wajah mereka dengan penuh kasih. Cukuplah, mereka sentiasa hadir dalam lubuk ingatan kita yang terdalam sambil merindui mereka dalam diam.



p/s: kalau nak kata I LOVE YOU FOR THE SAKE OF ALLAH lagi awesome!

AMARAN KERASS: I tak nak U cakap kat BF,GF or tunang atau mereka-mereka yang tak halal/sah lagi buat anda okeh, I suruh U cakap I LUV U kepada ahli keluarga dan sahabat sejantina sahaja. Jangan nak mengada-ngada, taw! Nanti dapat dosa free U. I dah bagi tahu...