Suasana di dalam Musolla Saidatina Khadijah lengang di pagi ahad. Hanya terdapat beberapa pelajar yang turun mendirikan solat sunat dhuha di musolla. Agaknya yang lain lebih memilih untuk solat di dalam dorm. Usai solat dhuha dua rakaat aku mengangkat tangan dan berdoa. Aku meraup wajahku sambil mata terpejam. Ya Allah, tiada apa-apa yang diharapkan selain pertolongan dan pedoman daripadaMu dalam setiap perkara yang dilakukan. Terduduk sebentar aku di balik tiang, menerawang fikiran kembali ke zaman yang dulu. Zaman tatkala aku bukan bergelar seorang pelajar sekolah agama. Ya, dahulu aku hanyalah pelajar sekolah biasa yang tiada langsung suasana islamik dalam pergaulan seharian. Seratus peratus berbeza daripada suasana kehidupanku di sini.
Pada mulanya, aku seakan mengalami sebuah kejutan budaya dalam diriku. Bayangkanlah aku hanya memakai tudung tiga segi pada hari pendaftaran di sebuah sekolah agama. Sepanjang minggu-minggu pertama persekolahanku, aku di antara beberapa pelajar muslimat yang menjadi perhatian mata-mata senior dek pendeknya tudungku ini. Masih teringat lagi pesanan kakak-kakak senior untuk memakai tudung labuh apabila pulang dari cuti persekolahan kelak. Akur aku menyarung tudung labuh yang langsung tidak pernah terlintas di pemikiranku untuk memakainya. Oh, tidak pernah aku bermimpi memakai tudung labuh sebelum ini. Meskipun ummi memakai tudung labuh, tidak pula aku terikut untuk memakainya. Asal cukup bertudung dan menutup aurat sudah memadai bagiku. Pernah juga aku terfikir mungkin hanya selepas aku bernikah dan suamiku memintaku untuk mengenakan tudung labuh, pada saat itu akan aku mula memakainya.