09 February 2012

untuk kamu solehah..

Artikel Iluvislam : Untukmu Solehah

Bismillahi as-solatu was salamu a'la Rasoulillah

Assalamualaikum solehah,


Apa khabar hati dan imanmu hari ini? 

Mengapa aku lihat dirimu bagaikan tidak keruan? Soal hati ya..

Wahai solehah, payah bukan tatkala kita jatuh cinta? 

Kadang-kadang rasa itu hadir, kadang-kadang rasa itu hilang.



Percayalah, saya tahu bagaimana rasanya. 

Jangan pernah dibunuh rasa itu!

Namun, tuntunlah fitrah itu sebaiknya dengan zikrullah. 

Usah lumurkan sucinya fitrah itu menjadi lumpur fitnah.  

Usah pula dipalitkan hatimu dengan kerinduan yang dusta.

Hatimu dan hatinya bukan milik sesiapa.

Milik pencipta kita selamanya. Dia yang memegang hati kita.

Hadirnya rasa itu sebagai hadiah ujian. Sebagai tarbiah.

Tabahlah wahai solehah, moga diberi kekuatan selalu. 

Pintalah pada Pemilik Hati yang mengawal rasa itu. 

Dia Maha Mengetahui bahawa kita mampu. 

Yakinlah, rintihan kita, aduan kita takkan pernah sia-sia.

Dia Maha Mendengar bukan? Dia lagi Maha Penyayang.

Mana mungkin doa-doa hambanya yang solehah tidak didengari.

Ingat, Tuhan kita akan berikan kita semua yang kita perlu, 

bukan hanya semua yang kita mahu.




Kelak pada akhirnya, selepas semua ini berjaya kita harungi,

semuanya akan menjadi tersangat indah. 

Waktu itu akan tiba jua duhai solehah.

Saat hatimu dan hatinya tenang bersatu diabdikan hanya kepadaNya.

Imam solatmu akan tiba kelak. Dekat.

Penantianmu akan berakhir dengan sebenar-benar persediaan.

Ilmu, hati dan doa perlu dirapi

Andai belum cukup bersedia. Mujahadahlah wahai solehah.


Doaku untukmu agar selalu dirimu kuat.

Selamat bermujahadah sayangku solehah.


Sayang fillah,
bint tawfiq. 

29 January 2012

Beza antara Lelaki dan Perempuan

Bismillahi as-solatu was salamu a'la Rasoulillah,
Assalamualaikum wbt,

10:50 pm, Sabtu, 28/1/2012

Mata saya dah berat, kepala saya dah mula pening-pening. Tapi saya akan cuba juga menulis tentang malam ini dalam sejarah. Petang tadi, berangkat pergi dua orang ahli Mohamedia lagi keluar wilayah. Ahli wilayah seramai 6 orang kini hanya tinggal berdua sahaja selepas yang lain-lain telah pergi berkelana di bumi Tuhan. Musafir mentadabbur alam dan manusia. 

"Nah ni kunci, nanti Zakhir nak datang, akak bagi kunci kat dia k, kalau dia tak datang-datang jugak akak bagi kunci ni pada Bushaib " pesan Izzat sambil dihulurnya  dua bentuk kunci dan semangkuk ayam kari tiga ketul air tangan Herdi. Izzat akan ke Marrakech dan Herdi pula ke Rabat. Syarafi dan Farid dah selamat ke Spain.

Sebak pula rasa semua orang dah mula berjalan membawa haluan masing-masing. Moga selamat pergi dan  selamat pulang hendaknya. Bertambah sebak sebab tetiba terbayang macam mana pula perasaan waktu kami akan benar-benar tinggalkan bumi Maghribi ini. Oh Tuhan..

Kami pun menjalani aktiviti harian seperti biasa sambil menanti ketibaan saudara Zakhir. 

Dung,dung,dung. Bunyi besi diketuk. Saya bergegas keluar dengan telekung melekat di kepala bersama 2 bentuk kunci yang telah diamanatkan. Kepala dihulur keluar dengan harapan saudara Zakhir di hadapan pintu, rupanya anak-anak jiran yang datang.

" Tadi ada dua orang datang rumah tapi dia dah pergi" kata seorang budak.

" Diorang pergi mana? Maliziyin ke?" soal saya.

"Haah, Maliziyin, tapi aku tak tahu dia dah pergi mana" jawab budak tadi sambil seorang mak cik menggesa supaya mereka cepat-cepat berlalu.

"Kenapa dia tak ketuk pintu kita dulu Yusra?" tanya saya kepada Yusra. "Entahlah".

Mata sudah semakin layu, saya dah tak larat nak tunggu, jadi saya pesan pada Yusra kunci-kunci tadi ada di atas meja saya.

"Debub!" satu bunyi kuat menjagakan saya dari mamai. Terus saya panggil Yusra untuk keluar menghulurkan kunci. Tapi Yusra kata itu bukan bunyi pintu, tetapi bunyi kerusi jatuh.

Saya bingkas bangkit bersama kunci ke arah pintu. "Shkouun?" soal saya sebelum membuka pintu. Sekali lagi kepala dijengukkan keluar. Masih tiada siapa di luar. 

Dan mulalah kedengaran bunyi-bunyi seakan ada hidupan yang bergerak di rumah atas. 

"Siapa pulak kat atas tu?? Zakhir dah sampai ke?? Kat mana pulak dia dapat kunci??" bebel saya sendiri.

Saya arif bahawa diri saya mewarisi sikap paranoid daripada keluarga yang sukar untuk dikawal. Terus saya menjengah keluar ke ampaian untuk menjenguk ke arah tingkap atas. Gelap. Tidak bercahaya. Saya bergegas pula keluar mengetuk pintu rumah atas. Saya baru perasan lampu tangga mereka terbuka. 

"Siapa pula buka lampu tangga ni. Izzat tak tutup ke tadi?" kata hati. Diketuk-ketuknya saya pintu dengan syiling. Tiada jawapan. Yusra memberi salam pula. Masih tiada jawapan. 

Saya terus berpakaian lengkap ke kedai Maryam untuk membeli ta'biah, malangnya kedai tutup. Dengan bantuan kakak-kakak Rabat, kami yang sudah ke'panik'kan ini meminta mereka menelefon rumah atas. Manalah tahu, tetiba ada yang mengangkat telefon. 

"Yusra, jomlah kita berdua naik atas. Tengok siapa yang ada." saya mula mengajak Yusra.

"Tak nak lah saya.. takutt.. antara harta dan nyawa, nyawa lagi pentingg" kata Yusra.

Nak katakan takdir Allah sangat teratur, Wan Syafirdaus sedang bagi tugasan pada Yusra, dan dengan baik hatinya Wan hantar mesej pada Izzat untuk telefon kami semula selepas Yusra meminta bantuannya.

Selang 3 minit kemudian, henset saya berbunyi. Izzat di talian. Terus saya bercerita tentang dua orang misteri yang datang dan pergi begitu sahaja dan juga tentang bunyian yang kami dengar sebentar tadi.

Saya bertanya, " Izzat awak ada buka lampu tangga tak tadi?". "Tak ingatlah kak" jawabnya pula.

" Awak tahu tak tadi akak ada dengar bunyi-bunyi kat rumah atas, nak akak tengok ke??" kata saya.

" Tak pa akak pasang ayat Alquran kuat-kuat sebelum tidur, satgi benda tu pergi lah" jawab Izzat dengan selambanya. Sempat lagi budak ni bergurau. Orang tengah panik ni.

"Isk budak ni, akak risau awak punya laptop dan barang-barang penting hilang..". Tup. Izzat kehabisan kredit pula. 

"Ok, kalau macam tu akak pergi kat kedai Si Mohamad tu, suruh dia teman akak ngan kak yusra naik atas, cakap nak tengok Internet" tenang Izzat memberi arahan seterusnya menggunakan henset orang lain.

"Si Mohamad yang jaga kedai tu kan? Ok-ok, akak cuba minta tolong dia temankan kitorang naik atas" kata saya.

Maka bergegaslah kami ke tingkat atas bertemankan kawan Si Mohamad sebab dia tak boleh tinggalkan kedai., Najib masih di Maqha tengok bola.

Dengan muka tebal dan yakin, saya ajak kawan Si Mohamad terus naik rumah atas dengan alasan nak tengok modem Internet. Sebijik sebuntat saya ikut arahan Izzat. Rupanya semua pintu semua masih berkunci. Saya jengah masuk beserta salam. Saya periksa tingkap di ruang tamu dan tandas. 

Kesemuanya masih bertutup dengan baik. Tiada tanda-tanda rumah dipecah masuk atau lain-lain insiden yang berlaku. Turunlah kami semula ke tingkat bawah sambil menceritakan hal sebenar kepada kawan Si Mohamad. Serius saya lupa nak tanya nama. Dia kata jangan takut tak ada apa-apa pun yang akan berlaku. Tetiba dihulurnya tangan untuk bersalaman, terus dilapik tangan dengan tudung labuh hitam dan disambut salam kawan tersebut.

Canggung. Awkward. Memang pelik benar dilihatnya. Tapi saya hanya ingin menyambut salam disebabkan kesudiannya meneman kami naik ke atas dan hanya satu cara untuk bersalam iaitu dengan lapik.

Maka tenanglah sudah hati ini bahawa Insya allah, tiada orang yang pecah masuk rumah seperti imaginasi saya yang gila merawang.

Maha Suci Tuhan. Berbeza sungguh sifat lelaki dan perempuan. 

Lihat sahaja betapa sifat tenang  seorang lelaki yang ditunjukkan oleh Izzat dan kawan Si Mohamamd ternyata menjadi penawar kerisauan seorang perempuan seperti saya. Mereka lebih fikir dengan rasional dan ternyata tidak menggunakan emosi. Berbeza bukan dengan perempuan? Terlalu banyak fikir dan terlalu banyak perkara yang nak dirisaukannya.

Walaupun misteri 2 orang lelaki yang datang dan bunyi-bunyi di tingkat atas masih belum terjawab. Saya akan tetap tenang dan cuba untuk terus memberi sepenuh keyakinan kepada Allah. Moga  kita dibawah rahmatNya selalu, insya Allah. Nampak benar takutnya tu.




Ok, saya dah sangat mengantuk sangat. Minta diri dulu. Insya allah, pagi-pagi esok bila dah cerah saya dan Yusra akan naik semula ke atas pastikan semua barang baik-baik.

update : percaya atau tidak, barang-barang tersusun rapi tiada kesan pecah masuk atau sebagainya. misteri masih tidak selesai. atau mungkin makhluk dari dunia yang lagi satu memang sengaja nak main-main dengan kami.. :)

Wassalam.

Berjumpa Pencipta & KekasihNya

Bismillahi as-solatu was salamu a'la Rasoulillah

Assalamualaikum wbt

Pernah tak dalam hidup kalian tersempak dengan orang 'famous'? Mungkin Mat Luthfi sekampung dengan anda, mungkin juga anda pernah ternampak Anwar Hadi waktu membeli-belah di KL, atau mungkin terjumpa Maria Elena waktu ada gathering bersama-sama rakan-rakan blogger yang glamour dan lain-lain peristiwa yang buatkan anda tersenyum sampai ke telinga sehari suntuknya, mungkin kerana dos bahagia dan bangga berlebihan dek berjumpa dengan orang famous lah katakan.

Kalau ada twitter, terus twit kepada kawan-kawan. Tak ada wireless di tempat tersebut, balik rumah terus update status Facebook, paling lambat sekalipun update blog dengan gambar-gambar sebagai bukti, 'just now i met them you know'.

Semasyhur mana sekali pun manusia yang anda bakal jumpa di atas muka bumi ini, saya pasti dua kisah ini bakal membuatkan anda terus lupa akan mereka semua dan terus fokus dan ternant-nanti untuk berjumpa dengan Allah dan RasulNya.

Walaupun mungkin banyak dosa yang kita lakukan telah menjadi asbab jauhnya kita kepada Allah dan Rasul s.a.w, moga-moga kita tetap terpilih untuk bertemuNya dan kekasih Allah di syurga. Biarlah perjumpaan kita kelak, kita akan disambut dan dipandang dengan pandangan kasih sayang dan bukannya dengan pandangan kemurkaan.

Ampunkan dosa-dosa kami Ya Allah, maafkan kesilapan kami Ya Rasulullah. 

Kisah Nabi Musa bercakap dengan Allah.



Mimpi Dr. Haron Din Jumpa Nabi Muhammad SAW





Mereka insan terpilih Ya Allah, sungguh indah perjumpaan itu. Pilihlah kami jua Ya Rob.. TT__TT