Bismillahi as solatu was salaamu a'la Rasoulillah.
Hari ini saya cuba menulis sebuah teks khutbah Jumaat. Dah lama sangat saya tak serius duduk menulis seperti hari ini. Tiga jam tanpa henti saya siapkan dan terus hantar ke pejabat. Oh ya, saya hantar teks ini untuk memasuki pertandingan dan hari ini adalah tarikh akhir penyertaan.
Sepanjang hidup 24 tahun, inilah kali pertama saya menyertai pertandingan menulis. Ah, saya tak tahu apa keputusannya lagi, tapi saya puas hati. Sekurang-kurangnya idea saya dapat dikongsikan melalui penulisan. Nah, berikut saya kongsikan teks khutbah yang saya karang siang tadi. Tajuk khutbah yang saya pilih, "Dakwah melalui Sosial Media".
Semoga ada manfaatnya buat semua.
السلام
عليكم
الحَمْدُ
للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى
الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا
اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
…أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ
وَلاتمَوتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba Allah! Bertakwalah kamu kepada Allah
dengan sebenar-benar takwa. Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan
Islam.
Saya menyeru diri saya
sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita
sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah
dengan mentaati suruhanNya dan menjauhi laranganNYa.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Firman Allah dalam Surah Yusuf ayat 108
قُلْ
هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ
اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: Katakanlah
(wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku,
menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan
bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala
iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang
mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."
Dakwah bukanlah
suatu perkara baru dalam peradaban Islam, malah dakwah adalah sebuah sunnah
utama yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Dakwah merupakan ajakan atau usaha yang dilakukan untuk mengajak manusia
beriman dan mentaati Allah dengan mengajak mereka ke arah kebaikan dan mencegah
kepada kemungkaran. Tuntutan dakwah adalah kewajiban bagi setiap umat Islam dan
bukan sahaja milik agamawan. Malah, Allah memuji mereka yang berusaha untuk
menyebarkan risalah dakwah di dalam Surah Fussilat ayat 33.
وَمَنْ أَحْسَنُ
قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ
الْمُسْلِمِينَ
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang
menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, dan dia sendiri
mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari
orang-orang Islam (yang berserah sesungguhnya kepada Allah)!".
Bagi melaksanakan
tuntutan ini, kita seharusnya menggunakan setiap metode yang ada seiring dengan
gelombang modenisasi pada masa kini. Manusia dan media sosial pada zaman ini
sudah tidak dapat dipisahkan. Tambahan pula dengan kecanggihan teknologi
telefon pintar yang dilengkapi kemudahan Internet membuatkan setiap lapisan
masyarakat bukan sahaja remaja, malah orang dewasa serta warga senior turut
memanfaatkan laman sosial. Kewujudan laman sosial yang berlambakan merupakan
salah satu platform yang sangat baik untuk menyebarkan dakwah. Dibantu pula
dengan kemudahan aplikasi telefon pintar seperti Facebook, Whatsapp, Twitter, Youtube dan lain
lain, ianya mudah untuk dilayari dan lingkungan capaiannya juga sangat luas.
Bersesuaianlah dengan firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 16,
ادْعُ
إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ
بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ
وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya : Serulah ke
jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat
pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih
baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang
sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang
yang mendapat hidayah petunjuk.
Ayat ini jelas
menunjukkan kepada kita kepentingan untuk mengajak manusia mengenali Allah
dengan cara yang berhikmah iaitu dengan cara yang bijaksana. Hikmah juga dapat
diterjemahkan sebagai keperlbagaian dalam penggunaan wasilah untuk menyampaikan
dakwah. Sesuai dengan peredaran zaman yang semakin maju, tidak dapat tidak,
berdakwah melalui media sosial menjadi suatu keperluan utama juga mengikut
kehendak masyarakat.
Hadirin,
Sidang Jumaat yang
dikasihi sekalian,
Allah mengajak kita
untuk saling membantu dalam menyampaikan dakwah dengan mengajak ke arah
kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran seperti yang dinyatakan di dalam Surah
At Taubah ayat 71,
وَالْمُؤْمِنُونَ
وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ
وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ
وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ
عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: Dan orang-orang
yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi
setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada
berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta
taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah;
sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Aspirasi dakwah yang
berjaya tidak akan tercapai melalui individu yang bergerak secara solo tanpa
bantuan jemaah yang lain. Berbekalkan teknologi Internet dan video rakaman
siaran secara langsung, kini, dakwah tidak lagi terhad hanya kepada ceramah di
masjid-masjid. Namun, usaha ini bukan sahaja tertumpu pada penceramah sahaja,
malah memerlukan kerjasama pasukan yang baik daripada setiap individu dalam
kumpulan dakwah tersebut seperti cameraman, pencahayaan, dan audioman. Contoh
yang dapat kita kaitkan adalah usaha ZonKuliah yang gigih merakamkan ceramah
para ustaz di masjid-masjid dan dipancarkan secara langsung melalui laman web
mereka. Bukan itu sahaja, kita juga dapat turut memberi sumbangan dana buat
pembelian perkakasan rakaman dan projek kembara mereka. Secara tidak langsung
pahala dakwah yang mereka laksanakan turut mengalir buat kita.
Namun, haruslah
diingatkan di sini bahawasanya dakwah dan perkongsian ilmu melalui media sosial
tidak akan sama sekali mengambil alih tugas masjid menjadi taman ilmu.
Rasulullah s.a.w berpesan,
"
مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ
اللَّهِ تَعَالَى يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا
نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ ، وَحَفَّتْهُمُ
الْمَلَائِكَةُ ، وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
"
Maksudnya : “Tidaklah suatu
kaum berkumpul diantara rumah-rumah Allah sambil membaca Kitabullah, dan saling
mempelajari diantara mereka. Kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, dan
diberikan rahmat serta malaikat akan menaunginya. Dan mereka akan diingat
disisi Allah.”
Dakwah dan
perkongsian ilmu melalui media hanyalah menjadi pencetus kecintaan buat mereka
yang sedang mencari ilmu. Bukannya menggantikan fungsi ulama, masjid, dan
majlis-majlis ilmu untuk mempelajari Al Quran. Seharusnya kecintaan untuk
mencari ilmu itu membuatkan kita lebih berusaha untuk keluar dari zon selesa
pergi menuntut ilmu. Usahlah terlalu taksub berkongsi lambakan ilmu yang mudah
diakses di laman-laman web tanpa terlebih dahulu mempelajarinya bersama seorang
guru. Ingatlah bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda,
مَنْ
سَلَكَ طَرِيقُ عِلْمٍ سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
Barang siapa
berjalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.
(HR. Muslim). Maka, ketahuilah bersusah payah dalam mencari
ilmu itu memudahkan jalan kita ke syurga.
Hadirin,
Sidang Jumaat
yang dikasihi sekalian,
Sesungguhnya
dalam setiap ciptaan manusia itu pasti ada kebaikan dan keburukannya. Pepatah
Arab ada menyebut,
السِّكِينُ
سِلاَح ذُو حَدَّين
Pisau itu
senjata yang mempunyai dua mata. Pisau memberi manfaat buat kita untuk memasak
dan membuat kerja-kerja harian. Pisau juga mampu digunakan sebagai alat untuk
membunuh. Samalah juga kiranya bagi penggunaan media sosial sebagai dakwah.
Kemudahan untuk berkongsi maklumat dan menyebarkan risalah sangat senang
dilaksanakan. Sehinggakan penyebaran hadis-hadis palsu dilihat sangat kritikal
berlaku kebelakangan ini. Kebanyakan daripada kita sangat teruja untuk
berkongsi pahala dalam menyebarkan maklumat, namun, tanpa disedari telah
menyebarkan sebuah dusta pada nabi kita. Marilah kita sama-sama mengaplikasikan
konsep S.R.S dalam menyampaikan dakwah di media sosial. S yang pertama adalah
semak. Apabila menerima sebuah maklumat atau hadis, perlulah kita untuk
menyemak terlebih dahulu kesahihah hadis tersebut. R yang kedua adalah rujuk.
Kita perlulah merujuk setiap perkongsian yang kita terima pada ahlinya iaitu
para agamawan. Setelah kita memastikan kebenaran dan kebaikan dalam perkongsian
tersebut, barulah kita lakukan S yang seterusnya iaitu sebar. Sebarkan dan
kongsikan maklumat yang sudah kita yakini kesahihan dan ketulenan isinya dengan
orang lain.
Ingatlah juga
firman Allah s.w.t yang mengajar kita untuk sentiasa mencari kebenaran melalui
bukti dan fakta sebelum menyampaikan sesuatu berita. Surah Al Hujurat ayat 6
merekodkan, Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang
fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,
supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini -
dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali
apa yang kamu telah lakukan.
Hadirin yang
dirahmati Allah,
كُنتُمْ
خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ
عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ
Ketahuilah bahawa Allah mengangkat kita sebagai umat yang terbaik hanya
sekiranya kita menjalankan dakwah.
وَلَيَنصُرَنَّ
اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ
Ketahuilah juga bahawa pertolongan Allah itu hanya akan datang sekiranya
kita menolong agamanya. Ingatlah, laknat yang Allah timpakan kepada Bani Israil
hanya kerana mereka berdiam diri, memeluk tubuh daripada menyampaikan dakwah.
Dengan kecanggihan teknologi dan media, tiada lagi alasan buat kita untuk tidak
berkongsi tentang keindahan Islam. Semoga dengan dakwah yang kita lakukan
menjadi hujjah dan saksi buat kita apabila menghadap Allah s.w.t kelak.
“Sesungguhnya aku telah menyampaikan”.
بَارَكَ
اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا
فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ
تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ
لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ
وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ
التَّائِبِيْنَ.
Update: Saya telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut. Alhamdulillah!