23 July 2012

Penangan Cinta

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Amaran : Post ini agak cheesy. 

Ada suatu perasaan yang tak dapat digambarkan oleh kata-kata dan tidak mencukupi untuk diluahkan dengan air muka. Perasaan yang tidak diilhamkan ini membuatkan seseorang mampu untuk tidak makan dengan kenyangnya, lebih diam daripada berkata-kata dan lebih banyak tersenyum apabila ditanya. Air mata bisa mengalir tak kira masa. Sekarang ini baru saya tahu, oh, inilah perasaannya. Perasaan berat untuk meninggalkan mereka yang kita cinta. Cinta kerana Allah. 

Ok, tolong jangan muntah. Nanti kena ganti puasa,.

Kalau dahulu (macam lama pulak bunyinya kan?^ ^), saban tahun, antara peristiwa yang paling berat untuk saya hadiri adalah Majlis Konvokesyen dan juga hantar senior di Aeroport Mohamed IV. Bilangan mahasiwa-mahasiswi di Maghribi sangat sedikit bilangannya. Secara kasarnya, dalam satu Maghribi ni, bilangan kami hanyalah seramai 85 orang. Ah, tak suka sangat perasaan ditinggal. 


Buat semua yang masih belum tahu, paling singkat keberadaan pelajar Morocco di sini adalah tiga tahun. Maka, nak katanya, kasih sayang seorang kakak senior tu kami tak dapat nikmati dalam waktu masa yang lama. Sekejap-sekejap sahaja. Paling lama pun dua tahun, dan senior kami akan graduate. Kiranya, adik-adik junior saya pun bakal merasa perasaan yang saya rasa dahulu.
Adakah (?)

Satu perkara yang saya perhatikan sejak akhir-akhir ini, kami lebih rapat antara satu sama lain. Lagilah rasa sayang nak tinggalkan. Hasrat hati mahu sahaja saya duduk lama di sini, sambung Master pula. Tapi apakan daya, kita hanya mampu berusaha sahaja, pada akhirnya, saya pasti saya akur dengan keputusan ibu bapa. Tapi yang sebenar-benarnya, kami budak-budak YP dah kehabisan duit. ==''

Apa motif post ni ditulis ya? Setiap pertemuan itu pasti di akhiri dengan perpisahan. Ayat cliche yang selalu kita dengar. Tapi sejauh mana kita hargai ukhuwah yang dibina sepanjang pertemuan itu, hanya kita sahaja yang dapat ____________. Sila isi tempat kosong itu. :)




22 July 2012

Kenapa???

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Perkara paling berharga yang dapat saya pelajari sepanjang tiga tahun saya di bumi Maghribi adalah berkaitan dengan kebergantungan kita pada Pencipta dan berbaik sangka padaNya.  

Hidup kita sangat indah, penuh dengan kejutan dan ujian. Kadang-kadang doa kita dimakbulkan, terkadang seolah-olah diendahkan. Selalunya juga kita akan melihat kelebihan dan nikmat yang Allah berikan kepada orang lain tanpa kita sedari, betapa banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Sedang kita berada dalam fasa ketidaksedaran tersebut, selalu kita mengeluh dan mempersoalkan keadilan Tuhan, "Kenapa semua perkara tampak terlalu mudah bagi dirinya?", "Kenapa aku selalu di dalam kesusahan", "Kenapa rezekinya tampak berganda-ganda, ah, seronoknya!".


Tanpa kita sedar jua, kita telah mempersoalkan takdir Tuhan. Terus menggelapkan hati mencari cahaya kesabaran dan hikmah di sebalik setiap ujian. Ah, manusia memang selalu lupa. Ya, itulah manusia dalam fatrah ujian, terkadang ada masa menaik menjulang tahap iman. Terkadang juga iman kita jatuh terjelopok di dataran. 

Bersangka baiklah kita dengan Pencipta. Ya, memang buat masa sekarang ini, semua perkara seakan senang buat mereka. Namun yakinlah, kesenangan itu sudah tersedia buat kita. Mungkin sekarang rezeki buat mereka terbentang di hadapan mata. Siapa pula yang tahu, rezeki lebih besar sudah tertulis di Luh Mahfuz sana menanti  di masa hadapan kita?. Rahsia Allah, siapakan yang tahu melainkan Dia yang Maha Mengetahui. 



Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nisa' Ayat 32)

Jauhi hasad dengki yang merosakkan hati. Membanding-bandingkan nikmat mereka dengan nikmat yang kita terima hanya sia-sia. Sedang kita mengipas bara api dengki di dalam hati, ketahuilah, sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Dia takkan pernah menzalimi hamba-hambaNya yang sentiasa berdoa dan meminta dengan penuh kesabaran. Bukankah Allah sudah berfirman dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, ‘Aku adalah apa yang hambaKu fikirkan’.


Ayuh, kita baiki prasangka kita pada Pencipta. Nah, cuba letakkan diri kita di tempat mereka yang sentiasa dihujani ujian tidak bertepian. Letakkan diri di tempat saudara kita di Palestin, Syria mahupun Burma. Sentiasa berada di dalam ketakutan dan pengharapan. Betapa kuatnya pergantungan mereka kepada Tuhan, betapa indahnya prasangka mereka dalam mendambakan syahid pengakhir kehidupan. Saudara seakidah kita di Somalia, Afrika sentiasa dalam kelaparan dan kehausan. Namun, tetap iman mereka utuh sentiasa mengharapkan bantuan dan belas kasihan daripada Tuhan.



Kalau diikutkan tahap ujian kita berbanding ujian yang dihadiahkan buat mereka, sudah pasti kita akan sentiasa bersyukur atas segala nikmat ujian yang selama ini Allah berikan. Bersyukurlah, berbaik sangkalah selalu. Hidup ini bukan untuk kita sia-siakan dengan mengeluh dan merungut tidak berkesudahan. Bukankah lebih indah andai kita hiasi bibir kita dengan senyuman dan ucapan Alhamdulillah setiap kali ditimpa ujian?. 

Moga segala urusan kita sentiasa Allah permudahkan serta dikirimkan sekali kesabaran.

Salam Mubarak Ramadhan!~