22 July 2012

Kenapa???

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Perkara paling berharga yang dapat saya pelajari sepanjang tiga tahun saya di bumi Maghribi adalah berkaitan dengan kebergantungan kita pada Pencipta dan berbaik sangka padaNya.  

Hidup kita sangat indah, penuh dengan kejutan dan ujian. Kadang-kadang doa kita dimakbulkan, terkadang seolah-olah diendahkan. Selalunya juga kita akan melihat kelebihan dan nikmat yang Allah berikan kepada orang lain tanpa kita sedari, betapa banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Sedang kita berada dalam fasa ketidaksedaran tersebut, selalu kita mengeluh dan mempersoalkan keadilan Tuhan, "Kenapa semua perkara tampak terlalu mudah bagi dirinya?", "Kenapa aku selalu di dalam kesusahan", "Kenapa rezekinya tampak berganda-ganda, ah, seronoknya!".


Tanpa kita sedar jua, kita telah mempersoalkan takdir Tuhan. Terus menggelapkan hati mencari cahaya kesabaran dan hikmah di sebalik setiap ujian. Ah, manusia memang selalu lupa. Ya, itulah manusia dalam fatrah ujian, terkadang ada masa menaik menjulang tahap iman. Terkadang juga iman kita jatuh terjelopok di dataran. 

Bersangka baiklah kita dengan Pencipta. Ya, memang buat masa sekarang ini, semua perkara seakan senang buat mereka. Namun yakinlah, kesenangan itu sudah tersedia buat kita. Mungkin sekarang rezeki buat mereka terbentang di hadapan mata. Siapa pula yang tahu, rezeki lebih besar sudah tertulis di Luh Mahfuz sana menanti  di masa hadapan kita?. Rahsia Allah, siapakan yang tahu melainkan Dia yang Maha Mengetahui. 



Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nisa' Ayat 32)

Jauhi hasad dengki yang merosakkan hati. Membanding-bandingkan nikmat mereka dengan nikmat yang kita terima hanya sia-sia. Sedang kita mengipas bara api dengki di dalam hati, ketahuilah, sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Dia takkan pernah menzalimi hamba-hambaNya yang sentiasa berdoa dan meminta dengan penuh kesabaran. Bukankah Allah sudah berfirman dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, ‘Aku adalah apa yang hambaKu fikirkan’.


Ayuh, kita baiki prasangka kita pada Pencipta. Nah, cuba letakkan diri kita di tempat mereka yang sentiasa dihujani ujian tidak bertepian. Letakkan diri di tempat saudara kita di Palestin, Syria mahupun Burma. Sentiasa berada di dalam ketakutan dan pengharapan. Betapa kuatnya pergantungan mereka kepada Tuhan, betapa indahnya prasangka mereka dalam mendambakan syahid pengakhir kehidupan. Saudara seakidah kita di Somalia, Afrika sentiasa dalam kelaparan dan kehausan. Namun, tetap iman mereka utuh sentiasa mengharapkan bantuan dan belas kasihan daripada Tuhan.



Kalau diikutkan tahap ujian kita berbanding ujian yang dihadiahkan buat mereka, sudah pasti kita akan sentiasa bersyukur atas segala nikmat ujian yang selama ini Allah berikan. Bersyukurlah, berbaik sangkalah selalu. Hidup ini bukan untuk kita sia-siakan dengan mengeluh dan merungut tidak berkesudahan. Bukankah lebih indah andai kita hiasi bibir kita dengan senyuman dan ucapan Alhamdulillah setiap kali ditimpa ujian?. 

Moga segala urusan kita sentiasa Allah permudahkan serta dikirimkan sekali kesabaran.

Salam Mubarak Ramadhan!~






No comments: