18 March 2014

Thesis Kehidupan






Bismillahi as solatu was salaamu a'la Rasoulillah.

Minggu ini minggu penuh penginsafan buat saya. Ahad lepas saya diberi peluang untuk menyertai sebuah program anjuran Quranic Youth Club untuk sama sama menjadi sukarelawan di Dapur Jalanan.



Walaupun hanya sebentar cuma dan hanya sedikit tenaga yang dihulur, saya sangat terkesan dengan istiqamahnya 9 orang anak muda memberi makanan secara percuma kepada orang bergelendangan. 30/3/2014 yang bakal menjelma genap setahun mereka meneruskan akitiviti yang mulia ini.

Saya pulang dengan pelbagai perasaan. Mereka bukan siapa siapa. Mereka hanya sekumpulan anak muda. Mereka juga nampak sangat biasa biasa. Mereka tak pernah mengharap publisiti dari mana mana. Apa yang mereka pegang "Makanan adalah Hak Milik Semua". Mereka menggelarkan homeless atau gelandangan itu VVIP, terlalu istimewa bagi mereka.



Sedang manusia sibuk dengan perihal duniawi. Kita sudah menjadi terlalu nafsi nafsi. Semua benda bagi kita tidak pernah cukup serba serbi. Apatah lagi untuk kita memberi kepada mereka yang kita tidak kenali.

Saya tahu dan saya insaf lebih ramai lagi orang yang tidak bernama di luar sana sama seperti mereka. Mulia pada mata Pencipta.

Saya pulang dan saya jadi terus bersemangat. Saya juga mahu seperti mereka.

Keesokan harinya pula, saya baru berkesempatan mengambil bungkusan pos di Pejabat Mahallah Hafsah. Sudah seminggu terbiar di situ. Bungkusan apa?. Buku yang saya beli dan sangat dinanti nanti "Cerita Cinta Ahmad Ammar".




Berderai derai tumpah air mata. Berkali kali saya jatuh cinta. Bertimpa timpa rasa cemburu kepadanya. Bertubi tubi rasa insaf tiba. Ke mana waktu muda saya yang telah pergi begitu sahaja?

Saya sangat mengagumi Ammar dan kualiti serta kebaikan yang telah dia baktikan sepanjang hidupnya. Dipilih Allah untuk syahid pada usia 20 tahun dalam keadaan ibu bapa, guru guru dan semuanya meredhai pemergiannya. Dia anak yang soleh contoh bagi kita remaja yang semakin alpa dengan dunia. Terasa amat malu untuk hanya terfikir membandingkan hidup saya dengan hidup si Ammar.

Kemboja telah disantuninya, Syria sudah menerima kunjungannya. Risalah An Nur sudah dihafalnya. Malah, kematiannya juga menghidupkan kita.

Saya jadi terus bersemangat. Saya juga mahu seperti dia.



Saya mahu jadi seperti mereka walaupun saya tahu ia susah.

***

Menulis cerita kehidupan dapat saya analogikan seperti menulis sebuah thesis.

Mengapa saya analogikan sebegitu? 

Kami pelajar Sarjana diberi masa 2 tahun untuk menyiapkan sebuah thesis disamping mencukupkan credit hour dengan subjek pilihan.

Dalam masa 2 tahun tersebut, terlalu banyak tajuk yang menarik dapat kami pilih untuk dijadikan tajuk thesis. Semestinya kami perlu memilih tajuk yang kami betul betul minati supaya dapat dilaksanakan dengan penuh kesungguhan.

Akhirnya, sesudah kami siap menulis thesis tersebut, tibalah masa kami diuji tentang apa yang kami kaji. Setiap muka surat dan isinya akan ditanya. Apakah kami benar benar faham dan jelas tentang hasil kajian kami? Adakah kami betul betul menjalankan kajian dengan telus? dan Apakah kebaikan yang dapat kami sumbangkan melalui kajian tersebut?.

Usai proses soal jawab, kami akan diberi keputusan melalui hasil kajian kami. Keputusan yang bakal kami lihat, Accepted, Lulus?. This thesis must be revised, thesis ini perlu dikaji semula?. Extension revision required, masa kajian tambahan diperlukan?. Atau mungkin Unacceptable, Thesis ditolak?.



Bukankah sama dengan corak penulisan hidup yang kita cuba hasilkan?

Kita diberi masa oleh Allah untuk hidup di atas bumi dalam tempoh tertentu. Walau kita tak pernah tahu bila saatnya kita dipanggil, tetap bilangan tahun sudah melebihi dua tahun. Malah, dalam tempoh itu jugalah, terlalu banyak kebaikan kebaikan yang dapat kita pilih untuk kita fokuskan dan kita gembleng tenaga sepuasnya. Terlalu banyak. Disamping rukun Islam yang wajib kita laksanakan.

Kita usaha sebaik mungkin dan akhirnya kita dipanggil oleh Allah semula. Tibalah masa kita bakal ditanya tentang amalan kita di dunia. Tambahan soalan yang bakal ditanya selepas solat, ke mana waktu lapang kamu dihabiskan? Adakah kamu membantu saudaramu di dunia? Sudah kamu tegakkan Islam di tempatmu? Berapa ramai yang telah tersentuh dengan dakwahmu? dan lain lain soalan yang bakal ditanya malaikat di sana.

Usai amalan kita dihisab, tibalah waktu kita ditentukan syurga dan neraka olehNya. Cuma pilihan yang ada cuma dua. Ya, antara syurga dan neraka. Tiada masa tambahan diberikan. Tidak pula kita akan dikembalikan ke dunia untuk hidup semula.

Lantas, persoalan yang harus kita tanyakan "Apakah sudah ada kebaikan yang telah aku sumbangkan?" Jikalau ada, "Sudah cukupkah untuk aku persembahkan dihadapan Tuhan?"

Saya yakin semua pembaca post ini sudah banyak memberi sumbangan dan sudah banyak menyebarkan kebaikan, namun, persoalan ini masih menjadi persoalan bagi saya. Saya terkedu, buntu. Menulis soalan ini dalam diri dan diakhiri sebesar besar  tanda soal dan tanda seru

Sedang saya mencari cari tajuk thesis yang sesuai untuk saya mulakan di Semester Pertama ini, Allah kirimkan pengajaran yang lebih besar daripada sekadar itu. Sebuah persoalan yang memenuhi kotak pemikiran. Sudah saya mencari tajuk thesis kehidupan saya?

Untuk saya menunggu 2 tahun tamat pengajian baru saya mulakan pencarian, bukankah sudah terlalu banyak masa terbuang hanya untuk mencari tajuk cerita hidup saya. Untuk saya menunggu 2 tahun, baru saya mengorak langkah menyebar kebaikan, sudah pasti saya tertinggal berjauh batu dari perjalanan mereka yang saya ceritakan sebelum ini. Itupun kalau diizinkanNya saya hidup selepas 2 tahun.

Cukup cukuplah 23 tahun masa yang telah tidak saya manfaatkan sebaiknya. Mungkin esok saya akan dipanggilnya. Mungkin juga selepas post ini diterbitkan. Allahu a'lam.

Sekadar sebuah perkongsian buat pembaca yang mungkin dapat mengaitkan situasi ini dengan kehidupan kalian. Sama sama kita kembali kepada Tuhan, memohon ampun daripadaNya atas masa masa yang tak dapat dikembalikan dan sama sama kita mula mencari tajuk terbaik thesis kehidupan. Selari dengan kemampuan serta kebolehan. Percayalah, kita tidak pernah terlambat untuk membuat satu kebaikan.  =)




Dan moga kelak, sewaktu kita dihisab kita dapat persembahkan segala amal kebaikan kepada Tuhan dengan penuh kepuasan. Dan moga kelak kita hanya tersenyum penuh rasa kesyukuran apabila di dalam syurga tempat kita dikumpulkan. Ameen.



No comments: