08 June 2013

Lemas







Bismillahi As-solatu was Salamu A'la-Rasoulillah.

Assalamualaikum semua! Ingat saya lagi? :)


Alhamdulillah, kalau ada yang masih sudi singgah dan baca blog yang tak seberapa ni. Sungguh saya terharu sangat bila ada yang letakkan link blog saya sebaris dengan penulis hebat Hilal Asyraf di blog mereka.

Masya allah. Moga-moga anda pembaca dapat kebaikan daripada blog saya. Dan moga menjadi hidayah buat diri saya terlebih dahulu.

Puan Ummi selalu pesan, "akak tulis islamik-islamik dalam blog, akak kena tunjukkanlah dengan perbuatan". Panggg! Memang terlempang kata-kata itu pada hati. Selalu. 


Kita kadang-kadang lemas dalam dosa. Disangka kita sedang bermain air di gigi pantai. Tak sedar rupanya sudah tenggelam di tengah lautan. Kita mula jadi resah dan tak tentu arah. Kita sedar dan kita tahu, kita sedang kelemasan. Ya, kita mampu berenang ke pulauan taubat. Tapi, kita biarkan diri terus hanyut dibawa ombak kelalaian. Seakan kita seronok dipukul ke hulu ke hilir dengan arus lembut keseronokan dunia. 

Allah itu Maha Menyelamat. 

Dihantarnya kepada kita bukan satu, tetapi banyak bantuan. Dia melayarkan kapal penyelamat penuh dengan insan-insan yang sudi menghulurkan tangan, menarik kita kembali ke daratan keinsafan. Kalaupun bukan melalui bantuan makhluk bernama manusia, Allah tetap memberi beberapa petunjuk untuk kita kembali berenang, menguak tangan perlahan-perlahan untuk kembali ke daratan. Dia hanya perlu menjentik hati kotor kita untuk bergerak dan terus bernafas. 

Pada akhirnya, untuk kita sambut tangan-tangan insan yang menghulur itu, untuk kita turut sama-sama melayari bahtera penyelamat, untuk kita menggerakkan badan kembali bergerak ke permukaan, semuanya terpulang pada kita. Ya, kita. 

Bukan sekali kita bermain lagi di pantai itu. Apabila sudah diselematkan, kita tetap terus suka bermain di situ. Dan kita hanyut lagi dibawa arus kejahilan. 

Namun, ketahuilah, andai dada masih berombak lembut, mata masih mampu mengerlip melihat, itu tandaNya, Allah masih mahu kita bertaubat. Masih ada peluang untuk kita keluar dari dasar pekat gelap lautan dosa. Nah, usah bertangguh lagi. Masa tidak akan memandang kita apatah lagi menunggu kita.


Saya seorang pendosa. Dosa saya tidak terhitung banyaknya. Andai dosa mempunyai bau, pasti ramai akan menjauhi kita.. Namun, adakah ini bermakna masih tidak punya harapan untuk saya?

1 comment:

Unknown said...

kita sedar akan kekhilafan diri, malah sedar bahawa kita sedang berenang2 dalam lautan dosa..
cuma kita sahaja yg tidak sedaya upaya untuk kembali ke daratan...