20 October 2013

Cemburu Rindu






Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Sudah 28 hari umi dan ayah menjadi tetamu Allah. 23 hari lagi kami bakal bersatu kembali. Incha allah.

Semua kebetulan yang terjadi dalam hidup kita sebenarnya telah disusun indah oleh Pencipta. Malah rasa cinta yang hadir dalam setiap memori itu juga datang daripada izin Yang Esa.

Sewaktu di bangku sekolah, saya tak pernah membayangkan diri saya mampu ke Maghribi. Sebuah negara arab yang begitu asing buat diri. Dahulunya, saya suka berangan mahu ke UK atau negara-negara Eropah. Atau saya menyambung pelajaran di Jepun, negara sakura yang sangat bersih. Negara-negara yang maju dan moden menjadi pilihan.

Saya juga menjalankan survey ke atas ahli keluarga, bertanyakan negara mana menjadi pilihan mereka. Cik Ayu adik ayah yang ketujuh memberi respon. "Cik Ayu nak ke Mekkah dulu sebelum tempat-tempat lain". Saya hanya membulatkan bibir sambil hati berbisik "Mekkah tu best sangat ke?" rasa tak puas hati timbul merasakan tempat lain lebih baik untuk dijadikan pilihan. Rasa hati saya waktu itu.

Meningkat dewasa, saya berpeluang terbang ke Maghribi. Di situ seorang senior memberitahu, andai kami sudah menjejakkan kaki ke Maghribi, maka, perlulah kami berusaha menjejakkan ke 3 buah negara yang wajib dilawati. Katanya, rugi andai kami sia-siakan peluang 3 tahun di Maghribi begitu sahaja. Negara-negara yang disebutkannya adalah Sepanyol, Turki dan Arab Saudi (menunaikan umrah).

Sekali lagi saya merasakan Arab Saudi itu terlalu jauh untuk digapai dengan hati dan kaki saya. Entah mengapa rasa membuak-buak untuk ke sana tidak timbul. Masih, Alhamdulillah, Allah beri kesempatan kepada saya untuk melawat Sepanyol, Turki dan Perancis.


Kini saya sudah bekerja dan berada di Malaysia. Pada suatu hari yang basah dengan hujan. Kami baru sahaja pulang bercuti dari Terengganu. Dua pucuk sampul surat dari Tabung Haji berada di dalam peti pos rumah kami. Maha Suci Tuhan, Umi dan Ayah ditawarkan mengerjakan haji meski mereka tidak memohon untuk rayuan pemilihan. Tampak rasa syukur dan rasa beruntung jelas di riak wajah mereka. Namun, masih, saya tidak terasa lagi cemburu dengan mereka. Sehinggalah mereka terbang ke bumi barakah itu.



Akan tetapi dalam hanya masa 28 hari ini, saya sudah sangat rindu untuk turut bersama di sana. Saya juga mahu dipilih Allah untuk menjadi tetamuNya. Meski bayangan dosa-dosa sentiasa menghantui cuba mematahkan rasa ingin di hati, air mata ini tetap juga mengalir kesyahduan melihat bahagianya tetamu-tetamu itu beribadah di rumah Allah. Apakah saya akan dipilihnya sebelum mata tertutup buat selamanya?


Saya juga mahu mendapat doa yang diangkat terus ke langit. Saya juga mahu mendapat pahala dengan hanya melihat Kaabah. Saya juga mahu mendapat pahala 1000 kali ganda bersolat di Masjid Nabawi. Malah, saya juga mahu menjadi saksi dan melihat sendiri tanah tempat tumpah darahnya syuhada' Islam.

Hairan sungguh dengan diri sendiri. Bagaimana sebelum ini saya sangat teringin ke Korea. Kononnya mahu melawat Minyoung dan Chae Eun, dua kenalan yang saya temukan di Turki. Tapi dalam hati sebenarnya mahu merasa kehidupan eksklusif dan trendy rakyat Korea. Ceh! Malu sungguh dengan diri. Dalam banyak-banyak tempat, masih Mekkah belum menjadi keutamaan.

Doa saya agar suatu hari nanti andai dipanjangkan umurnya, saya dapat menunaikan haji juga. Saya berdoa agar Allah memilih saya dan muhrim (suami atau adik) dalam umur 30 an untuk menjejakkan kaki ke tanah haram.Sebab kalau ikut giliran pendaftaran saya pergi umur 72!!! Makanya, saya perlu mula menabung dan berdoa dari sekarang. Yosh, Allahomma ballighna Makkah wa Madinah!

No comments: