Bismillahi as solatu was salaamu a'la Rasoulillah
Realiti hidup seorang yang gelarkan dirinya sebagai daie. Setiap kata-kata yang diucapkan, setiap tulisan yang dipenakan, pasti Allah akan terus hadiahkan sebuah ujian kepada pemilik nasihat tersebut.
Mari, saya ceritakan lagi tentang perkara ini. Walaupun agak sudah lama hadiah pengajaran ini Allah kirimkan, belum terlambat rasanya saya pahatkan di sini untuk di ambil pedoman.
Blog post yang bertarikh 29 Januari 2014 bertajuk Iri Hati Seorang Ukhti. Post ini hanya pandangan peribadi saya sahaja. Tak sangka, sungguh tak dijangka, Allah uji pula saya keesokan harinya dengan ujian yang berlainan tapi inti pati nya sama dengan post yang ditulis.
Pada malam 30 hari bulan Januari yang lepas, keputusan English Proficiency Test telah diumumkan. Peperiksaan ini perlu diambil oleh semua PG (postgraduate) students yang belajar di Timur Tengah atau yang tidak mempunyai sijil TOEFL dan selayaknya.
Hendak dijadikan cerita, pada siang harinya saya dan Sohadah terserempak dengan kawan dari Algeria yang bernama Farah. Kawan Maghariba yang sangat saya teruja berkawan dengannya kerana dia mengingatkan saya tentang sahabat di Maghribi.
Kami bersalaman dan bertanya khabar sekejap setelah lama tak berjumpa sejak hari pendaftaran. Sebelum berpisah saya meminta dia mendoakan kami mendapat keputusan EPT yang melayakkan kami untuk terus masuk kuliyah. Kerana bagi mereka yang belum melepasi band tertentu, maka, wajiblah ke atas mereka masuk ke Pusat Bahasa sehingga melayakkan mereka untuk ke kuliyah.
Alhamdulillah, pada malam harinya saya menyemak keputusan EPT dan kami berdua lulus peperiksaan. Saya terus berkongsi rasa gembira itu di wall FB Farah. "Alhamdulillah,.. Thank you sister for your du3a.. Both of us succeeded in EPT!". Lebih kurang begitu status yang saya coretkan.
Sebuah like dihadiahkan. Sebuah komen "Congratulation" diselit bersama. Tetiba sebuah mesej kelihatan. "Where can I see the result of EPT?", Farah bertanya.
Nah, terus teringat saya bahwa dia juga sama seperti saya. Kami sama-sama baru masuk dan dia juga mengambil ujian EPT juga!. Masya Allah, waktu itu saya berharap sangat akan ada berita gembira daripadanya. Dan anda boleh teka bagaimana akhirnya situasi bertukar. "I didnt pass the EPT, I only got band 5 I have to pass with band 6".
Terus menyirap rasa bersalah dalam diri. "Ya Allah, apa yang telah aku lakukan?". Bukankah sama sahaja apa yang aku lakukan sekarang dengan apa yang telah aku tuliskan sebelum ini. Tanpa aku sedari aku telah mengecewakan seorang ukhti.
Akhirnya, saya meminta maaf kepada Farah "I am sorry, I was overexcited just now". Segera saya memadam status yang saya coretkan di wall Farah.
Lihatlah, dan ambillah pengajaran daripada cerita saya ini. Kita akan berterusan diuji dengan setiap ucapan dan nasihat yang kita berikan. Namun, adakah itu bermakna kita harus berhenti daripada berbuat kebaikan?. Tidak sama sekali. Itulah cara bagaimana Allah mahu kita sentiasa ingat bahawa Dia lah Yang Maha Hebat dan Maha Mengetahui segala tersirat yang baik untuk kita.
Usah terlalu cepat berputus asa dalam menyampaikan risalah ini. Andai ada yang membenci dan mengatakan kata-kata yang menyakitkan, kuatkan hati kamu dan yakinlah, kita sedang melakukan perkara yang benar. Sesungguhnya mereka tidak tahu, dan hanya tahu menghukum.
Sedang diri kita juga diuji Tuhan, dan kita hanya ingin berkongsi nasihat bukan ingin menunjuk nunjuk kehebatan, akan tetapi menjadi peringatan. Peringatan buat diri sang penulis yang bakal ditanya terlebih dahulu, "Apakah engkau sudah sebarkan kata-kata peringatan?" kemudian dia akan pula ditanyakan "Apakah sudah engkau lakukan apa yang engkau coretkan?".
Wahai orang orang yang beriman. Mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan?
Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukannyaRahmat Allah amat luas. Besar kemaksiatan yang telah kita lakukan padaNya, besar lagi rahmat dan ampunannya buat kita. Ayuh sama-sama kita rebut untuk berada dalam payung rahmatNya!.
No comments:
Post a Comment