26 July 2012

Jujur dalam bercinta

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Mungkin kalian sudah bosan dengan tulisan drama air mata saya. Oh, tolong maafkan saya~

Sedar tak sedar tinggal sehari sahaja lagi keberadaan saya di bumi Maghribi. Subhanallah.. pantas sangat masa berlalu. Diri saya pada waktu ini terkejar-kejar dengan banyak perkara. Terasa susah meninggalkan bumi ini dalam masa yang sama, masih banyak perkara yang belum diselesaikan. Kadang-kadang apabila saya di dalam fatrah yang susah, saya selalu membayangkan diri saya di masa hadapan, terus tekan butang fast forward dalam otak dan bayangkan keadaan diri saya selepas berjaya mengharungi sesuatu kepayahan. 

Semalam, sewaktu mendaki bukit sebelum sampai ke rumah saya sudah membayangkan keberadaan diri saya di Malaysia. Sedang saya menapak satu demi satu langkah ke hadapan, terus saya menegur diri, buat apa perlu saya membayangkan diri di masa hadapan, seolah-olah mahu cepat meloloskan diri dari dunia realiti. Terus juga saya menyoal diri, bukankah lebih indah andai setiap detik masa itu walau pun payah untuk di harungi, tetap kita hayati satu persatu saat hidup itu. Sesungguhnya hidup kita ini bukan disulam dengan benang sutera kesenangan sahaja malah dikait pula dengan benang ujian. Walaupun sulam itu lembut dan indah, benang yang kasar itu juga memberi warna dan corak yang menyerlah juga.


Saidah Fathi
Saidah Jayid


Malam semalam sempat juga saya habiskan ziarah ke rumah ibu-ibu angkat saya. Ingat tak lagi pembaca sekalian dengan dua orang sahabat baik saya, Saidah Fathi dan Saidah Jayid? Dua orang kebahagiaan seperti makna nama mereka yang Allah hantarkan dalam hidup saya sebagai teman baik di sini. Dua orang yang sangat berbeza, Saidah Jayid kaya orangnya, tinggal di villa besar tapi sangat merendah diri. Saidah Fathi pula datang daripada keluarga yang sangat sederhana. Saidah Jayid pelajar Arabyah, Saidah Fathi pula pelajar Injlizyah. Subhanallah. 

Kedua-dua sahabat ini sudi berkongsi kasih ibu mereka dengan saya. Walau berbeza kulit warna dengan anak mereka tetap ibu-ibu ini menerima saya seadanya. Percaya tak, saya menangis teresak waktu peluk mak Saidah berdua daripada peluk anak mereka. Pelik kan? Saya pun tak pasti kenapa. Mungkin berkat kasih sayang dalam makanan yang mereka sediakan dah sebati dalam diri saya. Segala kuskus, tajine, maraq dan harirah yang dimasak dengan cinta tanpa mengira bangsa membuatkan saya lebih berat tinggalkan mereka.

Saya tak pandai buat ayat cakap "Ummi, tolong halalkan makan minum saya" atau "Ummi, tolong maafkan salah silap saya kalau pernah terkasar bahasa, tak faham apa yang saya nak kata" untuk dialih bahasa dalam Bahasa Arab. Cuma yang pasti, saya jujur dalam saya katakan, "Kanbghekoum bzaf", sungguh aku sayang sangat pada kalian. "Kalau kita tak berjumpa di dunia, harapnya kita akan berjumpa di syurga" tegas saya sebelum berlalu pergi.

mama saidah jayid (tak ada gambar yang lebih dekat T_T)
ummi saidah fathi
Apa yang cuba saya sampaikan di sini, jangan pernah malu untuk menyatakan cinta kita pada mereka yang kita sayang terutamanya ibu bapa kita. Semahunya kita sampaikan kata-kata ini setiap hari buat insan mulia yang selama ini selalu berkorban sedaya upaya memberi kita segala macam kebaikan.

Mula-mula tu mungkin kita akan rasa malu dan agak canggung. Percayalah! Saya pun terasa bahang kemerahan di pipi waktu kali pertama sebut perkataan "I Love You" di hujung panggilan telefon ke Malaysia. Bahkan sampai ke hari ini, saya masih rasa terlalu bahagia apabila saya dapat jatuhkan ego yang kononnya bertakhta untuk sebut "I Love You" terlebih dahulu kepada mereka. Pelbagaikanlah cara menyebut perkataan itu, ibu bapa kalian pasti terasa kejujuran cinta yang cuba ingin kita sampaikan. Apabila kita betul-betul terasa kebahagiaan dan kasih sayang apabila berukhwah dengan sesiapapun, janganlah segan untuk mengungkapkan, "Saya sayang kamu kerana Allah".

Maka, jujurlah kalian dalam mengucapkan kata-kata cinta pada yang selayaknya. Usah biarkan diri terbeban dengan penyesalan andai tak sempat untuk meluahkan perasaan. Bukan hanya pada makhluk sahaja bahkan jua pada Pencipta dan RasulNya. Moga-moga kasih sayang yang kita jalinkan utuh membawa kita pada redhaNya.

Cikgu Tawfiq dan Cikgu Siti

Ayuh, kita sama-sama jujur dalam bercinta!

p/s: saya saaaaaayang umi ayah saya~~~ *hearts*

23 July 2012

Penangan Cinta

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Amaran : Post ini agak cheesy. 

Ada suatu perasaan yang tak dapat digambarkan oleh kata-kata dan tidak mencukupi untuk diluahkan dengan air muka. Perasaan yang tidak diilhamkan ini membuatkan seseorang mampu untuk tidak makan dengan kenyangnya, lebih diam daripada berkata-kata dan lebih banyak tersenyum apabila ditanya. Air mata bisa mengalir tak kira masa. Sekarang ini baru saya tahu, oh, inilah perasaannya. Perasaan berat untuk meninggalkan mereka yang kita cinta. Cinta kerana Allah. 

Ok, tolong jangan muntah. Nanti kena ganti puasa,.

Kalau dahulu (macam lama pulak bunyinya kan?^ ^), saban tahun, antara peristiwa yang paling berat untuk saya hadiri adalah Majlis Konvokesyen dan juga hantar senior di Aeroport Mohamed IV. Bilangan mahasiwa-mahasiswi di Maghribi sangat sedikit bilangannya. Secara kasarnya, dalam satu Maghribi ni, bilangan kami hanyalah seramai 85 orang. Ah, tak suka sangat perasaan ditinggal. 


Buat semua yang masih belum tahu, paling singkat keberadaan pelajar Morocco di sini adalah tiga tahun. Maka, nak katanya, kasih sayang seorang kakak senior tu kami tak dapat nikmati dalam waktu masa yang lama. Sekejap-sekejap sahaja. Paling lama pun dua tahun, dan senior kami akan graduate. Kiranya, adik-adik junior saya pun bakal merasa perasaan yang saya rasa dahulu.
Adakah (?)

Satu perkara yang saya perhatikan sejak akhir-akhir ini, kami lebih rapat antara satu sama lain. Lagilah rasa sayang nak tinggalkan. Hasrat hati mahu sahaja saya duduk lama di sini, sambung Master pula. Tapi apakan daya, kita hanya mampu berusaha sahaja, pada akhirnya, saya pasti saya akur dengan keputusan ibu bapa. Tapi yang sebenar-benarnya, kami budak-budak YP dah kehabisan duit. ==''

Apa motif post ni ditulis ya? Setiap pertemuan itu pasti di akhiri dengan perpisahan. Ayat cliche yang selalu kita dengar. Tapi sejauh mana kita hargai ukhuwah yang dibina sepanjang pertemuan itu, hanya kita sahaja yang dapat ____________. Sila isi tempat kosong itu. :)




22 July 2012

Kenapa???

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Perkara paling berharga yang dapat saya pelajari sepanjang tiga tahun saya di bumi Maghribi adalah berkaitan dengan kebergantungan kita pada Pencipta dan berbaik sangka padaNya.  

Hidup kita sangat indah, penuh dengan kejutan dan ujian. Kadang-kadang doa kita dimakbulkan, terkadang seolah-olah diendahkan. Selalunya juga kita akan melihat kelebihan dan nikmat yang Allah berikan kepada orang lain tanpa kita sedari, betapa banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Sedang kita berada dalam fasa ketidaksedaran tersebut, selalu kita mengeluh dan mempersoalkan keadilan Tuhan, "Kenapa semua perkara tampak terlalu mudah bagi dirinya?", "Kenapa aku selalu di dalam kesusahan", "Kenapa rezekinya tampak berganda-ganda, ah, seronoknya!".


Tanpa kita sedar jua, kita telah mempersoalkan takdir Tuhan. Terus menggelapkan hati mencari cahaya kesabaran dan hikmah di sebalik setiap ujian. Ah, manusia memang selalu lupa. Ya, itulah manusia dalam fatrah ujian, terkadang ada masa menaik menjulang tahap iman. Terkadang juga iman kita jatuh terjelopok di dataran. 

Bersangka baiklah kita dengan Pencipta. Ya, memang buat masa sekarang ini, semua perkara seakan senang buat mereka. Namun yakinlah, kesenangan itu sudah tersedia buat kita. Mungkin sekarang rezeki buat mereka terbentang di hadapan mata. Siapa pula yang tahu, rezeki lebih besar sudah tertulis di Luh Mahfuz sana menanti  di masa hadapan kita?. Rahsia Allah, siapakan yang tahu melainkan Dia yang Maha Mengetahui. 



Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nisa' Ayat 32)

Jauhi hasad dengki yang merosakkan hati. Membanding-bandingkan nikmat mereka dengan nikmat yang kita terima hanya sia-sia. Sedang kita mengipas bara api dengki di dalam hati, ketahuilah, sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Dia takkan pernah menzalimi hamba-hambaNya yang sentiasa berdoa dan meminta dengan penuh kesabaran. Bukankah Allah sudah berfirman dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, ‘Aku adalah apa yang hambaKu fikirkan’.


Ayuh, kita baiki prasangka kita pada Pencipta. Nah, cuba letakkan diri kita di tempat mereka yang sentiasa dihujani ujian tidak bertepian. Letakkan diri di tempat saudara kita di Palestin, Syria mahupun Burma. Sentiasa berada di dalam ketakutan dan pengharapan. Betapa kuatnya pergantungan mereka kepada Tuhan, betapa indahnya prasangka mereka dalam mendambakan syahid pengakhir kehidupan. Saudara seakidah kita di Somalia, Afrika sentiasa dalam kelaparan dan kehausan. Namun, tetap iman mereka utuh sentiasa mengharapkan bantuan dan belas kasihan daripada Tuhan.



Kalau diikutkan tahap ujian kita berbanding ujian yang dihadiahkan buat mereka, sudah pasti kita akan sentiasa bersyukur atas segala nikmat ujian yang selama ini Allah berikan. Bersyukurlah, berbaik sangkalah selalu. Hidup ini bukan untuk kita sia-siakan dengan mengeluh dan merungut tidak berkesudahan. Bukankah lebih indah andai kita hiasi bibir kita dengan senyuman dan ucapan Alhamdulillah setiap kali ditimpa ujian?. 

Moga segala urusan kita sentiasa Allah permudahkan serta dikirimkan sekali kesabaran.

Salam Mubarak Ramadhan!~