17 February 2014

Manusia. Dunia. Cinta






Bismillahi as solatu was salaamu a'la Rasoulillah

Wahai Allah, sungguh Engkau yang Maha Mengetahui, betapa sukar bagi aku ingin menjaga hatiku daripada tunduk kepada nafsuku. 

Sungguh Engkau lebih berhak, kerna Engkau Maha Mengaturkan perjalanan hidupku dengan segala ketentuanMu.

Engkau yang membenarkan aku bertemu dan Engkau juga yang selayaknya menjauhkan mereka daripadaku.

Saksikanlah wahai Pencipta, bahawa hatiku, mataku, dan segala panca inderaku memohon ampun kepadaMu, atas kurangnya rasa cintaku pada diriMu dan pada kekasihMu.

Aku masih terikat dengan manusia. Aku masih terbelit dengan dunia. Aku masih buta dengan nafsu dan cinta. 

Manusia yang hanya membawa aku jauh daripadaMu. Dunia yang suka menipu. Nafsu dan cinta yang tak pernah beri rasa cukup dan bahagia. 

Siapalah aku di sisiMu Yang Maha Agung. Siapalah aku di antara jutaan manusia yang lebih mulia. 

Namun, tetap Pencipta diriku ini menyayangiku lebih daripada ibuku sendiri. 

Siapalah aku mempersoalkan apa yang Engkau telah aturkan, sedang kurniakan, akan hadiahkan kepadaku.

Aku hanya hamba. Hamba yang penuh dengan dosa, harapannya tidak pernah putus asa untuk memohon ampunanNya. 

Ingatkan aku, ini bukan tempat tinggalku. Tempat ini hanya ladang bagiku menyemai benih pahala. 



Ingatkan aku, ganjaran bagi mereka yang bersabar atas ujian Allah itu sangat besar. Tinggal aku bersangka baik denganNya. 


Diuji kembali






Bismillahi as solatu was salaamu a'la Rasoulillah

Realiti hidup seorang yang gelarkan dirinya sebagai daie. Setiap kata-kata yang diucapkan, setiap tulisan yang dipenakan, pasti Allah akan terus hadiahkan sebuah ujian kepada pemilik nasihat tersebut.

Mari, saya ceritakan lagi tentang perkara ini. Walaupun agak sudah lama hadiah pengajaran ini Allah kirimkan, belum terlambat rasanya saya pahatkan di sini untuk di ambil pedoman.

Blog post yang bertarikh 29 Januari 2014 bertajuk Iri Hati Seorang Ukhti. Post ini hanya pandangan peribadi saya sahaja. Tak sangka, sungguh tak dijangka, Allah uji pula saya keesokan harinya dengan ujian yang berlainan tapi inti pati nya sama dengan post yang ditulis.

Pada malam 30 hari bulan Januari yang lepas, keputusan English Proficiency Test telah diumumkan. Peperiksaan ini perlu diambil oleh semua PG (postgraduate) students yang belajar di Timur Tengah atau yang tidak mempunyai sijil TOEFL dan selayaknya.

Hendak dijadikan cerita, pada siang harinya saya dan Sohadah terserempak dengan kawan dari Algeria yang bernama Farah. Kawan Maghariba yang sangat saya teruja berkawan dengannya kerana dia mengingatkan saya tentang sahabat di Maghribi.

Kami bersalaman dan bertanya khabar sekejap setelah lama tak berjumpa sejak hari pendaftaran. Sebelum berpisah saya meminta dia mendoakan kami mendapat keputusan EPT yang melayakkan kami untuk terus masuk kuliyah. Kerana bagi mereka yang belum melepasi band tertentu, maka, wajiblah ke atas mereka masuk ke Pusat Bahasa sehingga melayakkan mereka untuk ke kuliyah.

Alhamdulillah, pada malam harinya saya menyemak keputusan EPT dan kami berdua lulus peperiksaan. Saya terus berkongsi rasa gembira itu di wall FB Farah. "Alhamdulillah,.. Thank you sister for your du3a.. Both of us succeeded in EPT!". Lebih kurang begitu status yang saya coretkan.

Sebuah like dihadiahkan. Sebuah komen "Congratulation" diselit bersama. Tetiba sebuah mesej kelihatan. "Where can I see the result of EPT?", Farah bertanya.

Nah, terus teringat saya bahwa dia juga sama seperti saya. Kami sama-sama baru masuk dan dia juga mengambil ujian EPT juga!. Masya Allah, waktu itu saya berharap sangat akan ada berita gembira daripadanya. Dan anda boleh teka bagaimana akhirnya situasi bertukar. "I didnt pass the EPT, I only got band 5 I have to pass with band 6".

Terus menyirap rasa bersalah dalam diri. "Ya Allah, apa yang telah aku lakukan?". Bukankah sama sahaja apa yang aku lakukan sekarang dengan apa yang telah aku tuliskan sebelum ini. Tanpa aku sedari aku telah mengecewakan seorang ukhti.

Akhirnya, saya meminta maaf kepada Farah "I am sorry, I was overexcited just now". Segera saya memadam status yang saya coretkan di wall Farah.

Lihatlah, dan ambillah pengajaran daripada cerita saya ini. Kita akan berterusan diuji dengan setiap ucapan dan nasihat yang kita berikan. Namun, adakah itu bermakna kita harus berhenti daripada berbuat kebaikan?. Tidak sama sekali. Itulah cara bagaimana Allah mahu kita sentiasa ingat bahawa Dia lah Yang Maha Hebat dan Maha Mengetahui segala tersirat yang baik untuk kita.

Usah terlalu cepat berputus asa dalam menyampaikan risalah ini. Andai ada yang membenci dan mengatakan kata-kata yang menyakitkan, kuatkan hati kamu dan yakinlah, kita sedang melakukan perkara yang benar. Sesungguhnya mereka tidak tahu, dan hanya tahu menghukum.

Sedang diri kita juga diuji Tuhan, dan kita hanya ingin berkongsi nasihat bukan ingin menunjuk nunjuk kehebatan, akan tetapi menjadi peringatan. Peringatan buat diri sang penulis yang bakal ditanya terlebih dahulu, "Apakah engkau sudah sebarkan kata-kata peringatan?" kemudian dia akan pula ditanyakan "Apakah sudah engkau lakukan apa yang engkau coretkan?".

Wahai orang orang yang beriman. Mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan?
 
Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukannya

Rahmat Allah amat luas. Besar kemaksiatan yang telah kita lakukan padaNya, besar lagi rahmat dan ampunannya buat kita. Ayuh sama-sama kita rebut untuk berada dalam payung rahmatNya!.

29 January 2014

Iri hati seorang ukhti







"Tak perlu puji pasangan kita dalam facebook. Baik puji depan2. Itu lebih baik dan menjadikan detik istimewa disimpan baik antara kita dan pasangan tanpa pengetahuan org lain. Lebih bermakna kan?...

Jgn dera perasaan kawan2 kita yg belum jumpa jodoh lg. Dulu kita pun teringin nak tau dan jumpa cepat jodoh kita. Doakan urusan jodoh mereka dipermudahkan..."



Bismillahi As solatu was Salaamu A'la Rasoulillah


Status di atas adalah milik seorang ukhti yang saya sayangi. Sejurus selepas dia menulis status tersebut di Facebook, langsung saya mengucap terima kasih kepadanya. Terima kasih? Kenapa?. 



Kerana akhirnya, masih ada juga yang turut mendoakan kebahagiaan sahabatnya tatkala dia juga sedang bahagia. Sungguh malaikat turut mendoakan kesejahteraan bagi mereka yang mendoakan kebaikan buat sahabatnya.

Kerana akhirnya, masih ada juga yang sedar mereka sepatutnya tidak menunjuk nunjuk kelebihan serta kebahagiaan mereka berlebih lebihan lantas secara tidak sengaja telah membuat rakan yang lain cemburu atas kebahagiaan mereka. Ya, kita mungkin tidak sengaja dan tidak berniat langsung untuk membuat orang lain iri hati akan kita. Kita mungkin hanya ingin berkongsi dan sebarkan rasa bahagia. Namun, ketahuilah wahai teman, ramai lagi dalam senarai rakanmu itu tidak memiliki apa yang kamu ada. Belum merasai bahagian rasa bahagia yang sedang kamu rasa. Belum mampu untuk mengidamkan setiap kemewahan yang kamu kecapi buat masa ini.

Jadi, dengarlah, rasakanlah coretan hatiku ini. Sungguh, maafkan diri andai aku hanya mampu mendoakan dalam diam. Bukan niatku mahu merasa terlalu cemburu akan kebahagiaanmu, akan tetapi jauh di sudut hatiku, aku juga mahu sepertimu.



Nah, lihat sekarang. Sedang aku mencemburuimu, mungkin juga kamu sedang mencemburui aku. Inilah manusia. Inilah kita. Aku juga sedar, akan kesilapanku berkongsi semua perkara tanpa hadnya. Dan mungkin juga aku pernah membuat orang iri dan cemburu akan kelebihan diriku. Ya, tanpa aku sedari.

Aku mungkin cemburu akan seorang ukhti yang sudah berkeluarga dan mempunyai cahaya mata. Akan tetapi dia juga mungkin sedang mencemburui aku akan rezekiku yang sedang melanjutkan pelajaranku. Kata kuncinya, rezeki. Sebagai mukmin kita percaya akan setiap rezeki kita berbeza dan hanya Allah Sang Maha Pemberi Rezeki yang mengetahui segalanya. Lantas, peranan kita apa?.

Sedaya upaya kita mensyukuri segala nikmat dalam kesederhanaan. Silakan berkongsi rasa bahagia itu. Namun, bersederhanalah dan usah lupa mendoakan kebaikan yang sama buat yang lain. "Ya Allah, seperti mana Engkau telah memudahkan urusanku ini, seperti mana enaknya rasa bahagia yang telah Engkau curahkan ini, Engkau limpahkanlah nikmat yang sama buat semua saudaraku. Agar mereka turut merasai enaknya apa yang sedang aku rasa". 

Alangkah indahnya manis rasa ukhuwah itu andai kita selalu mendoakan. Allahu..


Maafkan aku andai karangan ini mengguris perasaanmu sahabat. Hanya aku ingin berkongsi rasa hati yang boleh diendahkan ini. Maafkan aku juga andai pernah aku terlanjur membuat dirimu berasa cemburu.

Akan aku juga sentiasa membersihkan hatiku ini daripada rasa pahit cemburu itu. Kerana rasa itu hanya akan memakan diriku. Namun, bantu aku dengan kesederhanaanmu. Akan aku juga sentiasa bersederhana. Aku mendoakan kebaikan mengiringi dirimu selalu sahabat. Ameen.