30 October 2013

Namanya Hamba






Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Setiap kali kita merasa hati sudah terlalu hitam, badan sudah melekit dengan peluh jahiliyah, tangan pula diliputi kotoran lumpur dosa, pasti Allah tetap akan menghantar sesorang, sesuatu mahupun sebuah pandangan yang sentiasa mengingatkan kita kepadaNya.

Allah akan tarik kita semula kepadaNya. Tinggal kita sahaja yang mahu cakna, mahu peduli, mahu menyambut seru Tuhan menuju kebaikan meninggalkan kejahatan. Ya, kita sudah menjadi jahat kepada diri kita setiap kali kita berdosa. Zalim sungguh kita tatkala kita sendiri sedar akan dosa yang dibuat akan menghumban diri ke dalam Neraka selamanya.

Allah.. ampunkan hamba.

Sering hamba leka dengan dunia. Alpa dibuai nafsu sehingga terlupa, mana dosa mana pahala.

Sebagaimana kita dapat melihat sesuatu perbuatan kita menjurus kepada dosa, begitu juga lah kita melihat peluang peluang pahala di hadapan mata.

Usah pandang akan sesuatu yang dapat menggerakkan sebuah gunung. Cuba pandang sekeliling, cuba tatap mereka dalam bulatan kita, pasti akan ada peluang pahala menani kita. Dan ya, hanya kita yang mampu menggerakkan hati untuk merebut pahala tersebut. Mahma semudah mengutip sampah!.

Wahai manusia, terlalu benar kamu memandang dunia hingga tidak tertoleh akhirat kamu. 

Ah, kenyangnya kamu dengan makanan di sini, hingga mereka disana menyantap kucing kekurangan bekalan makanan. 

Nah, sibuk benar dengan kecantikan yang sementara, tanpa peduli pahala berterusan selamanya. Apalagi kalau bukan dengan sedekah dan amal jariah. 

Sudah kamu lunaskan tanggungjawab itu sebelum kamu sibuk menghiasi dirimu?

Ingatlah, setiap insan yang hadir dalam diri pasti meninggalkan sebutir mutiara hikmah. Setiap ujian mahupun kesusahan, terima dengan seikhlas hati. Jangan mudah merungut, niatkan dalam hati "Oh Allah, aku memohon manisnya ikhlas di penghujung urusan ini walaupun payah".

Usahakan sebaik mungkin setiap perkara di hadapan kita, mungkin tampak kecil, manakan tahu, itulah yang menjadi asbab kita syurga. Mulakan dengan bismillah, setiap yang payah pasti menjadi mudah, yang mulanya ralat pada akhirnya pasti kan jadi hebat. In sha Allah.

Selamat menjadi hamba yang tidak putus-putus bertaubat, kamu tidak hina kerana dosa, kerana bukan saya, dia, mahupun mereka yang menentukan syurga atau neraka. Hanyalah Allah yang Maha Menghukum selayaknya menentukan. 

20 October 2013

Cemburu Rindu






Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Sudah 28 hari umi dan ayah menjadi tetamu Allah. 23 hari lagi kami bakal bersatu kembali. Incha allah.

Semua kebetulan yang terjadi dalam hidup kita sebenarnya telah disusun indah oleh Pencipta. Malah rasa cinta yang hadir dalam setiap memori itu juga datang daripada izin Yang Esa.

Sewaktu di bangku sekolah, saya tak pernah membayangkan diri saya mampu ke Maghribi. Sebuah negara arab yang begitu asing buat diri. Dahulunya, saya suka berangan mahu ke UK atau negara-negara Eropah. Atau saya menyambung pelajaran di Jepun, negara sakura yang sangat bersih. Negara-negara yang maju dan moden menjadi pilihan.

Saya juga menjalankan survey ke atas ahli keluarga, bertanyakan negara mana menjadi pilihan mereka. Cik Ayu adik ayah yang ketujuh memberi respon. "Cik Ayu nak ke Mekkah dulu sebelum tempat-tempat lain". Saya hanya membulatkan bibir sambil hati berbisik "Mekkah tu best sangat ke?" rasa tak puas hati timbul merasakan tempat lain lebih baik untuk dijadikan pilihan. Rasa hati saya waktu itu.

Meningkat dewasa, saya berpeluang terbang ke Maghribi. Di situ seorang senior memberitahu, andai kami sudah menjejakkan kaki ke Maghribi, maka, perlulah kami berusaha menjejakkan ke 3 buah negara yang wajib dilawati. Katanya, rugi andai kami sia-siakan peluang 3 tahun di Maghribi begitu sahaja. Negara-negara yang disebutkannya adalah Sepanyol, Turki dan Arab Saudi (menunaikan umrah).

Sekali lagi saya merasakan Arab Saudi itu terlalu jauh untuk digapai dengan hati dan kaki saya. Entah mengapa rasa membuak-buak untuk ke sana tidak timbul. Masih, Alhamdulillah, Allah beri kesempatan kepada saya untuk melawat Sepanyol, Turki dan Perancis.


Kini saya sudah bekerja dan berada di Malaysia. Pada suatu hari yang basah dengan hujan. Kami baru sahaja pulang bercuti dari Terengganu. Dua pucuk sampul surat dari Tabung Haji berada di dalam peti pos rumah kami. Maha Suci Tuhan, Umi dan Ayah ditawarkan mengerjakan haji meski mereka tidak memohon untuk rayuan pemilihan. Tampak rasa syukur dan rasa beruntung jelas di riak wajah mereka. Namun, masih, saya tidak terasa lagi cemburu dengan mereka. Sehinggalah mereka terbang ke bumi barakah itu.



Akan tetapi dalam hanya masa 28 hari ini, saya sudah sangat rindu untuk turut bersama di sana. Saya juga mahu dipilih Allah untuk menjadi tetamuNya. Meski bayangan dosa-dosa sentiasa menghantui cuba mematahkan rasa ingin di hati, air mata ini tetap juga mengalir kesyahduan melihat bahagianya tetamu-tetamu itu beribadah di rumah Allah. Apakah saya akan dipilihnya sebelum mata tertutup buat selamanya?


Saya juga mahu mendapat doa yang diangkat terus ke langit. Saya juga mahu mendapat pahala dengan hanya melihat Kaabah. Saya juga mahu mendapat pahala 1000 kali ganda bersolat di Masjid Nabawi. Malah, saya juga mahu menjadi saksi dan melihat sendiri tanah tempat tumpah darahnya syuhada' Islam.

Hairan sungguh dengan diri sendiri. Bagaimana sebelum ini saya sangat teringin ke Korea. Kononnya mahu melawat Minyoung dan Chae Eun, dua kenalan yang saya temukan di Turki. Tapi dalam hati sebenarnya mahu merasa kehidupan eksklusif dan trendy rakyat Korea. Ceh! Malu sungguh dengan diri. Dalam banyak-banyak tempat, masih Mekkah belum menjadi keutamaan.

Doa saya agar suatu hari nanti andai dipanjangkan umurnya, saya dapat menunaikan haji juga. Saya berdoa agar Allah memilih saya dan muhrim (suami atau adik) dalam umur 30 an untuk menjejakkan kaki ke tanah haram.Sebab kalau ikut giliran pendaftaran saya pergi umur 72!!! Makanya, saya perlu mula menabung dan berdoa dari sekarang. Yosh, Allahomma ballighna Makkah wa Madinah!

06 October 2013

Mencari diri





Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Mencari hikmah dalam setiap episod kehidupan. Itu yang membezakan kita dengan mereka. Setiap hari yang dilalui, setiap langkah yang dipateri patut meninggalkan kesan yang lebih positif dalam diri. Andai sesuatu perkara kita lakukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga, semak semula apa yang tidak kena.

Saya membelek setiap post yang ada di halaman ini satu per satu. Hajat di hati yang selama ini terkubur mula saya gagahi. Menghasilkan sebuah buku. Menulis atau mengumpul dua perkara yang berbeza. Dan setiap kali saya meneliti kembali setiap ayat yang pernah dikarang, membuat saya tertanya sendiri,

"Kemana hilangnya aku yang ini?".

"Mengapa aku tidak seperti aku yang dahulu?''

Suatu perasaan sudah hilang dalam diri. Ya, dahulunya saya sangat berahi untuk berkongsi setiap perkara yang berlaku di sekeliling saya. Mencari gali setiap hikmah yang tersurat lagi tersirat. Namun sekarang, rasa untuk berkongsi itu semakin berkurang. Entah mengapa saya menjadi semakin kelu dan kebas dalam menulis.

Saya sudah lupa akan apa sebenarnya yang saya mahukan daripada sebuah penulisan. Pahala berterusan. Itu sememangnya menjadi dambaan.

Justeru, saya perlu sentiasa menulis, menulis dan menulis. Bukan mengharapkan penulisan saya itu menjadi suatu aset kemasyhuran, namun menjadi pelaburan tidak bertepian. Melalui nasihat dan juga pedoman yang dapat dikutip melalui lorong-lorong kehidupan.

Seorang sahabat tidak penat dan tidak gagal untuk bertanya lagi mengingatkan, "Husna, bila mahu tulis post yang baru?, saya rindukan soalan itu.

Saya akan cuba menulis dan berkongsi setiap perkara yang dimanfaatkan buat yang lain. Meski berkali-kali hasrat di hati mahu sahaja ditutup blog ini, namun, saya harapkan masih ada yang setia menanti, memerhati dan memberi doa dalam sepi buat saya teruskan usaha murni ini.

Doakan saya terus kuat dalam menulis. Semoga Allah memberi kekuatan buat diri kalian juga dalam terus melakukan kebaikan. Wallahu a'lam.