“Adakah dia Terroris?!” tunjuk seorang pak cik pertengahan 60 an ke arah sahabat berniqab hitam di sebelah saya sewaktu berjalan di Istana Topkapi. “Semua ini merepek sahaja” ujar seorang pelancong melihat salah satu khazanah simpanan yang dikatakan helaian janggut Rasulullah ﷺ sewaktu berjalan di dalam muzium. “Kamu tiada rambutkah?” tanya seorang pemandu teksi di Maghribi apabila melihat saya bertudung melalui cermin belakang teksinya. Siri pengalaman ini dan beberapa pengalaman lain benar-benar membuat saya terfikir, “Adakah aku telah mewakili Islam yang sebenar?, Apakah respon yang terbaik dapat aku berikan ketika diprovok dan diejek sebegini rupa?”. Saya yakin anda juga pernah melalui pengalaman ini, malah mungkin lebih mencabar daripada saya. Jikalau anda berada di tempat saya, apa tindakan yang anda lakukan?.
Beberapa tahun ini, umat Islam diuji dengan
beberapa insiden yang benar-benar menuntut kebijaksanaan dalam memberi respon
atas tindakan provokatif musuh. Namun, malang sekali kita gagal memberi respon
yang baik kepada mereka malah telah meninggalkan kata kata kesat sehinggakan
ada yang bertindak mengugut bunuh. Allah telah merekodkan di dalam Al Quran
tentang cacian yang telah dilontarkan kepada Rasulullah ﷺ dan
para nabi. Nabi Muhammad ﷺ telah dilemparkan dengan kata-kata seperti
Saahir iaitu tukang sihir dan juga digelar sebagai Majnun iaitu orang gila
(51:52). Mereka adalah manusia yang dimuliakan Allah di dalam Al Quran tetapi
mereka juga telah menerima ejekan dan penghinaan di sepanjang perjalanan dakwah
mereka.
Tetapi apakah tindakan yang patut dilakukan? Marah dan mengamuk dengan sepenuh
hati?. Marilah kita mencontohi para sahabat Rasulullah
ﷺ
apabila berhadapan dengan situasi
seperti ini. Mereka tidak keluar protes dan melakukan keganasan kepada orang
lain. Mereka juga tidak membalas dengan kata kata nista dan ugutun bunuh yang
berbahaya kerana mereka benar-benar beriman dengan firman Allah, ‘Bersabarlah
kamu dengan setiap apa yang mereka katakan” (73:10). Kerana pada akhirnya
setiap kata-kata, mahupun lukisan atau nyanyian hatta movie yang musuh Islam
lakukan untuk menjatuhkan Islam hanyalah perbuatan sia-sia dan pembaziran
semata-mata. Lihat sahaja fitnah September 11 hanya menjadikan lebih ramai
orang Amerika mengkaji tentang Islam dan akhirnya lebih ramai memeluk agama
mulia ini setelah mendapat tahu tentang kebenaran Islam.
Allah juga sudah menceritakan kepada kita bahawa
kita akan diuji dengan kata cacian dan tuduhan yang menyakitkan hati daripada
kaum musyrik dan Allah mengajar kita untuk tetap bersabar dan bertaqwa kerana itu
adalah semulia perbuatan yang dapat kita lakukan (3:186) . Perlu kita sedar
bahawa tindakan membalas provokasi dengan ledakan amarah dan serangan semula
ibarat menambah minyak kedalam api. Kita akan hanya bertambah benci kepada
mereka, dan mereka juga bertambah seronok menguji lagi kesabaran umat Islam.
Kita perlu membalas dengan cara yang
mengingatkan kita bahawa “Aku ini sedang mewakili Rasulullah ﷺ di
dalam setiap perbuatan dan kata-kataku. Sudah pasti aku tidak mahu menjadi
fitnah buat Islam dan Rasul”. Jika semua umat Islam berjaya menghayati kelembutan
Nabi Muhammad ﷺ dalam
berbicara dengan kaum musyrik sudah pasti lebih ramai lagi yang akan tertarik
dengan Islam. Balaslah dengan kebijaksanaan. Senyum dan berterima kasih buat
mereka atas minat yang ditunjukkan terhadap Islam dan berhikmahlah dalam setiap
perbuatan dan serta bersabarlah. Moga setiap langkah kita dalam menjadi duta
Islam menjadi saksi di akhirat kelak dan semoga kita dapat berjumpa Rasulullah
dan baginda berbangga atas usaha-usaha kita dalam berdakwah dengan cara
baginda. Selamat berusaha dan selamat maju jaya hendaknya.
(51:52)
Surah Az-Zariyat
(73:10)
Surah Al Muzammil
(3:186)
Surah Aali-Imran