29 January 2014

Iri hati seorang ukhti







"Tak perlu puji pasangan kita dalam facebook. Baik puji depan2. Itu lebih baik dan menjadikan detik istimewa disimpan baik antara kita dan pasangan tanpa pengetahuan org lain. Lebih bermakna kan?...

Jgn dera perasaan kawan2 kita yg belum jumpa jodoh lg. Dulu kita pun teringin nak tau dan jumpa cepat jodoh kita. Doakan urusan jodoh mereka dipermudahkan..."



Bismillahi As solatu was Salaamu A'la Rasoulillah


Status di atas adalah milik seorang ukhti yang saya sayangi. Sejurus selepas dia menulis status tersebut di Facebook, langsung saya mengucap terima kasih kepadanya. Terima kasih? Kenapa?. 



Kerana akhirnya, masih ada juga yang turut mendoakan kebahagiaan sahabatnya tatkala dia juga sedang bahagia. Sungguh malaikat turut mendoakan kesejahteraan bagi mereka yang mendoakan kebaikan buat sahabatnya.

Kerana akhirnya, masih ada juga yang sedar mereka sepatutnya tidak menunjuk nunjuk kelebihan serta kebahagiaan mereka berlebih lebihan lantas secara tidak sengaja telah membuat rakan yang lain cemburu atas kebahagiaan mereka. Ya, kita mungkin tidak sengaja dan tidak berniat langsung untuk membuat orang lain iri hati akan kita. Kita mungkin hanya ingin berkongsi dan sebarkan rasa bahagia. Namun, ketahuilah wahai teman, ramai lagi dalam senarai rakanmu itu tidak memiliki apa yang kamu ada. Belum merasai bahagian rasa bahagia yang sedang kamu rasa. Belum mampu untuk mengidamkan setiap kemewahan yang kamu kecapi buat masa ini.

Jadi, dengarlah, rasakanlah coretan hatiku ini. Sungguh, maafkan diri andai aku hanya mampu mendoakan dalam diam. Bukan niatku mahu merasa terlalu cemburu akan kebahagiaanmu, akan tetapi jauh di sudut hatiku, aku juga mahu sepertimu.



Nah, lihat sekarang. Sedang aku mencemburuimu, mungkin juga kamu sedang mencemburui aku. Inilah manusia. Inilah kita. Aku juga sedar, akan kesilapanku berkongsi semua perkara tanpa hadnya. Dan mungkin juga aku pernah membuat orang iri dan cemburu akan kelebihan diriku. Ya, tanpa aku sedari.

Aku mungkin cemburu akan seorang ukhti yang sudah berkeluarga dan mempunyai cahaya mata. Akan tetapi dia juga mungkin sedang mencemburui aku akan rezekiku yang sedang melanjutkan pelajaranku. Kata kuncinya, rezeki. Sebagai mukmin kita percaya akan setiap rezeki kita berbeza dan hanya Allah Sang Maha Pemberi Rezeki yang mengetahui segalanya. Lantas, peranan kita apa?.

Sedaya upaya kita mensyukuri segala nikmat dalam kesederhanaan. Silakan berkongsi rasa bahagia itu. Namun, bersederhanalah dan usah lupa mendoakan kebaikan yang sama buat yang lain. "Ya Allah, seperti mana Engkau telah memudahkan urusanku ini, seperti mana enaknya rasa bahagia yang telah Engkau curahkan ini, Engkau limpahkanlah nikmat yang sama buat semua saudaraku. Agar mereka turut merasai enaknya apa yang sedang aku rasa". 

Alangkah indahnya manis rasa ukhuwah itu andai kita selalu mendoakan. Allahu..


Maafkan aku andai karangan ini mengguris perasaanmu sahabat. Hanya aku ingin berkongsi rasa hati yang boleh diendahkan ini. Maafkan aku juga andai pernah aku terlanjur membuat dirimu berasa cemburu.

Akan aku juga sentiasa membersihkan hatiku ini daripada rasa pahit cemburu itu. Kerana rasa itu hanya akan memakan diriku. Namun, bantu aku dengan kesederhanaanmu. Akan aku juga sentiasa bersederhana. Aku mendoakan kebaikan mengiringi dirimu selalu sahabat. Ameen. 

01 January 2014

Siang 1 Januari 2014






Bismillahi as solatu wassalamu a'la Rasoulillah.

Ingat tak kisah malam tadi?Kisah Malam 1 Januari 2014. Sebuah keajaiban pula berlaku pagi ini.

Mak Cik Ani, jiran sebelah rumah datang ingin berjumpa dengan saya. Dihulurnya RM100 untuk bayaran tuisyen Aina belajar Bahasa Arab setiap hujung minggu. Wah, Masya Allah!. Dalam hati, terima kasih Allah untuk duit ini.

Sekembalinya saya ke bilik, Huda adik yang semalamnya pegang hand bag saya masuk ke bilik dan menghulurkan nota wang RM10. "Nah, Nenek bagi hari tu sorang sepuluh ringgit". Terkebil kebil saya menerimanya.

Jika dijumlahkan wang tersebut, sama jumlahnya dengan wang yang tidak dijumpai semalam.

Saya hanya mampu memujiNya.

Saya sambung kembali tugas untuk disiapkan pada hari esok. Dicapai bag pack hitam untuk mengambil fail di dalamnya, dan Masya Allah!. Cuba teka apa di dalamnya?

Sampul surat berisi wang RM110 semalam terduduk elok di dalam beg saya rupanya.

Sesungguhnya, Allah Al-Hafiz yang Maha Menjaga dan tidak pernah alpa.

Lesson to be learn : ______________________________________. Fill in the blank with your answer.

(Anda mampu menilai dengan lebih baik daripada saya, Wallahu a'lam)  

31 December 2013

Malam 1 Januari 2014





Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah.

Malam sebelum 1 Januari 2014, saya dan adik-adik bersama Umi singgah ke Tunas Manja membeli barang-barang keperluan sekolah mereka dan saya. Cikgu pun kena beli juga pembalut buku untuk BRM. Bukan BRIM ya, Buku Ringkasan Mengajar. Sedang asyik mengambil gam, gunting, dan lain lain barang, saya baru teringat yang saya tak menggalas handbag. Oh ya, Huda tolong pegangkan tadi.

Minggu lepas baru dapat rezeki hasil mengajar tuisyen di sekolah. Jadi, malam ni berkira mahu belanja adik-adik perlatan sekolah mereka. Konon sambil beli barang sendiri, saya ambil diam diam barang yang Umi tak belikan buat mereka. Dengan niat, saya juga mampu untuk menolong mengurangkan perbelanjaan Umi. Kenapa tak belanja je terus kan semua? Maka, beraturlah saya dalam saff yang panjang di kaunter pembayaran. Rupanya, ramai lagi yang shopping last minute. ehe.

Sampai di kaunter, adik-adik dan Umi menghulurkan bakul lain untuk dibayar. Umi hulurkan juga duit yang Ayah beri tadi. Ok, saya mula mengasingkan barang saya dan barang yang Umi pilih. Saya minta handbag daripada Huda dan mula membayar. "Tolong kira yang ni dulu ya, resit lain". Selesai bayar, bahagian Umi saya mula buka handbag untuk bayar bahagian saya. "Eh, duit dalam sampul tu tertinggal lah pulak!" getus hati saya. 

Piap! Seakan ada tangan halimunan menyepuk dahi saya sambil mengawal reaksi muka yang agak malu. Saya alih muka pada Umi dan mula berbisik dari jauh, "Umi, akak tak bawak duit lah pulak". 

Padahal tadi dah hulur baki duit beserta resit. Aduhai,. Umi hulur kembali duit tadi, tengok duit yang ada di tangan RM30. Eh, tak cukup ni. Di alihkan lagi muka pada Umi, "Umi, tak cukup" sambil menggeleng perlahan kepala dan membulatkan mata. Dihulur RM20 lagi. RM49.75 jumlah pembelian saya.


Masya Allah. Dulu-dulu seingat saya, sekotak pensel warna yang kecik dulu-dulu harganya RM3.00 sahaja. Seingat saya lah. Sekarang dah cecah RM7.10, padahal kontot-kontot je pensel warnanya.

"Umi, tak ada pulak duit akak dalam handbag, nanti akak ganti ya" kata saya sambil kami menuruni tangga. 

Sesuatu terus menyelinap dalam sanubari, kalau Umi tak ada tadi, mesti saya tak dapat beli barang tersebut, ditambah malu teramat. Berderet orang beratur di belakang saya. 

Bayangkan kalau kita pula sedang beratur di Akhirat nanti, kita sedang membayar harga tiket untuk masuk ke syurga dengan amalan kita. Tiba-tiba timbangan kita condong ke Neraka kerana banyaknya dosa. Dan tiada siapa yang akan bantu kita, lantas kita buntu terus kaku. Apa yang perlu aku lakukan?

Selama ini pun, setiap kejayaan kita, setiap perkara yang dipermudahkan Allah untuk kita juga, sebenarnya bukan hadiah Allah kepada kita semuanya. Ia kerana berkat doa ibu ayah kita yang tidak putus mendoakan, membiayai perbelanjaan, tanpa sekalipun mereka meminta kembali. 

Dengan hati yang nekad, saya pandu ke rumah dengan fikiran "Ya, aku tertinggal sampul duit tu di bilik agaknya". Sebab siang hari tadi, saya sangat pasti saya ada belek sampul surat tersebut. 



Sampai pula di bilik, sampul surat tadi tiada. Puas di cari sampai ke ruang tamu masih juga tidak dijumpai sehingga saat saya menaip post ini. Saya teringat kembali, zip handbag saya sudah terbuka sewaktu saya mahu membayar tadi. 

Tertampar lagi diri ini.

Bayangkan pula, dah lah pahala kita ciput je. Sikit sangat untuk melayakkan kita ke syurga. Tiba-tiba pahala kita pula di ambil orang tanpa kita sedari. Allahu.. 

Di dunia, mungkin kita boleh kita berlapang dada dengan kehilangan selipar di masjid, atau apa sahaja musibah yang Allah kirimkan. Akan tetapi, di akhirat kelak, mampukan kita berlapang dada apabila pahala kita dirampas orang lain, berebut rebut kutip pahala dari timbangan di hadapan mata? Bahkan, di hulurkan pula dosa-dosa mereka untuk kita yang dahulunya sentiasa mengumpat, mengeji tanpa kita sedari. 

Malam tahun baru Masihi ini, Allah telah ajar saya satu pengajaran yang sangat mendalam. Allah tunjukkan kebesaranNya dalam setiap perkara dalam hidup kita. Tinggal kita yang mahu ambil pedoman atau tidak.

Kita takkan pernah tahu Syurga itu milik kita dan kita takkan pernah mampu meletakkan seseorang itu Neraka pengakhirannya. Tapi kita mampu untuk memperbaiki diri kita setiap hari. Selagi nyawa kita Allah izinkan untuk kita gunakan di muka bumi ini, selagi itu pintu taubatNya terbuka luas, istighfarlah sepuas hatinya. Pasti Allah akan ampunkan. 



dan akhirnya, yang dinamakan rezeki itu apabila kita sudah menggunakannya itulah rezeki kita. Contohnya, kalau ada kek yang akan disua ke mulut kita tetapi tangan kita dilanggar orang dan jatuhlah kek itu ke tanah. Bukan rezeki kitalah namanya. Redhakan sahaja. Moga dengan redha itu, Allah gantikan dengan yang lebih baik. Kita tak tahu, itu cara Allah bersihkan harta kita, mungkin juga duit itu untuk mereka yang lebih memerlukan. Allahu a'lam. Allah juga yang Maha Mengetahui, kerja kita sebagai hamba, bersangka baiklah!


sidenote: menulis post dengan jubah hitam. kita tak turun, hantar adik turun.

Kisah  Siang 1 Januari 2014.