29 September 2010

Alkisah..

 Bismillahi as-salaatu was-salaamu a'la Rasoolillah


Setelah ditinggalkan bersendirian oleh dua puteri jelitawan solehah dari jajahan WhiteHouse, Sang Puteri wilayah Bandar Bunga kini tenang menanti pula ketibaan sahabat rupawan berangkat pulang ke bumi Gerbang Andalus. Genap lima hari lagi sebelum sahabat Sang Puteri tiba sambil mengembalikan sebahagian hati Sang Puteri yang dibawa pergi, menggalas pulang semangat Sang Puteri untuk sama-sama meneruskan perjuangannya di tanah asing ini.

Titah Permaisuri telah disuarakan sendiri oleh baginda. Tiada kompromi lagi kali ini.
Perintah berkurung telah dikenakan oleh Permaisuri di tanah air untuk Sang Puteri tidak ke mana-mana buat masa ini. Keberanian Sang Puteri bersendirian tika bermusafir terus lesap setelah diberi amaran keras oleh Permaisuri. Sepurnama dulu, Sang Puteri naik turun ke wilayah Rabat, Kenitra dan Casablanca hanya bersendirian menyelesaikan janjinya ke sana ke mari. Alhamdulillah, segalanya selamat. Ketika itu dibenarkan, kali ini kad merah dilayangkan. Aduhai tidak berani Sang Puteri mengingkari.




Ding!, merpati utusan tetiba datang menyinggah kotak surat. Nampaknya ada undangan ke wilayah Rabat dua hari di hujung minggu. Asyik sekali. Sang Puteri mahu benar ke sana. Masakan tidak, bersendirian di istana gah ini mengundang masyghul tak sudah, walakin mahu ke Rabat pula dengan gerangan siapa agaknya. Mahu sahaja diundang dua puteri WhiteHouse ke sana. Hendaknya mereka berdua tidak sibuk, nanti bolehlah bermusafir pergi dan pulang berteman tidak bersendirian. Sang Puteri sangat merindukan sekalian kekanda jelitawan di wilayah Kenitra dan Rabat. Apakan daya mereka terpisah sementara, tempat bertemu di undangan itulah kelak dengan izinNya.

"Kebenaran daripada ayahanda dan bonda perlu diminta sebelum ke sana" kata hati Sang Puteri. Menanti fajar di tanah air sehingga siang, Sang Puteri akan menghubungi ayahanda. Hampir saban hari dihubungi keluarganya di tanah air. Menghilangkan rasa jemu bersendirian. Kawan-kawan di tanah air turut menjadi mangsa panggilan Sang Puteri menghilangkan rasa itu.

Menanti siang muncul di tanah air, Sang Puteri sedaya upayanya dikerahkan mengemas istana lagi. Berdikit-dikit sehingga selesai segala kerja. Sehingga esok tiba, hari ini perlu digunakan sebaiknya. Setiap hari itu adalah permulaan yang baru, sama ada kita bijak menggunakannya ataupun tidak.

Demi masa...

Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan...
Yang beriman dan beramal saleh
Ah...

Demi masa...
Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan...
Nasihat kepada kebenaran dan kesabaran
Ah...

Gunakan kesempatan yang masih diberi
Moga kita takkan menyesal
Masa usia kita jangan disiakan
Kerna ia takkan kembali

Ingat lima perkara, sebelum lima perkara
Sihat sebelum sakit
Muda sebelum tua, kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit
Hidup sebelum mati

Demi masa...
Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan...
Yang beriman dan beramal saleh
Ah...









WhiteHouse: Casablanca
Bandar Bunga: Gelaran wilayah Mohammedia.
Gerbang Bumi Andalus: Maghribi.