20 September 2010

antara dua dunia

 Bismillahi as-salaatu was-salaamu a'la Rasoolillah

Suasana di dalam Musolla Saidatina Khadijah lengang di pagi ahad. Hanya terdapat beberapa pelajar yang turun mendirikan solat sunat dhuha di musolla. Agaknya yang lain lebih memilih untuk solat di dalam dorm. Usai solat dhuha dua rakaat aku mengangkat tangan dan berdoa. Aku meraup wajahku sambil mata terpejam. Ya Allah, tiada apa-apa yang diharapkan selain pertolongan dan pedoman daripadaMu dalam setiap perkara yang dilakukan. Terduduk sebentar aku di balik tiang, menerawang fikiran kembali ke zaman yang dulu. Zaman tatkala aku bukan bergelar seorang pelajar sekolah agama. Ya, dahulu aku hanyalah pelajar sekolah biasa yang tiada langsung suasana islamik dalam pergaulan seharian. Seratus peratus berbeza daripada suasana kehidupanku di sini.

Pada mulanya, aku seakan mengalami sebuah kejutan budaya dalam diriku. Bayangkanlah aku hanya memakai tudung tiga segi pada hari pendaftaran di sebuah sekolah agama. Sepanjang minggu-minggu pertama persekolahanku, aku di antara beberapa pelajar muslimat yang menjadi perhatian mata-mata senior dek pendeknya tudungku ini. Masih teringat lagi pesanan kakak-kakak senior untuk memakai tudung labuh apabila pulang dari cuti persekolahan kelak. Akur aku menyarung tudung labuh yang langsung tidak pernah terlintas di pemikiranku untuk memakainya. Oh, tidak pernah aku bermimpi memakai tudung labuh sebelum ini. Meskipun ummi memakai tudung labuh, tidak pula aku terikut untuk memakainya. Asal cukup bertudung dan menutup aurat sudah memadai bagiku. Pernah juga aku terfikir mungkin hanya selepas aku bernikah dan suamiku memintaku untuk mengenakan tudung labuh, pada saat itu akan aku mula memakainya.



Sewaktu di sekolah lama, pernah aku mengenakan armsock biru pemberian sahabat baikku Siti kerana lengan bajuku agak senteng dan menampakkan lengan. Ketika itu, aku mahu ke kantin untuk membeli makanan. Kedudukan kelasku yang jauh dari tangga memerlukan aku melintasi beberapa kelas. Sedang aku berjalan tiba-tiba tanganku dipegang lembut oleh seseorang. Aku memalingkan kepala ke arah orang tersebut dan terlihat rakanku Nurul dari kelas 2 Bestari. Rupa-rupanya dia mahu melihat armsock di lenganku. Berkerut-kerut dahinya sambil menelek armsockku itu. “Kenapa pakai benda ini, pakai sebab fesyen ya?” tanya Nurul kepadaku. Mungkin sebab arsomck itu senada warnanya dengan bajuku, maka Nurul menyangkakan aku mahu bergaya di sekolah. Walhal, aku mahu menutup pergelangan tanganku yang terdedah. Aku menjawab soalannya dan tersenyum “Bukankah tangan kita ni aurat, sebab itu saya pakai benda ni”. Mulut Nurul mula berbentuk seperti huruf O lalu bertanya “Aurat apa? Tangan aurat ke?’’. ‘’Kita semua kan kena tutup seluruh anggota badan kita kecuali muka dan tapak tangan’’ jawabku. Seakan tidak berminat, dia terus pergi meninggalkanku dan tanganku dilepaskan.



Walaupun kini aku sudah berada dalam sebuah biah yang menitik beratkan soal muamalat di antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan, terkadang aku terlepas juga sisa baki sikapku yang lebih terbuka dalam pergaulan. Maklumlah sudah terbiasa dengan suasana begitu di sekolah lama. Kalau di sekolah lama mata meliar sambil berjalan, disini kami berjalan sambil menundukkan pandangan apabila tersempak dengan pelajar muslimin. Tersengih bersendirian aku di musolla itu. Duniaku kini sangatlah berbeza dengan duniaku dahulu. Sungguh dahulunya aku memang benci dengan sekolah agama. Semuanya gara-gara pandangan serongku pada pelajar-pelajarnya yang tidak mencerminkan langsung nilai-nilai agama yang dipelajari di sekolah. Padaku mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang terbaik kepada pelajar sekolah harian biasa dan bukan sebaliknya. Kalau ada yang beramal sekalipun, belum lagi aku bertemu dengan mereka yang sanggup berkawan dengan mereka yang bukan sebaik mahupun sealim mereka.

Namun pada akhirnya, tercampak juga aku di sebuah sekolah yang terselit pada namanya Islam. Sedikit demi sedikit aku mula menerima perubahan dalam diriku. Pemikiranku terhadap realiti hidup dan tuntutan dakwah turut juga berubah.



Aku bergaul juga dengan kawan-kawan Cina dan India. Realitinya, kebanyakan daripada mereka sangat rajin dan pandai. Tetapi itu tidak bermakna mereka sombong dan susah didekati. Mereka sangat suka membantu kalau ada apa-apa bantuan diperlukan. Malahan, kini baru aku sedari wajib ke atas aku untuk berdakwah kepada mereka ke arah Islam. Meski aku tidak mampu untuk berkata-kata dan memberi hujah, aku lebih memilih untuk berdakwah dengan cara menunjukkan nilai-nilai yang baik kepada mereka. Kalau dahulunya aku seakan hilang di dalam dunia yang penuh dengan kepura-puraan. Kehidupan di sekolah harian biasa membolehkan aku untuk menyaksikan secara langsung keruntuhan akhlak sebahagian besar anak remaja Melayu Muslim di tempatku. Di sekolah lama, aku berpeluang bergaul dengan ramai kawan dari pelbagai latar belakang dan kaum yang berbeza. Kebanyakan pelajar di situ anak-anak orang berada berpangkat datuk segala. Tak kurang juga anak-anak orang biasa berlagak kaya, namun aku hanyalah di antara anak-anak orang sederhana hidupnya.



Teringat aku sewaktu menyertai kawad kaki Kadet Pertahanan Awam peringkat daerah. Kami perlu berlatih di setiap petang Selasa dan Rabu bagi memantapkan lagi disiplin kawad dalam barisan untuk bertanding dengan sekolah-sekolah lain. Kami akan menamatkan latihan tepat jam 5.30 petang. Pada suatu petang, sementara menunggu ibu bapa datang mengambil kami pulang ke rumah, kami berkumpul dan berbual-bual bersama berkongsi cerita. Topik pada petang itu adalah mengenai hantu. Mulalah masing-masing menceritakan pengalaman masing-masing mengenai hantu. Habis semua nama hantu disebutkan, tak kurang juga kisah kemunculan hantu di sekolah kami dan juga kisah seram dari sekolah seberang kami. Aku juga mahu berkongsi sesuatu. “Kamu semua tahu tak jin takut dengan apa?”. Kalau kita baca ayat kursi dari surah al-baqarah, nescaya kita akan dilindungi daripada segala bentuk gangguan jin dan syaitan. Sedari tadi kecoh, terdiam sebentar mereka semua. “Kamu semua tahu tak ayat kursi itu apa?’’ soalku. Masih diam seribu bahasa. Ayatnya bermula dari “Allahu lailaha illa hual hayyul qayyum.. “ sambungku. Masih terdiam lagi. Barulah ku sedar yang masih ramai yang tidak mengetahui apakah itu ayat kursi. Kalau begitu, ayat-ayat yang lain sudah diketahui?. Kenapa boleh tak tahu? Aku lontarkan soalan itu hanya di dalam hati.



Pernah juga pada suatu petang seusai latihan kawad seorang kawan mendekatiku Fatimah namanya. Suka benar dia berkongsi cerita tentang teman lelaki yang baru dia kenali. Segak dan sasa orangnya, ala-ala atlet sukan muathai katanya. Aku hanya tersenyum mendengarkan dia bercerita sambil lengan bajunya yang pendek itu dinaikkan sehingga bahunya. Kadang-kadang tangannya rancak menyelak rambut yang dicelup warna perang sambil bercerita. Ah, sudah biasa mereka menanggalkan tudung setelah tamatnya sekolah, lebih-lebih lagi kalau ada aktiviti sukan pada sebelah petangnya, habis semua mahu ditunjukkan. Fatimah sangat bangga bercerita tentang teman lelakinya, tiba-tiba diselak sedikit butang bajunya, “Kau cuba tengok ini”. Dua kesan gigitan pada lehernya ditunjukkan kepadaku. Aku terpinga-pinga disitu, “Inilah Love Bite” katanya. Kini aku pula yang terdiam. Aku hanya sempat menegurnya dalam nada berseloroh .Tetiba datang seorang cikgu menyapa kami, Cikgu Hamidah namanya. Guru tingkatan 6 tersebut menegur cara pemakaian Fatimah dan juga rambutnya yang diwarnakan seperti air karat. “Releklah cikgu, mak saya pun tak marah, cikgu pula yang lebih-lebih. Kubur kita lain-lain . Biar saya jaga kubur saya sendiri.” balas Fatimah dengan kasarnya. Cikgu Hamidah terus berlalu selepas menasihatinya dengan lembut. Setelah beberapa langkah Cikgu Hamidah berlalu, kami terdengar bunyi hon mootosikal di luar sekolah. Kelihatan seorang wanita bertudung dalam usia lingkungan 40-an berpakaian seperti pekebun bertopi anyam menunggang sebuah motosikal berhenti betul-betul dihadapan pintu pagar sekolah. “Aku balik dulu lah, mak aku dah sampai” kata Fatimah. Mataku mengekori langkahnya sehingga tiada kelihatan lagi kelibat Fatimah dan emaknya.



Aku menyandarkan badanku pula ke tiang musolla sambil-sambil terkenang zaman dahulu. Pengalaman berada di sekolah harian memberi peluang kepadaku untuk berkenalan dengan pelbagai jenis manusia dan ragamnya. Aku pernah berkawan dengan Pengkid, bebudak Skaters, Hoppers dan sebagainya. Masing-masing punyai kisah mereka tersendiri. Kebanyakannya berpunca daripada keruntuhan institusi keluarga. Mereka tertekan dan mahu mencari keseronokan lantas jalan yang salah menjadi pilihan. Remaja dinihari sangat mudah terpengaruh dengan anasir barat. Hedonisme sangat dipuja-puja dan berleluasa kini. Ketika aku di tingkatan dua, pernah aku dan kawan-kawan terserempak dengan pasangan pelajar lelaki dan perempuan berdua-duaan di dalam kelas yang sangat sunyi. Perempuan bersandar di sudut dinding kelas dan lelaki betul-betul dihadapannya. Terus kami masuk buat-buat tak tahu yang mereka ada di situ. Kami tidak berkata apa-apa sekadar berlakon mencari barang. Aku lihat pelajar perempuan itu mengesat mulutnya dan keluar bersama teman lelakinya. Hanya Allah yang tahu betapa marah sungguh aku ketika mereka melakukan maksiat di dalam kelas tempat aku belajar. Sungguh kurang adab mereka, seolah-olah tiada yang pernah mengajar mereka tentang agama getus hatiku. Merasa geram dan marah dengan perilaku mereka, terus kami ke Bilik Disiplin keesokan harinya dan melaporkan insiden tersebut kepada Guru Disiplin. Hanya itulah yang mampu kami lakukan.



Perlahan-lahan aku memeluk lutut dan merenung uratan benang permaidani di musolla. Sungguh aku bersyukur kerana Allah masih sayangkan aku dan tidak mahu aku terus lalai dan alpa. Allah telah menggerakkan hati ummi untuk aku dihantar ke sekolah agama. Ummi sudah menyedari perubahan besar dalam diriku tahun demi tahun selama aku di situ. Aku semakin lemah dan akhirnya aku terkesan juga dengan persekitaran itu. Aku menjadi semakin culas dengan penampilan diriku sebagai muslimah dan aku juga semakin jauh daripada mengingati Yang Maha Esa. Kini aku sudah diberitahu, menjadikan aku sudah tahu dan wajib untuk aku pula memberitahu. Aku melontarkan pandanganku keluar tingkap dan aku lihat sebuah dunia tidak seindah biah solehah yang aku kecapi di sini. Di luar sanalah realiti kehidupan yang sebenar akan aku tempuhi. Dapatkah aku beristiqamah dengan segala apa-apa yang sudah kecapi?. Paling utama kelak, dapatkah aku memenuhi sepenuhnya tuntutan hidupku sebagai abidullah, khalifatullah, dan dai’e ilallah. Aku sangat bersyukur kepada Allah kerana aku diberi peluang untuk merasai kehidupan dua dunia yang sangat berbeza. Sekurang-kurangnya dapat juga aku berkongsi realiti sebenar masyarakat di luar sana dan dapat dijadikan iktibar bersama.

1 comment:

choco_taurusz said...

salam.. hus!!!! semoga kita sama2 diberikan hidayah dan kekuatan untuk terus mencari keredhaanNYA.. amin...