13 April 2011

Kaf Ha Waw Ya Nun


 Bismillahi as-salaatu was-salaamu a'la Rasoolillah


Indahnya Khitbah - Iluvislam

Amaran : Post kali ini terlalu banyak kalimah Kaf Ha Waw Ya Nun

Adakah saya akan berKaf Ha Waw Ya Nun? 
Atau adakah sahabat saya yang akan berKaf Ha Waw Ya Nun? 


Siapa yang akan membina masjid tidak menjadi persoalan. Cuma saya tertarik untuk berkongsi pendapat dan pengalaman mengenai perkara yang hangat diperkatakan oleh anak muda seperti saya. Kisah saya mungkin biasa-biasa sahaja penulisannya, tapi diharapkan semua mendapat manfaat bersama.




Situasi 1

Bouchra dan Siham kawan baru Maliziat tahun pertama di kuliah menghampiri Syaz, Gia, Nor dan Yani di hadapan Syu'un Tollabi yang ditutup.

"Kaifa halokon? Hal antunna bikhayr?" tanya Bouchra kepada mereka.

"Alhamdolillah, kull syaik bikhayr. Wenti? Kaifa haloki?" Balas Nor.

Mereka bersapa bertanya khabar dan bertanya tentang pelajaran sehinggalah Bouchra mengeluarkan henset Samsung touchnya. 

"Keluarga Bouchra mesti keluarga yang berada", bisik hati Nor.


Sesudah jari-jemarinya menekan skrin sentuh hensetnya itu, dikeluarkan pula beberapa keping gambar suasana perkahwinan yang gah dan mewah, anak menteri pun kalah. Mereka semua terpesona dengan kecantikan sang pengantin di dalam gambar-gambar tersebut. Lalu Syaz bertanya kepada Bouchra, gerangan siapa di dalam gambar tersebut,


sekadar hiasan
"Bouchra bukan ke ni awak?".

"Ya, mestilah semua ini gambar saya." jawab Bouchra.

"Wah, tahniah ya awak dah berkahwin!" sambung Gia mengucapkan tahniah.

 ''نعم, كنت متزوجة. ولكني مطلقة" Ya, saya pernah berkahwin. Tetapi sekarang saya sudah bercerai.. Dengan bersahaja Bouchra membalas ucapan tahniah Gia. 

Nor yang terpinga-pinga seorang diri di situ bertanya " ماذا قلت بشرى؟'' Apa awak cakap Bushra?

"أنا مطلقة! مطلقة.."  Saya dah becerai.. bercerai.. diulang-ulang lagi ayat tersebut.

Nor yang sememangya lambat memproses maklumat, atau bahasa lainnya lampi iaitu lambat pick up mengulang-ulang perkataan Mutollaqah.. Tolaq.. Talak.. dalam fikirannya. 






Lalu dia bertanya kakak seniornya Syaz " Akak, dia dah bercerai ke?"

"Haah, dia dah bercerai. Katanya 2 minggu lepas dia kahwin", jawab Syaz kepada Nor.



Ternganga mulut Nor lalu dikatup semula sambil ligat fikirannya memutar kekeliruan, 


"Okay, sekarang ni dia kahwin mahal-mahal, mewah-mewah, lepas tu tunjuk gambar kahwin dengan bangganya, tup-tup rupanya dia baru bercerai, dan umurnya baru 23 tahun??"

Errr...

Situasi 2



"Nor, naik semester baru ni, 4 orang kawan saya kahwin" kata Yani dengan selambanya sewaktu pulang ke rumah. 

"Ya Allah, ramainya orang kahwin waktu cuti!" balas Nor. 

Sambil meletakkan beg sandangnya di atas katil Yani membalas, "Nawal kawan kita tu pun dah kahwin." 

"Nawal kawan sekuliah awak tu ke? Bukan ke awak kata dia baru bertunang hari tu?" kata Nor sambil matanya tepat memandang ke arah Yani.

"Alamatnya, kecewalah Si Mohd kawan kita, Nawal dah berkahwin rupanya". Tersengih-sengih mereka berdua memandang di antara satu sama lain.

"Laila yang rendah tu pun dah kahwin tau. Inai dah penuh kat tangan dan kaki." Yani menambah lagi. 

"Ohh.. saya ingatkan Laila yang tinggi, rupanya Laila yang gila-gila ke?, Senangnya mereka ni nak berkahwin. Dulu Azizah datang kuliah jumpa saya terus cakap, sebenarnya saya dah kahwin semalam" Nor membalas.

Yani memandang ke syiling sambil memeluk bantal, " Saya pun nak kahwin jugalah".

Errr...


Begitulah hari-hari kami berlalu dengan cerita perkahwinan teman-teman Maghribi, terutamanya setiap kali cuti semester tamat. Mulalah, masing-masing menayangkan dua cincin tersarung di jari manis tangan kanan. 

"Dua cincin?, Banyaknya!".

Sudah menjadi adat orang Maghribi, apabila di jari seorang perempuan tersarung sebentuk cincin belah rotan dipadan bersama sebentuk cincin berbatu berlian menandakan dia sudah berkahwin.

Pantang ada masa terluang kerana ustaz masih tak datang, mereka akan berkongsi koleksi gambar-gambar perkahwinan dan juga pertunangan kepada kami. Maka kedengaranlah ucapan seperti..


"Mabrouk 3lik!" مبروك عليك 
Tahniah

"Allah yukammil 3lik lkhayr" الله يكمّل عليك الخير 
Semoga allah melengkapkan bagimu kebaikan

"Allah yusahhil 3lik fi omorik'' الله يسهل عليك في أمورك 
Semoga allah mempermudahkan urusan kamu

Memang kebiasaan lisan Maghribiy yang akan selalu kami kagumi iaitu taluan doa diucapkan dalam pengucapan harian mereka. Bertalu-talu doa diucapkan daripada teman-teman buat mereka yang baru sahaja berkahwin ataupun bertunang. Selepas diaminkan doa, sang pengantin baru turut mendoakan mereka juga.

"Syukran"  شكرا 
Terima kasih.

"Allah yubarik fik"  الله يبارك فيك 
Semoga allah memberkati kamu

"3ou9ba lik"  عقبى لك
Kepada kamu jua balasannya *Semoga kamu juga akan berkahwin nanti*

Isu Kaf Ha Waw Ya Nun bukan sahaja hangat diperkatakan dalam kalangan remaja kita, tetapi sama juga halnya di sini. Sampai ada yang berkata, kalau perempuan yang umurnya sudah 23 tahun tetapi masih tak berpunya, itu petanda yang bahaya. Takut tak berkahwin sehingga akhirnya. 

Isu Nikah Gantung atau Nikah Khitbah : Tiket untuk bercouple memang isu yang sering kita dengarkan. Saya ada dua kisah untuk dikongsi bersama.

Kisah 1

Saya ada seorang kawan, Azizah namanya. Perkenalan kami dimulakan oleh Azizah, sewaktu dia menegur saya di surau. Agaknya dia tahu saya orang asing melalui pakaian saya, lalu dimulakan salam dan perkenalan. Dia sangat baik orangnya, alim dan cantik. Setiap kali berjumpa, pasti saya akan dipeluk dengan kuat dan diciumnya pipi dengan erat. Hari-hari di Semester Satu berlalu dengan indahnya dengan perkongsian cerita dan ilmu. Walaupun Azizah pelajar Ilmu Sosiologi, saya pula dalam bidang Bahasa Arab,tetapi bagaikan ada satu kimia yang menghubungkan hati kami dan kami sangat selesa bersama. 

Sehinggakan sewaktu kami berjumpa lagi di dalam surau, Azizah bertanya kepada saya "Husna, apa yang awak dah buat kat saya ni?" "Saya selalu rindu awak". Terharu mendengarkan ayatnya, saya membalas "Saya pun tak tahu kenapa, semoga dengan ukhuwah ini membawa kita ke syurga" sambil tersenyum memandangnya.

Pada suatu hari, kebetulan kami memang tiada kelas pada waktu yang sama, Azizah mengajak saya berjalan-jalan bersama ke taman. Kami duduk di tepi taman berhadapan court bola. Soal Azizah kepada saya memulakan bicara, "Boleh tak awak ceritakan serba sedikit adat perkahwinan di tempat awak?". Ligat otak saya mencari ayat, menyusun cerita mengenai adat. Haruslah dikongsi dari awal pertemuan bukan?. Secara ringkas, saya bercerita turutan daripada tunang hinggalah ke majlis perkahwinan. Dia bertanya lagi, "Kamu sudah bertunang ke?". Tersengih senyuman saya melebar ke telinga. Semestinya belum lagi. 

Rupa-rupanya, Azizah ingin memberitahu bahawa dia sudah bertunang 3 hari lepas dengan anak jirannya. Dia tidak pernah kenal siapa, tetapi ibunya sangat berkenan dengan Azizah dan ingin masuk meminang. Azizah bersetuju kerana jejaka tersebut katanya sangat sopan dan baik budi pekerti menghormati ibu bapa walaupun tidak pernah bersua muka. 

Seminggu berlalu, kami berjumpa lagi. Kini Azizah dengan penuh perasaannya menceritakan bahawa dia sudah berkahwin di atas kertas. Menulis akad. Tetapi masih belum melangsungkan majlis perkahwinan. Katanya, dia masih duduk bersama ibunya dan bukan bersama suaminya. Selepas tiga bulan, suami mengumpul wang secukupnya, rumah sudah tersedia barulah Azizah akan berpisah dengan ibunya. Terkejut. Keliru. Masih tidak faham. Itulah situasi saya ketika Azizah menceritakan statusnya pada bulan April ketika itu. 

Tiga bulan berlalu, saya dan Yusra dijemput untuk ke majlis perkahwinannya. Meriah! Berwarna-warni penuh dengan muzik taqlidi dan madah nabawi. Kami dibawa Azizah dari awal sebelum majlis perkahwinan bermula sehingga majlis tamat. Sempat kami menjamah kuskus di rumah ibunya. Selesai kuskus habis dijamah, suami Azizah datang untuk menjemputnya, pada saat itu ibunya mengalirkan air mata kerana Azizah tidak akan lagi tinggal bersamanya. Kemudian  dari rumah ibu Azizah kami dibawa ke rumah barunya yang lengkap berperabot, peti ais, microwave, TV LCD Skrin dan lain-lain lagi. Seterusnya kami dibawa pula ke tempat bersolek dan akhirnya kami ke majlis perkahwinannya di sebelah malam yang tamat sehingga pukul 5 pagi. Fuhh... pertama kali tak tidur malam hadiri majlis kahwin.

Ini contoh Nikah Gantung atau Nikah Khitbah.
Indah bukan? ^^


Kisah 2

Nawal yang kecil molek orangnya menyusun langkah rapi ke kuliah di pagi hari Isnin. Sedang asyik berjalan laju mengejar masa sebelum kelas bermula, dia tersempak dengan saya di pertengahan jalan sebelum saya melintas ke seberang untuk sampai ke kuliah. Dia menepuk perlahan bahu saya. Sambil memberi salam dan bertanya khabar, kami sama-sama berjalan ke kuliah dalam keadaan tergesa-gesa. 

Peluang ini saya ambil untuk mengucapkan tahniah kepadanya di atas perkahwinan yang telah dilangsungkan. Rupa-rupanya, Nawal juga masih belum melangsungkan majlis tetapi sudah berakad nikah di atas kertas. Situasi yang sama seperti Azizah diceritakan kepada saya. Nawal berkahwin dengan kenalan abangnya yang baru sahaja dikenali. Tidak memerlukan masa pertunangan yang lama, mereka terus melafazkan akad nikah tetapi masih belum duduk serumah. Suaminya sedang bekerja mengumpulkan duit secukupnya supaya Nawal boleh tinggal dengan selesa di rumah miliknya. 

Nawal yang sentiasa mengenakan pakaian salafi gelap, bertudung litup seluruh badan leka bercerita saat pertemuannya sehinggalah kami tiba di pintu masuk kuliah. Oleh sebab kelas kami berlainan, jadi saya minta izin untuk ke arah yang bertentangan. Sebelum berpisah dengannya, Nawal sempat berpesan kepada saya untuk memberitahu Yusra yang dia mahu datang ke rumah untuk menggunakan internet. 

Pada sebelah petangnya, Nawal datang ke rumah kami seusai kelasnya tamat. Sememangnya rumah kami tidak ubah seperti sebuah Cyber Cafe, maka ramailah kawan-kawan kami singgah untuk menggunakan internet walaupun sekejap sahaja. 

Nawal masuk dan terus ke bilik Yusra untuk menggunakan laptopnya. Sebelum MSN Messenger dibuka, Nawal berhias secantiknya untuk duduk di hadapan komputer. Kenapa dia berhias untuk kami? Perlu ke menggunakan internet sambil berhias diri?. Nawal sebenarnya hendak berjumpa si buah hati. Ya, dia sedang bersiap untuk berdating dengan suami. ^^ Sweet kan? Oh tuhan, saat dia berada di hadapan komputer berwebcam dengan suami tercinta, kami terasa sangat gembira dan bangga dapat menolong orang berdating buat kali pertamanya. Dating yang halal, dan membawa pahala. 

Nawal dah janji dengan kami, majlis perkahwinannya nanti kami dijemput sekali.^^

Kisah ini juga contoh Nikah Gantung atau Nikah Khitbah. Indah bukan?


Adat Melayu kita menampakkan proses perkahwinan itu adalah sesuatu yang sangat kompleks urutannya. Pada hakikatnya, ianya sangat mudah. 

Setiap perkahwinan itu sentiasa kita impikan keindahan berpanjangan. Namun harus diingatkan juga, niat untuk membina sebuah masjid itu perlu dibetulkan. Tanya diri semula.

Mengapa aku ingin berkahwin? Sudah sediakah aku menjadi seorang suami? Mampukah aku bergelar seorang isteri? Jikalau jawapan yang diberikan masih tidak, maka sebaiknya kita beristighfar selalu, berpuasa dan dekatkan diri kepada Allah dalam masa yang sama kita persiapkan diri untuk sebuah perkahwinan nanti. Utamakan awlawiyat yang lain terlebih dahulu. Sibukkan diri dengan perbaiki dan kenali diri. Tak perlu terburu-buru dalam hal mendirikan rumah tangga, takut-takut juga nanti berakhir seperti di Situasi 1 tadi, bercerai dalam usia yang muda. Nauzubillah..

Bercouple - berpasangan - bercinta - berkasih sayang , namun hubungan tersebut masih tidak diikat dengan sebuah ikatan yang sah takut-takut hanya membawa kemurkaan Allah. Sudah pasti perkara tersebut melalaikan kita dan menjauhkan kita daripadaNya. Semua orang senang berkata, "takpe, yang penting kita jaga hati". Tetapi hanya Allah dan diri sendiri tahu sejauh mana kita mampu menjaga hati kita. 

Sebuah perkahwinan yang diberkati Allah  menjadi dambaan semua. 
Kita juga mengimpikan anak soleh dan solehah penyejuk mata. 
Maka dari permulaannya lagilah perlu kita jaga. ^^  

Mudahlah awk berkata-kata, awak masih belum diuji. ><" Tunggulah nanti.. 
Mungkin saya belum diuji, mungkin saya pula akan kalah nanti, tapi saya sedang persiapkan diri. 
Sebagai sahabat, saya hanya ingin beringat. Kelak, ada pula yang mengingatkan saya di saat saya sesat.


Wallahu a3lam. :)
Nak baca pengalaman anak Melayu sendiri dalam Nikah Khitbah.. Bacalah blog kakak ni..
Mari kita dengarkan penerangan daripada Ustaz Azhar Idrus tentang Nikah Khitbah ^^ di sini, sini, dan sini.




3 comments :

Anonymous said...

hebat cerita anda pasal nikah..tabarakallah!

halawatunnisa' said...

uniknya cara mereka berkahwin.^_^
diorang memang kawen muda ke?

zAhrauna said...

en/cik anon
>allah yubarik fik.. semoga dapat manfaat bersama.

halawatunnisa'
>unikkan?.. tak semua kahwin muda.. jodoh kita tak sama ^^.. tapi di pedalaman msh ada yg kahwin seawal umur 13, macam zaman nenek kita..