22 December 2011

Analogi Hidup dan Mati


Bismillahi as-salaatu was-salaamu a'la Rasoolillah

Rasa susah dan payah itu seringkali membuatkan kita mahu terus putus asa. 
Sehinggakan setiap perkara di hadapan terus ditinggalkan tidak dipedulikan.

Namun, sampai bilakah mahu kita berputus asa tidak mahu berusaha?
Kelak mati menjelma, penyesalan sudah tak kemana.


***

6 Disember 2011

Pagi itu saya bertanya diri, saya bertanya Allah, " Wahai Tuhan, kenapa tak dicampakkan langsung rasa gerun untuk exam hari ini?".

Saya sangat bingung dalam masa yang sama sangat "tenang". Bingung sebab tak rasa berdebar langsung nak masuk periksa bagi subjek Simiyaiat Ta'wil hari tu. "Tenang" sebab rasa yakin akan dapat jawab dengan baik walaupun pada hakikatnya saya sangat kurang bersedia.

Berjalanlah saya ke kuliah dengan secebis nota berwarna pink di tangan. Sibuk-sibukan diri juga menghafal perenggan talkhis tentang buku yang saya baca. Hari ni, saya bakal ditanya tentang buku Misykatul Mafahim yang diberi oleh Ustaz Haddawi hasil tulisan Muhamad Miftah. 

"Better kamu hafal husna!" berdialog saya dengan diri.

Sampai sahaja ke kuliah. Semua kawan sekelas duduk goyang kaki bergelak ketawa. Releks dan "tenang". Seakan peperiksaan tiada. Bertambah lagi bingung saya. Ustaz berjalan di hadapan kami, menuju ke kelas. Kami mengekorinya dengan harapan, "Moga-moga exam hari ni tangguh".

Seberadanya kami di dalam kelas..
Cuba teka siapa orang pertama yang dipanggil untuk oral exam hari tersebut?

Bint Muhammad Tawfiq NourlHousna. Seruan menjelma. Mengalah juga saya dengan keadaan tidak bersedia. Tidak membantah walaupun sepatah. Ditarik kerusi menghadap ustaz. Terus ditanya tentang kesimpulan buku yang saya dah baca. Berserta kertas ditangannya, mata memandang saya, Ustaz dengan penuh sokongan mengutarakan soalan. 

"Bravo-bravo alaik, mizyene.." angguk-angguk dia memberi kepastian dan pujian kerana muka saya menunjukkan keraguan pada setiap jawapan.

Saya tahu Ustaz tidak berkeras dengan kami bukan seperti pelajar-pelajar Arab yang lain. Lagi bertambah rasa bersalah saya sebab peluang yang diberikan untuk menghafal tidak dimanfaatkan. 

"Oh Tuhan, akan saya tunjukkan nanti!" azam pada diri mahu menebus kesalahan. Saya tak nak sia-siakan lagi peluang yang Ustaz berikan.

11:15 pagi, waktu untuk kelas kedua pula. Kelas Us Hamumi yang digeruni. 
Rasa "tenang" di pagi hari tadi terbawa-bawa sampai ke kelas Sarf wa Siwatah. Ustaz Hamumi yang digeruni pelajar-pelajarnya merupakan seorang yang sangat tegas dalam masa yang mempunyai sifat kebapaan yang tinggi. Berpakaian kot kemas dia melangkah masuk ke dalam kelas. 

Terus ditanya pelajar-pelajar di hadapannya, 

" Kamu semua ada soalan berkaitan dengan pelajaran kita minggu lepas?"

Diulang lagi soalan tersebut. Kali terakhir peluang untuk bertanya diberikan, ustaz terus mengeluarkan kertas-kertas kosong. "Baiklah kalau kamu semua tak ada soalan lagi, setiap orang ambil satu meja dan ketepikan beg masing-masing".

"Alhamdulillah," hati memuji Allah, peperiksaan mengejut pula kali ini. Ust memang takkan pernah maklumkan waktu peperiksaan. Memang sangat seronok saya menjawab dua ujian dalam hari yang sama.

Namun, berbekalkan "ketenangan" yang dibawa dari kelas Ustaz Haddawi tadi saya jawab juga soalan-soalan yang diberikan. Alhamdulillah, dipermudahkan untuk menjawab walaupun hakikatnya saya tak tahu samaada jawapan yang saya berikan betul ataupun tidak. 

Usai kelas, saya terus berjalan pulang. Kaki berjalan perlahan, satu suara di benak hati melontarkan soalan demi soalan memberi peringatan.

"Husna, andainya mati itu Allah dah tetapkan tarikhnya, adakah kamu akan tetap bersemangat berusaha untuk mengumpul amal? 

Atau sekadar bertangguh ke saat akhir?

Dan pabila menghadap Allah untuk dipersembahkan segala amal, engkau hanya mengharapkan belas kasihan daripadaNya? 

Sedangkan di dunia Allah dah tetapkan suatu tempoh untuk beramal dan saat kamu diuji adalah saat kamu dimatikan.  

Masuk exam Us Haddawi pun tak ready, inikan pula kalau mati itu sudah ada tarikh yang pasti?".

Hati berbicara lagi.

"Sedangkan hakikat mati itu tidak diketahui waktu dan ketikanya. Samalah dengan ujian mengejut Us Hamumi. Malaikat Maut akan menjemput pada bila-bila masa secara mengejut. Kamu bersedia ataupun tidak, tetap kamu akan dimatikan dan kelak dipersoalkan tentang segala perbuatan kamu di dunia. Semestinya di hadapan Tuhan, Allah Yang Maha Agung rasa gerun itu lebih menakutkan berbanding di hadapan manusia di dunia."

Analogi dua peperiksaan pada hari tersebut mengingatkan supaya sentiasa bersedia untuk suatu saat yang sudah ditetapkan tetapi tidak diketahui saatnya. Mati itu pasti. Saat itu rasa "tenang" pasti hilang.

Setiap kali kita bangun dari tidur masih lagi bernafas, bermakna masih ada tugas yang belum selesai terlunas. Masih terbuka luas peluang untuk kita beramal dan bertaubat kepadaNya. Dia masih mahukan kita berusaha mengejar keredhaanNya. 

Kelmarin, merupakan kelas terakhir bersama Us Haddawi dan Us Hamumi untuk semester kali ini. Kedua-duanya memberi berita gembira, kami semua dapat markah yang baik untuk mid-sem exam lepas. Hanya tinggal berusaha untuk final exam pula. Mereka mahu kami berusaha sebaik mungkin untuk final ini.

Nah, lihat! Bukankah ini peluang seterusnya yang Allah berikan untuk berusaha bersungguh-sungguh?

Andai hidayah itu sudah berada di hadapan mata, namun tetap dipersiakan jua. 
Bukankah kita dalam golongan mereka yang rugi? 

Berdoa Nabi Adam a.s sewaktu baginda sedar akan kesilapan baginda sehingga dikeluarkan dari syurga.


قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Ya Tuhan Kami, Kami telah Menganiaya diri Kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni Kami dan memberi rahmat kepada Kami, nescaya pastilah Kami Termasuk orang-orang yang rugi.”
(Surah Al A’raaf :23)


Sering kita gerunkan peperiksaan di dunia.

Seringkan kita kejarkan ijazah, kesenangan, kekayaan semata.

Terkadang lantas terlupa Sijil Padang Mahsyar di sana.
"Ya Allah, jadikanlah kami sentiasa berusaha mencintaiMu, 
ampunkanlah segala dosa-dosa kami Ya Allah, 
dan matikanlah kami dalam keadaan kami mengucapkan أشهد ان لا اله الا الله ، وأشهد ان محمد رسول الله "


Ameen ya robbal a'lamin.. 









1 comment:

Sha-na.Szied said...

bravo una.. jazikillah untuk peringtan ttg kematian.. :)
adekah kita sedia hadapinya..Allah..

btw, ur blog x leh bace tulisan.. nape? ade kod2 ke yg salah.. check balik