24 February 2012

Anak yang berdoa

Bismillahi as-solatu was salamu a'la Rasoulillah

"Umi nak baca apa sekarang ni?" soal anak kecil 5 tahun usai salam diberikan selepas solat berjemaah bersama ibunya. "Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku dan dosa-dosa kedua ibu bapaku. Jadikanlah aku anak yang solehah"  bisik Umi ke telinga sambil memegang kedua-dua tangan kecil anak itu menadah tangan.

رضا الله في رضا الوالدين. Keredhaan Allah itu terletak pada keredhaan ibu bapa

Ingat tak pembaca sekalian, waktu di bangku sekolah dulu-dulu, setiap kali belek Majalah Sekolah, pasti akan ada satu ruang khas untuk pelajar-pelajar tahun akhir. Gambar kelas yang lebih special dan besar saiznya beserta nama dan alamat juga kata-kata hikmat. Dan di ruang tersebut, saya pasti akan tulis kata-kata di atas. Namun, apakah sudah cukup amal bakti saya kepada mereka? Apakah keredhaan mereka telah saya kecapi? Apakah Allah telah redha kepada saya?

"Aku tak sanggup tinggalkan ibu bapa aku untuk belajar jauh-jauh, aku boleh jatuh sakit demam selalu. Tapi kuat sungguh engkau kan.?" kata seorang anak jantan jati kelahiran Casablanca kepada saya. Bagai ditenyeh garam pada luka yang terbuka. Nak-nak lagi  baru tahun satu pengajian di bumi Maghribi, senyuman tetap terukir di bibir. Inilah pengorbanan kita dalam mencapai keredhaanNya, haruslah tetap bersabar dan lakukan yang terbaik supaya kelak ibu bapaku akan turut berbangga atas pencapaian kita. 

Aduhai hanya hati sahaja yang mengerti betapa kerinduan seorang anak perantauan itu kepada keluarga di tanah air itu bagaimana rasanya.  Anak-anak yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sudah pasti akan berpisah dengan keluarga. Lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang melanjutkan pelajaran ke luar negara semestinya kerinduan kepada keluarga berlipat ganda daripada biasa. 

Namun sedikit kita yang tahu dan sentiasa alpa sebenarnya ibu bapa kita lebih menanggung badai kerinduan yang lebih besar kepada anak-anaknya yang tidak berada di depan mata. Tidak dapat melihat kita, tidak mendengar suara riang tawa, tidak tahu perkembangan, kesihatan dan keselamatan kita . Maka diserahkan segalanya hanya kepada Allah sebaik-baik pelindung dan penjaga. 

Ibu bapa adalah wasilah untuk kita mendapat keredhaan Allah. Anak-anak iaitu kita pula adalah amanah Allah kepada ibu bapa. Penentu syurga dan neraka. Jika baik terbentuk seorang anak, maka baik jugalah akhirat ibu bapanya. Pabila saat kematian telah tiba, ketahuilah akan terputuslah segala amalan kita melainkan 3 perkara.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W.

“Apabila mati seseorang anak adam itu maka akan terhenti segala amalanya kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi guna, doa anak – anak yang soleh”



Jadilah kita anak-anak yang mendoakan kesejahteraan ibu bapa. Selalulah bertanya khabar kepada mereka. Ambillah sedikit masa, usahakanlah walau apa jua cara sekalipun untuk bertanya khabar kepada mereka. Jangan dibiarkan kerinduan mereka berpanjangan. Titipkan jua doa kesejahteraan buat mereka. 



Kenangi Ibu Bapa
Doakanlah Sejahtera
Kita Anak Harus Membela
Apabila Sudah Dewasa

Jangan Biarkan Mereka
Sia-Sia Di Hari Tua
Kecewa Hidup Dan Merana
Kerna Perbuatan Anak Derhaka

Bahgiakan Mereka
Hingga Ke Hujung Usia
Bila Sampai Waktu Ajalnya
Anak Soleh Sebagai Harta

Hai... Ibu Bapa
Kami Permata Anda
Tidak Jemu Berdoa
Agar Sejahtera Terpelihara

Di Dunia Bahagia
Akhirat Pun Begitu Jua
Inilah Harapan Kami Semua
Moga Allah Kabulkan Doa





Jangan sesekali pernah kecewakan dan hampakan hasrat mereka untuk melihat kejayaan kita di dunia dan juga di akhirat. Sedarlah bahawa anda adalah aset ibu bapa anda di akhirat kelak. Usahlah humban mereka ke neraka. Gandakanlah, beratkanlah saham pahala ibu bapa ke syurga. Setinggi mana pun seorang anak melanjutkan pelajarannya, semewah mana pun hidup anak itu pada akhirnya, besar lagi harapan ibu bapanya untuk anak itu berbakti menjaga mereka sampai ke syurga.

Moral:

1) Selalulah tanya khabar mak ayah taw.

2) Buat yang lebih baik semester baru ni ^^

Insya allah. Redha Allah mengiringi kejayaan. Selamat mujahadah! 

3 comments :

AnA_mIrDzA said...

salam aalaik...mohon share ye...smoga ALLAH mrahmati...amin

zAhrauna said...

wsalam wbt.. silakan share..
moga allah merahmati anda jua.. :)

Fatimah Bt Tony said...

Wah.. perkongsian yang sangat bermanfaat. Terima kasih admin. tips anak soleh