21 October 2012

muhasarawak



Bismillahi as-solatu was salamu a'la Rasulillah.

Termasuk post ini, entah berapa banyak draft yang dah saya tinggalkan separuh jalan.

Anda. Saya menunjuk jari telunjuk saya kepada anda. Ya, anda yang sedang membaca post di Taman Hati ini. Ketahuilah, segala perkara yang saya tampilkan dan kongsikan di skrin anda mungkin hanyalah satu helah sahaja. Mungkin juga langsung tidak menggambarkan diri sebenar saya.

Dunia facebook, dunia blogger. Dunia yang telah banyak menjadikan diri saya seadanya saya sekarang. Kadang-kadang, bila terasa sangat penuh iman di dada, ilham pula datang, tangan saya laju menekan kekunci tulisan ini dan saat saya kongsikan bersama yang lain, kadang kala ramai yang bersetuju, kadang kala kurang responnya. Tapi saat itu, saya rasa sangat teruja untuk berkongsi.

Ada suatu tahap, saya rasa saya mahu kongsikan segala-galanya yang berlaku dalam hidup. 


Ada suatu tahap pula, saya akan rasa sangat malu dengan diri saya, ''Oh, apakah aku ini layak untuk menasihati orang sedang diri juga sering teruji?". Sampai saya rasa saya mahu tutup blog ini, sebab terasa sangat hipokrit dengan dunia sendiri. Itulah ujian yang menimpa diri ini. 

Kadang-kadang artikel saya terpilih dikongsikan di Iluvislam. Ramai yang akan mula "Add as friend" di Facebook. Banjiran tetamu baru mula menziarahi Taman Hati. Followers juga bertambah hari demi hari. Sampai ada yang sudi berkongsi masalah mereka sama ada melalui emel atau PM. Cloud Facebook Like akan disemak dan komen akan saya baca. Tanpa saya sedari, riak, ujub, takabbur sedang memvirus di hati. 

Kita sedang hidup dalam dunia yang membuka aib kita seluas-luasnya, dunia yang  menguji keikhlasan kita, dunia yang membuatkan selalu kita lupa rasa "Ihsan" iaitu rasa Allah itu Maha Melihat, dunia yang hanya mahukan kita mengejar kata pujian manusia sahaja, dunia yang mahukan kita orang lain turut bersetuju dengan kita, secara mudahnya, dunia yang membiarkan kita menjadi bukan diri kita.

Warna sebenar diri hanya akan dapat dinilai indah atau keruh nampaknya melalui perbuatan seseorang itu. Percakapannya, pergaulannya dengan manusia sekeliling. Penulisannya juga boleh dijadikan kayu ukur. Tapi semua itu bukan untuk kita risaukan apa kata manusia. Risaukan apa yang Tuhan manusia mahukan itu selalu tidak kita hiraukan.

Cukup-cukuplah wahai diri, sekadar tampil di hadapan manusia dengan sebaik rupa, walhal tidak cuba perbaiki diri tampil dihadapan Maha Pencipta sebagai sebaik-baik hamba.

Sila sepak diri selalu dengan tangan sendiri, biar tangan itu jadi saksi tatkala kita sedang pengsan dalam khayalan dunia. Bukan dunia matlamat kita, kerana kita akan meninggalkannya.

#astaghfirullah ...

No comments: