Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah
Mencari hikmah dalam setiap episod kehidupan. Itu yang membezakan kita dengan mereka. Setiap hari yang dilalui, setiap langkah yang dipateri patut meninggalkan kesan yang lebih positif dalam diri. Andai sesuatu perkara kita lakukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga, semak semula apa yang tidak kena.
Saya membelek setiap post yang ada di halaman ini satu per satu. Hajat di hati yang selama ini terkubur mula saya gagahi. Menghasilkan sebuah buku. Menulis atau mengumpul dua perkara yang berbeza. Dan setiap kali saya meneliti kembali setiap ayat yang pernah dikarang, membuat saya tertanya sendiri,
"Kemana hilangnya aku yang ini?".
"Mengapa aku tidak seperti aku yang dahulu?''
Suatu perasaan sudah hilang dalam diri. Ya, dahulunya saya sangat berahi untuk berkongsi setiap perkara yang berlaku di sekeliling saya. Mencari gali setiap hikmah yang tersurat lagi tersirat. Namun sekarang, rasa untuk berkongsi itu semakin berkurang. Entah mengapa saya menjadi semakin kelu dan kebas dalam menulis.
Saya sudah lupa akan apa sebenarnya yang saya mahukan daripada sebuah penulisan. Pahala berterusan. Itu sememangnya menjadi dambaan.
Justeru, saya perlu sentiasa menulis, menulis dan menulis. Bukan mengharapkan penulisan saya itu menjadi suatu aset kemasyhuran, namun menjadi pelaburan tidak bertepian. Melalui nasihat dan juga pedoman yang dapat dikutip melalui lorong-lorong kehidupan.
Seorang sahabat tidak penat dan tidak gagal untuk bertanya lagi mengingatkan, "Husna, bila mahu tulis post yang baru?, saya rindukan soalan itu.
Saya akan cuba menulis dan berkongsi setiap perkara yang dimanfaatkan buat yang lain. Meski berkali-kali hasrat di hati mahu sahaja ditutup blog ini, namun, saya harapkan masih ada yang setia menanti, memerhati dan memberi doa dalam sepi buat saya teruskan usaha murni ini.
Doakan saya terus kuat dalam menulis. Semoga Allah memberi kekuatan buat diri kalian juga dalam terus melakukan kebaikan. Wallahu a'lam.
1 comment:
teruskanlah menulis akak.. saya sudi membacanya :)
Post a Comment