Tahun 2014 bakal menjelma. Terlalu banyak perkara baru yang saya belajar tahun ini. Alhamdulillah. Duduk dalam kelompok masyarakat yang lebih luas membuat saya memandang hidup dalam perspektif yang baru.
Kita masih ada banyak amanah yang tidak terlunas lagi.
Ya, kita bekerja siang ke petang, adakala sampai malam (lagu Ramli Sarip ). Pulang ke rumah penat dan setiap hari kita ulang rutin yang sama setiap 5 hari seminggu. Persoalannya :
"Adakah hidup kita untuk bekerja mendapatkan duit untuk diri kita semata-mata?"
" Adakah kita bekerja hanya untuk mengisi perut yang lapar dan menghilangkan dahaga sahaja?"
Kita stress dengan kerja. Kita tertekan dengan suasanan. Kita tidak selesa dengan kawan sekerja. Kita sibuk menyiapkan kerja yang tertunda. Hidup di dunia yang Allah pinjamkan sementara ini hanya berpaksikan kepada diri kita semata.
There's more to that in life.
Saudara kita sedang menderita di sana. Kita pula menderita kerana taraf hidup yang makin susah pula.
Kita masih tertekan dengan hal dunia, padahal di akhirat kelak, Allah akan tanya ke mana usaha kita untuk membantu mereka?
Saudara sejiran kita, masih belum kenal keindahan Islam. Kita pula selalu tidak sempat untuk bertegur sapa dengan mereka. Andai anda peluang, kita masih tidak mampu untuk berkata-kata berkongsi cerita tentang keindahan agama kita. Kerana kita sendiri tidak merasainya. Mana mungkin mereka turut sama dipercik rasa bahagia hidup dengan Islam.
Jauh di sudut hati, mahu sahaja aku ke sana membantu mereka sedaya mampu aku. Tapi aku sendiri lemah, aku miskin dan tidak punya apa-apa.
Jauh di sudut hati, aku mahu menegur mereka yang sedang dalam keasyikan dunia kerna mereka hanya di hadapan mata. Tapi masih aku hanya mampu bersuara dari lubuk hati " Ya Allah, kasihanilah mereka, sesungguhnya mereka lupa mungkin mereka tidak tahu. Ya Allah, maafkan aku, kerna aku juga punya iman yang lemah, untuk melaksanakan amar makruf dan nahi munkar, aku masih tidak mampu"
Jauh di sudut hati, aku mahu sangat mendalami bahasa mereka. Mahu sangat berbual seronok dengan mereka. Kemudian, aku mahu bercerita tentang agamaku. Aku mahu bertanya juga mendalami adat dan agama mereka. Juga, dan akhir sekali aku ingin menjemput mereka kembali kepada fitrah mereka.
Kerana aku pernah cuba, sebuah takdir yang menemukan aku dengan mereka. Aku tidak mampu lagi untuk mengatakan "Mahukah kamu memeluk agama Islam bersama ku". Aku hanya mampu menunjukkan akhlak yang baik sahaja. Aku hanya mampu bercerita tentang hidup dan budaya. Tapi tentang agama, aku tidak 'sempat' bercerita. Dan sehingga kini aku sangat menyesal kerana aku telah melepaskan peluang itu dan aku buntu untuk mendekati mereka semula.
Adakah kemampuan aku hanyalah dengan mendoakan mereka sahaja? Cukupkah dengan bisikan hati semata? Doa qunut di kala subuh? Dan hanya dengan akhlak yang baik sahaja?
Aku mampu berusaha lebih daripada itu! Cuma aku masih perlukan ilmu.
Ya, dengan ilmu dan pertolonganMu Ya Allah, aku mahu memanfaatkan sisa umurku ke jalanMu. Agar hidupku ini ada manfaatnya. Agar aku ada meninggalkan sesuatu yang akan membantu kelak pabila aku menghadapMu.
Ya Allah.
Ampuni aku atas kemalasanku. Ampuni aku atas kelemahan diriku, Ampuni aku atas ketidak sediaan diriku mengajak manusia kepadaMu.
Ya Allah,
Aku juga masih terumbang ambing dalam mentaatiMu, Aku juga masih terkadang alpa bahawa aku hambaMu.
Berikan kami hidayah dan petunjuk dari sisiMu, hulurkan jua pertolongan dan kekuatan. Ampunkan kami Ya Allah, ampunkan kami.
No comments:
Post a Comment