26 March 2014

Allah Sayang Kita






Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Malaysia sudah menjadi terkenal di mata dunia. Kalau dahulu, mereka mungkin hanya mengenali Indonesia kerana ramainya umat Islam di sana ataupun Singapura kerana maju dan bersih negaranya. Kini saya yakin, sesiapa pun pasti sudah mendengar nama Malaysia. Negara yang saya dan anda pembaca cinta.

Bermula dengan banjir, kemarau, jerebu, ketidakstabilan negara, kehilangan MH370, kematian anak remaja, dimalukan oleh bomoh tua, kelompongan sistem keselamatan negara, kesemuanya menimpa-nimpa.

Saya percaya seperti anda semua, kita seakan sudah dihempuk berkali-kali kotak sedar dan iman akan perkara ini. Seperti anda semua juga, saya percaya sudah ramai yang mengerut dahinya, bergenang air mata memikirkan nasib kita.

Saya juga percaya sudah ramai yang mula mencari hikmah di sebalik ujian Allah. Ramai juga yang sudah kembali kepada Pencipta. Kenapa saya berkata sebegitu rupa?. Kerana saya juga merasakan perkara yang sama.

Percayalah wahai rakyat Malaysia, Allah sedang persiapkan kita untuk suatu perkara yang lebih besar selepas ini. Percayalah, Allah sedang menguji kita setelah lama kita hidup selesa. Percayalah, bahawa Allah yang mencetuskan semua mala petaka ini adalah Allah yang sama membenarkan kita hidup menghirup oksigennya secara percuma. Hanya pada Allah selayaknya kita menyembah, dan hanya padaNya lah tempat kita meminta pertolongan.

Yakinilah bahawa Allah mahu kita juga merasa apa yang saudara kita rasa. Derita yang sudah sekian lama mereka rasa tanpa kita. Nah, kini Allah cetuskan rasa itu untuk kita sentiasa insaf bahawa Allah Maha Berkuasa. Ini adalah waktunya Allah serta tarbiyah daripadaNya mendidik kita dengan cara yang kita tidak ketahui bagaimana. Kerja kita untuk sentiasa kembali kepadaNya, bersangka baik kepada semua takdirNya kemudian berusaha memperbaiki hubungan kita denganNya.

Ayuh, usah berlengah lagi wahai manusia, Allah sangat merindukan tangisanmu, doa dan rintih merayu kepadaNya meminta pertolongan dan petunjuk.

Biarkanlah manusia dan perancangan mereka. Segala teori dan konspirasi musuh kita akan sentiasa melingkari kita. Bak hadis Nabi Muhammad s.a.w tentang umat akhir zaman yang dikerumuni musuh Islam ibarat orang mengerumuni sebuah hidangan. Kitalah umat itu yang tiada upaya melainkan bilangan yang ramai namun ibarat buih di pantai.

Sedang umat Islam diperlakukan dengan pelbagai cara, kita sebenarnya tiada masa untuk bersuka ria. Kita ada kerja yang perlu dilaksana. Perlu banyakkan taubat kerana kiamat sudah dekat. Andai itu belum pernah dapat kita semat dalam diri, ketahuilah, bahawa mati itu tidak akan pernah sesaat cepat atau sesaat lambat.

Berdoalah untuk ummat sejagat. Berdoalah untuk keampunan dosa. Berdoalah untuk kita bangkit kembali kuat. Berdoalah juga agar kita dijauhkan fitnah dajjal laknatullahi alayh. Andai saat itu tiba, moga Allah pilih kita dan nampakkan kebenaran dan juga kebatilan. Agar kita tidak tersalah pilih jalan. Biarlah jalan itu jalan ke syurga meski susah di dunia. Ameen.. ya Rabbal A'lameen.


24 March 2014

Say NO to Ikhwah





Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Ah sudah, dia tulis lagi pasal ni. 

Mula lah tu nak cakap pasal ikhwah kan.

Tak habis habis nak ulas pasal benda ni. Gatal sangat pergi kahwin cepat-cepat.

Kata-kata di atas mungkin antara pemikiran pertama atau impresi pertama sebahagian daripada kalian selepas membaca tajuk post kali ini. Atau saya sahaja yang terlebih lebih memikirkan apa yang orang akan kata

Terlebih dahulunya, maaf saya pinta andai ini isu sensitif bagi sesetengah orang. Maaf juga andai post ini agak menghakis hati mahupun menggatalkan mata anda ketika membacanya. Cuma saya perlu berkongsi perkara ini. 

Ya, lah. Kongsi je. Tapi apa cerita yang nak dibawa berkaitan tajuknya???

Eh, sabar-sabar. Urut dada, tarik nafas terlebih dahulu. Baca dengan hati yang penuh kelapangan ya. Saya ingin membicarakan tentang "Pengalaman saya berMusyrif atau berMuraqib". Dua juta kali juga saya berfikir untuk menulis tentang perkara ini.

Lahh... bosan. Klik butang x di tab.

okay.. sambil mengurut dagu.. macam menarik... teruskan teruskan..

Ingat tak pembaca sekalian tentang maksud penggunaan istilah Jejaka Kacak dalam post yang lepas?. Jika masih ada yang belum tahu kisahnya boleh klik di sini.

Kacak yang dimaksudkan dalam konteks post ini adalah lelaki yang budiman, berbudi bahasa, budayawan, atau gentleman. Saya kehilangan vocab untuk menggambarkan kacak yang bukan pada wajahnya tetapi pada akhlaknya. Haa, berakhlak orangnya.

Kisahnya bermula sewaktu pulang dari Pasar Seni ahad lepas. Selepas siap berkemas dan menangkap gambar bersama-sama sukarelawan Dapur Jalanan, sebahagian daripada kami mahu makan malam di KFC.

Tetapi saya dengan kepala yang sudah berdenyut juga badan penat yang merayu untuk pulang menyatakan hasrat kepada mereka untuk tidak bersama sama. Saya dan 4 orang lagi akhawat berpakat untuk pulang lebih awal. Saya sebagai kak long kepada mereka terasa bertanggungjawab untuk menjaga adik adik. Ceywah. Maka berjalanlah kami pulang dalam jemaah.

Sedang kami berjalan, saya sudah perasan ada dua orang ikhwah berjalan terlebih dahulu di hadapan kami. Dalam hati, "Oh, agaknya mereka ni nak balik UIA jugak kot. Boleh ikut sekali". Tetiba ada seorang lagi ikhwah berjalan melepasi kami.

Mulut ni laju bertanya "Brother nak balik UIA ke? Kami ni pun nak balik juga". Rasanya dalam hati memang yakin boleh berjalan tanpa musyrif entah kenapa mulut ni rajin pula bertanya. Brother tadi anggukkan kepala dan laju kehadapan mengejar dua ikhwah tadi. Terkumat kamit mulutnya melaporkan kepada mereka berdua tentang kami.

Salah seorang daripada mereka menganggukkan kepala dan sempat mengerling ke arah kami. Bermula daripada saat itu, setiap langkah kami diperhatikan brother tersebut.  Beberapa jalan yang memerlukan kami melintas jalan, pasti akan ditunggunya sehingga semua selamat menyeberang. Apabila ada kereta yang ingin laju, pasti ditahannya untuk kami lalu.

Saya tertawa kecil sambil berkata kepada adik "Acu, agaknya ni mesti kali pertama dia jadi musyrif kan? Kenapa dia concern sangat?". Saya jadi hairan akan kebaikannya. Apsal lah nak pelik dengan orang yang nak buat baik?.

Menaiki escalator sempat dia bertanya, "Kita solat dulu boleh?". Saya dengan muka jujur kepenatan hanya berkata "Haah, solat dulu".

Ramai pula yang beratur maghrib itu membeli token. Tiga daripada kami berjalan dahulu menggunakan kad Touch n Go ke arah surau dan yang lain lain beratur membeli token.

Sekali lagi, brother yang concern tadi seakan puas mencari sesuatu. Saya berjalan perlahan ke arahnya. "Surau perempuan tak adalah, yang ada surau lelaki je. Nanti sisters sembahyang lah dulu ya, ada sorang je pakcik dalam ni". Puas dia menerangkan. Tetapi akhirnya apabila kami bertanya, terus seorang janitor mengalihkan papan Caution Wet Floor  yang menghalang laluan ke Surau Muslimat. Rupanya air tiada di tandas, tetapi surau masih boleh digunakan.


Sesudah sembahyang kami terus menaiki LRT pulang ke Gombak. Mereka bertiga berdiri memberi tempat kepada kami untuk duduk. Sehinggalah tiba di Putra bas ke UIA masih belum sampai. Kami berlima pun duduk di hadapan kedai buah dan jajan. Manakala, brothers bertiga tadi berjalan ke kerusi yang paling hujung betul betul di hadapan tempat bas akan berhenti.

Saya duduk dengan pandangan kosong ke hadapan. Sesekali Acu sua buah ke mulut, disuap manja gitu. Baik sungguh adik saya sorang ni. Yang lain lain pun ada buah di tangan mereka, "Semua orang mesti dah lapar kan?" kata saya.

Sambil kami mengunyah perlahan buah potong tadi, Acu bersuara "Akak, akak rasa kita boleh balik sendiri tak kalau diorang tak ada?". "Tu lah pasal, akak berani je nak balik UIA sebab kita ramai. Tak sangka lah pulak jumpa orang yang sweet nak jaga kita sampai macam tu" kata saya. "Kann kak" sambil Acu menyuap buah ke dalam mulutnya.


Hampir 20 minit kami menunggu bas, tetiba  ada suara menegur "Sisters kenapa duduk sini, bas akan berhenti dekat hujung sana, better duduk sana".  Saya paling muka ke belakang, brother tadi rupanya. "Alahai, kenapa baik sangat", "Ya Allah, jangan sweet sangat". Kami tersentuh lagi dengan keprihatinan dia.

Saya yang sudah tak hirau apa yang berlaku di sekeliling ikutkan sahaja katanya. Lama sungguh malam berlalu bas masih tak kunjung tiba. Sehinggalah lebih kurang 30 minit berlalu, barulah kelihatan bas Rapid 231 muncul.

Bas tiba dan akhirnya kami pulang. Malam itu ramai sungguh pelajar UIA keluar bandar. Brothers yang bersama kami tadi mencari tempat duduk, tetapi brother concern mencadangkan mereka untuk berdiri sahaja. Otak saya sudah dipenuhi angin ketika itu. Pening dan hanya memikirkan untuk ke cafe sesampainya kami di Mahallah. Tapi hati tetap merasa kehairanan atas kebaikan lelaki tersebut.  Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan. Dan saya berterima kasih kepada brother tersebut atas keprihatinan yang agak manis(sweet) pada hari itu.


Jadi, apa moralnya daripada cerita ini?

1- Akhawat, berusahalah untuk berjalan secara berjemaah ke mana jua kita pergi.

2- Namun, tidak dinafikan juga kepentingan mempunyai musyrif.

3- Musyrif yang baik akan prihatin dengan ahli yang dibawanya. Bukan hanya sekadar berada di hadapan berjalan tanpa tahu apa yang terjadi di belakang.

4- Masih ada lagi ramai orang kacak (baca:gentleman) di atas muka bumi ini. Dear akhawat, janganlah kita berputus asa.

5- Masih ramai lagi yang telah berjaya dididik untuk sentiasa menjaga kita akhawat dalam apa jua hal.

6- Baik kepada akhawat bukan bermakna gatal atau menunjuk-nunjuk. Baik dan prihatin itu sikap Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam sebuah kisah diceritakan, ada seorang isteri sahabat berjalan sendirian memikut beban di kepalanya untuk di bawa pulang. Rasulullah ternampak akan sahabiah tersebut lalu menawarkan tunggangan untuk dinaikinya. Namun, ditolak dengan baik oleh sahabiah tersebut lantaran teringatkan cemburu suaminya yang tinggi. Nah, bukankah ini bukti Rasoulillah insan yang sweet lagi prihatin pada para sahabiah?

7- Meminta bantuan musyrif tidak bermakna akhawat itu terlalu lemah dan suka minta dilindungi. Akan tetapi ia juga menjadi sebuah penghormatan kepada ikhwah sebagai rijal qawwamoun. Berbanggalah kalian!.


Saya tidak bercadang pun untuk berkongsi kisah ini. Tergerak hati untuk menulis pun atas rasa perlu bila terbaca petisyen Say No to Akhawat Perubatan hanya kerana mereka tidak mahu menggunakan khidmat musyrif. Lucu dan nampak kebudak budakan. Tapi isu yang dibawa itu yang saya maksudkan.

http://www.change.org/petitions/ikhwah-bujang-mesir-say-no-to-akhawat-perubatan-mesir

Saya pun tak terbayang akan perlukan musyrif di Malaysia. Tapi kalau di Maroc dahulu, kami akan bergerak bersama sama jikalau berjaulah. Di situ, bagi saya, ikhwah juga akan belajar bagaimana mengurus kesabaran dalam menunggu akhawat bersiap, berhenti solat dan bershopping. Ala-ala belajar sebelum membina Baitul Muslim. Tak lah terkejut sangat nanti harapnya kalau si isteri suka berwindow shopping dan memang jenis orang bersiap lambat.

Wallahu A'lam. Sekadar perkongsian cerita dan cetusan rasa. We can agree to disagree. Tapi ini sudut pandang saya tentang isi musyrif ini. :)

Terima kasih atas kesudian membaca. 

18 March 2014

Thesis Kehidupan






Bismillahi as solatu was salaamu a'la Rasoulillah.

Minggu ini minggu penuh penginsafan buat saya. Ahad lepas saya diberi peluang untuk menyertai sebuah program anjuran Quranic Youth Club untuk sama sama menjadi sukarelawan di Dapur Jalanan.



Walaupun hanya sebentar cuma dan hanya sedikit tenaga yang dihulur, saya sangat terkesan dengan istiqamahnya 9 orang anak muda memberi makanan secara percuma kepada orang bergelendangan. 30/3/2014 yang bakal menjelma genap setahun mereka meneruskan akitiviti yang mulia ini.

Saya pulang dengan pelbagai perasaan. Mereka bukan siapa siapa. Mereka hanya sekumpulan anak muda. Mereka juga nampak sangat biasa biasa. Mereka tak pernah mengharap publisiti dari mana mana. Apa yang mereka pegang "Makanan adalah Hak Milik Semua". Mereka menggelarkan homeless atau gelandangan itu VVIP, terlalu istimewa bagi mereka.



Sedang manusia sibuk dengan perihal duniawi. Kita sudah menjadi terlalu nafsi nafsi. Semua benda bagi kita tidak pernah cukup serba serbi. Apatah lagi untuk kita memberi kepada mereka yang kita tidak kenali.

Saya tahu dan saya insaf lebih ramai lagi orang yang tidak bernama di luar sana sama seperti mereka. Mulia pada mata Pencipta.

Saya pulang dan saya jadi terus bersemangat. Saya juga mahu seperti mereka.

Keesokan harinya pula, saya baru berkesempatan mengambil bungkusan pos di Pejabat Mahallah Hafsah. Sudah seminggu terbiar di situ. Bungkusan apa?. Buku yang saya beli dan sangat dinanti nanti "Cerita Cinta Ahmad Ammar".




Berderai derai tumpah air mata. Berkali kali saya jatuh cinta. Bertimpa timpa rasa cemburu kepadanya. Bertubi tubi rasa insaf tiba. Ke mana waktu muda saya yang telah pergi begitu sahaja?

Saya sangat mengagumi Ammar dan kualiti serta kebaikan yang telah dia baktikan sepanjang hidupnya. Dipilih Allah untuk syahid pada usia 20 tahun dalam keadaan ibu bapa, guru guru dan semuanya meredhai pemergiannya. Dia anak yang soleh contoh bagi kita remaja yang semakin alpa dengan dunia. Terasa amat malu untuk hanya terfikir membandingkan hidup saya dengan hidup si Ammar.

Kemboja telah disantuninya, Syria sudah menerima kunjungannya. Risalah An Nur sudah dihafalnya. Malah, kematiannya juga menghidupkan kita.

Saya jadi terus bersemangat. Saya juga mahu seperti dia.



Saya mahu jadi seperti mereka walaupun saya tahu ia susah.

***

Menulis cerita kehidupan dapat saya analogikan seperti menulis sebuah thesis.

Mengapa saya analogikan sebegitu? 

Kami pelajar Sarjana diberi masa 2 tahun untuk menyiapkan sebuah thesis disamping mencukupkan credit hour dengan subjek pilihan.

Dalam masa 2 tahun tersebut, terlalu banyak tajuk yang menarik dapat kami pilih untuk dijadikan tajuk thesis. Semestinya kami perlu memilih tajuk yang kami betul betul minati supaya dapat dilaksanakan dengan penuh kesungguhan.

Akhirnya, sesudah kami siap menulis thesis tersebut, tibalah masa kami diuji tentang apa yang kami kaji. Setiap muka surat dan isinya akan ditanya. Apakah kami benar benar faham dan jelas tentang hasil kajian kami? Adakah kami betul betul menjalankan kajian dengan telus? dan Apakah kebaikan yang dapat kami sumbangkan melalui kajian tersebut?.

Usai proses soal jawab, kami akan diberi keputusan melalui hasil kajian kami. Keputusan yang bakal kami lihat, Accepted, Lulus?. This thesis must be revised, thesis ini perlu dikaji semula?. Extension revision required, masa kajian tambahan diperlukan?. Atau mungkin Unacceptable, Thesis ditolak?.



Bukankah sama dengan corak penulisan hidup yang kita cuba hasilkan?

Kita diberi masa oleh Allah untuk hidup di atas bumi dalam tempoh tertentu. Walau kita tak pernah tahu bila saatnya kita dipanggil, tetap bilangan tahun sudah melebihi dua tahun. Malah, dalam tempoh itu jugalah, terlalu banyak kebaikan kebaikan yang dapat kita pilih untuk kita fokuskan dan kita gembleng tenaga sepuasnya. Terlalu banyak. Disamping rukun Islam yang wajib kita laksanakan.

Kita usaha sebaik mungkin dan akhirnya kita dipanggil oleh Allah semula. Tibalah masa kita bakal ditanya tentang amalan kita di dunia. Tambahan soalan yang bakal ditanya selepas solat, ke mana waktu lapang kamu dihabiskan? Adakah kamu membantu saudaramu di dunia? Sudah kamu tegakkan Islam di tempatmu? Berapa ramai yang telah tersentuh dengan dakwahmu? dan lain lain soalan yang bakal ditanya malaikat di sana.

Usai amalan kita dihisab, tibalah waktu kita ditentukan syurga dan neraka olehNya. Cuma pilihan yang ada cuma dua. Ya, antara syurga dan neraka. Tiada masa tambahan diberikan. Tidak pula kita akan dikembalikan ke dunia untuk hidup semula.

Lantas, persoalan yang harus kita tanyakan "Apakah sudah ada kebaikan yang telah aku sumbangkan?" Jikalau ada, "Sudah cukupkah untuk aku persembahkan dihadapan Tuhan?"

Saya yakin semua pembaca post ini sudah banyak memberi sumbangan dan sudah banyak menyebarkan kebaikan, namun, persoalan ini masih menjadi persoalan bagi saya. Saya terkedu, buntu. Menulis soalan ini dalam diri dan diakhiri sebesar besar  tanda soal dan tanda seru

Sedang saya mencari cari tajuk thesis yang sesuai untuk saya mulakan di Semester Pertama ini, Allah kirimkan pengajaran yang lebih besar daripada sekadar itu. Sebuah persoalan yang memenuhi kotak pemikiran. Sudah saya mencari tajuk thesis kehidupan saya?

Untuk saya menunggu 2 tahun tamat pengajian baru saya mulakan pencarian, bukankah sudah terlalu banyak masa terbuang hanya untuk mencari tajuk cerita hidup saya. Untuk saya menunggu 2 tahun, baru saya mengorak langkah menyebar kebaikan, sudah pasti saya tertinggal berjauh batu dari perjalanan mereka yang saya ceritakan sebelum ini. Itupun kalau diizinkanNya saya hidup selepas 2 tahun.

Cukup cukuplah 23 tahun masa yang telah tidak saya manfaatkan sebaiknya. Mungkin esok saya akan dipanggilnya. Mungkin juga selepas post ini diterbitkan. Allahu a'lam.

Sekadar sebuah perkongsian buat pembaca yang mungkin dapat mengaitkan situasi ini dengan kehidupan kalian. Sama sama kita kembali kepada Tuhan, memohon ampun daripadaNya atas masa masa yang tak dapat dikembalikan dan sama sama kita mula mencari tajuk terbaik thesis kehidupan. Selari dengan kemampuan serta kebolehan. Percayalah, kita tidak pernah terlambat untuk membuat satu kebaikan.  =)




Dan moga kelak, sewaktu kita dihisab kita dapat persembahkan segala amal kebaikan kepada Tuhan dengan penuh kepuasan. Dan moga kelak kita hanya tersenyum penuh rasa kesyukuran apabila di dalam syurga tempat kita dikumpulkan. Ameen.