26 March 2014

Allah Sayang Kita






Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Malaysia sudah menjadi terkenal di mata dunia. Kalau dahulu, mereka mungkin hanya mengenali Indonesia kerana ramainya umat Islam di sana ataupun Singapura kerana maju dan bersih negaranya. Kini saya yakin, sesiapa pun pasti sudah mendengar nama Malaysia. Negara yang saya dan anda pembaca cinta.

Bermula dengan banjir, kemarau, jerebu, ketidakstabilan negara, kehilangan MH370, kematian anak remaja, dimalukan oleh bomoh tua, kelompongan sistem keselamatan negara, kesemuanya menimpa-nimpa.

Saya percaya seperti anda semua, kita seakan sudah dihempuk berkali-kali kotak sedar dan iman akan perkara ini. Seperti anda semua juga, saya percaya sudah ramai yang mengerut dahinya, bergenang air mata memikirkan nasib kita.

Saya juga percaya sudah ramai yang mula mencari hikmah di sebalik ujian Allah. Ramai juga yang sudah kembali kepada Pencipta. Kenapa saya berkata sebegitu rupa?. Kerana saya juga merasakan perkara yang sama.

Percayalah wahai rakyat Malaysia, Allah sedang persiapkan kita untuk suatu perkara yang lebih besar selepas ini. Percayalah, Allah sedang menguji kita setelah lama kita hidup selesa. Percayalah, bahawa Allah yang mencetuskan semua mala petaka ini adalah Allah yang sama membenarkan kita hidup menghirup oksigennya secara percuma. Hanya pada Allah selayaknya kita menyembah, dan hanya padaNya lah tempat kita meminta pertolongan.

Yakinilah bahawa Allah mahu kita juga merasa apa yang saudara kita rasa. Derita yang sudah sekian lama mereka rasa tanpa kita. Nah, kini Allah cetuskan rasa itu untuk kita sentiasa insaf bahawa Allah Maha Berkuasa. Ini adalah waktunya Allah serta tarbiyah daripadaNya mendidik kita dengan cara yang kita tidak ketahui bagaimana. Kerja kita untuk sentiasa kembali kepadaNya, bersangka baik kepada semua takdirNya kemudian berusaha memperbaiki hubungan kita denganNya.

Ayuh, usah berlengah lagi wahai manusia, Allah sangat merindukan tangisanmu, doa dan rintih merayu kepadaNya meminta pertolongan dan petunjuk.

Biarkanlah manusia dan perancangan mereka. Segala teori dan konspirasi musuh kita akan sentiasa melingkari kita. Bak hadis Nabi Muhammad s.a.w tentang umat akhir zaman yang dikerumuni musuh Islam ibarat orang mengerumuni sebuah hidangan. Kitalah umat itu yang tiada upaya melainkan bilangan yang ramai namun ibarat buih di pantai.

Sedang umat Islam diperlakukan dengan pelbagai cara, kita sebenarnya tiada masa untuk bersuka ria. Kita ada kerja yang perlu dilaksana. Perlu banyakkan taubat kerana kiamat sudah dekat. Andai itu belum pernah dapat kita semat dalam diri, ketahuilah, bahawa mati itu tidak akan pernah sesaat cepat atau sesaat lambat.

Berdoalah untuk ummat sejagat. Berdoalah untuk keampunan dosa. Berdoalah untuk kita bangkit kembali kuat. Berdoalah juga agar kita dijauhkan fitnah dajjal laknatullahi alayh. Andai saat itu tiba, moga Allah pilih kita dan nampakkan kebenaran dan juga kebatilan. Agar kita tidak tersalah pilih jalan. Biarlah jalan itu jalan ke syurga meski susah di dunia. Ameen.. ya Rabbal A'lameen.


No comments: