Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah.
UIA sarat dengan pelajar-pelajar asing dari pelbagai negara. Jika punya kesempatan taaruf, saya suka bertanyakan soalan "Apa pendapat awak tentang Malaysia". Soalan yang sering kali di tanya ahli Maghribi kepada saya.
Suatu petang di masjid, saya berkenalan dengan Fatimah dari Algeria. Algeria, Tunisia dan Maghribi berjiran. Mereka berkongsi dialek yang sama. Terasa bercakap dengan kawan-kawan sendiri pula bila bercakap dengannya.
Fatimah sudah 4 tahun di Malaysia. Kami bertukar cerita daripada tajuk makanan, cuaca, adat termasuklah bab perkahwinan. Tapi satu soalan daripadanya yang saya tak akan lupa.
"Bagaimana kamu menjaga kebersihan negara kamu? Negara kamu sangat bersih. Sampah dibuang dengan elok di dalam tong sampah.
Adakah ini hasil tarbiyatul awlad (pendidikan dari kecil) atau tanzim lhukumah (undang2 kerajaan)?"
Terkebil-kebil sebentar mata sambil mulut sedikit ternganga. Seakan tidak percaya ada juga yang memuji kebersihan negara kita. Dalam keadaan tidak percaya saya cuba menjawab.
"Mungkin sebab ada pekerja-pekerja yang bersihkan sampah agaknya"
Dia menjawab "Antara Maghribi dengan Malaysia yang mana awak rasa lagi bersih"
Sekali lagi saya terdiam. Dia menyambung " Kami pun ada pekerja juga. Tapi tong-tong sampah yang ada selalu hilang".
***
Tetiba terbayang sampah kering berterbangan di depan mata kalau ada angin kuat bertiup sepulangnya saya dari kuliah di Maghribi dulu.
Realiti sedih negara yang namanya Islam.
Rakyatnya masih belum benar-benar muslim.
Mari ringankan tangan, mari tukar kaca mata pandangan.
Mari melihat sampah sebagai pahala. Kita mampu merubahnya.
No comments:
Post a Comment