02 March 2014

Sepetang bersama Fatimah






Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah.

UIA sarat dengan pelajar-pelajar asing dari pelbagai negara. Jika punya kesempatan taaruf, saya suka bertanyakan soalan "Apa pendapat awak tentang Malaysia". Soalan yang sering kali di tanya ahli Maghribi kepada saya. 


Suatu petang di masjid, saya berkenalan dengan Fatimah dari Algeria. Algeria, Tunisia dan Maghribi berjiran. Mereka berkongsi dialek yang sama. Terasa bercakap dengan kawan-kawan sendiri pula bila bercakap dengannya.

Fatimah sudah 4 tahun di Malaysia. Kami bertukar cerita daripada tajuk makanan, cuaca, adat termasuklah bab perkahwinan. Tapi satu soalan daripadanya yang saya tak akan lupa.

"Bagaimana kamu menjaga kebersihan negara kamu? Negara kamu sangat bersih. Sampah dibuang dengan elok di dalam tong sampah.

Adakah ini hasil tarbiyatul awlad (pendidikan dari kecil) atau tanzim lhukumah (undang2 kerajaan)?"

Terkebil-kebil sebentar mata sambil mulut sedikit ternganga. Seakan tidak percaya ada juga yang memuji kebersihan negara kita. Dalam keadaan tidak percaya saya cuba menjawab.

"Mungkin sebab ada pekerja-pekerja yang bersihkan sampah agaknya"

Dia menjawab "Antara Maghribi dengan Malaysia yang mana awak rasa lagi bersih"

Sekali lagi saya terdiam. Dia menyambung " Kami pun ada pekerja juga. Tapi tong-tong sampah yang ada selalu hilang".

***

Tetiba terbayang sampah kering berterbangan di depan mata kalau ada angin kuat bertiup sepulangnya saya dari kuliah di Maghribi dulu.

Realiti sedih negara yang namanya Islam.
Rakyatnya masih belum benar-benar muslim.
Mari ringankan tangan, mari tukar kaca mata pandangan.
Mari melihat sampah sebagai pahala. Kita mampu merubahnya. 

17 February 2014

Manusia. Dunia. Cinta






Bismillahi as solatu was salaamu a'la Rasoulillah

Wahai Allah, sungguh Engkau yang Maha Mengetahui, betapa sukar bagi aku ingin menjaga hatiku daripada tunduk kepada nafsuku. 

Sungguh Engkau lebih berhak, kerna Engkau Maha Mengaturkan perjalanan hidupku dengan segala ketentuanMu.

Engkau yang membenarkan aku bertemu dan Engkau juga yang selayaknya menjauhkan mereka daripadaku.

Saksikanlah wahai Pencipta, bahawa hatiku, mataku, dan segala panca inderaku memohon ampun kepadaMu, atas kurangnya rasa cintaku pada diriMu dan pada kekasihMu.

Aku masih terikat dengan manusia. Aku masih terbelit dengan dunia. Aku masih buta dengan nafsu dan cinta. 

Manusia yang hanya membawa aku jauh daripadaMu. Dunia yang suka menipu. Nafsu dan cinta yang tak pernah beri rasa cukup dan bahagia. 

Siapalah aku di sisiMu Yang Maha Agung. Siapalah aku di antara jutaan manusia yang lebih mulia. 

Namun, tetap Pencipta diriku ini menyayangiku lebih daripada ibuku sendiri. 

Siapalah aku mempersoalkan apa yang Engkau telah aturkan, sedang kurniakan, akan hadiahkan kepadaku.

Aku hanya hamba. Hamba yang penuh dengan dosa, harapannya tidak pernah putus asa untuk memohon ampunanNya. 

Ingatkan aku, ini bukan tempat tinggalku. Tempat ini hanya ladang bagiku menyemai benih pahala. 



Ingatkan aku, ganjaran bagi mereka yang bersabar atas ujian Allah itu sangat besar. Tinggal aku bersangka baik denganNya. 


Diuji kembali






Bismillahi as solatu was salaamu a'la Rasoulillah

Realiti hidup seorang yang gelarkan dirinya sebagai daie. Setiap kata-kata yang diucapkan, setiap tulisan yang dipenakan, pasti Allah akan terus hadiahkan sebuah ujian kepada pemilik nasihat tersebut.

Mari, saya ceritakan lagi tentang perkara ini. Walaupun agak sudah lama hadiah pengajaran ini Allah kirimkan, belum terlambat rasanya saya pahatkan di sini untuk di ambil pedoman.

Blog post yang bertarikh 29 Januari 2014 bertajuk Iri Hati Seorang Ukhti. Post ini hanya pandangan peribadi saya sahaja. Tak sangka, sungguh tak dijangka, Allah uji pula saya keesokan harinya dengan ujian yang berlainan tapi inti pati nya sama dengan post yang ditulis.

Pada malam 30 hari bulan Januari yang lepas, keputusan English Proficiency Test telah diumumkan. Peperiksaan ini perlu diambil oleh semua PG (postgraduate) students yang belajar di Timur Tengah atau yang tidak mempunyai sijil TOEFL dan selayaknya.

Hendak dijadikan cerita, pada siang harinya saya dan Sohadah terserempak dengan kawan dari Algeria yang bernama Farah. Kawan Maghariba yang sangat saya teruja berkawan dengannya kerana dia mengingatkan saya tentang sahabat di Maghribi.

Kami bersalaman dan bertanya khabar sekejap setelah lama tak berjumpa sejak hari pendaftaran. Sebelum berpisah saya meminta dia mendoakan kami mendapat keputusan EPT yang melayakkan kami untuk terus masuk kuliyah. Kerana bagi mereka yang belum melepasi band tertentu, maka, wajiblah ke atas mereka masuk ke Pusat Bahasa sehingga melayakkan mereka untuk ke kuliyah.

Alhamdulillah, pada malam harinya saya menyemak keputusan EPT dan kami berdua lulus peperiksaan. Saya terus berkongsi rasa gembira itu di wall FB Farah. "Alhamdulillah,.. Thank you sister for your du3a.. Both of us succeeded in EPT!". Lebih kurang begitu status yang saya coretkan.

Sebuah like dihadiahkan. Sebuah komen "Congratulation" diselit bersama. Tetiba sebuah mesej kelihatan. "Where can I see the result of EPT?", Farah bertanya.

Nah, terus teringat saya bahwa dia juga sama seperti saya. Kami sama-sama baru masuk dan dia juga mengambil ujian EPT juga!. Masya Allah, waktu itu saya berharap sangat akan ada berita gembira daripadanya. Dan anda boleh teka bagaimana akhirnya situasi bertukar. "I didnt pass the EPT, I only got band 5 I have to pass with band 6".

Terus menyirap rasa bersalah dalam diri. "Ya Allah, apa yang telah aku lakukan?". Bukankah sama sahaja apa yang aku lakukan sekarang dengan apa yang telah aku tuliskan sebelum ini. Tanpa aku sedari aku telah mengecewakan seorang ukhti.

Akhirnya, saya meminta maaf kepada Farah "I am sorry, I was overexcited just now". Segera saya memadam status yang saya coretkan di wall Farah.

Lihatlah, dan ambillah pengajaran daripada cerita saya ini. Kita akan berterusan diuji dengan setiap ucapan dan nasihat yang kita berikan. Namun, adakah itu bermakna kita harus berhenti daripada berbuat kebaikan?. Tidak sama sekali. Itulah cara bagaimana Allah mahu kita sentiasa ingat bahawa Dia lah Yang Maha Hebat dan Maha Mengetahui segala tersirat yang baik untuk kita.

Usah terlalu cepat berputus asa dalam menyampaikan risalah ini. Andai ada yang membenci dan mengatakan kata-kata yang menyakitkan, kuatkan hati kamu dan yakinlah, kita sedang melakukan perkara yang benar. Sesungguhnya mereka tidak tahu, dan hanya tahu menghukum.

Sedang diri kita juga diuji Tuhan, dan kita hanya ingin berkongsi nasihat bukan ingin menunjuk nunjuk kehebatan, akan tetapi menjadi peringatan. Peringatan buat diri sang penulis yang bakal ditanya terlebih dahulu, "Apakah engkau sudah sebarkan kata-kata peringatan?" kemudian dia akan pula ditanyakan "Apakah sudah engkau lakukan apa yang engkau coretkan?".

Wahai orang orang yang beriman. Mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan?
 
Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukannya

Rahmat Allah amat luas. Besar kemaksiatan yang telah kita lakukan padaNya, besar lagi rahmat dan ampunannya buat kita. Ayuh sama-sama kita rebut untuk berada dalam payung rahmatNya!.