08 May 2010

AlQuran itu cahaya buat kita..~

 Bismillahi as-salaatu was-salaamu a'la Rasoolillah











6 Mei 2010..
hari ini merupakan hari yang mungkin tak akan pernah saya lupa..
air mata turun laju sepanjang jalan pulang ke rumah dari jamiah hari ni..

hari ini saya ada kelas madah Al-Quran Wa Tafsir bersama Ustazah Kahli..
Kami belajar tentang pengumpulan quran dan penurunan wahyu..
Di akhir kelas, ustazah memberi laluan kepada pelajar untuk membentangkan tugas yang telah ditetapkan..
Tajuk yang dibentangkan Yusuf dan Mohamad bertajuk "Kesan Al Quran kepada Bahasa Arab"..

Selesai pembentangan, ustazah memberi komen terhadap isi yang dibentangkan,
Komen pertama ustazah kepada Yusuf
" Bacaan Alquran bukan sahaja di dalam solat, malah, di luar solat juga"
Komen kedua ustazah kepada Mohamad pula
" Penurunan AlQuran dan kesannya kepada bahasa Arab bukan meluas dalam jajahan Arab, tetapi, Jajahan Islam kesuluruhannya. Siapa Arab? Arab adalah suatu bangsa keturunan Nabi Muhammad s.a.w, bertutur dalam bahasa arab. Siapa pula Muslim? Muslim itu adalah orang yang masuk ke dalam Islam, samaada dia arab dan bukan arab. Tidak semestinya, Arab itu Islam. Ada ramai Arab di luar sana beragama Kristian dan Yahudi." ustazah membetulkan fakta itu.

Saya betul-betul bersetuju dengan pendapat ustazah, sambil menunjukkan muka yang bersungguh dan menganggukkan kepala.
Sungguh sebenarnya agak terkilan juga ketika itu, mungkin Mohamad tersalah tulis fakta, tapi saya agak terasa dengan fakta tersebut. Seolah-olah, Islam itu hanyalah untuk Arab.

Usai ustazah memberi komen kepada mereka berdua, ustazah memberi peluang kepada kami yang lain untuk memberi pendapat masing-masing.
Ada yang menambah pendapat, ada juga yang bertanya.
Hari ini, kurang penyertaan yang diterima kerana pembentangan hari ini merupakan pembentangan pertama untuk subjek ini.

Tiba-tiba, Ustazah memandang tepat ke arah saya dan bertanya.
"Awak ingin tambah sesuatu?"
"Saya?" Jawab saya.
"Ya, awak" kata ustazah.


Saya pun tak pasti apa yang terluncur di mulut saya ketika itu. Tapi inilah yang saya jawab kepada ustazah.
"Pada pendapat saya, umat Islam di Malaysia secara umumnya, kami belajar cara untuk membaca Al Quran sejak dari kecil. Kami boleh membaca Al-Quran. Malangnya, kami tak faham apa-apa yang tertulis di dalam Al-Quran. Melainkan dengan terjemah. Jadi, untuk kami faham Al Quran dengan baik, kami mestilah mempelajari Bahasa Arab terlebih dahulu."

Semua orang memandang ke arah saya. Ustazah bertanya lagi.
"Kamu semua membaca Al-Quran dengan Bahasa Arab atau dengan bahasa kamu?"
"Bahasa Arab" jawab saya.
"Jadi ada terjemah Alquran dalam bahasa kamu."
"Ya ustazah"

Ustazah meminta lagi kepada mereka yang lain untuk memberikan pendapat masing-masing. Sebenarnya, saya mahu menambah sesuatu, hati saya sangat tak tenteram dengan jawapan yang mudah dari saya.
Saya mahu menambah, bahawa Al Quran itu mendorong kami yang bukan berbangsa Arab untuk lebih mendalaminya dengan mempelajari Bahasa Arab.

Tapi mulut ini, seakan terkunci.
Oh. Saya tak tahu perasaan sedih untuk apa yang sedang saya tanggung dan rasa sekarang ini.

*************************************************************************

Bila diingatkan kembali, ada seorang kawan saya pernah kata,
"Kamu baca AlQuran, tapi kamu tak faham??? Kesiannya..."

Subhanallah, geram sangat rasa di hati.
Mahma kami tak faham apa yang kami baca tapi kami ada juga terjemah yang membantu kami faham Al Quran.

Sedih.
Sedih, apabila orang Arab yang beruntung dapat memahami Al-Quran dengan baik, tapi tidak mengamalkannya.
Sedih.
Sedih, apabila orang kita membaca Al-Quran tapi tak faham dan tak nak cuba memahami terjemahannya.

Kedua-duanya tak mahu cuba mentadabbur Al-Quran dengan sebaiknya. Sedangkan Al Quran itu diturunkan sebagai petunjuk buat manusia. Buat umat Islam.

UMAT ISLAM =muslimin=kita
Sungguh sayang, seribu kali sayang.

Kita kena berubah untuk mencari keredhaan Allah.
قـول الحق تبارك وتعـالى في سـورة الرعـد : (إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ)

Kita adalah umat yang terpilih sebagai umat yang terbaik.
كما قال عز وجل: (كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ)" سورة آل عمران

Biarlah kita ini, bukan bangsa Arab sekalipun, kita telah terpilih menjadi muslim.
قال صلى الله عليه وسلم
(( لا فرق بين عربي أو أعجمي إلا بالتقوى ...))

Itulah nikmat yang terbesar sekali, iaitu nikmat IMAN dan ISLAM.

Sesungguhnya allah hanya melihat taqwa dalam diri kita.
قال سبحانه وتعالى "يأيها الناس انا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلنكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله أتقكم أن الله عليم خبير" الحجرات


Terasa diri sangat hina. Kerana kurangnya usaha untuk mencari rahsia di sebalik kalam Allah.
Orang yang bukan Islam juga lebih mengkaji Alquran daripada kita.

************************************************************************************

Usai kelas, saya terus keluar dari dewan kuliah tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawan yang lain. Laju saya berjalan mahu meninggalkan tempat itu. Sambil laju air mata turun untuk sebab yang tidak saya pasti.
pelbagai perasaan digaul dengan persoalan di dalam hati.
adakah saya tersalah cakap? apakah yang perlu saya balas untuk soalan sebegitu? adakah saya rasa terhina? saya tak tahu..

Hati saya terus bertekad untuk memartabatkan lagi Bahasa Arab sepulangan saya nanti.

Mohon doa kalian untuk saya terus kuat di sini. Mengutip segala pengalaman untuk dijadikan kekuatan.
Moga Allah sentiasa memberi hidayah kepada kita semua dan semoga mati dalam Islam itu milik kita.
Semoga kita akan teruskan usaha mentadabbur AlQuran dengan sebaiknya.
اللهم انصر الإسلام والمسلمين في كل مكان و في كل زمن

26 February 2010

Salam Maulid Rasul~




 Bismillahi as-salaatu was-salaamu a'la Rasoolillah



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Salam Maulidur Rasul buat semua. Sekali lagi kita diberi kesempatan untuk menyambut hari kelahiran insan teragung Rasul mulia, Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun ini. Namun, cinta itu bukan pada hari kelahhirannya sahaja bahkan mestilah mekar di dalam hati, basah di lidah dengan selawat ke atas baginda. Mudah bukan untuk berkata mahupun menulis, tapi payah untuk dipraktiskan. Aduhai diri, susah benarkah untuk berselawat ke atas baginda yang telah banyak berkorban untuk umatnya.

Post kali ini, saya ingin berkongsi sebuah qasidah yang telah kami pelajari di kolej suatu masa dahulu. Qasidah ini dinamakan Qasidah Al Mohammadiah.


Buat pengetahuan para pembaca sekalian, qasidah ini adalah hasil karangan Al-Imam As-Sharafuddin Abu Abdullah Muhammad Al-Busiri Rahimahullah atau lebih dikenali sebagai Imam Al-Busiri Rahimahullah. Berikut adalah potongan qasidah tersebut bersama terjemahan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.


القصيدة المُحَمَّدِيّةَ



Klik bacalah lagi untuk lirik Qasidah dan terjemahannya =)


08 February 2010

Pilihan itu Keputusan

 Bismillahi as-salaatu was-salaamu a'la Rasoolillah

Kejayaan itu tidak akan tercipta selagi kepayahan belum dirasa.
Kalau hendak berjaya, haruslah keluar daripada kepompong selesa.
Ilmu itu ada di mana-mana.
Benar, dan pilihan itu juga terletak pada kita.
Salahkah kalau kita memilih yang terbaik?.
Dan pabila sesuatu keputusan itu telah diambil,
jangan pernah pula berasa kesal atas keputusan tersebut.



Tatkala diri dilanda kebuntuan..
Istikharah dan hajat adalah penyelesaian..
Moga diberi petunjuk merungkaikan..
Yang manakah satu sebenar pilihan..


Sesungguhnya Allah jua sebaik-baik tempat bergantung.

17 January 2010

لما نستشهد :: Bila Kita Syahid


 Bismillahi as-salaatu was-salaamu a'la Rasoolillah







Mari dengarkan suara lunak kanak-kanak Palestin yang dambakan syahid buat mereka. Moga mati dalam iman dan syahid milik kita semua.
Nasyid Toyour Jannah.
نشيد طيور الجنة
Hasil terjemahan Unit Bahasa Arab JKK Pembangunan Minda & Kendiri [PMK] PERMAI.

10 January 2010

kita menjadi perhatian


 Bismillahi as-salaatu was-salaamu a'la Rasoolillah



Malaysia menjadi tajuk berita utama di Aljazeera.net.
Masyarakat dunia turut memerhatikan kita.











p/s: Islam bukanlah agama yang mengajak kepada keganasan malah agama yang mengajar kedamaian

07 January 2010

Our Obligation and Responsible



 Bismillahi as-salaatu was-salaamu a'la Rasoolillah

Salam..
7/1/2010
Hamdulillah, praise be to Allah for all his bless and guidance to us.


Hamdulillah, Today we have just finished our final exam. Its been quite a some time for me not to speak and write in English, so pardon me for my mistakes.


Since the first day we arrived, our status have actually changed from a Malaysian students to an International students. Me myself didn't realised about it until we had our test today. The test was held by a Moroccan lecturer, Madam Majdoubi with five foreign students which were three Malaysians and two Turkish . Eventhough we have never entered any English class here, we have to sit the test. This is because we have no basics in French and since English is our second language after Bahasa Malaysia, so, we have given this opportunity to do so.


Currently this phrases keep playing in my mind.
"Husna, your English language is decaying day by day"


Am I correct? :)


The story begin when my friends, Asiah and Zainab were very eager to make friend with some Madagascar students as their face was like Malay's face. So, I went there and become the so called translator for them as I know a little bit on how to communicate in English.

27 December 2009

Maghribi menjadi pilihan?

 Bismillahi as-salaatu was-salaamu a'la Rasoolillah

Assalamualaikum buat semua. Catatan ini saya tulis pada tahun 2009. Sila baca di link ini untuk update terbaru mengenai maklumat pengajian di Maghribi. 


Tajuk post kali ini saya karang khas buat adik junior K.I yang bernama Amirah khasnya (rasanya junior rumah khalid kan?) dan buat adik-adik lepasan SPM 09 amnya. Maaf ya Amirah, baru sekarang ada masa nak menulis. :)

Sebagaimana yang kita telah sedia maklum, antara negara-negara Timur Tengah yang pasti menjadi pilihan kebanyakan pelajar Malaysia untuk melanjutka pelajaran selepas SPM adalah Mesir dan Jordan. Akak pasti negara Maghribi atau dalam bahasa penjajah kita dikenali sebagai Morocco atau Maroc masih kurang diperkatakan dalam kalangan pelajar sebagai destinasi melanjutkan pelajaran. Akak pun begitu juga sebelum ini. Walaubagaimanapun, Maghribi juga sebuah negara yang pasti menawarkan sebuah kelainan buat mereka yang mahu melanjutkan pelajaran ke sini.

Pelajar-pelajar Malaysia di Maghribi tidak hanya tertumpu di sesebuah universiti sahaja, malah kami dipisahkan ke beberapa universiti yang terdapat di Maghribi. Antaranya ialah Universiti Hassan Thani di Mohammedia (tempat akak belajar), Universiti Hassan Thani Ain Chock di Casablanca, Universiti Ibnu Tofail di Kenitra, Universiti Mohammad Al-Khomis di Rabat, Universiti Benabdillah di Fes, dan lain-lain universiti
. Begitulah bertebarannya pelajar-pelajar Malaysia di bumi Maroc ini. Namun begitu, jika hendak dibandingkan pelajar Jordan apatah lagi Mesir masih sedikit bilangan pelajar Malaysia di bumi Andalus ini, bilangan kami masih sedikit kira-kira 100 lebih sahaja pelajar-pelajar Malaysia di sini.

Mari kita beralih pula kepada bentuk tajaan pelajar-pelajar Malaysia di Morocco.

Kebanyakan pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran di Morocco ditaja oleh yayasan negeri atau majis agama negeri. Sebagai contoh, pelajar Selangor ditaja oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), pelajar Negeri Sembilan juga ditaja oleh Majlis Agama Negeri Sembilan (MAINS) pelajar Pahang pula ditaja oleh Yayasan Pahang. Bagi pelajar-pelajar dari negeri lain, akak kurang pasti macam mana, tapi ada juga yang datang persendirian yakni tajaan FAMA (pelajar persendirian). Borang permohonan adik boleh cari di internet mahupun iklan-iklan di surat khabar.


Antara soalan-soalan mayshur orang ramai tentang Maghribi adalah seperti berikut...

-->1. Morocco ni kat mana sebenarnya?tak pernah dengar pun..
=Morocco/Maghribi terletak di benua afrika, bukannya timur tengah. Kedudukan negara ini adalah di bahagian utara benua afrika bersempadan dengan France. Dan berhampiran dengan Spain. Morocco panggilan nama dalam western name dan maghribi dalam kata arab. Jadi, kedua2nya makna sama..tapi, bukan Moscow! Jangan ade yang tak tahu..ehhe.
2.Sana ada berapa musim ye?
=Morocco ada 4 musim. Musim panas(6,7,8), musim luruh(9,10,11), musim sejuk(12,1,2) dan musim bunga(3,4,5). Sekarang musim sejuk di Morocco.
3. Morocco ada salji tak?
=Ada.Tapi di beberapa tempat di utara dan tanah tinggi saja iaitu Oukamaiden, Marrakech dan Ifran, Fes. Setiap tahun persatuan akan mengadakan rehlah salju ke tempat2 ini. InshaAllah
4. Nak kena beli baju sejuk kat Malaysia ke?
=Tak perlu, cukup beli sehelai, sebab kat sini banyak dijual dan murah2. InshaAllah, nnt smua pljr akan di bawa membeli brg keperluan masa sampai kat sini.
5. Apa bahasa perhubungan kat sini?
=Bahasa utama adalah bahasa arab fushah dan bahasa kedua adalah bahasa france, manakala bhs perhubungan seharian atau bahasa pasar ialah bahasa Darijah Maghribiyyah,
6. Kat universiti pulak, guna bahasa apa?
=Bahasa arab fushah kamilah.
7.Perlu tak bawa laptop?sana ada internet ke?
=Laptop atau komp agak penting juga , sebab kedudukan pelajar yang berjauhan antara satu sama lain menjadikan internet sebagai medan penghubung untuk brmesyuarat, berbincang, ceramah, tazkirah dan kelas2 online juga tempat menyebarkan berita dan maklumat terkini. Dan yang paling penting, tempat mencari bahan untuk bahas dll. Cyber cafe banyak kat sini.Tapi untuk permulaan ini, kalau rasa tak mampu, tk perlulah bawa. Terpulang pada individu. Kos/Bil internet sebulan untuk SEBUAH rumah dalam 150dh=rm70. Gunalah 24 jam pun, harga tetap sama.
8.Mata wang Morocco?Tukaran dalam rm?kenapa kena tukar kepada Euro?
=Mata wang Morocco :Dirham. Tukarannya, rm1=2 dirham+. Kena tukar kepada euro sebab RM tak boleh digunakan juga ditukarkan ke sini. Boleh juga tukar kpd US dolar tapi nilai tukaran US dolar jatuh, jadi rugi kalau tukar kepada US dolar.
9.Beza masa Malaysia dengan Morocco.?
=8 jam, cntoh, Morocco jam 1pg, Malaysia jam 9 pg.

Begitulah soalan-soalan yang selalu ditanya mengenai Maghribi.

Selalulah peka dan cakna tentang pengumuman yang dibuat. Jangan lupa juga hebahkan pada kawan-kawan yang lain. Lebih-lebih lagi selepas pengumuman keputusan SPM dikeluarkan. Percayalah, waktu itu kamu semua akan menyelongkar segala bentuk tajaan yang ditawarkan. Kalau dapat keputusan yang lawa, Alhamdulillah, insyaAllah jalan untuk adik-adik selepas ini akan menjadi lebih mudah. Tapi kalau kurang lawa, tak mengapa dan jangan bersedih, rezeki Allah itu sangat melimpah untuk hamba-hambaNya. Ingat tu.. :). Sekarang masih ada masa, banyakkan berdoa. Doa itu juga salah satu usaha kita. Lepas dah doa, tawakkal. Apa-apa juga yang kita dapat selepas itu kita terima dengan hati yang terbuka.

Nasihat akak bagi sesiapa yang mahu menyambung pelajaran dalam jurusan agama mahupun dalam jurusan Bahasa Arab, akak harap kamu semua dapat mantapkan asas dalam berbahasa. Supaya mudah bagi kamu semua bila sampai di sini. Tinggal belajar bahasa ammiah bagi mereka yang ke Mesir dan juga bahasa darijah bagi yang mahu ke Maghribi.

Bagi adik-adik yang dimurahkan rezeki mereka dan dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara, pasti akan ada persediaan buat kamu semua. Jadi manfaatkan kursus yang ditawarkan sepenuhnya. Insya Allah, nanti mudah bagi kamu semua di kemudian hari.

Berbelah bagi?
Belajar di dalam negara atau di luar negara kedua-duanya ada pro dan kontranya.

Buat kawan-kawan yang ada baca post kali ini, sudi-sudikanlah kiranya melontarkan pendapat masing-masing buat rujukan adik-adik kita.



21 December 2009

Zilzal dan zanzan~

عبد الإله سخير- أحمد حموش.




Bumi Mohammedia dan Darul Baido' telah bergegar di pagi Khamis yang lepas.
Gegaran yang dirasakan pada hari tersebut berjaya membuatkan saya terjaga dari tidur.
Keesokan harinya, kecoh di kuliah pabila kawan-kawan sibuk bercerita tentang zilzal yang berlaku.


Doakan keselamatan kami.


Sibuk-sibuk tentang zilzal teringat pula zanzan yang asyik diulang-ulang kawan-kawan.
Zanzan atau majnun adalah perkataan yang seangkatan dengannya adalah kalimah darijah baru pada minggu ini.
Manakala Zilzal kalimah arabyah fusha pula bermaksud goncangan.








Zilzal dalam jiwa meniti hari-hari untuk diuji bisa menjadikan diri zanzan seketika. =)








p/s: Muraqabah Mustamirah a.ka mid sem just around the corner. Please pray for me!!!


Husna my dear do your very best.

06 December 2009

sepurnama sudah...

 Bismillahi as-salaatu was-salaamu a'la Rasoolillah


Assalamualaikum w.b.t

Lama juga tidak menulis di sini. Sejujurnya agak kekok untuk bercerita kembali. Oh, tak mengapa.
Akhirnya, digagahi juga mencoret sesuatu sempena sepurnama saya di Maroc. Segala pujian bagi Allah, segalanya berjalan dengan baik dan sejahtera.

Sudah dapat rumah. Sudah pergi jami3ah. Berkawan dengan Maghribiyun pun sudah. Kehidupan di Mohammedia sangat sederhana sama seperti penduduknya.

"Mohammedia ni kawasan badiah. (kampung)"
Bak kata kawan-kawan arab saya yang kebanyakannya tinggal di bandar Casablanca yang pesat itu.

Tetap saya sangat berpuas hati dan sangat bersyukur.

Pejam celik. Minggu depan sudah muraqabah mustamirah. Peperiksaan pertengahan Sem 1.

Subhanallah.

Macam mana agaknya?

Nota sudah diambil. Hanya ulangkaji dan sedikit munaqasyah dengan kawan-kawan dan akhirnya tawakkal.

Baiklah. Mari tinggalkan sebentar mengenai peperiksaan.

Ada kisah lucu sebenarnya yang mahu dikongsi bersama. Semalam, tanggal 5hb Disember 2009 telah berlaku sesuatu yang boleh dianggap memalukan buat diri. :D.

Petang itu kanak-kanak riang kawasan kejiranan kami sangat peramah seperti selalunya melayan kami. Puas diketuk dan dibunyikan loceng rumah mahu berkenalan agaknya. Iyalah, sambil-sambil mengharap 5 dirham diberi sebagai duit raya.

Bak kata kakak-kakak serumah, sudah retak hiasan pintu rumah, habis hancur tempat tekan loceng, puas juga mengusir mereka masih tetap rumah ini dikunjungi kanak-kanak riang itu.

Maka kami biarkan sahaja hingga mereka puas beriang-ria biarpun tingkap bilik Kak Sarah diketuk-ketuk mereka.

Sabarlah kami.

Malam itu, usai Kak Mutiah masak. Pintu diketuk-ketuk lagi. Mulanya tidaklah saya perasan. Yang lain juga biarkan sahaja. Tatkala tingkap bilik Kak Sarah diketuk-ketuk, diberanikan juga diri ini untuk berhadapan kanak-kanak riang itu.

Alkisah sebenarnya, hari Khamis lepas, ada saya bertanya kepada kawan rapat saya, Fatimah. "Fatimah, kalaulah ada budak-budak baling batu kat rumah kita, apa yang perlu kita cakap ya dalam bahasa darijah?". Mukanya berubah. "Ada ke?". Risau agaknya, mungkin malu buat diri kawannya dikacau sebegitu sekali. Saya terus katakan KALAU untuk menenangkan hatinya. Terus diambil pen dan kertas menulis perkataan darijah kononnya sebagai pertahanan diri daripada kanak-kanak riang itu.

Berbekalkan kalimah-kalimah keramat tersebut saya pergi ke arah pintu dan melafazkannya dengan penuh semangat supaya kanak-kanak itu pergi.

Pintu dikuak sedikit.

_terjemahannya_

"Siapa tu? Awak nak apa? Tak malu ke kacau orang?"

Kata-kata itu keluar dengan lajunya.


Tetiba kedengaran..

"Mutiah..Mutiah..Ana Rashidah!"

Ya Allah...
Ditutup kembali pintu itu, terus saya berlari ke bilik Kak Sarah. Oh, tidak.

Berderai tawa mereka.

Rupanya kanak-kanak riang yang saya sangkakan itu adalah Rashidah dan Bushra tuan punya rumah kami. Mereka datang sebenarnya datang nak kutip duit sewa bulan ini. Terus Kak Mutiah bergegas menyapa mereka.

Masya Allah...

Rasa segan yang amat sangat. Tapi rasa bersalah lebih mendalam. Teruslah saya menyambut mereka selepas Kak Mutiah berjumpa dengan mereka. Demi menghilangkan rasa bersalah itu, saya ceritakanlah semula pada petang tadi kami dikacau kanak-kanak riang yang datang ke rumah dan saya sangkakan kamu adalah mereka. Bertalu-talu kata maaf saya ucapkan pada mereka.

Sambil-sambil kutip duit dan menulis resit, kami berbual bersama. Usai segala urusan dan musykilah mengenai rumah. Kami iringi mereka keluar rumah. Sekali lagi maaf dipohon pada mereka.

Hendak dijadikan cerita, mereka sendiri lupa yang rumah kami ada loceng. Oleh sebab itu pintu rumah dan tingkap bilik Kak Sarah diketuk-ketuk.

Peristiwa sambutan ulang tahun sebulan saya di Maroc yang sememangya memberi pengajaran buat diri dan mungkin buat semua.
Moralnya :

  • Sesungguhnya kesabaran itu adalah sesuatu yang sangat indah.
  • Bersangka baik lah kita pada semua orang meskipun mereka tidaklah sebaik yang kita sangkakan.
  • Memohon maaf itu bukanlah sesuatu yang memalukan dan memaafkan itu adalah sesuatu yang mulia.
Sekadar itu coretan buat masa ini. Ambillah yang baik sahaja, yang buruk itu jangan pula diikut. InsyaAllah, masa akan datang akan saya tulis lagi. Semoga kita sentiasa diberkati oleh Allah Ta3ala. Jumpa lagi.


Mohon doanya untuk peperiksaan kali ini..

Wassalam.