24 September 2011

Dimanakah kita?



 Bismillahi as-salaatu was-salaamu a'la Rasoolillah


Sungguh di dalam kehidupan kita tidak pernah ada satu kebetulan, semuanya suratan yang sangat mempesonakan.

Sungguh mempesonakan sehingga kesan pahatan pengalaman yang diperoleh dalam perjalanan kehidupan itu, mampu kita kongsikan bersama yang lain dengan harapan supaya dapat dijadikan pedoman.

Setiap derap kaki yang kita atur menuju destinasi kerja mahupun belajar dikira langkahnya oleh dua peneman setia Raqib dan Atid. Kemana kita halakan kaki kita, segala perkara yang dilaksanakan kita dicatat dengan cermat tanpa pernah lepa. Itulah tugas mereka.

Namun, bukan semua yang dizahirkan itu dapat direkod ke dalam buku amal kita. Lintasan hati, cetusan rasa, bisikan rahsia, umpatan cerca, niat yang buruk mahupun mulia hanya Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar segalanya. Lantas bisiklah kata cinta kepadaNya, pintalah semahunya kepadaNya, adulah sepuasnya hanya kepadaNya. Kerana Dia yang paling setia. Maka, setialah kamu kepadaNya.

Kelak tika kamu dalam kesusahan, bukan 'kekasih-buahhati-jantung' yang dapat membantumu. Bukan jua ibu bapa yang membesarkanmu. Apatah lagi teman seperjuangan yang bakal menemanimu selalu. Hanyalah Allah tempat mengadu.

Mengapa susah bagi dirimu menjadi hamba yang solehah. Sedang kamu berusaha menjadi anak yang baik, calon isteri yang terpilih, kawan yang terpuji dan pelajar terbilang. Walakin di mataNya kamu bukan sesiapa. 

Andai di sisi Allah itu kamu kelak tidak terpandang olehNya. Bagaimana pula diantara para Malaikat? Oh. Para Rasul dan Anbiya' apalah lagi. Andai tasbih, tahmid dan takbir tidak bermain di bibirmu hatta tidak terdetik di hatimu. Bagaimana pula selawat dan salam buat rasulNya mahu berputar di ingatanmu selalu? Jangan disebut pula ayat-ayat Quran kalam dariNya. Entah disentuh, apatah lagi dibaca.

Ohhh. Hanya cerita-cerita Cinta itu yang menemani kamu, lagu-lagu Korea itu pilihannya, mesej-artikel cinta manusia yang tidak putus diberikan tak lekang dibaca.

Wah-wah-wah. tabarakallah! Panjang sungguh ya umurmu. Bersuka-ria ingat dunia sahaja.

Gagal lagi. Bangkitlah semula. Jatuh tersungkur. Bangun langkah diatur.

Perlu ada siren kecemasan dalam otak pemikiran. Memberi amaran, mengesan kecemasan tingkatan iman yang semakin berkurangan. Aktifkan sel-sel badanmu ke jalan keredhaan. Gerakkan anggota badan yang bakal menjadi saksi di akhirat memberi pertolongan. Biarkan mereka bersuara kelak hanya membelamu ke syurga yang dijanjikan. Bukan menghumban dirimu ke lembah kebinasaan.

Kekal abadi buat selama-lamanya.

Syurga atau Neraka.

Dua pilihan sahaja.

Kelak dimanakah kita?

No comments: