27 November 2013

Analogi Pemandu dan Penumpang






Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah.



Selepas lulus test bukit dan parking, saya ke pondok JPJ untuk tanda tangan borang..



Tuan Pegawai : Awak tak mengajar ke hari ni?



Saya : Oh, saya ada minta cuti sehari. (Dalam hati, ada ditulis kerjaya kita ke kat borang JPJ?)

Dapat borang saya belek-belek tak ada pula column kerja. Rasanya baru kali pertama juga kenal Tuan tersebut. 

Pada akhirnya saya membuat konklusi, Tuan tu agaknya teka saya seorang pengajar daripada pemakaian saya. Ya, saya seorang sahaja gadis ketinggalan zaman memakai baju kurung hari ini. 

Saya dah buktikan dengan memakai pakaian longgar saya bebas dan berjaya melakukan perkara yang saya mahukan. Saya tahu lebih selesa pakai seluar, tapi tolonglah pilih seluar yang lebih longgar dan tidak ketat. Apa salahnya, longgarkan sikit baju t-shirt yang kita pakai. Untuk siapa kita berhias? Mari cek semula aurat kita. 

Yang menyayangi kamu kerana Allah,
Nurul Husna.


Ini kisah saya pada hari ujian JPJ dijalankan. Masih terasa keghairahan untuk memandu membuak buak dalam diri. Ya lah kan, baru pertama kali memegang lesen, pertama kali membawa kereta ke mana mana, pertama kali terasa seperti orang dewasa. Pengalam an pertama kali kita pasti akan sentiasa yang indah bukan?

Nah, 7 bulan selepas itu. Keghairahan itu makin pudar. Saya tersangat tidak rajin untuk membawa kereta ke mana mana. Penat!. Penat mental dan juga fizikal. 

Sabtu lepas saya ke kenduri kahwin senior di Temerloh. Walaupun Temerloh di dalam negeri Tok Gajah sama dengan daerah Kuantan. Masih perjalanan yang di ambil memakan masa 3 jam. Masya Allah.. penatnya. 

Berbanding menjadi seorang driver, saya sangat menikmati kedudukan sebagai seorang passenger. Wallah! 

Namun, tanpa saya sedar, ada analogi menarik yang dapat kita ambil daripada dua posisi ini. 

Pemandu / Driver / Saiq



Pemandu dapat saya analogikan sebagai seorang ketua. Seorang ketua pada awal pemilihannya berdebar-debar menerima keputusan pilihan raya mahupun undi. Apabila sudah terpilih menjadi seorang ketua, nah, berkobar-kobar pula sangat berkeyakinan untuk membawa satu arus perdana perubahan dalam organisasinya.

Macam saya gambarkan perasaan saya tadi, sewaktu pertama kali mendapat Lesen Pink P yang membenarkan saya memandu kereta di atas jalan. Kedua dua perasaan bahagia, rasanya lebih kurang sama.

Tetapi, ramai di antara kita yang kadang kadang terlupa, menjadi ketua atau pemandu sebenarnya terpikul di bahu kita sebuah amanah yang sangat besar. 

Bayangkan, sekiranya seorang pemandu terlelap walau 5 saat sekalipun pasti akan membawa kecelakaan. Apatah lagi kalau menjadi ketua yang sengaja melelapkan mata daripada kesusahan rakyat mahupun orang yang dipimpinnya, menjadi buta dengan sengaja atas segala korupsi yang di hadapkan pada matanya, agak-agak binasa tak organisasi tersebut? Mestilah jawapannya ya.

Menjadi pemandu perlu sentiasa tahu kemana arah yang kita ingin tuju. Perlu ada peta untuk mengingatkan kita belok mana yang perlu di ambil, simpang mana yang perlu dicelah. Samalah juga dengan seorang ketua, perlu ada matlamat yang jelas dalam kepimpinannya. Bukan boleh mengarah sesuka hati, apatah lagi tidak mengambil manual Al Quran dan As Sunnah dalam memimpin. Bukankah pada akhirnya kesesatan yang akan dibawa?

Pemandu yang sedar, cergas dan aktif akan membawa penumpangnya melalui jalan yang mudah dan cepat sampai ke destinasinya. Ketua yang cakna dan proaktif akan sentiasa memudahkan rakyatnya. Senang bukan analogi saya?

Namun, pemandu yang hanya suka membangga diri membawa kereta besar, akan sentiasa dalam lamunannya, keseronakan sementara, sedangkan penumpang ternanti-nanti bilakah waktu untuk sampai ke destinasi yang telah dijanjikan. 

Ketua mestilah seorang yang bijaksana. Memimpin rakyatnya dengan saksama.

Penumpang / Passenger / Raakib 


Sangat seronok menjadi penumpang. Dapat menjadi bos untuk ke mana mana. Kalau penat, hanya perlu lelapkan mata dan masih kita akan sampai ke destinasi akhirnya. Kalau bosan, capai apa sahaja kudapan untuk di makan dan masih kita akan sampai ke destinasi akhirnya.  

Samalah juga kalau saya analogi kan penumpang ini ibarat orang yang hanya tahu kepentingan dirinya terjaga tanpa kisah akan keadaan di sekelilingnya. Ibarat orang yang tak kisah, siapa yang akan memimpin negaranya. Tak ambil peduli, andai ada kesalahan pada ketuanya yang perlu ditegur. Tak ambil endah, andai ada kemaksiatan yang berleluasa di sekelilingnya, kerna dia sudah selesa, itu bukan kerja aku katanya, aku bukan Ketua Jabatan Agama. 



Tetapi, andai semua penumpang ini sedar akan hakikat mereka juga akan dipersoalkan di akhirat atas ketidakpedulian mereka di atas dunia. Pasti mereka akan tetap menemani Sang Pemandu untuk tidak tertidur, tidak terhangguk mengantuk apatah lagi tidak tersalah arah membaca peta dalam membawa semua penumpangnya ke destinasi terakhir. Apa lagi kalau bukan syurga destinasi kita!



Penumpang pasti mahukan pahala yang sama besar ganjarannya dengan pemandu. Jadi penumpang tidak akan hanya terus tidur apabila di dalam perjalanan, tidak akan hanya menyuap kudapan ke dalam mulutnya sahaja pasti di sua ke pada pemandu juga. 

Kerana dia tahu, seorang pemandu iaitu seorang ketua juga manusia. Manusia yang perlu ditegur andai terkhilaf, manusia yang perlu sokongan untuk terus berjalan, manusia yang pada awalnya dipilih sebagai ketua kerana keyakinan penumpang penumpang untuk Sang pemandu membawa kereta atas kebolehannya.

Penumpang sebenarnya kuasa sebenar seorang pemandu. 






Andai sahaja kita sedar akan hakikat bahawa dalam diri kita tergalas posisi Pemandu dan juga Penumpang, pasti kita tidak akan mengambil enteng akan peranan kita. Kadang-kadang kita sebagai Pemandu, kadang-kadang kita sebagai Penumpang. Kalau bukan seorang pemandu utama dalam tempat kerja kita, kita tetap seorang pemandu untuk diri kita sendiri bukan?


Mahukah kita memandu perjalanan hidup kita berdestinasikan Neraka? 

09 November 2013

Ujian dari Tuhan






Monolog dua hati bercerita tentang umat Islam



Ya Allah, nikmatnya hidup kami,
Dapat belajar dengan senang,
Kami dapat makan sehingga kenyang,
Kami beribadah dengan tenang.
Kami bermain sampai menang,
Kami ibarat minyak penuh yang ditatang,
Adakah ini melekakan kami sehingga mereka tidak dipandang ?

Syria, Mesir, Palestin, Rohingya?
Siapa mereka?
Kulit kita pasti berlainan warna,
Apatah lagi tutur bahasa,
Sudah pasti sangat berbeza,
Jadi, hal ehwal mereka, mengapa perlu kita cakna ?

Mungkin engkau sudah lupa,
Warna darah mereka dan kita warnanya merah saga,
Syahadah kita sama,
 Bersaksi Allah yang Esa dan PesuruhNya Muhammad yang Mulia,
Bukankah itu cukup membuktikan kita bersaudara?

Mungkin kerana aku anak Malaysia..
Sudah terbiasa hidup selesa.
Hidup kita kan aman dan bahagia..
Tiada masa untuk berduka cita,
Dan Ya, aku amat berbangga,
Punya negara yang maju dan kaya.

Bersyukurlah, kita masih dapat hidup aman sentosa,
Sedang mereka di sana terseksa menderita,
Namun, mengapa masih engkau berpura pura buta?
Mengapa masih seakan tuli semua telinga?
Mengapa masih engkau tidak bersuara?

Siapa kata kita tidak menderita ?
Derita kita tidak untung niaga,
Derita kita anak tidak lulus periksa,
Derita kita anak anak asyik bercinta,
Bayi bayi dibuang merata,
Derita kita kan tidak pernah cukup dengan apa yang ada.

Aduh, aneh sungguh derita kalian?
Bukankah ini namanya ujian?
Ujian mereka terpaksa hidup bergelendangan,
Tanah mereka dirampas tidak dipedulikan,
Serak tangis mereka tidak kedengaran,
Selalu mereka tidur dalam kelaparan,
Mereka dibunuh oleh manusia bertopengkan syaitan,
Namun, mereka tetap percaya pada janji Sang Tuhan.

Janji apa pula yang engkau maksudkan?
Dimana pula kedudukan kita di sisi tuhan?
Mereka dianugerah syahid sebagai kematian.
Sudah pasti syurga menjadi habuan.
Lalu, apa yang perlu kita lakukan?

Kita sangat kaya bukan?
Nah berjihadlah dengan harta – jadilah kalian orang dermawan,
Harta jikalau disimpan simpan pasti akan kehabisan
Namun, jika disumbangkan pada jalan Tuhan,
Pahalanya hingga ke syurga berterusan.

Ya, dan kita masih mampu bersuara,
Kita juga boleh sebarkan berita,
Biar nasib mereka lebih terbela,
Biar ada skema untuk kita  menjawab soalan di Hari Penyaksian,
Tatkala diajukan soalan di hadapan Tuhan,
Apakah kepada mereka engkau telah beri bantuan?Kami telah cuba wahai Tuhan,
Kami ada beri bantuan.

Terimalah kemaafan kami tidak menghantar kereta kebal yang kami gunakan pada Hari Kemerdekaan 
Maafkan kami hanya mampu menjadi penonton di saat basahnya bumi kalian,
Dibanjiri darah anak2mu, isteri2mu, tumpah titisan demi titisan.

Kami tidak mampu berperang bersama kalian,
Namun, terimalah nyawa kami, doa kami,
Moga menjadi sumber sokongan kekuatan,
Dan sudlilah kiranya roh2 kami bersemadi bersama kalian

binttawfiq, Sg Isap Damai, 2013-Nov-9

30 October 2013

Namanya Hamba






Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Setiap kali kita merasa hati sudah terlalu hitam, badan sudah melekit dengan peluh jahiliyah, tangan pula diliputi kotoran lumpur dosa, pasti Allah tetap akan menghantar sesorang, sesuatu mahupun sebuah pandangan yang sentiasa mengingatkan kita kepadaNya.

Allah akan tarik kita semula kepadaNya. Tinggal kita sahaja yang mahu cakna, mahu peduli, mahu menyambut seru Tuhan menuju kebaikan meninggalkan kejahatan. Ya, kita sudah menjadi jahat kepada diri kita setiap kali kita berdosa. Zalim sungguh kita tatkala kita sendiri sedar akan dosa yang dibuat akan menghumban diri ke dalam Neraka selamanya.

Allah.. ampunkan hamba.

Sering hamba leka dengan dunia. Alpa dibuai nafsu sehingga terlupa, mana dosa mana pahala.

Sebagaimana kita dapat melihat sesuatu perbuatan kita menjurus kepada dosa, begitu juga lah kita melihat peluang peluang pahala di hadapan mata.

Usah pandang akan sesuatu yang dapat menggerakkan sebuah gunung. Cuba pandang sekeliling, cuba tatap mereka dalam bulatan kita, pasti akan ada peluang pahala menani kita. Dan ya, hanya kita yang mampu menggerakkan hati untuk merebut pahala tersebut. Mahma semudah mengutip sampah!.

Wahai manusia, terlalu benar kamu memandang dunia hingga tidak tertoleh akhirat kamu. 

Ah, kenyangnya kamu dengan makanan di sini, hingga mereka disana menyantap kucing kekurangan bekalan makanan. 

Nah, sibuk benar dengan kecantikan yang sementara, tanpa peduli pahala berterusan selamanya. Apalagi kalau bukan dengan sedekah dan amal jariah. 

Sudah kamu lunaskan tanggungjawab itu sebelum kamu sibuk menghiasi dirimu?

Ingatlah, setiap insan yang hadir dalam diri pasti meninggalkan sebutir mutiara hikmah. Setiap ujian mahupun kesusahan, terima dengan seikhlas hati. Jangan mudah merungut, niatkan dalam hati "Oh Allah, aku memohon manisnya ikhlas di penghujung urusan ini walaupun payah".

Usahakan sebaik mungkin setiap perkara di hadapan kita, mungkin tampak kecil, manakan tahu, itulah yang menjadi asbab kita syurga. Mulakan dengan bismillah, setiap yang payah pasti menjadi mudah, yang mulanya ralat pada akhirnya pasti kan jadi hebat. In sha Allah.

Selamat menjadi hamba yang tidak putus-putus bertaubat, kamu tidak hina kerana dosa, kerana bukan saya, dia, mahupun mereka yang menentukan syurga atau neraka. Hanyalah Allah yang Maha Menghukum selayaknya menentukan. 

20 October 2013

Cemburu Rindu






Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Sudah 28 hari umi dan ayah menjadi tetamu Allah. 23 hari lagi kami bakal bersatu kembali. Incha allah.

Semua kebetulan yang terjadi dalam hidup kita sebenarnya telah disusun indah oleh Pencipta. Malah rasa cinta yang hadir dalam setiap memori itu juga datang daripada izin Yang Esa.

Sewaktu di bangku sekolah, saya tak pernah membayangkan diri saya mampu ke Maghribi. Sebuah negara arab yang begitu asing buat diri. Dahulunya, saya suka berangan mahu ke UK atau negara-negara Eropah. Atau saya menyambung pelajaran di Jepun, negara sakura yang sangat bersih. Negara-negara yang maju dan moden menjadi pilihan.

Saya juga menjalankan survey ke atas ahli keluarga, bertanyakan negara mana menjadi pilihan mereka. Cik Ayu adik ayah yang ketujuh memberi respon. "Cik Ayu nak ke Mekkah dulu sebelum tempat-tempat lain". Saya hanya membulatkan bibir sambil hati berbisik "Mekkah tu best sangat ke?" rasa tak puas hati timbul merasakan tempat lain lebih baik untuk dijadikan pilihan. Rasa hati saya waktu itu.

Meningkat dewasa, saya berpeluang terbang ke Maghribi. Di situ seorang senior memberitahu, andai kami sudah menjejakkan kaki ke Maghribi, maka, perlulah kami berusaha menjejakkan ke 3 buah negara yang wajib dilawati. Katanya, rugi andai kami sia-siakan peluang 3 tahun di Maghribi begitu sahaja. Negara-negara yang disebutkannya adalah Sepanyol, Turki dan Arab Saudi (menunaikan umrah).

Sekali lagi saya merasakan Arab Saudi itu terlalu jauh untuk digapai dengan hati dan kaki saya. Entah mengapa rasa membuak-buak untuk ke sana tidak timbul. Masih, Alhamdulillah, Allah beri kesempatan kepada saya untuk melawat Sepanyol, Turki dan Perancis.


Kini saya sudah bekerja dan berada di Malaysia. Pada suatu hari yang basah dengan hujan. Kami baru sahaja pulang bercuti dari Terengganu. Dua pucuk sampul surat dari Tabung Haji berada di dalam peti pos rumah kami. Maha Suci Tuhan, Umi dan Ayah ditawarkan mengerjakan haji meski mereka tidak memohon untuk rayuan pemilihan. Tampak rasa syukur dan rasa beruntung jelas di riak wajah mereka. Namun, masih, saya tidak terasa lagi cemburu dengan mereka. Sehinggalah mereka terbang ke bumi barakah itu.



Akan tetapi dalam hanya masa 28 hari ini, saya sudah sangat rindu untuk turut bersama di sana. Saya juga mahu dipilih Allah untuk menjadi tetamuNya. Meski bayangan dosa-dosa sentiasa menghantui cuba mematahkan rasa ingin di hati, air mata ini tetap juga mengalir kesyahduan melihat bahagianya tetamu-tetamu itu beribadah di rumah Allah. Apakah saya akan dipilihnya sebelum mata tertutup buat selamanya?


Saya juga mahu mendapat doa yang diangkat terus ke langit. Saya juga mahu mendapat pahala dengan hanya melihat Kaabah. Saya juga mahu mendapat pahala 1000 kali ganda bersolat di Masjid Nabawi. Malah, saya juga mahu menjadi saksi dan melihat sendiri tanah tempat tumpah darahnya syuhada' Islam.

Hairan sungguh dengan diri sendiri. Bagaimana sebelum ini saya sangat teringin ke Korea. Kononnya mahu melawat Minyoung dan Chae Eun, dua kenalan yang saya temukan di Turki. Tapi dalam hati sebenarnya mahu merasa kehidupan eksklusif dan trendy rakyat Korea. Ceh! Malu sungguh dengan diri. Dalam banyak-banyak tempat, masih Mekkah belum menjadi keutamaan.

Doa saya agar suatu hari nanti andai dipanjangkan umurnya, saya dapat menunaikan haji juga. Saya berdoa agar Allah memilih saya dan muhrim (suami atau adik) dalam umur 30 an untuk menjejakkan kaki ke tanah haram.Sebab kalau ikut giliran pendaftaran saya pergi umur 72!!! Makanya, saya perlu mula menabung dan berdoa dari sekarang. Yosh, Allahomma ballighna Makkah wa Madinah!

06 October 2013

Mencari diri





Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Mencari hikmah dalam setiap episod kehidupan. Itu yang membezakan kita dengan mereka. Setiap hari yang dilalui, setiap langkah yang dipateri patut meninggalkan kesan yang lebih positif dalam diri. Andai sesuatu perkara kita lakukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga, semak semula apa yang tidak kena.

Saya membelek setiap post yang ada di halaman ini satu per satu. Hajat di hati yang selama ini terkubur mula saya gagahi. Menghasilkan sebuah buku. Menulis atau mengumpul dua perkara yang berbeza. Dan setiap kali saya meneliti kembali setiap ayat yang pernah dikarang, membuat saya tertanya sendiri,

"Kemana hilangnya aku yang ini?".

"Mengapa aku tidak seperti aku yang dahulu?''

Suatu perasaan sudah hilang dalam diri. Ya, dahulunya saya sangat berahi untuk berkongsi setiap perkara yang berlaku di sekeliling saya. Mencari gali setiap hikmah yang tersurat lagi tersirat. Namun sekarang, rasa untuk berkongsi itu semakin berkurang. Entah mengapa saya menjadi semakin kelu dan kebas dalam menulis.

Saya sudah lupa akan apa sebenarnya yang saya mahukan daripada sebuah penulisan. Pahala berterusan. Itu sememangnya menjadi dambaan.

Justeru, saya perlu sentiasa menulis, menulis dan menulis. Bukan mengharapkan penulisan saya itu menjadi suatu aset kemasyhuran, namun menjadi pelaburan tidak bertepian. Melalui nasihat dan juga pedoman yang dapat dikutip melalui lorong-lorong kehidupan.

Seorang sahabat tidak penat dan tidak gagal untuk bertanya lagi mengingatkan, "Husna, bila mahu tulis post yang baru?, saya rindukan soalan itu.

Saya akan cuba menulis dan berkongsi setiap perkara yang dimanfaatkan buat yang lain. Meski berkali-kali hasrat di hati mahu sahaja ditutup blog ini, namun, saya harapkan masih ada yang setia menanti, memerhati dan memberi doa dalam sepi buat saya teruskan usaha murni ini.

Doakan saya terus kuat dalam menulis. Semoga Allah memberi kekuatan buat diri kalian juga dalam terus melakukan kebaikan. Wallahu a'lam.


21 August 2013

Surat ayahanda Asmaa Beltaji






Air mata ini mengalir saat saya menterjemah surat ini.


Surat daripada Dr Mohamed Beltaji buat anak perempuannya yang telah syahid.

Berikut adalah terjemahan bagi surat asal:

Wahai anakku sayang, sang guru bermaruah, Asma al-Beltaji;
Ayah tak akan ucapkan selamat tinggal kepadamu; Ayah ucapkan sehingga kita bertemu lagi di esok hari.

Dikau telah hidup dengan maruah yang tinggi, menentang kezaliman dan belenggu, dikau cintakan keamanan. Dirimu telah hidup sebagai peneroka dalam diam mencari sisi baru untuk membina semula negara ini di antara rakyatnya.

Dikau tidak pernah menyibukkan dirimu dengan perkara yang sebayamu igaukan. Walaupun pendidikan di sekolah tidak kau minati, namun masih juga kamu yang teratas di dalam kelas.

Sememangnya ayah tidak akan pernah berasa cukup dengan detik-detik berharga bersamamu di dalam hidup yang singkat ini.Terutamanya keterbatasan waktu yang menghalang ayah untuk menemanimu.

Saat terakhir kita duduk bersama adalah di dataran Rabaa Al Adawiya, dirimu bertanya kepada ayah, "Walaupun ayah bersama kami, ayah tetap sibuk". Dan ayah berkata "Nampaknya hidup di dunia ini takkan pernah cukup untuk kita menikmati saat saat bersama, jadi ayah berdoa moga kita dapat nikmati saat saat bersama di syurga nanti"

Dua malam terakhir sebelum kamu dibunuh, ayah melihat dirimu di dalam mimpi ayah memakai busana perkahwinan berwarna putih dan dirimu kelihatan sangat jelita. Apabila kamu duduk di sebelah ayah, ayah tanya kamu, "Ini malam perkahwinan kamu?" Kamu jawab, " Sekarang tengah hari ayah, bukan petang".

Dan apabila mereka menyampaikan berita kamu dibunuh pada tengah hari Rabu itu, barulah ayah faham apa yang kamu katakan dalam mimpi ayah. Dan ayah tahu Allah menerima jiwamu sebagai syuhada'.

Kamu telah mengukuhkan lagi kepercayaan ayah yang kita dalam pihak yang benar dan musuh kita dalam kesesatan.
Terasa perit bagi ayah untuk tidak dapat bersua dengan kamu buat kali terakhirnya, tidak mampu untuk mengucup dahimu; dan tidak dipilih untuk menjadi Imam solat jenazah kamu.

Ayah bersumpah kepada Allah wahai sayangku, Ayah tidak takut akan kehidupan ini atau dari ketidakadilan penjara, tetapi Ayah mahu menyampaikan mesej buat mereka bahawa jiwamu terkorban untuk menyempurnakan revolusi ini, untuk menang dan untuk menyempurnakan objektifnya.

Jiwamu telah diangkat dengan setinggi-tingginya menentang kezaliman. Peluru khianat telah menembusi dadamu. Betapa cekalnya keazamanmu, begitu suci jiwamu. Ayah yakin yang kamu ikhlas kepada Tuhanmu dan Dia telah memilih kamu di antara mereka yang dimuliakan sebagai syuhada.

Akhirnya, wahai anakku yang tercinta, sang guru bermaruah;
Ayah tak akan ucapkan selamat tinggal kepadamu; namun Ayah ucapkan sehingga kita bertemu lagi.

Kelak kita akan berjumpa dengan Rasul dan para sahabatnya di Syurga dimana tempat impian kita untuk menikmati saat saat bersama dengan yang tercinta akan menjadi kenyataan.