26 July 2012

Jujur dalam bercinta

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Mungkin kalian sudah bosan dengan tulisan drama air mata saya. Oh, tolong maafkan saya~

Sedar tak sedar tinggal sehari sahaja lagi keberadaan saya di bumi Maghribi. Subhanallah.. pantas sangat masa berlalu. Diri saya pada waktu ini terkejar-kejar dengan banyak perkara. Terasa susah meninggalkan bumi ini dalam masa yang sama, masih banyak perkara yang belum diselesaikan. Kadang-kadang apabila saya di dalam fatrah yang susah, saya selalu membayangkan diri saya di masa hadapan, terus tekan butang fast forward dalam otak dan bayangkan keadaan diri saya selepas berjaya mengharungi sesuatu kepayahan. 

Semalam, sewaktu mendaki bukit sebelum sampai ke rumah saya sudah membayangkan keberadaan diri saya di Malaysia. Sedang saya menapak satu demi satu langkah ke hadapan, terus saya menegur diri, buat apa perlu saya membayangkan diri di masa hadapan, seolah-olah mahu cepat meloloskan diri dari dunia realiti. Terus juga saya menyoal diri, bukankah lebih indah andai setiap detik masa itu walau pun payah untuk di harungi, tetap kita hayati satu persatu saat hidup itu. Sesungguhnya hidup kita ini bukan disulam dengan benang sutera kesenangan sahaja malah dikait pula dengan benang ujian. Walaupun sulam itu lembut dan indah, benang yang kasar itu juga memberi warna dan corak yang menyerlah juga.


Saidah Fathi
Saidah Jayid


Malam semalam sempat juga saya habiskan ziarah ke rumah ibu-ibu angkat saya. Ingat tak lagi pembaca sekalian dengan dua orang sahabat baik saya, Saidah Fathi dan Saidah Jayid? Dua orang kebahagiaan seperti makna nama mereka yang Allah hantarkan dalam hidup saya sebagai teman baik di sini. Dua orang yang sangat berbeza, Saidah Jayid kaya orangnya, tinggal di villa besar tapi sangat merendah diri. Saidah Fathi pula datang daripada keluarga yang sangat sederhana. Saidah Jayid pelajar Arabyah, Saidah Fathi pula pelajar Injlizyah. Subhanallah. 

Kedua-dua sahabat ini sudi berkongsi kasih ibu mereka dengan saya. Walau berbeza kulit warna dengan anak mereka tetap ibu-ibu ini menerima saya seadanya. Percaya tak, saya menangis teresak waktu peluk mak Saidah berdua daripada peluk anak mereka. Pelik kan? Saya pun tak pasti kenapa. Mungkin berkat kasih sayang dalam makanan yang mereka sediakan dah sebati dalam diri saya. Segala kuskus, tajine, maraq dan harirah yang dimasak dengan cinta tanpa mengira bangsa membuatkan saya lebih berat tinggalkan mereka.

Saya tak pandai buat ayat cakap "Ummi, tolong halalkan makan minum saya" atau "Ummi, tolong maafkan salah silap saya kalau pernah terkasar bahasa, tak faham apa yang saya nak kata" untuk dialih bahasa dalam Bahasa Arab. Cuma yang pasti, saya jujur dalam saya katakan, "Kanbghekoum bzaf", sungguh aku sayang sangat pada kalian. "Kalau kita tak berjumpa di dunia, harapnya kita akan berjumpa di syurga" tegas saya sebelum berlalu pergi.

mama saidah jayid (tak ada gambar yang lebih dekat T_T)
ummi saidah fathi
Apa yang cuba saya sampaikan di sini, jangan pernah malu untuk menyatakan cinta kita pada mereka yang kita sayang terutamanya ibu bapa kita. Semahunya kita sampaikan kata-kata ini setiap hari buat insan mulia yang selama ini selalu berkorban sedaya upaya memberi kita segala macam kebaikan.

Mula-mula tu mungkin kita akan rasa malu dan agak canggung. Percayalah! Saya pun terasa bahang kemerahan di pipi waktu kali pertama sebut perkataan "I Love You" di hujung panggilan telefon ke Malaysia. Bahkan sampai ke hari ini, saya masih rasa terlalu bahagia apabila saya dapat jatuhkan ego yang kononnya bertakhta untuk sebut "I Love You" terlebih dahulu kepada mereka. Pelbagaikanlah cara menyebut perkataan itu, ibu bapa kalian pasti terasa kejujuran cinta yang cuba ingin kita sampaikan. Apabila kita betul-betul terasa kebahagiaan dan kasih sayang apabila berukhwah dengan sesiapapun, janganlah segan untuk mengungkapkan, "Saya sayang kamu kerana Allah".

Maka, jujurlah kalian dalam mengucapkan kata-kata cinta pada yang selayaknya. Usah biarkan diri terbeban dengan penyesalan andai tak sempat untuk meluahkan perasaan. Bukan hanya pada makhluk sahaja bahkan jua pada Pencipta dan RasulNya. Moga-moga kasih sayang yang kita jalinkan utuh membawa kita pada redhaNya.

Cikgu Tawfiq dan Cikgu Siti

Ayuh, kita sama-sama jujur dalam bercinta!

p/s: saya saaaaaayang umi ayah saya~~~ *hearts*

23 July 2012

Penangan Cinta

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Amaran : Post ini agak cheesy. 

Ada suatu perasaan yang tak dapat digambarkan oleh kata-kata dan tidak mencukupi untuk diluahkan dengan air muka. Perasaan yang tidak diilhamkan ini membuatkan seseorang mampu untuk tidak makan dengan kenyangnya, lebih diam daripada berkata-kata dan lebih banyak tersenyum apabila ditanya. Air mata bisa mengalir tak kira masa. Sekarang ini baru saya tahu, oh, inilah perasaannya. Perasaan berat untuk meninggalkan mereka yang kita cinta. Cinta kerana Allah. 

Ok, tolong jangan muntah. Nanti kena ganti puasa,.

Kalau dahulu (macam lama pulak bunyinya kan?^ ^), saban tahun, antara peristiwa yang paling berat untuk saya hadiri adalah Majlis Konvokesyen dan juga hantar senior di Aeroport Mohamed IV. Bilangan mahasiwa-mahasiswi di Maghribi sangat sedikit bilangannya. Secara kasarnya, dalam satu Maghribi ni, bilangan kami hanyalah seramai 85 orang. Ah, tak suka sangat perasaan ditinggal. 


Buat semua yang masih belum tahu, paling singkat keberadaan pelajar Morocco di sini adalah tiga tahun. Maka, nak katanya, kasih sayang seorang kakak senior tu kami tak dapat nikmati dalam waktu masa yang lama. Sekejap-sekejap sahaja. Paling lama pun dua tahun, dan senior kami akan graduate. Kiranya, adik-adik junior saya pun bakal merasa perasaan yang saya rasa dahulu.
Adakah (?)

Satu perkara yang saya perhatikan sejak akhir-akhir ini, kami lebih rapat antara satu sama lain. Lagilah rasa sayang nak tinggalkan. Hasrat hati mahu sahaja saya duduk lama di sini, sambung Master pula. Tapi apakan daya, kita hanya mampu berusaha sahaja, pada akhirnya, saya pasti saya akur dengan keputusan ibu bapa. Tapi yang sebenar-benarnya, kami budak-budak YP dah kehabisan duit. ==''

Apa motif post ni ditulis ya? Setiap pertemuan itu pasti di akhiri dengan perpisahan. Ayat cliche yang selalu kita dengar. Tapi sejauh mana kita hargai ukhuwah yang dibina sepanjang pertemuan itu, hanya kita sahaja yang dapat ____________. Sila isi tempat kosong itu. :)




22 July 2012

Kenapa???

Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Perkara paling berharga yang dapat saya pelajari sepanjang tiga tahun saya di bumi Maghribi adalah berkaitan dengan kebergantungan kita pada Pencipta dan berbaik sangka padaNya.  

Hidup kita sangat indah, penuh dengan kejutan dan ujian. Kadang-kadang doa kita dimakbulkan, terkadang seolah-olah diendahkan. Selalunya juga kita akan melihat kelebihan dan nikmat yang Allah berikan kepada orang lain tanpa kita sedari, betapa banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Sedang kita berada dalam fasa ketidaksedaran tersebut, selalu kita mengeluh dan mempersoalkan keadilan Tuhan, "Kenapa semua perkara tampak terlalu mudah bagi dirinya?", "Kenapa aku selalu di dalam kesusahan", "Kenapa rezekinya tampak berganda-ganda, ah, seronoknya!".


Tanpa kita sedar jua, kita telah mempersoalkan takdir Tuhan. Terus menggelapkan hati mencari cahaya kesabaran dan hikmah di sebalik setiap ujian. Ah, manusia memang selalu lupa. Ya, itulah manusia dalam fatrah ujian, terkadang ada masa menaik menjulang tahap iman. Terkadang juga iman kita jatuh terjelopok di dataran. 

Bersangka baiklah kita dengan Pencipta. Ya, memang buat masa sekarang ini, semua perkara seakan senang buat mereka. Namun yakinlah, kesenangan itu sudah tersedia buat kita. Mungkin sekarang rezeki buat mereka terbentang di hadapan mata. Siapa pula yang tahu, rezeki lebih besar sudah tertulis di Luh Mahfuz sana menanti  di masa hadapan kita?. Rahsia Allah, siapakan yang tahu melainkan Dia yang Maha Mengetahui. 



Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nisa' Ayat 32)

Jauhi hasad dengki yang merosakkan hati. Membanding-bandingkan nikmat mereka dengan nikmat yang kita terima hanya sia-sia. Sedang kita mengipas bara api dengki di dalam hati, ketahuilah, sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Dia takkan pernah menzalimi hamba-hambaNya yang sentiasa berdoa dan meminta dengan penuh kesabaran. Bukankah Allah sudah berfirman dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, ‘Aku adalah apa yang hambaKu fikirkan’.


Ayuh, kita baiki prasangka kita pada Pencipta. Nah, cuba letakkan diri kita di tempat mereka yang sentiasa dihujani ujian tidak bertepian. Letakkan diri di tempat saudara kita di Palestin, Syria mahupun Burma. Sentiasa berada di dalam ketakutan dan pengharapan. Betapa kuatnya pergantungan mereka kepada Tuhan, betapa indahnya prasangka mereka dalam mendambakan syahid pengakhir kehidupan. Saudara seakidah kita di Somalia, Afrika sentiasa dalam kelaparan dan kehausan. Namun, tetap iman mereka utuh sentiasa mengharapkan bantuan dan belas kasihan daripada Tuhan.



Kalau diikutkan tahap ujian kita berbanding ujian yang dihadiahkan buat mereka, sudah pasti kita akan sentiasa bersyukur atas segala nikmat ujian yang selama ini Allah berikan. Bersyukurlah, berbaik sangkalah selalu. Hidup ini bukan untuk kita sia-siakan dengan mengeluh dan merungut tidak berkesudahan. Bukankah lebih indah andai kita hiasi bibir kita dengan senyuman dan ucapan Alhamdulillah setiap kali ditimpa ujian?. 

Moga segala urusan kita sentiasa Allah permudahkan serta dikirimkan sekali kesabaran.

Salam Mubarak Ramadhan!~






26 June 2012

Donat Kehidupan

Bismillahi as-solatu wa salamu a'la rasoulillah.

Perjuangan menjadi seorang hamba yang sentiasa sedar akan hakikat kehidupannya di atas muka bumi sangat payah. Apatah lagi menjadi hamba yang sekurang-kurangnya sentiasa bersyukur kepada Pencipta. 

"Perghh, memang payah lah nak mantain tahap kesyukuran ni" kata Mamat.

Kebelakangan ini, pelbagai perkara datang dan pergi dalam hidup saya. Kejayaan, kesusahan, kegembiraan, mahupun kelesuan semuanya hadir dan bergilir-gilir menghiasi baki-baki hari di bumi Maghribi. 

Pada akhirnya, dapat saya konklusikan bahawa hidup saya dapat saya bahagikan kepada 3 fasa yang berbeza. Saya tak pasti perkara yang sama berlaku pada pembaca sekalian juga ataupun tidak, tapi saya akan cuba terangkan.

Saya akan analogikan hidup saya sebagai sebuah donat. Kenapa donat? Sebab saya masih fail buat donat. Donat bulat yang lembut dan sedap perlu melalui proses ulian dan sukatan adunan yang tepat. Sama juga dengan kehidupan. Susah sebenarnya nak membentuk kehidupan. Donat yang sedap itu pula saya bahagikan kepada 3 topping yang berbeza. Salutan Kopi, Taburan Coklat Pelangi, dan juga Taburan Gula.


Sila maafkan lukisan amateur yang comot  lagi tidak menyelarakan di atas. (=='')


Bahagian donat yang bersalut gula adalah seperti hidup pada hari-hari kebiasaannya kosong tanpa sebarang ujian mahupun berita gembira terkadang rasa hambar. Sekadar rasa kenyang apabila sudah makan dan enaknya tidur selepas berhempas  pulas seharian bekerja. Bukanlah terlalu membosankan tapi saya dah terbiasa dengan keadaan ini. Sama seperti rasa donat bersalut gula, rasa yang biasa sebiji donat itu.

Kehidupan yang terlalu selesa sehingga saya jadi lalai dan hanyut sebentar. Tidaklah sehingga melupakan kewajipan-kewajipan dalam menyembah Allah, cuma terasa sekadar ritual dan tidak terasa zouq dalam manisnya beribadah. 

Contoh kondisi : Seorang pelajar di musim pembelajaran. Belajar seperti biasa.

Sehinggalah tiba ujian Allah kirimkan, salutan donat tersebut bertukar menjadi Salutan Kopi Pahit Manis. Salutan Kopi Pahit Manis rasanya kurang diminati, tapi masih ada rasa manis yang membuatkan perisa tersebut bolehlah diterima. (No offense to all the coffee addicts! sekadar analogi ) Samalah dengan ujian yang Allah kirimkan dalam hidup saya, mula-mula terasa berat sangat untuk diterima, rasanya tidak digemari. Mengapalah perlu ada ujian dalam hidup sedangkan dah sedia baik dengan kehidupan yang biasa itu?

Contoh kondisi : Seorang pelajar di musim peperiksaan. Berusaha bagai nak rak!


Tetapi, saya tetap ''kunyah'' dan telan jua setiap ujian dan musibah yang melanda, perlahan-perlahan saya dapat terima perisa pahit itu dan mula terasa manisnya ujian itu sebab secara fitrahnya kita akan kembali meminta bantuan pada Allah. Terasa kemanisannya  sewaktu berkomunikasi dengan Allah. Kebergantungan pada Allah untuk diberi kekuatan mengunyah dan menelan ujian itu membuatkan saya bersemangat dan rajin beribadah. Makin lama, makin saya dapat terima ujian itu tanda Allah sayangkan saya.

Huih, berlipat-lipat kali ganda saya cuba berusaha memberi janji dan kata-kata manis untuk lebih dekat pada Pencipta. Maka, tibalah suatu saat pula, Allah kabulkan doa dan rintihan hambaNya yang meminta dan berikan mereka kejayaan dan kebahagiaan.



Taburan Coklat Pelangi itulah hadiah yang Allah berikan selepas hambaNya berhempas pulas mengharungi ujian yang diberikan. Kita bahagia, kita suka, dan kita bersyukur sangat berterima kasih pada Tuhan. Tapi syukur itu terkadang berpanjangan tapi fitrah manusia yang cepat lupa. Kita terlalu seronok dengan rasa bahagia itu dan akhirnya kembalilah kita terlalai. 

Terlupa dan menganggap semua perkara itu biasa-biasa sahaja, "yeah i don't have anything to worry about anymore", maka kembalilah kita pada salutan Gula pada mulanya. Saya jadi terlalu biasa dengan rasa itu saya jadi pelupa dan tidak peduli dengan apa-apa pun sebab dah terbiasa dengan kehidupan yang biasa itu.

Segala usaha amal ibadah yang banyak sewaktu susah, semakin berkurangan hari demi hari. Futur. 
Sama dengan kitaran kehidupan kita kan?
Contoh kondisi : Seorang pelajar selepas musim peperiksaan.



Begitulah sunnah kehidupan manusia yang dapat saya analogikan sebagai sebuah donat yang pelbagai perisanya. Rasa yang berbeza tapi saya akan tetap cuba gigit dan kunyah donat tersebut sehingga habis. 

Untuk menjadikan donat tersebut menjadi donat yang sentiasa penuh dengan rasa syukur iaitu sentiasa dekat pada Allah pada setiap masa, Saya perlu set mind dan letakkan diri dalam Salutan Kopi Pahit Manis tadi. Saya kena sentiasa ingatkan diri selalu tentang segala kesungguhan dan keindahan kebergantungan diri pada Allah pada saat-saat genting dan aplikasikan pada Fasa Salutan Gula dan Fasa Taburan Coklat Pelangi.

Hayati setiap detik waktu dalam nafas hanya untuk Allah. Saya perlu lebih mujahadah. Saya perlu bagi tahu diri bahawa waktu senang dan lapang itu juga ujian dan sentiasa perlukan bimbingan daripada Tuhan. Supaya tidak terbuang pergi waktu itu tanpa sebarang perubahan ke arah kebaikan.

Begitulah perkongsian saya untuk kali ini. Saya tak pasti ramai  antara kalian yang boleh kaitkan carta donut ini dengan kehidupan mereka atau tidak, yang penting, moga pembaca sekalian mendapat istifadah daripada post kali ini. Bak slogan Langit Ilahi, "Mari Menjadi Hamba" saya sudahi post ini dengan "Mari Menguli Donat Kehidupan yang penuh Kesyukuran". wink-wink  ^ ^


Wassalam. 



25 June 2012

Dengan Nama Allah


Bismillahi as-solatu wa salamou a'la rasoulillah..

Bismillah, bismillah, bismillah..


Setiap kali saya malas dan tidak bersemangat untuk lakukan sesuatu perkara saya akan ulang-ulang perkataan ini, bismillah. Dengan nama Allah.

Biar ikhlas itu belum betul-betul terasa. Biar belum datang rasa "syok" lagi untuk buat kerja. Biar belum datang rasa "best" untuk bergerak ke mana-mana, tapi sekurang-kurangnya saya yakin Allah pasti ganjarkan saya dengan pahala dan pekerjaan itu tidak sia-sia kerana ia sudah dikira ibadah. 


Mula-mula tu memang akan rasa berat macam bertimpa-timpa beban entah dari mana datangnya, namun selagi kita tak gerakkan kaki kita berusaha atas namaNya, takkan hilang beban dari kepala. Kita akan selalu mengeluh, merengus dan lain-lain. Walhal, malas itu punca segala kegagalan.

Maka, wahai saudaraku sekalian, janganlah kita bermalas-malasan kerana dunia ini tempat kita berbaja pahala untuk kita petik buah nikmat di syurga sana. 

Aduhai muslim, 

Berbismillah setiap masa yok~

10 May 2012

Adab-adab ketika berdating


Bismillahi as-solatu was salamu a'la rasoulillah..

Orang kata, kita kena dating dulu untuk kenal pasangan hidup kita. Baru membuak-buak rasa cinta. Somehow saya sangatlah tidak bersetuju dengan statement ini. Tapi saya setuju sangat kalau istilah dating itu kita gunakan bagi mereka-mereka yang sudah berkahwin. Tak salah lagi dapat pahala.

Maka kali ini, saya akan berkongsi adab-adab berdating tapi berdating dengan Pencipta.

Susah sebenarnya nak jaga solat ni. Bukan mudah, sebab perlukan mujahadah. Jadi apa yang boleh kita buat? Ok, cuba kita bayangkan waktu solat itu sebagai waktu kita berdating.

Apa? Tak pernah ada pengalaman berdating?.

Cuba bayangkan anda akan bertemu kekasih-jantung-buah-hati ataupun ahli keluarga tersayang. Berdebar-debar, pakai baju cantik-cantik, bersiap awal-awal dan lain-lain.

Tak boleh juga?

Jangan risau. Mereka-mereka yang tak pernah berdating di luar sana macam saya, cuba kita bayangkan solat itu sebagai sebuah meeting. Saya pasti ramai yang pernah hadiri apa-apa bentuk mesyuarat kan? Mesyuarat Agung atau mesyuarat ahli jawatankuasa program dan lain-lain lagi.

Perasan tak, kita boleh menjaga adab-adab berdating dan bermeeting dengan manusia lebih baik daripada adab dengan Pencipta? Mari saya senaraikan kesilapan-kesilapannya..
(sebab saya pun sama juga) -.-''



  • Tampil bersih, berwangi-wangian dan memakai pakaian yang cantik. 
Cuba keluar rumah tak gosok gigi, tahi mata air liur basi menghiasi muka, agak-agak ada tak orang nak tengok kita? Maka, perkara yang sama apabila kita menghadap Tuhan. Kalau kita takut orang bau nafas mulut kita yang tak sedap itu, cuba kita amalkan gosok gigi setiap kali sebelum solat juga.

Kalau nak keluar tu, wajib colet minyak wangi, sembur perfume sebotol, tudung wajib bergosok ok. Kalau menghadap Allah kita macam mana pula?

  •  Hadir di awal waktu.
Kita selalu tepati waktu meeting, dating sebab kita tak nak buat orang lain tertunggu-tunggu. Mungkin orang tu akan marah dan kecewa. hmm.. cuba bayangkan, betapa sabarnya Allah dengan kita selama ini. Berapa kali kita solat awal waktu? Solat di akhir waktu memang selalu lah kan..


  • Tumpukan perhatian.
"Alaa, you ni kenapa? I ada depan mata you, tapi fikiran you kat tempat lain.. Ish, bencilah I!"
sambil Si Amoi tergedik-gedik mencebik. 

Kalau fikiran kita melayang sewaktu berdating dengan makhluk bernama manusia pun akan dimarahi. Bayangkan kalau fikiran kita melayang sewaktu berdating dengan Pencipta. Dah lah tak sampai 5 minit waktu yang diluangkan untuk solat, fikiran pun entah ke mana tak tumpu pada bacaan. hmm.. yok cek sama-sama..kita cuba fahamkan bacaan dalam solat ya.. 

  • Tenang dan tidak tergesa-gesa.
Kalau dalam meeting, ada tak kita tergaru-garu, bergerak lebih-lebih depan orang ramai sekalipun ada semut gigit, mesti kita cuba tahan bukan? Kalau kita boleh luangkan masa yang lama dalam meeting sampai dua tiga jam tidak tergesa-gesa, mari cuba tidak laju-laju dalam sempurnakan solat. Tak akan ke mana urusan dunia, tambahan pula kalau kita tergesa-gesa untuk hiburan semata. Sama-sama kita cek balik ok?


  • Banyakkan komunikasi.
Salah satu tips untuk kita lebih dekat dengan seseorang adalah dengan meluangkan masa yang banyak dengan mereka. Barulah kita dapat kenal hati budi, perangai, citarasa mereka. Sama juga halnya, kalau kita nak lebih rapat dengan Tuhan kita.

Banyakkanlah solat sunat dan membaca Al-Quran. Sebenarnya semakin banyak masa yang kita luangkan, semakin kuat kebergantungan kita kepadaNya. Adulah semua perkara kepada Allah. Bisikkan kata-kata pujian kepadaNya. Semua ini akan kembali kepada kita, Allah takkan pernah rugi apa-apa pun sekiranya kita beriman atau tidak. Kitalah yang akan rugi sebenarnya kalau kita sia-siakan masa kita dengan perkara-perkara lagha.

  • Baca surat Cinta.
Kalau kita jatuh hati pada seseorang, admire somebody, mesti kita akan selalu terfikir pasal dia kan? Baca mesej ulang-ulang kali, stalk fb, semua perkara kita nak update. Macam mana kita nak aplikasikan dengan Allah?

Bacalah Al Quran beserta maknanya. Bayangkan Dia sedang bercakap dengan kita. Macam-macam sangat nasihat, peringatan serta janji Allah dalam Al-Quran. Itulah sms atau surat cinta yang wajib kita baca selalu. Bukan stalk fb atau blog atau twitter orang ok? :)


Tips-tips ini saya kongsikan untuk kita sama-sama kita kuat mujahadah kejar cinta Allah. Setiap manusia akan alami satu fatrah yang membuatkan kita rasa jauhhh sangat, lalai mengingati Allah. Biasa. Sangat biasa sebab iman kita selalu turun dan susah naik. Anda ada adab-adab lain yang boleh dikongsi? Kongsikanlah dengan saya di komen ya.

Moga dapat istifadah bersama. Yok mujahadah! Wallahu a'lam.

Tolonglah, anda takkan menyesal habiskan 5 minit 28 saat menonton video ini.


Subuh Gajah menjadi Subuh Dinosaur adalah perkara yang kadang-kadang tak dapat dielakkan bila datangnya musim bunga dan musim panas. Hari siangnya lebih panjang daripada malamnya. Waktu zohor sangat lama dan waktu subuh pula sangat pendek. Maka mujahadahnya kena lebih. Tempat kami memang tak akan ada kokokan ayam di pagi hari yang ada hanyalah kicauan burung. 


Tersangatlah tidak osem feeling di pagi hari, apabila mendengar burung-burung yang tidak berakal tersebut dapat bangun subuh berkicau berzikir kepada Allah lebih awal daripada manusia yang berdengkuran di dalam gebar. Orang sini kata, "shouma ga'3" atau lebih dikenali dalam bahasa kita sebagai, "memalukan kot!" . Lantas bergemalah kata-kata di dalam benak, "Aku kalah lagi dengan burung-burung hari ini". 

haishh =..=''  Jauhilah anda terlajak-lajak dan terbabas di pagi hari..  

29 April 2012

Allah..Guide us all the way


"Antara memakai tudung dan solat, mestilah kita ingatkan pasal solat dahulu" kata-kata Ustaz Yusnan dalam slot Feqh Dakwah pada SIV lepas sangat membuka hati saya.

Terasa lapang dada ditunjukkan cara. Ya, saya akan terus dengan rancangan ini.

***

Perbualan ini berlaku tahun 2011.


"Husna, aku nak tanya, salah ke kalau aku pakai macam ni tapi aku pergi sembahyang?" tanya Aich Houda usai habis kelas. "Semalam aku pergi sembahyang, pastu ada lah sorang budak ni tegur aku, aku rasa dia budak Dirasat" sambung Houda berbicara

"Dia cakap apa? Betul ke dia budak Dirasat?" saya bertanya kembali. 


Jawab Houda, "Tengok pakaian pun tahu dia budak Dirasat Islamiah. Dia kata, kenapa aku pakai baju macam ni kalau aku solat? Kalau aku solat, jangan lah pakai baju seksi macam ni" adu Houda pada saya.

Bingung. Saya tak tahu nak cakap macam mana. "Kenapa dia cakap macam tu?" bulat mata saya memandang Houda. Dia hanya mencebik. 

"Solat itu wajib, tutup aurat tu pun wajib kan?" saya menduganya pula. Houda diam tak berbicara. 

"Tapi tak apa, yang penting kau sembahyang, jangan dengar lah cakap-cakap orang" jawab saya sambil senyum memandangnya. "Tudung tu nanti cuba perlahan-perlahan k?" saya pegang bahunya dan sambung berbicara "Asal Allah tahu usaha kau itu akan dinilainya, tak payah fikir pasal orang lain ya?"

Hari-hari kemudiannya ketika saya mengajak Houda solat bersama dia pasti akan mengelak. "Tak nak lah aku nanti aku kena lagi macam hari tu!" kata-kata Houda tertusuk di hati.

Ya Allah. Apa perlu hamba lakukan? 

Mengapa manusia perlu selalu menghukum? Kenapa susah untuk memandang dengan mata hati?

Sejak dari hari tersebut, saya dekati Houda dengan lebih baik. Rupanya Houda sudah tidak mempunyai ibu. Ibunya meninggal sewaktu dia masih di bangku sekolah lagi dan sekarang dia tinggal bersama-sama kakak dan ayahnya. Pernah saya bergurau dengannya sambil menegur pakaianya yang seksi.

"Houda, seksinya~~~" kata saya sambil buat muka terkejut ala-ala bergurau. 

"Ana wa libasi Housna. Aku dan bajuku Husna" katanya tersenyum tidak bersalah.

Oh begitu pula responnya. =.= 


Salah satu adat orang Maghribi, mereka akan memuji kita apabila kita mengenakan pakaian, beg atau kasut yang baru mahupun stail rambut dan make up yang cantik yang belum pernah ditayangkan sebelum ini dengan perkataan "bisehhah". Perkataan yang sama juga digunakan setiap kali sebelum makan dan ketika keluar tandas. 

Hasnaa sahabat baik yang selalu bersama Houda juga seksi orangnya. Selalu menggayakan rambut dengan pelbagai stail. Berlainan stail setiap minggu. Dan setiap kali itu juga lah, mulut ini akan turut memuji dia. "Bisehhah Hasnaa, cantiklah stail rambut ni" sambil muka teruja tengok gaya rambutnya. "Chokran" sengih Hasnaa malu-malu meow apabila dipuji. 

Dan setiap kali itu jua saya akan rasa bersalah. Patutkah saya memuji? Salahkah saya? Oh Tuhan. Sekarang tinggal 2 bulan sahaja lagi saya akan berada di sini. Saya tak tahu saya dah settle atau belum menegur kawan-kawan saya tentang solat dan aurat. Saya tak tahu. Tapi yang saya tahu, saya nak syurga bersama-sama. Saya tak nak dihumban ke neraka. Tak nak pula saya ditarik ke sana. 


Saya tak reti nak katakan pada mereka. Jadi, apa yang saya  buat, waktu pulang soif lepas saya belikan mereka tudung. Oleh sebab muatan hanyalah 30 kg. Segala hadiah tersebut Umi tolong hantarkan guna kapal laut. Sejak dari 31/12/2011 akhirnya tiba jua kotak berisi hadiah tersebut pada 4/4/2012. Fuh,, memang sangat sekejap waktunya. Di sini pula, saya kumpulkan banyak-banyak telekung tinggalan senior.

Minggu lepas, saya hulurkan pada mereka hadiah-hadiahnya. Saya hulurkan tanpa perlu saya kata apa-apa. Ada yang terkejut, ada yang suka dan ada yang sedih. Sedih agaknya sebab akhirnya saya akan berpisah jua dengan mereka.


Khas untuk Sanaa, Hasnaa dan Houda, saya hadiahkan mereka tudung dan telekung. Saya hanya hulurkan hadiah sambil tersenyum.  Mereka tak bertudung, tapi mereka masih tunaikan solat. Maka, saya tak perlu berkata apa-apa bukan? Harapnya sampai maksud yang tersirat.

Atau perlukah saya sampaikan maksudnya secara tersurat? 

Khamis lepas, Hasnaa pula mengadu kepada saya. "Housna, hari tu kami pakai telekung yang kau bagi untuk solat kat Masjid (surau) sini, pastu ada lah sorang Ikhwan ( orang sini gelarkan orang-orang salafi sebagai Ikhwan) tegur kitorang sebab pakai baju macam ni tapi sembahyang". 

"Ya Allah.. lagi sekali??" hati saya menjerit. "Tak pelah Hasnaa, biarkan lah mereka tegur, yang penting kau solat" senyum saya kepadanya.

"Kan, aku nak solat je pun" merengus Hasnaa sambil tangannya bersilang.

Dalam hati saya sedikit kesal. Kesal kerana cara mereka mengajak itu salah. Mereka lebih selesa menghukum daripada menasihati. Ya, saya tahu, mungkin mereka rasa terpanggil untuk menyampaikan nasihat namun cara yang digunakan salah. Sangat salah sampai boleh menjadi fitnah kepada sasaran dakwah iaitu mad'u itu sendiri.

Saya tak pandai berkata-kata dengan mereka. Jadi, langkah terakhir saya sebelum BFG back for good ialah menulis surat. Saya akan sampaikan segala isi hati dan pesanan terakhir dalam surat tersebut tanpa perlu saya banyak berkata-kata.

Sesungguhnya saya sangat sayangkan mereka kerana Allah. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kesilapan saya sepanjang saya berukhuwah dengan mereka. Semoga jua Allah merahmati mereka, dan sedarkan mereka bahawa dunia ini amat memerlukan mereka untuk bangkit bersama-sama.

***

Moga Allah bimbing kita ke Jannah.



"Umi, kalau akak meninggal dalam perjalanan pulang dan akak tak sempat bagi hadiah ni akak masih dapat pahala kan?" tanya saya sambil tangan sibuk membungkus kotak.

Umi hanya tersenyum memandang. 

Syurga itu tempat abadi yang kita mahu nikmati bersama. Syurga itu juga motivasi kita. 

Semestinya kita mahu masuk ke sana bersama orang yang tercinta bukan?


Sangat sentap video ini. Mungkin jugak korang tak berdakwah dan biarkan dia dalam kejahilan. PANGG!! tertampar di situ ok.

p/s: Actions do speak louder than words..rite?

21 April 2012

*hiatus*

Bismillahi as solatu was salamu a'la rasoulillah..

Dah sebulan enam hari saya tak menulis dan tak ada pun sesiapa yang ingatkan saya untuk menulis. *sambil jari telunjuk dan ibu jari picit-picit dahi*

Tak istiqamah sungguh dalam menulis. haish.. (-..-)

Insya allah, bila ada kelapangan dan Allah kirimkan ilham nanti saya akan sambung menulis k.

Buat masa ini, kami agak rushing kena siapkan thesis ijazah tahun akhir.
Tolong doakan kami di sini ya.

Walaupun dah lama saya tak menulis,ramai juga pengunjung Taman Hati. Semuanya mahu baiki sembahyang lima waktu. Semuanya mahu baiki saat intim kita bersama Allah. Subhanallah...

Moga-moga amalan kita senantiasa diterima Allah walaupun sekecil niat yang baik.

Yok mujahadah jadi lebih baik! :D

16 March 2012

Mereka pergi...


DI HARI PEMAKAMANMU

Kandaku,
siapalah aku
untuk menghalang
pemergianmu...
kerana
hakikatnya
kau pergi
menemui
Kekasih Sejati dan Hakiki...
Tuhan Yang Esa.

Cheras Indah
15 MAC 2012. 



Nukilan ayahanda kepada kekandanya tercinta. Al - Fatihah buat Mak Long Mariah. 
---

Minggu ini basah dihujani lebat linangan air mata.

Mengapa air mata ini tidak mahu berhenti? Bukankah mereka yang pergi berjumpa Illahi?

Terkilan sungguh rasa hati tak sempat berjumpa dengan Mak Long sewaktu di Malaysia tempoh hari. Tak sempat berjumpa adik-adik saudara yang saya kasihi. Tuhanku, kurniakanlah kekuatan dan kesabaran kepada mereka dalam menempuh hari-hari mendatang. Mereka masih kecil, masih terlalu muda Ya Allah.

Sungguh kekuatan itu milik-Mu Tuhan. Milik-Mu Tuhan. Milik-Mu Tuhan.

Dua orang Ibu telah dipanggil pergi berjumpa Illahi. Selepas ibu angkat yang dirindui pergi kini ibu saudaraku pula menyusuli. Biarlah air mata yang tumpah ini sentiasa mengingatkan aku masih punya bonda yang belum cukup untuk aku berbakti kepadanya. Biarlah air mata yang berlinang ini sebagai tazkirah kepada diri bahawa ajal itu tidak mengenal waktu dan ketika. Biarlah air mata yang jatuh ini sebagai peringatan bahawa Allah itu Maha Kuasa setiap nyawa itu milik-Nya. Mereka pergi dalam husnul khotimah. Mereka pergi dalam redha.

Moga perginya kita nanti jua dalam Iman dan Islam. Moga 'kelak' di sana kita akan berjumpa lagi.


 يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً فَادْخُلِي فِي عِبَادِي وَادْخُلِي جَنَّتِي 

Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Rabbmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam surga-Ku. (QS. 89:27-30)

إنا لله و إنا إليه لراجعون 

اللهم وسع عليها قبرها واشرح صدرها و ثبتها عند السؤال واعنها على الاجابة

اللهم ارحمها وارفع عنها

اللهم بدل سيئاتها حسنات وضاعفها المئات والالف

اللهم ارحمها ~ اللهم ارحمها~اللهم ارحمها

اللهم اغفر لها وارحمها وعافها وأعف عنها وأكرم نزلها ووسع مدخلها واغسلها بالماء والثلج والبرد

" آميـــن " 


Hati di sini  membisikkan doa semoga dalam setiap langkah mereka di bawah penjagaan-Nya 
Sedang hati-hati di sana sentiasa mendoakan agar diri ini sentiasa dibawah lindungan Yang Esa.
Saling bercinta atas redha Yang Maha Pemberi Cinta. Aku cintakan mereka sentiasa.



15 March 2012

Teguran buat diri

Tergerak hati kecilku menonton video ini.
Mereka kata kita masih punya harapan lagi.
Mereka kata sentiasa ada sisi sinar yang baik itu lagi.



Sayu. Deras air mata jatuh ke pipi. Sebak  Sampai suatu tahap manusia itu akan rimas bergelumang dengan kotoran dosa yang dipalit pada diri. Hitam dan jijiknya dosa itu amatlah dibenci sekali. Lantaran fitrah manusia itu sendiri sangat bersih dan suci.


Hidayah itu milik Allah. Namun, pernah tak kita berusaha sedaya upaya menjadi penyaksi sebenar atas keindahan hidayah yang dimiliki?. Hulurkanlah tanganmu kepada mereka yang terkapai dalam kegelapan. Ayuh dekati mereka. Tarik mereka ke arah cahaya kebenaran. Supaya kelak nanti pabila dipersoalkan kita punya jawapan. Kerana dahulunya di dunia, dakwah itu telah dilaksanakan.

Persoalannya, sudah cukupkah usaha kita mengajak mereka?


Lalu bagaimana mungkin aku dapat pulang dengan tenang?

Cukupkah hanya dengan menjadi contoh terbaik buat mereka di sini tanpa aku benar-benar ceritakan kepada mereka? Menegur saudaraku yang seagama?

Ah, lemah sungguh iman ini. Aku akui aku daie yang lemah. Tapi itu bermakna aku akan mengalah?

Baki-baki hidup aku di sini perlu aku gunakan sebaiknya mengajak mereka kembali.

Ingatkan mereka semula sebenarnya kemenangan itu milik kita.

 Inilah medan yang aku perlu telusuri sebelum medan sebenar menanti.

Amat rugilah andai kejayaan sahaja yang dikejar. Ilmu sahaja yang digarap.

Tanpa sebenar-benar perhati akan pedoman di sekeliling.

Usahlah berselindung di balik timbunan kitab-kitabmu.

 Cukup-cukuplah bersama kawan sebangsamu.

Sudah-sudahlah bersenang di dalam gebar tebalmu itu.

Keluar!. Keluar dari kepompong itu. Dekati bangsa mereka sementara masa masih ada.



Mari mula dari sekarang kita amalkan ilmu yang kita tadah.

Praktiskan di sini tanpa perlu tunggu untuk pulang ke tanah air kita.

Tunggu apa lagi?  Beruntung bukan kita punya asas agama?

Bukan untuk dibangga dijaja tetapi berkongsilah kebaikan itu bersama-sama.

Berusahalah. Jangan pernah tinggalkan mereka. Apatah lagi memandang hina.

Sungguh andai sukar yang ditemukan,  Allah sentiasa dekat bersama. 


09 March 2012

Mereka adalah Kita, Tiada Beza

Bismillahi as solatu was salamu a'la rasoulillah


 Andai suatu hari nanti Allah tukarkan tempat rakyat Malaysia dengan tempat saudara kita di Syria dan Palestin.. Adakah kita akan sekuat mereka? 

Andai kau membutakan matamu yang celik, memekakkan telingamu yang berfungsi itu atas penderitaan saudara kita di sana. Jangan pula kau hairan andai suatu hari nanti kau pula diperlakukan sedemikian rupa. 




Hulurkanlah doa buat mereka wahai saudaraku. 
Sekurang-kurang usaha yang kita mampu.
Cukuplah Allah sebaik-baik Penolong dan Pelindung buat kita.

 اللهم اِنَّنا نَجْعَلُكَ فى نُحُورِ أعداءِنَا و نَعُوذُ بِك مِن شُرُورِهِم, اللهم بَدِّدْ شَمْلَهُم و فَرِّقْ جَمْعَهم و شَتِّتْ كَلِمَتَهم و زَلْزِلْ أَقْدَامَهم و سَلِّطْ عليهم كَلْبًا مِن كِلَابِك

يا قهَّار , يا جبَّار , يا مُنْتَقِم , يا الله , يا الله , يا الله , يا رب العالمين


اللهم يا مُنْزِلَ الكتاب و يا مُجْرِىَ السَحاب و يا هَازِمَ الأحزاب , اِهزِمْهم وَلَّا هُم , وانصُرْنا عليهم



07 March 2012

maafkan aku



Pada wajah anak itu ada cahaya yang menarik.

Cahaya harapan masa hadapan. 

Kenapa wajahmu itu  penuh dengan debu derita? 

Kenapa matamu bengkak bertangkung air mata? 

Kenapa aku di sini pula bergelak ketawa? 

Kenapa masih aku di sini asyik terlupa? 

Kenapa aku di sini tenang terlena? 

Mengapa mereka tidak mendengar teriakanmu?  

Mengapa masih ramai yang membutakan mata mereka?

Sedang mereka melihat deritanya kamu di sana? 

Duhai anak, aku di sini turut sakit. 

Walau sakitnya tidak seperit seksanya dirimu.

Sakit melihat dagingmu disiat-siat. 

Kepalamu dipisahkan dari jasadmu. 

Ayahmu meratapi pemergianmu sayang. . 

Sungguh syahid itu sudah milikmu duhai sayangku. 

Kami di sini pula terleka alpa. 

Sibuk dengan keasyikan dunia. 

Sedang kau bertarung nyawa. 

Menyelamatkan diri menegakkan agama.

Sayangku, kami di sini masih berdengkuran.

Sungguh jihadmu dan jihadku berbeza bukan?

Yakinlah sayangku, kau takkan ditinggalkanNya.

Sudah kau hidu haruman kasturi firdausi  

Sayangku, cukupkah hanya doa dan air mata untukmu?

Maafkanku wahai sayangku. Tolong maafkan kami.

Semoga kami lekas bangkit dari tiduran ini.

Semoga tangkas kami susun kembali ummah ini.

Semoga bingkas kami bangun walau terjelopok jatuh di lubang yang sama.

Kemenangan pasti akan tiba. Keindahan Islam sedang tersebar luas.

Biarlah angka-angka kosong itu disedarkan semula.

Bahawa mereka masih punya kerja yang masih belum bermula.




28 February 2012

10 Tip Elak Berkahwin Orang yang Salah




Bismillahi as-solatu was salamu a'la Rasoulillah

Fatrah taaruf. Satu tempoh pengenalan sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Satu langkah yang sangat besar dibantu istikharah munajat kepadaNya. Kenalilah bakal suami/isteri anda sebaiknya. Jikalau terasa tidak serasi anda masih ada masa sebelum menyesal di kemudian hari. Selamat membaca! 

AMARAN : Post ini adalah untuk mereka yang serius memikirkan masa hadapan. Serius panjang!

Ada cara yang betul dan cara yang salah mengenali seseorang untuk sebuah perkahwinan. Cara yang salah adalah membiarkan diri dalam keseronokan dan keasyikan bibit-bibit perhubungan dan di dalam proses tersebut langsung terlupa untuk bertanya soalan-soalan penting yang membantu menentukan keserasian antara pasangan. Salah satu kesilapan besar yang dilakukan oleh remaja Muslim sekarang adalah terburu-buru untuk berkahwin tanpa betul-betul dan benar-benar teliti dalam mengenali seseorang. Kononnya fatrah berpasangan (couple) adalah tempoh yang tepat dan cukup untuk mengenal pasti keserasian dua orang insan. Kemudian secara logiknya apabila semakin lama anda berbual/bercakap dengan seseorang, semakin baik anda mengenalinya. Masalah yang timbul melalui "cara" ini adalah tiadanya konsiderasi yang diberikan tentang bagaimanakah masa tersebut diluangkan.


Kini semakin ramai Muslim couples terlibat dengan "halal dating" iaitu secara asasnya keluar bersama  dengan kehadiran kawan-kawan dan/atau keluarga. Bergantung kepada keluarga dan juga adat, perbualan mungkin singkat dan ditemani atau lebih teruk, tiada had dan tiada pengawasan. Apabila kita letakkan had-had tersebut membuatkan seseorang kehairanan bilakah sebenar-benarnya, jika ada sekalipun, adakah perbualan serius akan berlaku? Malangnya, bagi kebanyakan orang, jawapannya tidak pernah berlaku dan mereka terpaksa hidup merana dengan kesan-kesan mendatang. Jikalau anda mahupun orang yang anda kenali sedang melalui fatrah "mengenali seseorang", panduan-panduan berikut boleh dijadikan sebagai nasihat mengenai apakah sebenarnya yang perlu dicari dan dijauhi.


1) Jangan Berkahwin kerana Potensi:

Selalunya lelaki apabila berkahwin, dia mengharapkan perempuan tersebut tidak pernah berubah, dan perempuan pula apabila berkahwin dia berharap untuk mengubah lelaki tersebut. Ini adalah pendekatan yang salah bagi kedua-dua pihak. Apabila anda berkahwin dengan seseorang, jangan anggap anda mampu mengubah mereka dan mencapai potensi mereka. Tiada sebarang jaminan walaupun perubahan-perubahan tersebut adalah untuk kebaikan. Malah, selalunya ia akan menjadi sebaliknya. Kalau anda tidak mampu menerima seseorang atau membayangkan untuk hidup bersama mereka seadanya, maka, jangan berkahwin dengan mereka. Perbezaan ini termasuklah fikrah, pendapat dalam beragama, tabiat, kebersihan, skil komunikasi dan sebagainya.



2) Pilih Sikap (sifat,watak,peribadi) melebihi Keserasian (chemistry):

Tidak dinafikan keserasian dan daya tarik amatlah penting, namun sikap melebihi kedua-duanya. Bak pepatah yang masyhur, “Chemistry ignites the fire, but character keeps it burning.” Idea untuk "jatuh hati'' sepatutnya tidak menjadi asbab utama untuk mengahwini seseorang; cinta sangat mudah dikelirukan di antara keberahian dan nafsu. Antara sifat yang perlu dititik beratkan dalam pemilihan termasuklah rendah diri, kebaikan, tanggungjawab dan kebahagiaan. Berikut adalah pecahan mengikut setiap sifat:

  • Rendah diri: Orang yang merendah diri tidak pernah memaksa orang lain tetapi selalu berbuat baik kepada yang lain. Mereka meletakkan nilai-nilai dan prinsip mengatasi keselesaan dan kesenangan diri. Mereka tidak cepat marah, bersederhana dan menjauhi materialisme.
  • Kebaikan: Orang yang baik hati adalah seorang pemberi. Mereka mencari kesenangan dan cuba untuk mengurangkan kesakitan orang lain. Cara untuk mengetahui sama ada seseorang itu adalah pemberi, perhatikan cara dia melayan keluarga, adik-beradik dan juga ibu bapanya. Adakah mereka berterima kasih terhadap ibu bapa mereka untuk setiap pengorbanan yang dilakukan? Jikalau tak, maka ketahuilah mereka tidak akan menghargai anda untuk apa yang anda lakukan. Bagaimana mereka melayan orang yang tidak perlukan kebaikan seperti keluarga ( cth: pelayan, pekerja, promoter dll) Bagaimana mereka menghabiskan wang mereka? Bagaimana mereka mengawal kemarahan, kemarahan mereka dan juga cara mereka bertindak terhadap kemarahan orang lain?
  • Tanggungjawab: Orang yang bertanggungjawab adalah mereka yang mempunyai kewangan, pekerjaan, hubungan dan sikap yang stabil. Anda boleh bergantung kepada mereka dan percaya apa yang mereka katakan.
  • Kebahagiaan: Orang yang bahagia adalah orang yang merasa cukup dengan bahagian mereka dalam kehidupan. Mereka rasa senang dengan diri dan kehidupan mereka. Mereka fokus dengan apa yang mereka miliki dan bukannya apa yang mereka tidak miliki. Mereka jarang sekali merungut.



3) Jangan Abaikan Keperluan Emosi Pasangan Anda: 

 Lelaki dan wanita kedua-duanya mempunyai keperluan emosi, bagi membina sebuah perkongsian yang berjaya keperluan tersebut perlu saling melengkapi. Asas keperluan emosi seorang wanita adalah untuk dicintai. Asas keperluan emosi seorang lelaki pula adalah untuk dihormati dan dihargai. Untuk menjadikan seorang wanita rasa dicintai, berikannya tiga AAAs: Attention (Perhatian), Affection (Kasih Sayang) dan Appreciation (Penghargaan). Untuk menjadikan seorang lelaki rasa dicintai pula berikannya tiga RRRs; Respect (Kehormatan), Reassurance (Kepastian) dan Relief (Pelepasan/Kelegaan). Telah menjadi kewajipan bagi setiap pasangan untuk memastikan pasangannya bahagia dan ini termasuk juga keintiman. Selagi mana setiap pasangan memenuhi keperluan emosi pasangannya, hubungan akan menjadi lebih intim dan lebih mesra.



4) Jauhi Arah Tuju Hidup yang Bertentangan:

Dalam perkahwinan anda hanya akan hidup bersama atau hidup berasingan. Berkongsi arah tuju hidup yang sama akan meningkatkan peluang bahawa anda akan hidup bersama. 

  • Anda mesti tahu kecenderungan pasangan anda. Dalam erti kata lain, apakah perkara yang paling mereka suka lakukan (passionate) ? Kemudian tanya diri anda, "Adakah saya menghormati kesukaannya ini?" "Adakah saya menghormati apa yang dia cenderungkan?"
  • Lebih terperinci anda mentakrifkan diri anda seperti nilai-nilai, kepercayaan dan gaya hidup, lebih baik peluang untuk anda mencari pasangan hidup, pasangan sehati sejiwa iaitu orang yang paling serasi dengan diri anda.
  • Ingat, sebelum memilih siapa yang anda ingin bawa bersama dalam sebuah pengembaraan, anda harus tentukan terlebih dahulu destinasi anda.  



5) Jangan dekati zina! Hubungan Seks sebelum Berkahwin / Physical activity:

  • Ketahuilah bahawa hikmah disebalik mengapa Allah menyuruh kita untuk menahan diri dari sebarang hubungan sebelum berkahwin; adalah untuk menghalang kemudharatan yang besar malah untuk menjaga kesucian anggota yang paling penting dalam sebuah perhubungan antara lelaki dan wanita.
  • Selain daripada kekacauan rohani yang nyata, apabila sebuah hubungan dicemari aktiviti fizikal sebelum waktunya, perkara-perkara penting seperti sikap, filosofi hidup, dan keserasian akan terabai. Kesannya, semua perkara nampak indah dan menjadi lebih sulit dan sukar untuk bercakap tentang perkara-perkara tersebut inikan pula teringat tentangnya.
  • Komitmen secara intelek (bijaksana) mestilah terlebih dahulu diutamakan sebelum komitmen secara emosi mahupun komitmen secara seksual.
 


6) Jauhi Kekurangan Hubungan Emosi:

Anda perlu menjawab YA untuk empat soalan berikut :
  • Adakah saya menghormati dan mengagumi si dia?  Apakah sebenarnya yang saya hormati dan kagumi tentangnya?
  • Adakah saya mempercayai si dia? Bolehkah saya bergantung kepadanya? Adakah saya percayakan keputusannya? Adakah saya percaya kata-katanya? Bolehkah saya memepercayai apa-apa yang dia katakan?
  • Adakah saya berasa selamat? Apakah secara emosinya saya berasa selamat dengannya? Bolehkah saya berterus terang? Bolehkah saya menjadi diri saya? Bolehkan saya mengekspresikan diri saya?
  • Adakah saya berasa tenang dan damai apabila bersama dengan si dia?

Jika jawapannya "Saya tak tahu, Saya tak pasti, dll" teruskan menilai sehingga anda betul-betul pasti dan sepenuhnya memahami apa yang anda rasa. Jika anda rasa tidak selamat sekarang, anda takkan rasa selamat pabila anda sudah berkahwin. Jika anda tidak mula percaya sekarang, ia takkan berubah selepas anda berkahwin.


7) Tumpukan perhatian pada Emosi Kebimbangan Anda: 

 Memilih seseorang yang anda tidak merasa selamat dengannya secara emosi bukanlah resepi yang baik untuk sebuah perkahwinan yang berkekalan dan penuh kasih sayang. Apabila anda tidak rasa selamat, anda tidak dapat meluahkan perasaan dan pendapat anda. Belajarlah cara untuk kenali diri sama ada anda di dalam sebuah hubungan yang dizalimi ataupun tidak. Jika anda rasa anda perlu perhatikan apa yang anda katakan, apabila bersama seseorang itu dan anda rasa tidak bebas untuk menjadi diri sendiri dan selalu berhati-hati dalam setiap langkah anda, itu tandanya anda mungkin di dalam abusive relationship . Sila perhatikan perkara-perkara tersebut:

  • Tingkah laku yang mengawal: Termasuklah mengawal perilaku anda, cara anda berfikir, cara anda berpakaian, cara anda memakai tudung / menyikat rambut dan cara anda luangkan masa. Ketahui perbezaan di antara cadangan dan permintaan. Permintaan adalah ekespresi kawalan dan jika kawalan yang digunakan, anda wajib untuk mengikutinya atau akan ada kesan berikutnya. Begitulah tanda-tanda yang jelas iaitu penderaan personaliti.
  • Isu Kemarahan: Seseorang yang meninggikan suaranya daripada biasa, seorang pemarah, sering memarahi anda, melempiaskan kemarahannya kepada anda, menggunakan kata-kata kesat dll. Anda tidak perlu mengalah dalam layanan sebegini. Kebanyakan orang yang bersikap sebegini mempunyai latar belakang didera. Jika ini terjadi kepada anda mahupun orang yang anda kenali, cepat-cepat dapatkan bantuan. Selesaikan masalah tersebut sebelum berkahwin atau sebelum berfikir untuk berkahwin. 


8) Berjaga-jaga dalam kurangnya Keterbukaan Pasangan Anda:

Banyak pasangan melakukan kesilapan untuk tidak membincangkan semua perkara dari permulaannya.  Tanya diri anda, "Apakah yang perlu saya tahu untuk saya betul-betul pasti saya akan berkahwin dengan orang ini?" "Apakah yang buat saya runsing mengenai si dia atau hubungan ini?" Sangat penting untuk mengenal pasti apakah yang merunsingkan anda, perkara-perkara yang anda ingin tahu, dan perkara-perkara yang anda takut untuk dibangkitkan dalam perbincangan. Maka anda perlu berbincang secara telus tentang perkara tersebut. Ini adalah cara yang terbaik untuk menguji kekuatan hubungan anda berdua. Bangkitkan isu-isu apabila wujud ketidaksefahaman adalah masa terbaik untuk menilai sebaik mana anda berkomunikasi, berbincang dan bekerjasama sebagai satu kumpulan. Apabila kita mula rasa ingin berkuasa dan mula menyalahkan antara satu sama lain, itu tandanya mereka tidak sesuai bekerjasama sebagai satu kumpulan.

Penting juga untuk sentiasa terbuka apabila bersama. Tanya soalan-soalan yang mendalam dan lihatlah reaksi pasangan anda. Bagaimana mereka mengatasinya? Adakah mereka mempertahankan diri? Adakah mereka lebih menyerang? Adakah mereka menyerah kalah? Adakah mereka rasa marah? Adakah mereka menyalahkan anda? Adakah mereka tidak menghiraukannya? Adakah mereka mengelak, berselindung? Atau mereka menerima soalan tersebut dengan rasional? Jangan hanya dengar apa yang mereka katakan tapi lihatlah bagaimana cara mereka katakannya.



9) Berjaga-jaga untuk Tidak Mengelakkan Tanggungjawab Peribadi:

Sangatlah penting untuk kita sentiasa ingat bahawa tiada siapa yang bertanggungjawab terhadap  kebahagiaan anda. Ramai orang silap apabila mereka fikir orang lain yang akan memberi kebahagiaan kepada mereka dan menjadikan hidup mereka lebih baik dan itulah sebab bagi mereka untuk berkahwin. Mereka gagal untuk menyedari jika mereka tidak bahagia sebagai seorang yang bujang, mereka akan terus menderita apabila mereka berkahwin. Jika anda sekarang tidak bahagia dengan diri anda, tidak suka diri sendiri, tidak suka arah tuju hidup ke mana anda pergi, silalah bertanggungjawab terhadap diri anda buat masa sekarang dan baiki perkara-perkara tersebut sebelum berfikir untuk berkahwin. Jangan bawa isu-isu tersebut ke dalam perkahwinan dan mengharapkan pasangan anda untuk membaikinya.



10) Perhatikan Kekurangan pada Kestabilan & kesediaan Emosi Pasangan Anda: 

Ramai orang memilih pasangan yang emosinya tidak sihat dan tidak bersedia. Masalah besar yang timbul apabila pasangan tersebut tidak berupaya mengimbangi hubungan emosinya dengan ahli keluarga, perkahwinan tersebut pada akhirnya menjadi 3 (atau lebih) orang di dalamnya dan bukannya dua. Contohnya, lelaki yang terlebih bergantung kepada ibunya akan membawa hubungan tersebut ke dalam perkahwinan,  ini sememangnya adalah resepi kepada bencana. Perkara-perkara yang perlu di ambil kira juga adalah :

  • Jauhi orang yang kosong emosi dalam diri. Termasuklah juga orang yang tidak suka akan diri mereka disebabkan kurangnya kemampuan untuk menghadirkan emosi. Mereka sentiasa menyesakkan diri dengan kekurangan, ketidak yakinan diri dan fikiran-fikiran negatif. Mereka bertarung dengan kemurungan, tidak rasa hebat, memencilkan diri, sentiasa mengkritik dan kuat pertimbangan, tidak ramai kawan dan tidak percayakan orang malah takut dengan orang di sekeliling. Tanda-tanda lain yang jelas mengenai orang seperti mereka ialah sentiasa tidak cukup dengan apa yang mereka kecapi mereka sering rasa marah, mereka beranggapan orang lain sepatutnya menjaga mereka dan bukan diri mereka. Sering terbeban dan benci dengan keperluan orang lain. Orang-orang seperti ini secara emosinya tidak available untuk membina hubungan yang baik.

  • Ketagihan juga boleh membataskan tahap kesediaan seseorang untuk membina hubungan emosi yang mantap. Jangan berkahwin dengan orang ketagih. Ketagihan bukan hanya pada dadah dan juga arak. Tetapi juga ketagihan dan kebergantungan pada kerja, internet, hobi, sukan, shopping, duit, kuasa, pangkat, materialisme dan sebagainya. Apabila seseorang terbelengu dengan ketagihan, mereka tidak  boleh dan tidak akan bersedia untuk membina sebuah hubungan yang intim dengan anda. 



Perkara-perkara Tambahan untuk Dipertimbangkan:


  1. Secara faktanya bukan semua orang akan selamanya kelihatan seperti 25 tahun. Pada akhirnya, kita menyintai orang yang kita kahwini melebihi paras rupa mereka. Apabila kita sudah kenali seseorang yang kita cintai dan sanjungi, kita akan cintakan mereka untuk kecantikan dalamannya dan keluhuran peribadi.
  2. Apabila sudah bertemu dengan seseorang, secara sedar ataupun tidak sedar kita seboleh-bolehnya mahukan semua perkara berjalan mengikut kehendak kita tanpa melihat dan mempersoalkan setiap yang terbentang di hadapan mata kita; pasangan kita mungkin bersikap kasar pada pelayan, cakap perkara buruk tentang orang lain, kasar terhadap anda, dll. Tapi kita tidak berhenti dan bertanya, "Apakah maksud di sebalik sikap-sikap tersebut?"
  3. Jangan pernah pisahkan seseorang daripada keluarganya, latar belakang, pendidikan, kepercayaan dll. Tanya soalan-soalan yang dapat mencerahkan lagi perkara-perkara tersebut. Soalan seperti, "Apakah maknanya untuk mempunyai hidup yang serba  ringkas?" "Apakah yang anda inginkan daripada sebuah perkahwinan?" "Bagaimana anda dapat bantu mengenai kerja rumah?"  Bandingkan pendapat anda dan pendapat mereka.
  4. Jadilah orang yang fleksibel. Berfikiran terbuka!
  5. Menginginkan sebuah perkahwinan yang bahagia sepatutnya tidak dikelirukan dengan mati syahid. Sepatutnya perkahwinan sesuatu yang membahagiakan dan melihat pasangan anda juga bahagia disebabkan hubungan anda dengan mereka.
  6. Moral dan kerohanian adalah kualiti-kualiti yang benar-benar mendefinasikan seseorang selain daripada kecantikan, wang, dan kesihatan. Orang yang bermoral dan mempunyai rohani akan sentiasa berdiri di sebelah anda dalam susah mahupun senang. Jika seseorang tidak bertuhan dan tidak berusaha mendekatkan diri mereka kepada Tuhan, maka mengapa anda perlu berharap mereka akan memenuhi kehendak yang anda perlukan? Pasangan yang ideal adalah seseorang yang berusaha memberi keuntungan dan bukannya menyebabkan kerugian. Berkongsi dan mempunyai persamaan dalam sebuah hubungan kerohanian akan membuahkan sebuah perkahwinan yang berjaya. Selain itu, sebuah perkahwinan yang berjaya adalah perkahwinan yang mempertahankan undang-undang keluarga yakni memerlukan tahap kawalan diri dan disiplin diri, termasuklah juga hubungan fizikal, emosi dan rohani sebuah perhubungan. Mencari persamaan dan keseimbangan di antara aspek emosi dan rohani dalam perhubungan adalah kunci utama untuk sebuah perkahwinan yang sihat dan berkembang.

Phewwww..alhamdulillah..berjaya juga akhirnya saya cuba terjemahkan artikel 10 Ways to Avoid Marrying the Wrong Person!. Tahniah buat mereka yang berjaya baca artikel ini sampai habis.

Jika anda rasa janggal dengan terjemahan ini atau mungkin tidak faham langsung dengan intipati terjemahan saya, silalah klik ini untuk bacaan kali kedua. Saya budak masih belajar. Ini adalah cubaan terjemahan semata-mata sebagai latihan untuk subjek Tarjamah semester kali ini.

Saya sama sekali bukan seorang yang pakar mahupun arif dalam bab perkahwinan, tapi kita boleh sama-sama belajar bukan? Pemilihan tajuk juga adalah random dan sekadar bahan bacaan pilihan yang menarik untuk dikongsi bersama. Entah mengapa terdapat kekuatan untuk terjemahkan artikel ini. ^^

Semoga mendapat faedah bersama. Selamat beramal.