26 March 2014

Allah Sayang Kita






Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Malaysia sudah menjadi terkenal di mata dunia. Kalau dahulu, mereka mungkin hanya mengenali Indonesia kerana ramainya umat Islam di sana ataupun Singapura kerana maju dan bersih negaranya. Kini saya yakin, sesiapa pun pasti sudah mendengar nama Malaysia. Negara yang saya dan anda pembaca cinta.

Bermula dengan banjir, kemarau, jerebu, ketidakstabilan negara, kehilangan MH370, kematian anak remaja, dimalukan oleh bomoh tua, kelompongan sistem keselamatan negara, kesemuanya menimpa-nimpa.

Saya percaya seperti anda semua, kita seakan sudah dihempuk berkali-kali kotak sedar dan iman akan perkara ini. Seperti anda semua juga, saya percaya sudah ramai yang mengerut dahinya, bergenang air mata memikirkan nasib kita.

Saya juga percaya sudah ramai yang mula mencari hikmah di sebalik ujian Allah. Ramai juga yang sudah kembali kepada Pencipta. Kenapa saya berkata sebegitu rupa?. Kerana saya juga merasakan perkara yang sama.

Percayalah wahai rakyat Malaysia, Allah sedang persiapkan kita untuk suatu perkara yang lebih besar selepas ini. Percayalah, Allah sedang menguji kita setelah lama kita hidup selesa. Percayalah, bahawa Allah yang mencetuskan semua mala petaka ini adalah Allah yang sama membenarkan kita hidup menghirup oksigennya secara percuma. Hanya pada Allah selayaknya kita menyembah, dan hanya padaNya lah tempat kita meminta pertolongan.

Yakinilah bahawa Allah mahu kita juga merasa apa yang saudara kita rasa. Derita yang sudah sekian lama mereka rasa tanpa kita. Nah, kini Allah cetuskan rasa itu untuk kita sentiasa insaf bahawa Allah Maha Berkuasa. Ini adalah waktunya Allah serta tarbiyah daripadaNya mendidik kita dengan cara yang kita tidak ketahui bagaimana. Kerja kita untuk sentiasa kembali kepadaNya, bersangka baik kepada semua takdirNya kemudian berusaha memperbaiki hubungan kita denganNya.

Ayuh, usah berlengah lagi wahai manusia, Allah sangat merindukan tangisanmu, doa dan rintih merayu kepadaNya meminta pertolongan dan petunjuk.

Biarkanlah manusia dan perancangan mereka. Segala teori dan konspirasi musuh kita akan sentiasa melingkari kita. Bak hadis Nabi Muhammad s.a.w tentang umat akhir zaman yang dikerumuni musuh Islam ibarat orang mengerumuni sebuah hidangan. Kitalah umat itu yang tiada upaya melainkan bilangan yang ramai namun ibarat buih di pantai.

Sedang umat Islam diperlakukan dengan pelbagai cara, kita sebenarnya tiada masa untuk bersuka ria. Kita ada kerja yang perlu dilaksana. Perlu banyakkan taubat kerana kiamat sudah dekat. Andai itu belum pernah dapat kita semat dalam diri, ketahuilah, bahawa mati itu tidak akan pernah sesaat cepat atau sesaat lambat.

Berdoalah untuk ummat sejagat. Berdoalah untuk keampunan dosa. Berdoalah untuk kita bangkit kembali kuat. Berdoalah juga agar kita dijauhkan fitnah dajjal laknatullahi alayh. Andai saat itu tiba, moga Allah pilih kita dan nampakkan kebenaran dan juga kebatilan. Agar kita tidak tersalah pilih jalan. Biarlah jalan itu jalan ke syurga meski susah di dunia. Ameen.. ya Rabbal A'lameen.


24 March 2014

Say NO to Ikhwah





Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah

Ah sudah, dia tulis lagi pasal ni. 

Mula lah tu nak cakap pasal ikhwah kan.

Tak habis habis nak ulas pasal benda ni. Gatal sangat pergi kahwin cepat-cepat.

Kata-kata di atas mungkin antara pemikiran pertama atau impresi pertama sebahagian daripada kalian selepas membaca tajuk post kali ini. Atau saya sahaja yang terlebih lebih memikirkan apa yang orang akan kata

Terlebih dahulunya, maaf saya pinta andai ini isu sensitif bagi sesetengah orang. Maaf juga andai post ini agak menghakis hati mahupun menggatalkan mata anda ketika membacanya. Cuma saya perlu berkongsi perkara ini. 

Ya, lah. Kongsi je. Tapi apa cerita yang nak dibawa berkaitan tajuknya???

Eh, sabar-sabar. Urut dada, tarik nafas terlebih dahulu. Baca dengan hati yang penuh kelapangan ya. Saya ingin membicarakan tentang "Pengalaman saya berMusyrif atau berMuraqib". Dua juta kali juga saya berfikir untuk menulis tentang perkara ini.

Lahh... bosan. Klik butang x di tab.

okay.. sambil mengurut dagu.. macam menarik... teruskan teruskan..

Ingat tak pembaca sekalian tentang maksud penggunaan istilah Jejaka Kacak dalam post yang lepas?. Jika masih ada yang belum tahu kisahnya boleh klik di sini.

Kacak yang dimaksudkan dalam konteks post ini adalah lelaki yang budiman, berbudi bahasa, budayawan, atau gentleman. Saya kehilangan vocab untuk menggambarkan kacak yang bukan pada wajahnya tetapi pada akhlaknya. Haa, berakhlak orangnya.

Kisahnya bermula sewaktu pulang dari Pasar Seni ahad lepas. Selepas siap berkemas dan menangkap gambar bersama-sama sukarelawan Dapur Jalanan, sebahagian daripada kami mahu makan malam di KFC.

Tetapi saya dengan kepala yang sudah berdenyut juga badan penat yang merayu untuk pulang menyatakan hasrat kepada mereka untuk tidak bersama sama. Saya dan 4 orang lagi akhawat berpakat untuk pulang lebih awal. Saya sebagai kak long kepada mereka terasa bertanggungjawab untuk menjaga adik adik. Ceywah. Maka berjalanlah kami pulang dalam jemaah.

Sedang kami berjalan, saya sudah perasan ada dua orang ikhwah berjalan terlebih dahulu di hadapan kami. Dalam hati, "Oh, agaknya mereka ni nak balik UIA jugak kot. Boleh ikut sekali". Tetiba ada seorang lagi ikhwah berjalan melepasi kami.

Mulut ni laju bertanya "Brother nak balik UIA ke? Kami ni pun nak balik juga". Rasanya dalam hati memang yakin boleh berjalan tanpa musyrif entah kenapa mulut ni rajin pula bertanya. Brother tadi anggukkan kepala dan laju kehadapan mengejar dua ikhwah tadi. Terkumat kamit mulutnya melaporkan kepada mereka berdua tentang kami.

Salah seorang daripada mereka menganggukkan kepala dan sempat mengerling ke arah kami. Bermula daripada saat itu, setiap langkah kami diperhatikan brother tersebut.  Beberapa jalan yang memerlukan kami melintas jalan, pasti akan ditunggunya sehingga semua selamat menyeberang. Apabila ada kereta yang ingin laju, pasti ditahannya untuk kami lalu.

Saya tertawa kecil sambil berkata kepada adik "Acu, agaknya ni mesti kali pertama dia jadi musyrif kan? Kenapa dia concern sangat?". Saya jadi hairan akan kebaikannya. Apsal lah nak pelik dengan orang yang nak buat baik?.

Menaiki escalator sempat dia bertanya, "Kita solat dulu boleh?". Saya dengan muka jujur kepenatan hanya berkata "Haah, solat dulu".

Ramai pula yang beratur maghrib itu membeli token. Tiga daripada kami berjalan dahulu menggunakan kad Touch n Go ke arah surau dan yang lain lain beratur membeli token.

Sekali lagi, brother yang concern tadi seakan puas mencari sesuatu. Saya berjalan perlahan ke arahnya. "Surau perempuan tak adalah, yang ada surau lelaki je. Nanti sisters sembahyang lah dulu ya, ada sorang je pakcik dalam ni". Puas dia menerangkan. Tetapi akhirnya apabila kami bertanya, terus seorang janitor mengalihkan papan Caution Wet Floor  yang menghalang laluan ke Surau Muslimat. Rupanya air tiada di tandas, tetapi surau masih boleh digunakan.


Sesudah sembahyang kami terus menaiki LRT pulang ke Gombak. Mereka bertiga berdiri memberi tempat kepada kami untuk duduk. Sehinggalah tiba di Putra bas ke UIA masih belum sampai. Kami berlima pun duduk di hadapan kedai buah dan jajan. Manakala, brothers bertiga tadi berjalan ke kerusi yang paling hujung betul betul di hadapan tempat bas akan berhenti.

Saya duduk dengan pandangan kosong ke hadapan. Sesekali Acu sua buah ke mulut, disuap manja gitu. Baik sungguh adik saya sorang ni. Yang lain lain pun ada buah di tangan mereka, "Semua orang mesti dah lapar kan?" kata saya.

Sambil kami mengunyah perlahan buah potong tadi, Acu bersuara "Akak, akak rasa kita boleh balik sendiri tak kalau diorang tak ada?". "Tu lah pasal, akak berani je nak balik UIA sebab kita ramai. Tak sangka lah pulak jumpa orang yang sweet nak jaga kita sampai macam tu" kata saya. "Kann kak" sambil Acu menyuap buah ke dalam mulutnya.


Hampir 20 minit kami menunggu bas, tetiba  ada suara menegur "Sisters kenapa duduk sini, bas akan berhenti dekat hujung sana, better duduk sana".  Saya paling muka ke belakang, brother tadi rupanya. "Alahai, kenapa baik sangat", "Ya Allah, jangan sweet sangat". Kami tersentuh lagi dengan keprihatinan dia.

Saya yang sudah tak hirau apa yang berlaku di sekeliling ikutkan sahaja katanya. Lama sungguh malam berlalu bas masih tak kunjung tiba. Sehinggalah lebih kurang 30 minit berlalu, barulah kelihatan bas Rapid 231 muncul.

Bas tiba dan akhirnya kami pulang. Malam itu ramai sungguh pelajar UIA keluar bandar. Brothers yang bersama kami tadi mencari tempat duduk, tetapi brother concern mencadangkan mereka untuk berdiri sahaja. Otak saya sudah dipenuhi angin ketika itu. Pening dan hanya memikirkan untuk ke cafe sesampainya kami di Mahallah. Tapi hati tetap merasa kehairanan atas kebaikan lelaki tersebut.  Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan. Dan saya berterima kasih kepada brother tersebut atas keprihatinan yang agak manis(sweet) pada hari itu.


Jadi, apa moralnya daripada cerita ini?

1- Akhawat, berusahalah untuk berjalan secara berjemaah ke mana jua kita pergi.

2- Namun, tidak dinafikan juga kepentingan mempunyai musyrif.

3- Musyrif yang baik akan prihatin dengan ahli yang dibawanya. Bukan hanya sekadar berada di hadapan berjalan tanpa tahu apa yang terjadi di belakang.

4- Masih ada lagi ramai orang kacak (baca:gentleman) di atas muka bumi ini. Dear akhawat, janganlah kita berputus asa.

5- Masih ramai lagi yang telah berjaya dididik untuk sentiasa menjaga kita akhawat dalam apa jua hal.

6- Baik kepada akhawat bukan bermakna gatal atau menunjuk-nunjuk. Baik dan prihatin itu sikap Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam sebuah kisah diceritakan, ada seorang isteri sahabat berjalan sendirian memikut beban di kepalanya untuk di bawa pulang. Rasulullah ternampak akan sahabiah tersebut lalu menawarkan tunggangan untuk dinaikinya. Namun, ditolak dengan baik oleh sahabiah tersebut lantaran teringatkan cemburu suaminya yang tinggi. Nah, bukankah ini bukti Rasoulillah insan yang sweet lagi prihatin pada para sahabiah?

7- Meminta bantuan musyrif tidak bermakna akhawat itu terlalu lemah dan suka minta dilindungi. Akan tetapi ia juga menjadi sebuah penghormatan kepada ikhwah sebagai rijal qawwamoun. Berbanggalah kalian!.


Saya tidak bercadang pun untuk berkongsi kisah ini. Tergerak hati untuk menulis pun atas rasa perlu bila terbaca petisyen Say No to Akhawat Perubatan hanya kerana mereka tidak mahu menggunakan khidmat musyrif. Lucu dan nampak kebudak budakan. Tapi isu yang dibawa itu yang saya maksudkan.

http://www.change.org/petitions/ikhwah-bujang-mesir-say-no-to-akhawat-perubatan-mesir

Saya pun tak terbayang akan perlukan musyrif di Malaysia. Tapi kalau di Maroc dahulu, kami akan bergerak bersama sama jikalau berjaulah. Di situ, bagi saya, ikhwah juga akan belajar bagaimana mengurus kesabaran dalam menunggu akhawat bersiap, berhenti solat dan bershopping. Ala-ala belajar sebelum membina Baitul Muslim. Tak lah terkejut sangat nanti harapnya kalau si isteri suka berwindow shopping dan memang jenis orang bersiap lambat.

Wallahu A'lam. Sekadar perkongsian cerita dan cetusan rasa. We can agree to disagree. Tapi ini sudut pandang saya tentang isi musyrif ini. :)

Terima kasih atas kesudian membaca. 

18 March 2014

Thesis Kehidupan






Bismillahi as solatu was salaamu a'la Rasoulillah.

Minggu ini minggu penuh penginsafan buat saya. Ahad lepas saya diberi peluang untuk menyertai sebuah program anjuran Quranic Youth Club untuk sama sama menjadi sukarelawan di Dapur Jalanan.



Walaupun hanya sebentar cuma dan hanya sedikit tenaga yang dihulur, saya sangat terkesan dengan istiqamahnya 9 orang anak muda memberi makanan secara percuma kepada orang bergelendangan. 30/3/2014 yang bakal menjelma genap setahun mereka meneruskan akitiviti yang mulia ini.

Saya pulang dengan pelbagai perasaan. Mereka bukan siapa siapa. Mereka hanya sekumpulan anak muda. Mereka juga nampak sangat biasa biasa. Mereka tak pernah mengharap publisiti dari mana mana. Apa yang mereka pegang "Makanan adalah Hak Milik Semua". Mereka menggelarkan homeless atau gelandangan itu VVIP, terlalu istimewa bagi mereka.



Sedang manusia sibuk dengan perihal duniawi. Kita sudah menjadi terlalu nafsi nafsi. Semua benda bagi kita tidak pernah cukup serba serbi. Apatah lagi untuk kita memberi kepada mereka yang kita tidak kenali.

Saya tahu dan saya insaf lebih ramai lagi orang yang tidak bernama di luar sana sama seperti mereka. Mulia pada mata Pencipta.

Saya pulang dan saya jadi terus bersemangat. Saya juga mahu seperti mereka.

Keesokan harinya pula, saya baru berkesempatan mengambil bungkusan pos di Pejabat Mahallah Hafsah. Sudah seminggu terbiar di situ. Bungkusan apa?. Buku yang saya beli dan sangat dinanti nanti "Cerita Cinta Ahmad Ammar".




Berderai derai tumpah air mata. Berkali kali saya jatuh cinta. Bertimpa timpa rasa cemburu kepadanya. Bertubi tubi rasa insaf tiba. Ke mana waktu muda saya yang telah pergi begitu sahaja?

Saya sangat mengagumi Ammar dan kualiti serta kebaikan yang telah dia baktikan sepanjang hidupnya. Dipilih Allah untuk syahid pada usia 20 tahun dalam keadaan ibu bapa, guru guru dan semuanya meredhai pemergiannya. Dia anak yang soleh contoh bagi kita remaja yang semakin alpa dengan dunia. Terasa amat malu untuk hanya terfikir membandingkan hidup saya dengan hidup si Ammar.

Kemboja telah disantuninya, Syria sudah menerima kunjungannya. Risalah An Nur sudah dihafalnya. Malah, kematiannya juga menghidupkan kita.

Saya jadi terus bersemangat. Saya juga mahu seperti dia.



Saya mahu jadi seperti mereka walaupun saya tahu ia susah.

***

Menulis cerita kehidupan dapat saya analogikan seperti menulis sebuah thesis.

Mengapa saya analogikan sebegitu? 

Kami pelajar Sarjana diberi masa 2 tahun untuk menyiapkan sebuah thesis disamping mencukupkan credit hour dengan subjek pilihan.

Dalam masa 2 tahun tersebut, terlalu banyak tajuk yang menarik dapat kami pilih untuk dijadikan tajuk thesis. Semestinya kami perlu memilih tajuk yang kami betul betul minati supaya dapat dilaksanakan dengan penuh kesungguhan.

Akhirnya, sesudah kami siap menulis thesis tersebut, tibalah masa kami diuji tentang apa yang kami kaji. Setiap muka surat dan isinya akan ditanya. Apakah kami benar benar faham dan jelas tentang hasil kajian kami? Adakah kami betul betul menjalankan kajian dengan telus? dan Apakah kebaikan yang dapat kami sumbangkan melalui kajian tersebut?.

Usai proses soal jawab, kami akan diberi keputusan melalui hasil kajian kami. Keputusan yang bakal kami lihat, Accepted, Lulus?. This thesis must be revised, thesis ini perlu dikaji semula?. Extension revision required, masa kajian tambahan diperlukan?. Atau mungkin Unacceptable, Thesis ditolak?.



Bukankah sama dengan corak penulisan hidup yang kita cuba hasilkan?

Kita diberi masa oleh Allah untuk hidup di atas bumi dalam tempoh tertentu. Walau kita tak pernah tahu bila saatnya kita dipanggil, tetap bilangan tahun sudah melebihi dua tahun. Malah, dalam tempoh itu jugalah, terlalu banyak kebaikan kebaikan yang dapat kita pilih untuk kita fokuskan dan kita gembleng tenaga sepuasnya. Terlalu banyak. Disamping rukun Islam yang wajib kita laksanakan.

Kita usaha sebaik mungkin dan akhirnya kita dipanggil oleh Allah semula. Tibalah masa kita bakal ditanya tentang amalan kita di dunia. Tambahan soalan yang bakal ditanya selepas solat, ke mana waktu lapang kamu dihabiskan? Adakah kamu membantu saudaramu di dunia? Sudah kamu tegakkan Islam di tempatmu? Berapa ramai yang telah tersentuh dengan dakwahmu? dan lain lain soalan yang bakal ditanya malaikat di sana.

Usai amalan kita dihisab, tibalah waktu kita ditentukan syurga dan neraka olehNya. Cuma pilihan yang ada cuma dua. Ya, antara syurga dan neraka. Tiada masa tambahan diberikan. Tidak pula kita akan dikembalikan ke dunia untuk hidup semula.

Lantas, persoalan yang harus kita tanyakan "Apakah sudah ada kebaikan yang telah aku sumbangkan?" Jikalau ada, "Sudah cukupkah untuk aku persembahkan dihadapan Tuhan?"

Saya yakin semua pembaca post ini sudah banyak memberi sumbangan dan sudah banyak menyebarkan kebaikan, namun, persoalan ini masih menjadi persoalan bagi saya. Saya terkedu, buntu. Menulis soalan ini dalam diri dan diakhiri sebesar besar  tanda soal dan tanda seru

Sedang saya mencari cari tajuk thesis yang sesuai untuk saya mulakan di Semester Pertama ini, Allah kirimkan pengajaran yang lebih besar daripada sekadar itu. Sebuah persoalan yang memenuhi kotak pemikiran. Sudah saya mencari tajuk thesis kehidupan saya?

Untuk saya menunggu 2 tahun tamat pengajian baru saya mulakan pencarian, bukankah sudah terlalu banyak masa terbuang hanya untuk mencari tajuk cerita hidup saya. Untuk saya menunggu 2 tahun, baru saya mengorak langkah menyebar kebaikan, sudah pasti saya tertinggal berjauh batu dari perjalanan mereka yang saya ceritakan sebelum ini. Itupun kalau diizinkanNya saya hidup selepas 2 tahun.

Cukup cukuplah 23 tahun masa yang telah tidak saya manfaatkan sebaiknya. Mungkin esok saya akan dipanggilnya. Mungkin juga selepas post ini diterbitkan. Allahu a'lam.

Sekadar sebuah perkongsian buat pembaca yang mungkin dapat mengaitkan situasi ini dengan kehidupan kalian. Sama sama kita kembali kepada Tuhan, memohon ampun daripadaNya atas masa masa yang tak dapat dikembalikan dan sama sama kita mula mencari tajuk terbaik thesis kehidupan. Selari dengan kemampuan serta kebolehan. Percayalah, kita tidak pernah terlambat untuk membuat satu kebaikan.  =)




Dan moga kelak, sewaktu kita dihisab kita dapat persembahkan segala amal kebaikan kepada Tuhan dengan penuh kepuasan. Dan moga kelak kita hanya tersenyum penuh rasa kesyukuran apabila di dalam syurga tempat kita dikumpulkan. Ameen.



03 March 2014

Surat Cinta buat Single Sisters







Segan nak kongsikan artikel ini kerana saya bukan orang yang layak. 
Dua tahun saya ambil masa nak terjemahkan artikel ini. Serius, tak tipu.
Serius panjang, sesuai untuk mereka yang mahukan nasihat mengenai perkahwinan.

Khususnya perempuan. :)


Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah.


Malam semalam, saya dan suami keluar membeli barang di kedai runcit. Kami beli pencuci lantai, minyak masak dan beras; tetiba saya terpana dan terfikir yang kami betul-betul dah berkahwin!.. Hehe.. Alhamdulillah.. Lalu teringat saya perkara-perkara yang saya akan buat jika saya masih bujang, dan saya teringatkan kawan-kawan yang (mungkin) masih tercari-cari sama seperti saya dulu, menanti-berharap-mencari Mr Right. Ya, dahulu saya pun begitu,  menanti-berharap-mencari, dan sekarang apabila Allah menghantar seorang suami kepada saya, khas untuk saya, ia berlaku terlalu cepat, sangat pantas, kami berkahwin dalam masa dua bulan setengah sejak kali pertama kami berpandangan! Macam mana boleh berlaku sebegitu? Sememangnya inilah yang dinamakan kuasa Allah. Alhamdulillah.

Sebelum saya bercerita lebih tentang perkahwinan saya, perlu saya kongsikan kepada anda semua cebisan nasihat di sepanjang perjalanan mencari "Si Dia". Sila ambil nasihat ini sebagai perkongsian pengalaman dan pemerhatian dan bukannya dijadikan sebagai 'checklist utama', tapi saya yakin nasihat ini sedikit sebanyak membantu. Insya Allah.

#1 – Berlaku Adil

Seorang kawan saya pernah bagi tahu saya yang "kita akan dapat orang yang layak untuk kita" dan beberapa tahun kemudian barulah saya sedar kebenaran kata-kata tersebut. Malah telah termaktub dalam Al Quran: "perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik"-(24:26).

Maka sahabat sekalian, sebelum kita nyatakan ciri ciri lelaki idaman yang kita mahukan seperti  “Dia mestilah seorang yang bertanggung jawab, beriman, menghormati orang tua dll'', cuba tanya diri semula, cuba muhasabah kembali, adakah kita pun begitu juga? Adakah kita seorang yang bertanggungjawab? Adakah kita juga beriman? Adakah kita juga menghormati orang tua?

#2 - Bercintalah dengan Allah, Allah akan beri kamu cinta

Kita adalah muslim yang yakin bahawa Allah Maha Pencipta dan Dia sahaja yang memegang masa depan kita, hidup dan segala isinya. Hanya melaluiNya sahaja kita akan dituntun sehingga bertemu dengan pasangan kita. Cuba baca artikel menarik tentang Hook Up with Allah & Allah will Hook You Up. Saya memang berpegang dengan konsep ini sepenuh hati semasa zaman bujang saya dan harapannya agar kamu juga mendapat manfaat bersama. Insha Allah.



#3 - Jadi Proaktif

Sewaktu saya dan beberapa kawan yang lain masih bujang, kami sangat terinspirasi dengan kisah Ummul Mukmineen, Sayidatina Khadijah binti Khuwailid r.a. Ada sebuah artikel bertajuk "Hanya kerana Khadijah Bertanya" dan salah satu potongan artikel tersebut berkata :

"Khadijah telah bertanya. Khadijah, semoga Allah melimpahkah rahmat kepadanya, telah bertanyakan Nabi Muhammad saw tentang perkahwinan. Beliau lah yang telah memulakan perbualan mengenainya. Beliau menghantar seseorang dari pihaknya untuk mengetahui status baginda, adakah baginda masih belum berkahwin. Dan hanya kerana Khadijah bertanya, beliau telah mendapat jawapan yang mulia. Dengan jawapan tersebut, bermulalah sebuah kisah cinta teragung dalam sejarah cinta, dan beliau juga contoh terbaik serta sebenar-benar muhsina (orang yang menjaga) dan mukmina (orang yang beriman).

Seorang wanita yang lebih tua dan sudah berkahwin dan mempunyai anak merisik seorang jejaka daripada kabilah terbaik di Mekkah. Jawapan baginda bukan sahaja suatu penghormatan buat Khadijah, akan tetapi penghormatan buat Rasulullah juga. Rasulullah akan berkahwin dengan orang yang sangat berhati mulia terkenal di seluruh Mekkah. Seorang wanita berjiwa emas yang sanggup berkorban apa sahaja untuk membantu suaminya dan Islam. Hanya kerana Khadijah telah bertanya.

Check out this website for the article:

Saya tak kata pergi tepi jalan dan tanya sesiapa sahaja-lelaki-yang-lalu lang tentang status mereka, 'single and available', tapi jujurlah dari mula. Jika ada mak cik kamu yang bertanya, "Bila nak kahwin?" daripada kita jawab "Saya nak kerja dulu kot sekarang", buang ego kamu dan cakap "Saya masih belum jumpa sesiapa, boleh tak mak cik carikan untuk saya? Saya rasa saya dah sedia". Mereka selalunya dah ada seseorang di dalam fikiran mereka untuk diperkenalkan, atau sekurang kurangnya, mereka akan teringatkan kamu jika ada kawan-kawan mereka yang mencari calon menantu untuk dikahwinkan dengan anak bujang mereka, dan kalau itu tak berlaku sekalipun, mak cik mak cik kita akan berhenti bertanya dan kamu tak akan tertekan lagi selepas ini.

Selain itu, jadi aktif dan sertai aktiviti community service, projek alam sekitar, kelas kelas bahasa atau apa apa sahaja bisnes yang kamu minati. Kamu akan berjumpa dengan lebih ramai kenalan baru, dan meningkatkan peluang untuk berjumpa jodoh. Jodoh yang sama minatnya dengan kamu. Berkongsi minat yang sama adalah suatu permulaan yang baik.

#4 - Dia akan menjadi Ayah kepada Anak anak kamu

Saya telah menghadiri satu ceramah oleh Yunus Kathrada, dia menceritakan sebuah kisah lelaki yang berjumpa seorang Syeikh untuk meminta nasihat mengenai anaknya yang baru lahir. Meminta nasihat adalah suatu perkara yang sangat bagus, tetapi Syeikh tersebut menjawab dengan berkata "Sudah terlambat". Kenapa?. Syeikh tersebut berkata, proses membesar seorang anak yang soleh bermula sebelum kita berkahwin lagi - dengan memilih pasangan yang baik sebagai permulaan.

Saya ada mendengar sebuah kisah seorang gadis yang berjumpa dengan seorang lelaki di Hard Rock Cafe di kelab malam Zouk dan macam macam lagi cerita. Saya tak boleh kata setiap pasangan yang berjumpa di tempat tempat seperti ini akan menuju sebuah kemusnahan dalam perkahwinan. Tetapi cuba fikir sejenak. Bukankah kita semua mahu sebuah permulaan yang baik yang akan membuahkan anak anak yang soleh dan musleh pada masa hadapan?

Sila tonton video ini. Ceramah yang sangat bagus tentang tajuk ini dan telah berjaya menyentuh hati saya.


Mungkin apa yang cuba saya cakapkan di sini ialah, semua manusia telah dilahirkan dengan sebuah fitrah, satu perasaan ingin kembali kepada Pencipta kita iaitu Allah. Sejahat mana pun kita, akan tiba suatu titik dalam kehidupan, kita akan terfikir, "Saya akan bertaubat dan kembali kepada Allah suatu hari nanti".

Tetapi jikalau seorang gadis berkenalan dengan seorang lelaki di kelab malam, dan mereka berkahwin. Beberapa tahun kemudian, gadis tersebut ingin kembali dekat dengan Allah sedangkan lelaki tersebut masih lagi mahu berseronok dengan dunia. Timbul masalah di sini apabila si gadis mula ke kelas kelas agama dan mahu mengerjakan Umrah, sedang suaminya enggan bersolat apatah lagi mengerjakan Umrah.

Mari kita berfikir jauh, dan pilih dengan bijak.

Selain daripada itu, perhatikan kemarahannya, sikapnya terhadap kanak kanak - perkara terakhir yang kamu mahu apabila kamu berkahwin dan mempunyai 3 cahaya mata dengan tangisan esak mereka kamu meminta bantuan daripada suami dan dia hanya berkata, "Awak tahu kan saya. Saya dengan anak anak mana boleh masuk!"

#5 - Usir jauh memori lama

Saya sangat percaya ada hikmah kenapa ikhtilat @ pergaulan bebas dan bercouple itu haram di sisi Islam. Kita semua tahu konsep GF-BF ini suatu yang tidak pasti, kita tidak akan pernah tahu perangai sebenar seseorang sehinggalah kita tinggal dengan mereka - sehari semalam. Kalau kamu masih tidak yakin yang bercouple itu haram, terlalu banyak hadith untuk membuktikannya. Tapi saya hanya akan berkongsi satu yang saya betul betul berpegang kepadanya:
Hadits Ma’qil bin Yasar rodhiyallahu ‘anhu :

لَأَنْ يُطْعَنُ فِيْ رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيْدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لاَ تَحِلُّ لَهُ

“Andaikata kepala salah seorang dari kalian ditusuk dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya”.
(Hadits Shohih Riwayat. Ar-Ruyany dalam Musnadnya no.1282, Ath-Thobrany 20/no. 486-487 dan Al-Baihaqy dalam Syu’abul Iman no. 4544)

Hadits ini menunjukkan bahwa menyentuh/berjabat tangan dengan selain mahram adalah dosa besar (Nashihati lin-Nisa hal.123).

Jangan tipu lah  kalau orang yang sedang bercouple atau berdating tidak bersentuhan antara satu sama lain. Dating/couple/berada dalam sebuah ikatan yang tidak sah adalah haram sayangku sekalian. Takutlah kepada Allah dan pintalah bantuanNya untuk memberi kekuatan kepada kamu untuk lakukan perkara yang benar.

Dan bagi saya, sisi huduh "dating" ialah hubungan ini tidak selalunya berakhir dengan sebuah kebahagiaan. Saya pernah dengar kisah pengantin perempuan menangis pada hari persandingannya kerana bekas teman lelakinya telah menghubunginya dan mengucapkan selamat tinggal. Malah, masih ada yang teringatkan bekas teman lelakinya atau bekas teman wanitanya walaupun setelah mendapat anak; lebih teruk bila ada yang secara berahsia masih berhubung hanya untuk bertanya "Lama tak dengar berita", subhanallahhh.. Moga Allah lindungi kita daripada perkara ini.

Kalau kamu masih tidak mampu untuk melupakan bekas teman lelaki kamu, lupakan dia sekarang. Dia hanya akan mengkaburkan jalan untuk berjumpa dengan jodoh kamu, dan dia akan sentiasa membayangi segala keputusan yang kamu akan buat pada masa hadapan dengan lelaki lain. Kamu pasti hanya mahukan sebuah keluarga yang bahagia dengan suami dan anak anak dan bukannya teringatkan bekas teman lelaki dan berfikir "Apa yang akan terjadi kalau saya berkahwin dengannya?"



Sudah-sudahlah. 



#6 - Tak salah memilih, tapi jangan cerewet

Saya percaya ada perbezaan antara cerewet dan memilih. Bagi saya kalau kamu menolak lamaran seorang lelaki yang sedap mata memandang, beradab dan mempunyai kewangan yang kukuh tetapi merokok; kamu perasan yang dia selalu tidak menunaikan solat jumaat dan Ya, kamu seorang yang memilih.

Tetapi kalau kamu menolak lamaran seorang lelaki yang sedap mata memandang, beradab, mempunyai kewangan yang stabil, tidak merokok dan seorang yang bertakwa tetapi dia anak mak (atau botak atau suka kumpul daun kering sebagai hobi) dan Ya, kamu seorang yang cerewet.

Kunci utama yang perlu kita ingat ialah "Deal Breaker" (Kata putus?). Kalau dia kekurangan dari aspek kualiti penting/tingkah laku nya yang membuat kamu tidak boleh hidup dengan/tanpa mereka, maka itu adalah sebab utama untuk tak berkahwin dengannya.

Sebagai contoh, kalau kamu sedar yang kamu seorang yang gigih bekerja dan sangat berwawasan tinggi tetapi bakal suami kamu mahu kamu berhenti daripada kerja dan hanya menjaga anak anak dan itu lah "Deal Breaker".

Tapi jangan pula kamu keliru antara kata putus dan juga perbezaan. Sebagai contoh, kamu suka makanan Jepun dan benci makanan Itali tapi suami kamu sebaliknya, ini bukan deal breaker. Kedua duanya masih mampu mencari titik persamaan dan agak bodoh lah untuk bergaduh besar hanya kerana tak tahu nak pilih restoran mana untuk makan malam.

"Deal Breaker" adalah sesuatu yang jikalau tidak diatasi dengan baik dalam sebuah perkahwinan ianya akan membawa kepada perceraian. Nampak tak perbezaan di situ?

Bagaimanapun, tak perlu terlalu memikirkan dan menganalisa semua perkara. Kerana tiada siapa yang sempurna dan ya, kamu pun sama, tak sempurna.

#7 - Bersedialah untuk memberi/mengalah.

Perkahwinan bukanlah semata mata seks. Bukan juga segalanya mengenai si suami mencurahkan sepenuh kasih sayang dan cintanya buat kamu. Bukan juga bermanja manja saling berpelukan di atas katil setiap malam. Ya, semua itu perlu, tapi semua itu bukan segalanya.

Perkahwinan bukan tentang kamu sahaja! Perkahwinan perlukan pencarian rezeki, dan ianya tidak datang bergolek secara percuma. Kamu perlu bekerja untuk mendapatkannya.

Kamu perlu juga memberi. Seperti mana kamu menjangkakan si suami membuat kerja lelaki seperti tukar tayar kereta bila pancit atau tahu tukar paip bila kebocoran atau tahu pasang perabot sendiri, saya pasti si suami juga mahu si isteri tahu buat kerja kerja perempuan seperti memasak, basuh baju, lipat baju dan gosok baju suami pergi kerja.

Memang ramai di antara kita yang kata, sekarang zaman dah moden, perempuan dah tak perlu tahu memasak dan mengemas, orang gaji boleh buat semua tu. Tapi kamu betul betul mahu orang gaji yang masakkan makanan untuk suami kamu? Gosok baju kerjanya? Memang senang cakap dari buat, tapi siapa kata untuk mengekalkan kebahagiaan dalam berumahtangga tak perlukan usaha? Senang?.

Bersedia untuk memberi, termasuklah bersedia untuk mengalah. Kamu ada beberapa orang kawan lelaki yang sangat rapat dengan kamu, selalu keluar bersama atau kawan lelaki biasa atau kawan lelaki yang lebih tua seakan abang dengan saya? Cuba teka?

Selepas kahwin, saya nasihatkan supaya kamu tinggalkan mereka macam kamu nak buang perangai buruk. Saya tahu dah lama kita membuat kawan sepanjang kita bersama, tetapi apabila kamu sudah berkahwin,  kamu TAK BOLEH bergaul dengan mereka lagi.

Saya tak kata kita tak boleh berkawan lagi, tapi sekarang ada hadnya.

Saya percaya kamu akan gunakan kebijaksanaan kamu dalam meletakkan batasan dalam pergaulan. Walaupun bakal suami kamu lelaki paling sempoi (cool) dalam dunia (ALLAH juga larang) jika dia benarkan kamu bergaul dengan kawan kawan lelaki kamu, dan kamu dilihat bersama dengan mereka, kamu telah memetik api fitnah dan curiga yang akan merebak dengan maranya.

Bayangkan jiran kamu nampak kamu berjalan dengan seorang kawan lelaki di pasar raya, dan dia memberitahu ibu mertua kamu. Sebuah drama bakal bersiaran kan?
Trust. Could take years to build, but only a minute to destroy.
(Kepercayaan. Ambil masa bertahun untuk mendapatkannya, tapi hanya seminit untuk menghilangkannya)

#8 -Kahwininya kerana Dia dan bukan Wangnya.

Si dia memandu kereta BMW dan bergaji RM20k setiap bulan? atau,

Si dia memandu kereta pertama ayahnya dan tidak mempunyai kerja yang tetap?

Maka? So what?

Perempuan selalunya akan mencari calon suami yang hartawan dan kaya-itu sangat normal. Ianya secara biologikal dan psikologi. Kita mencari lelaki yang boleh memberi perlindungan, tempat tinggal dan makanan untuk menjaga kita dan anak anak. Itu survival hidup.

Meskipun begitu. sama ada dia kaya atau miskin. Sama ada dia sebenarnya sedang kaya sekarang, siapa kita untuk mengatakan kekayaannya akan selamanya berkekalan?. Atau dia sedang miskin sekarang,  adakah dia akan hanya mendapat wang yang sedikit sepanjang hidupnya?

Perkara yang perlu kita tekankan adalah agamanya (iman) dan perilakunya. Adakah dia punya cukup ilmu dan iman untuk membimbing kamu dan anak anak. Adakah dia cukup matang dan punyai sikap yang baik dalam menghadapi cabaran hidup dan cabaran alam perkahwinan?

Mereka katakan wang adalah punca utama perceraian zaman ini. Tapi adakah kamu rasa salah wang atau salah cara mereka menyelesaikan sebuah masalah berkaitan dengan wang?

Saya tak minta kamu berkahwin sesuka hati tetapi tolong gunakan akal dan bukan kehendak. Dia mungkin tidak punya apa apa sekarang, tapi jika kamu nampak kesungguhannya untuk bekerja keras untuk mencari rezeki yang lebih baik, dan kamu percaya sepenuhnya kepada Allah Maha Pemberi Rezeki, insha allah, kamu akan baik baik sahaja. :)


Pengalaman saya ketika waktu ta'aruf (perjumpaan pengenalan) dengan suami-saya-sebelum-kami-berkahwin, saya telah bertanya kepada beliau tentang pendidikannya. Bagi saya atau bagi kebanyakan ibu bapa, pendidikan adalah suatu yang penting. Secara peribadi, saya tak kisah kalau suami saya seorang penjual burger di kedai Ramly (dan dia bukan), tetapi jika dia mempunyai kelayakan atau ijazah atau apa sahaja, insyaAllah dia mempunyai sesuatu untuk membantunya. Saya tak bertanya mengenai berapa banyak dia peroleh, sebab ianya tak penting bagi saya. Yakinlah kepada Allah kerana Dia Maha Pemberi Rezeki.


Daripada Umar Al-Khattab berkata Rasulullah s.a.w:


 “Seandainya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, pasti kamu diberi rezeki sebagaimana burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (H.R Umar bin al-Khattab dari Imam Ahmad, At-Tirmizi dll.) 



#9 - Belajar Hak Suami dan Kewajipan Isteri serta sebaliknya


Kebanyakan daripada kita mengimpikan suatu hari nanti kita akan memakai pakaian yang cantik pada waktu persandingan. Tetapi selepas hari perkahwinan suatu alam penuh tanggungjawab menanti kamu dan dia. Kedua duanya suami dan isteri punya senarai tanggungjawab menurut ajaran Islam. Baca, belajar. Dengan kamu menuruti segala tanggungjawab ini, semestinya kamu berdua akan mendapat sebuah perkahwinan yang bahagia dengan izinNya.


Tetapi selalunya ketika waktu tegang dan genting, suami dan isteri selalu menyalahkan antara suatu sama kerana tidak memenuhi hak masing masing. 


Sebagai contoh, si suami akan berkata "Awak patut berhias untuk saya dan bukannya nampak selekeh di rumah!" dan si isteri pula berkata sebegini "Awak patutnya sediakan tempat tinggal untuk kita tapi kita kena duduk dengan kawan serumah awak untuk berbulan dah lamanya!"


Kunci utama untuk ini ialah kamu mestilah menjaga kewajipan sebagai isteri dan menghormati hak hak kepada seorang suami. Juga sebaliknya. Sedar akan kewajipan kamu, apa yang kamu patut buat dan tanggungjawab kamu sebelum kamu memikirkan hak kamu dan kewajipan si suami, apa yang patut dia buat serta segala tanggungjawabnya. 


Jadi sekarang, boleh kamu boleh melaksanakan segala kewajipan kamu? Adakah kamu seorang yang mampu untuk mendengar nasihat daripada suami kamu? Adakah kamu mempunyai  sikap yang betul untuk menjadi seorang isteri yang baik buat suami kamu? Adakah kamu masih fikir yang selepas berkahwin kamu masih bebas untuk melakukan apa sahaja mengikut kemahuan kamu dan membenarkan sesiapa sahaja untuk masuk ke rumah kamu tanpa kebenaran suami? Apa yang kamu akan buat jika seharian kamu memenatkan dan kamu masih perlu memenuhi kehendak suami? Adakah kamu mempunyai motivasi sebenar untuk berhias dan bercantik cantikn di rumah untuk menyenangkan mata suami dengan kecantikanmu? 


Secara asasnya, adakah kita sudah punya sebuah mindset untuk berusaha menjadi seorang isteri yang baik? Atau kita masih lagi memikirkan segalanya tentang saya, saya dan saya?


Mari renungkan hadis ini bersama:

Dari Abu Hurairah, sabda Nabi Muhammad, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya: 


“Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang sujud kepada seseorang manusia, nescaya aku akan suruh perempuan sujud kepada suaminya.” (riwayat Imam Tirmizi, hasan sahih, Ibnu Hibban, sahih)


Dalam riwayat Abu Daud, dari Qais bin Saad:


“Sekiranya dibenarkan aku menyuruh seseorang sujud kepada orang lain aku akan menyuruh para wanita sujud kepada suaminya kerana hak yang Allah berikan kepada suami mereka.”


Dalam riwayat lain: “tidak boleh seorang manusia sujud kepada seorang manusia, kalaulah dibenarkan aku akan suruh perempuan sujud kepada suaminya kerana besar haknya ke atas isterinya.” (Mirqatul Mafatih, 6/378)


Dalam sebuah hadis, Aisyah bertanya Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda: apakah hak yang paling besar ke atas seorang perempuan? Jawab baginda: Hak suaminya. (Al Bazzar, dengan sanad hasan)

Berat, saya tahu :(
Tetapi sebuah perkahwinan itu perkara yang terlalu suci dan indah. Jika kita mampu memenuhi setiap kewajipan kerana Allah, kita akan selalu mendapat ganjaran dalam setiap usaha kita Insya Allah.
Dalam riwayat Ibnu Hibban: apabila seorang perempuan mengerjakan solat lima waktu, menjaga kemaluannya (dari zina) dan ia taat kepada suaminya, ia akan masuk syurga melalui mana-mana pintu yang ia kehendaki.”

Insya Allah...Yeay!! :D

#10 - Utamakan Perkahwinan bukan Kenduri Kahwin

Saya rasa kita dah dengar terlalu banyak kali pasangan bertunang tidak jadi berkahwin kerana mereka tidak cukup wang untuk membuat kenduri. Kalau kamu bayangkan sebuah perkahwinan itu perlukan pancutan coklat strawberi, beserta nasi minyak udang kara sebagai menu, khemah yang dihias dengan bunga tulip dari Amsterdam, baju kahwin yang telah direka oleh Vera Wang dan berbulan madu di Perancis (ok, saya melebih lebih di sini, tapi kamu faham kan) - maka tidak hairanlah kamu perlu tangguhkan perkahwinan kamu.


Tapi sayangku sekalian, ia bukan segalanya tentang hari persandingan. Beberapa orang kawan bertanyakan kepada saya hari perkahwinan itu hari paling bahagia dalam hidup saya; saya ada masalah sedikit untuk menjawab soalan tersebut.  Bagi saya meneraju bahtera perkahwinan selepas itu lebih penting. Sepanjang hidup kamu akan luangkan bersama seorang lelaki yang kamu patut layan dia sebagai separuh jiwa kamu  dan membina sebuah keluarga dengan anak anak penyejuk mata. Insya allah, hanya dengan memikirkannya sahaja boleh buat seseorang sangat bahagia.


Semuanya bukan mengenai kenduri atau hari persandingan. Saya ingat semua orang yang hadir ke majlis perkahwinan saya dan masa masa yang indah.Bagaimana saya tak dapat menahan sebak di dada apabila ayah saya memeluk saya dengan erat sebelum akad nikah dan ibu saya membisikkan kepada saya "Kamu akan sentiasa jadi anak ibu" ketika akad nikah sedang berlangsung. Dan perkara paling bahagia yang saya takkan lupa sewaktu hari perkahwinan adalah memegang tangannya buat kali pertama. Akhirnya ia betul-betul menjadi kenyataan dan saya sangat sukakannya. Lihat? Saya tak berapa ingat tentang hari perkahwinan, tetapi semuanya cantik cantik. Busana, pelamin, bunga telur, Alhamdulillah. Saya selalu ada berpegang pada "semakin lama masa yang diambil untuk sebuah majlis perkahwinan, semakin sukar untuk melepaskan majlis tersebut"..

Selepas setahun berhempas pulas, ianya akan tamat dalam masa 2 hari sahaja dan kamu bertanya "Ini sahaja? Ini sahaja majlis perkahwinan?" Maka, tolonglah cepat cepat kahwin jika kamu sudah berjumpa dengan jodoh kamu.


Beberapa buah buku yang bagus untuk persediaan sebelum kahwin. Saya cadangkan:
1. The Muslim Family Series by Muhammad Mustafa al-Jibaly
2. The Ideal Muslimah by Dr. Muhammad Ali Al Hashimi
Boleh dapatkannya di Dakwah Corner Bookstore -  http://www.dakwahbookstore.com.my

Saya suka dengar ceramah daripada mereka (YouTube them):
1. Mufti Menk
2. Nouman Ali Khan
3. Abu Mussab Wadji Akkari

Nah, inilah dia. Sepucuk surat cinta daripada orang yang baru sahaja berkahwin buat semua teman yang masih bujang. Saya selalu berdoa supaya Allah memudahkan jodoh untuk semua teman yang masih belum berpunya supaya ditemukan dengan lelaki yang soleh dan hebat yang akan menjadi penyejuk mata kalian.



Banyakkan berdoa untuk diri kamu juga. Jangan berputus asa dari rahmat Allah. Ingat tak? "Bercintalah dengan Allah dan Allah beri kamu cinta" :)

Seorang isteri ibarat sebuah anugerah buat seorang lelaki. Dan hadis yang bermaksud:
Dari Abdullah bin ‘Amr radhiallahu ‘anhuma bahwa Rasulullah Shalallahu ‘alaihiwassalam bersabda:

“Dunia ini adalah perhiasan/kesenangan dan sebaik-baik perhiasan/kesenangan dunia adalah wanita yang solehah.” (HR. Muslim,Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

Jadi persiapkanlah diri untuk menjadi sebuah sebuah anugerah (bukan sebuah ujian) kepada bakal suami, supaya suatu hari nanti dia akan memandang tepat ke mata kamu dan berkata "Alhamdulillah".

Kongsikan artikel ini jika anda rasa ia bermanfaat untuk yang lain, insya allah. Tolong doakan semoga Allah melimpahkan kepada kami sekeluarga tetap istiqamah dalam jalan yang benar. Ameen..

Nota cinta yang sebenar di sini : Sis Zarina Zul Mukhsar, A Note of Love to All My Single Sisters

02 March 2014

Sepetang bersama Fatimah






Bismillahi as solatu was salamu a'la Rasoulillah.

UIA sarat dengan pelajar-pelajar asing dari pelbagai negara. Jika punya kesempatan taaruf, saya suka bertanyakan soalan "Apa pendapat awak tentang Malaysia". Soalan yang sering kali di tanya ahli Maghribi kepada saya. 


Suatu petang di masjid, saya berkenalan dengan Fatimah dari Algeria. Algeria, Tunisia dan Maghribi berjiran. Mereka berkongsi dialek yang sama. Terasa bercakap dengan kawan-kawan sendiri pula bila bercakap dengannya.

Fatimah sudah 4 tahun di Malaysia. Kami bertukar cerita daripada tajuk makanan, cuaca, adat termasuklah bab perkahwinan. Tapi satu soalan daripadanya yang saya tak akan lupa.

"Bagaimana kamu menjaga kebersihan negara kamu? Negara kamu sangat bersih. Sampah dibuang dengan elok di dalam tong sampah.

Adakah ini hasil tarbiyatul awlad (pendidikan dari kecil) atau tanzim lhukumah (undang2 kerajaan)?"

Terkebil-kebil sebentar mata sambil mulut sedikit ternganga. Seakan tidak percaya ada juga yang memuji kebersihan negara kita. Dalam keadaan tidak percaya saya cuba menjawab.

"Mungkin sebab ada pekerja-pekerja yang bersihkan sampah agaknya"

Dia menjawab "Antara Maghribi dengan Malaysia yang mana awak rasa lagi bersih"

Sekali lagi saya terdiam. Dia menyambung " Kami pun ada pekerja juga. Tapi tong-tong sampah yang ada selalu hilang".

***

Tetiba terbayang sampah kering berterbangan di depan mata kalau ada angin kuat bertiup sepulangnya saya dari kuliah di Maghribi dulu.

Realiti sedih negara yang namanya Islam.
Rakyatnya masih belum benar-benar muslim.
Mari ringankan tangan, mari tukar kaca mata pandangan.
Mari melihat sampah sebagai pahala. Kita mampu merubahnya.