06 November 2015

Dakwah melalui Media Sosial

Bismillahi as solatu was salaamu a'la Rasoulillah.

Hari ini saya cuba menulis sebuah teks khutbah Jumaat. Dah lama sangat saya tak serius duduk menulis seperti hari ini. Tiga jam tanpa henti saya siapkan dan terus hantar ke pejabat. Oh ya, saya hantar teks ini untuk memasuki pertandingan dan hari ini adalah tarikh akhir penyertaan.


Sepanjang hidup 24 tahun, inilah kali pertama saya menyertai pertandingan menulis. Ah, saya tak tahu apa keputusannya lagi, tapi saya puas hati. Sekurang-kurangnya idea saya dapat dikongsikan melalui penulisan. Nah, berikut saya kongsikan teks khutbah yang saya karang siang tadi. Tajuk khutbah yang saya pilih, "Dakwah melalui Sosial Media".

Semoga ada manfaatnya buat semua.


السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Wahai hamba Allah! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketakwaan  kita  kepada  Allah  dengan  mentaati suruhanNya  dan  menjauhi  laranganNYa. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Firman Allah dalam Surah Yusuf ayat 108
قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."
Dakwah bukanlah suatu perkara baru dalam peradaban Islam, malah dakwah adalah sebuah sunnah utama yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Dakwah merupakan ajakan atau usaha yang dilakukan untuk mengajak manusia beriman dan mentaati Allah dengan mengajak mereka ke arah kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Tuntutan dakwah adalah kewajiban bagi setiap umat Islam dan bukan sahaja milik agamawan. Malah, Allah memuji mereka yang berusaha untuk menyebarkan risalah dakwah di dalam Surah Fussilat ayat 33.

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, dan dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah sesungguhnya kepada Allah)!".

Bagi melaksanakan tuntutan ini, kita seharusnya menggunakan setiap metode yang ada seiring dengan gelombang modenisasi pada masa kini. Manusia dan media sosial pada zaman ini sudah tidak dapat dipisahkan. Tambahan pula dengan kecanggihan teknologi telefon pintar yang dilengkapi kemudahan Internet membuatkan setiap lapisan masyarakat bukan sahaja remaja, malah orang dewasa serta warga senior turut memanfaatkan laman sosial. Kewujudan laman sosial yang berlambakan merupakan salah satu platform yang sangat baik untuk menyebarkan dakwah. Dibantu pula dengan kemudahan aplikasi telefon pintar seperti  Facebook, Whatsapp, Twitter, Youtube dan lain lain, ianya mudah untuk dilayari dan lingkungan capaiannya juga sangat luas. Bersesuaianlah dengan firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 16,
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya : Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita kepentingan untuk mengajak manusia mengenali Allah dengan cara yang berhikmah iaitu dengan cara yang bijaksana. Hikmah juga dapat diterjemahkan sebagai keperlbagaian dalam penggunaan wasilah untuk menyampaikan dakwah. Sesuai dengan peredaran zaman yang semakin maju, tidak dapat tidak, berdakwah melalui media sosial menjadi suatu keperluan utama juga mengikut kehendak masyarakat.

Hadirin,
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Allah mengajak kita untuk saling membantu dalam menyampaikan dakwah dengan mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran seperti yang dinyatakan di dalam Surah At Taubah ayat 71,
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.   
Aspirasi dakwah yang berjaya tidak akan tercapai melalui individu yang bergerak secara solo tanpa bantuan jemaah yang lain. Berbekalkan teknologi Internet dan video rakaman siaran secara langsung, kini, dakwah tidak lagi terhad hanya kepada ceramah di masjid-masjid. Namun, usaha ini bukan sahaja tertumpu pada penceramah sahaja, malah memerlukan kerjasama pasukan yang baik daripada setiap individu dalam kumpulan dakwah tersebut seperti cameraman, pencahayaan, dan audioman. Contoh yang dapat kita kaitkan adalah usaha ZonKuliah yang gigih merakamkan ceramah para ustaz di masjid-masjid dan dipancarkan secara langsung melalui laman web mereka. Bukan itu sahaja, kita juga dapat turut memberi sumbangan dana buat pembelian perkakasan rakaman dan projek kembara mereka. Secara tidak langsung pahala dakwah yang mereka laksanakan turut mengalir buat kita.

Namun, haruslah diingatkan di sini bahawasanya dakwah dan perkongsian ilmu melalui media sosial tidak akan sama sekali mengambil alih tugas masjid menjadi taman ilmu. Rasulullah s.a.w berpesan,
" مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ تَعَالَى يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ ، وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ ، وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ "
Maksudnya : “Tidaklah suatu kaum berkumpul diantara rumah-rumah Allah sambil membaca Kitabullah, dan saling mempelajari diantara mereka. Kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, dan diberikan rahmat serta malaikat akan menaunginya. Dan mereka akan diingat disisi Allah.”

Dakwah dan perkongsian ilmu melalui media hanyalah menjadi pencetus kecintaan buat mereka yang sedang mencari ilmu. Bukannya menggantikan fungsi ulama, masjid, dan majlis-majlis ilmu untuk mempelajari Al Quran. Seharusnya kecintaan untuk mencari ilmu itu membuatkan kita lebih berusaha untuk keluar dari zon selesa pergi menuntut ilmu. Usahlah terlalu taksub berkongsi lambakan ilmu yang mudah diakses di laman-laman web tanpa terlebih dahulu mempelajarinya bersama seorang guru. Ingatlah bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda,


 مَنْ سَلَكَ طَرِيقُ عِلْمٍ سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
Barang siapa berjalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. (HR. Muslim).  Maka, ketahuilah bersusah payah dalam mencari ilmu itu memudahkan jalan kita ke syurga.

Hadirin,
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Sesungguhnya dalam setiap ciptaan manusia itu pasti ada kebaikan dan keburukannya. Pepatah Arab ada menyebut,
 السِّكِينُ سِلاَح ذُو حَدَّين
Pisau itu senjata yang mempunyai dua mata. Pisau memberi manfaat buat kita untuk memasak dan membuat kerja-kerja harian. Pisau juga mampu digunakan sebagai alat untuk membunuh. Samalah juga kiranya bagi penggunaan media sosial sebagai dakwah. Kemudahan untuk berkongsi maklumat dan menyebarkan risalah sangat senang dilaksanakan. Sehinggakan penyebaran hadis-hadis palsu dilihat sangat kritikal berlaku kebelakangan ini. Kebanyakan daripada kita sangat teruja untuk berkongsi pahala dalam menyebarkan maklumat, namun, tanpa disedari telah menyebarkan sebuah dusta pada nabi kita. Marilah kita sama-sama mengaplikasikan konsep S.R.S dalam menyampaikan dakwah di media sosial. S yang pertama adalah semak. Apabila menerima sebuah maklumat atau hadis, perlulah kita untuk menyemak terlebih dahulu kesahihah hadis tersebut. R yang kedua adalah rujuk. Kita perlulah merujuk setiap perkongsian yang kita terima pada ahlinya iaitu para agamawan. Setelah kita memastikan kebenaran dan kebaikan dalam perkongsian tersebut, barulah kita lakukan S yang seterusnya iaitu sebar. Sebarkan dan kongsikan maklumat yang sudah kita yakini kesahihan dan ketulenan isinya dengan orang lain.

Ingatlah juga firman Allah s.w.t yang mengajar kita untuk sentiasa mencari kebenaran melalui bukti dan fakta sebelum menyampaikan sesuatu berita. Surah Al Hujurat ayat 6 merekodkan, Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Hadirin yang dirahmati Allah,
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ
Ketahuilah bahawa Allah mengangkat kita sebagai umat yang terbaik hanya sekiranya kita menjalankan dakwah.

وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ
Ketahuilah juga bahawa pertolongan Allah itu hanya akan datang sekiranya kita menolong agamanya. Ingatlah, laknat yang Allah timpakan kepada Bani Israil hanya kerana mereka berdiam diri, memeluk tubuh daripada menyampaikan dakwah. Dengan kecanggihan teknologi dan media, tiada lagi alasan buat kita untuk tidak berkongsi tentang keindahan Islam. Semoga dengan dakwah yang kita lakukan menjadi hujjah dan saksi buat kita apabila menghadap Allah s.w.t kelak. “Sesungguhnya aku telah menyampaikan”.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Update: Saya telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut. Alhamdulillah!

30 September 2015

Jerebu Jahiliyah

Bismillahi as solatu a'la Rasoulillah

Jauh dekat, jatuh bangkit, turun naik prestasi iman seorang manusia bergantung kepada tahap ketaatan dan kecintaannya pada Pencipta dalam sesebuah ketika.

Buat entah berapa kalinya, saya jauh lagi. Ya, jauh dengan Pencipta. Terlalu melekat dengan dunia. Ya, pada mulanya kita akan berasa selesa, seronok seolah-olah kecintaan buat dunia kita itu adalah segalanya.

Namun, fitrah kita terlalu suci untuk sesuatu nikmat yang sifatnya sementara ini. Fitrah ini merasa sesak dengan jerebu kelalaian. Keseronokan dan kepuasan dunia itu ibarat jerebu yang kelihatan nyaman dan sejuk. Walhal sifatnya, membahayakan dan menyesakkan. Sedang kita khayal di dalam jerebu dunia, fitrah kita sedang meronta untuk kita kembali kepada Pencipta.

Sejak buku saya diterbitkan, ujian buat saya semakin bertambah. Semakin berat saya diuji dengan kata kata yang dilakarkan di dalam buku tersebut. Saya diuji kembali dengan kata kata saya.

Hati ini penuh dengan jerebu dunia. Apa sebenarnya yang saya cari dengan jahiliyah?

5.05 pm, Genting Sempah
Jerebu membuat kita mahu percaya, cuacanya sejuk bak kabus pagi.
Hakikat sebenarnya kering, panas dan berdebu.
Dunia membuat kita mahu percaya,
hidup kita segalanya di sini.
Sedangkan hakikatnya persinggahan sementara, pinjaman semata mata.


09 June 2015

Kesekian kalinya



Buat kesekian kalinya, kaki saya bengkak lagi. Bengkak disebabkan Khamis minggu lepas, saya terseliuh ketika berjalan menuruni bukit di kolej kediaman saya.

Pada waktu itu, ada sebuah kereta sedang berhenti di hadapan pintu pagar. Dari kejauhan sudah saya nampak si pemandu sedang memerhatikan saya yang berjalan ke pintu pagar. Sedang saya berjalan laju di tarik graviti menurun bukit, kaki saya terseliuh. Saya yang malu ketika itu hanya teruskan berjalan menuruni bukit sehinggalah berjalan melalui pemandu tadi. Ah, malu sebenarnya menebal di pipi tapi saya hanya menarik muka "tak ada apa apa berlaku" sambil masuk ke kereta. Di dalam kereta, saya mengurut sedikit kaki, terasa sakit tapi saya tidak menghiraukannya. Bukan sekali dua saya tergelecet. Fikir saya lagi.

 Mungkin kerana selipar yang saya gunakan diperbuat daripada getah dan saya mengenakan stokin yang agak licin ketika itu menyebabkan kaki tergeliat. Mungkin juga kerana saya berjalan terlalu laju menuruni bukit. Mungkin juga kerana kifarah dosa.

Saya suka untuk berfikir ini kifarah dosa. Hanya selepas seminggu, semalam ketika sedang saya menerima tetamu di bilik, kami berdua sedang duduk berbincang di atas katil tiba tiba kaki saya terasa sakit. Saya mengurut-urut urat buku lali hingga ke jari. Tidak semena-mena terus saya tidak dapat berjalan. Terlalu sakit untuk memijak. Kaki mula membengkak.

Terhinjut-hinjutlah saya pergi ke sana ke mari dari hari semalam ke hari ini. Bengkak kelihatan di sekeliling buku lali. Sudah saya bertanya di grup IIUM Online, grup yang mengumpulkan pelajar pelajar UIA tentang khidmat mengurut. Ada yang mencegah dan menasihati untuk saya terus ke klinik dapatkan ujian x-ray. Ada juga yang mencadangkan untuk diletakkan ais buat sementara waktu ini. Apa pun usahanya, sungguh saya berdoa moga-moga bengkak kaki akan terus berkurang dan tiada apa apa keretakan yang berlaku.

Oh Tuhan.

Buat kesekian kalinya, saya bakal menyusahkan orang orang di sekeliling saya lagi. Saya amat tidak suka untuk meminta bantuan apatah lagi jika sesuatu perkara itu melibatkan kesihatan diri saya. Saya amat tidak selesa apabila orang bersusah susah kerana saya. Apatah lagi apabila ada yang sanggup meraikan hari jadi mahupun membuat kejutan buat saya. Saya tidak mahu orang bersusah untuk saya.

Entah kenapa.

Saya cuma tak mahu..

Semoga saya mengambil iktibar lagi daripada peristiwa ini.

Seronok, mendapatkan perhatian dan kasih sayang manusia. Seronok lagi apabila diberi perhatian Mahaa Pencipta. Itu tanda kasih dan sayang Allah pada manusia diberi ujian kesakitan, diberi nikmat kerehatan.

Semua pengorbanan keluarga dan orang sekeliling bukan semata-mata untuk kita, Semuanya kerana Allah jua. Hargailah dan ucapkan terima kasih buat mereka atas kesabaran melayani karenah kita.

Terima kasih semua.

22 May 2015

22 Perkara Perlu Tahu sebelum Sambung Master



Disklaimer: Ini adalah pengalaman saya mengambil Master di UIA, boleh jadi sama boleh jadi berlainan dengan Universiti lain. Kawan-kawan seperjuangan, kalau ada nasihat tambahan, komenlah ya!

Saya menulis post ini atas kesedaran dan keinsafan yang melanda diri berkali-kali apabila sudah berada setahun setengah dalam dunia Sarjana.

Ya, dengan ini, saya menarik semula kata-kata hati saya yang berbunyi, "Ah, bukankah senang je sambung Master?.. Macam belajar waktu Degree lah kan?.."

Saya yang naif melangkah masuk ke dalam dunia Postgraduate dengan harapan semuanya akan baik. Teruja nak masuk alam baru. All is well katanya. Tanpa saya ketahui, banyak ranjau dan dugaan perlu saya lalui. Air mata dan air peluh mencurah-curah demi mendapat ilmu kehidupan. (Hiperbola).

Jom, saya senaraikan beberapa perkara yang "Kenapa aku tak tahu sebelum ini?'' atau "Kenapa tak ada orang ingatkan aku?".

Oh ya, saya menulis berdasarkan tahap pengetahuan dan pengalaman, boleh jadi salah dan banyak kurangnya. Tapi, setakat ini senarai ini belum pernah lagi diceritakan kepada sesiapa sebelum ini.

1. Kita boleh sambung belajar dalam bidang yang lain selain bidang waktu Degree.

2. Anda perlu hadiri penerangan oleh pihak Universiti. Mohon khatamkan buku penerangan. Sungguh!. Ini contoh bukunya.

Setiap proses dalam pembikinan  kajian memerlukan masa yang lama. Mohon semak buku ini dan rancang sebaiknya.

3. Anda bersendirian. Semua orang akan buat assignment sendiri. Bentang di hadapan kelas sendiri. Belajar sendiri. Sebab anda dah mula masuk ke alam kajian bersendirian. Tak dinafikan, masih boleh study group lagi bila dah dekat waktu peperiksaan.

4. Ada terlebih banyak sangat waktu yang panjang. Bayangkan dalam satu semester hanya ada 4 subjek. Satu subjek 3 jam seminggu. Setiap minggu ada satu kelas sahaja. Kalau ambil full time memang banyak masa.

5. Banyak buang masa. Kalau dahulunya kita seorang yang kurang berdisiplin, ketahuilah peluang untuk anda berlengah juga tinggi. Nak nak lagi, yang full time study dan tidak bekerja. Oh Allah.

6. Assignment dan presentation setiap minggu. Oh saya cakap banyak masa kan tadi? Sebenarnya tak banyak. Kena tampar diri, dan sepak diri selalu moga moga selalu sedar diri bahawa banyak lagi kerja yang ada.

7. Ada 3 pilihan mode pembelajaran yang boleh dipilih mengikut kesesuaian masa dan kebolehan masing-masing.

Mode Full Research : Kajian Sepenuhnya. Boleh sambung Ph.D terus sebab ada kajian.

Mode Coursework : Belajar semua subjek yang diwajibkan bagi sesuatu kos dan menulis artikel/mini research untuk mendapatkan sijil Sarjana. Perlu buat kajian terlebih dahulu, baru boleh sambung Ph. D

Mix mode : Belajar beberapa sahaja subjek ditambah dengan penulisan thesis untuk mendapat sijil Sarjana. Boleh sambung Ph.D terus. (saya ambil mode ini)

Full time study : 2 - 3 tahun
Part time study : 2 - 4 tahun

8. Kita boleh tukar mode pembelajaran di sepanjang perjalanan menggapai segulung ijazah Sarjana. Tak semestinya kita tetap dengan pilihan pertama kita.

9. Bagi yang ambil coursework sahaja, saya tak risaukan sangat pasal kemampuan anda. Akan tetapi, bagi yang ambil Research. MOHON MULA TULIS PROPOSAL AWAL. Pastikan anda mulakan pada semester satu lagi.

10. Cari tajuk kajian pada semester satu dan cari Supervisor. Rajinkan diri berkenalan dan minta pendapat para pensyarah. Dulu, saya rendah diri, saya rasa takut nak berjumpa dengan pensyarah. Tapi hakikatnya, mereka tersangat supportive. Percayalah.

11. Awak akan mahu habis seawal yang mungkin. Finish what you've started. Awak akan fikir nak cari kerja selalu tapi belajar tak habis lagi, jadi kena siapkan juga!.Saya akui saya dah terlambat sebab akhir semester 2 baru cari supervisor dan mula menulis pada semester 3, tapi saya kena pecutkan diri saya sehabis mungkin.

12. Pergi kursus menulis dan format thesis.

13. Ambil short sem untuk terus menulis research proposal atau sambung menulis.

14. Walaupun kamu ambil Full Time, cuba lah cari kerja untuk membuatkan kita lebih sibuk untuk susun masa sebaiknya. Mungkin ada yang tak setuju, tapi bukti yang saya lihat pada kawan sekelas yang jadi guru ganti sangat perform dalam penulisan mereka. Sebab apa? Sebab mereka lebih termotivasi. Wallahi!

15. Rajinkan diri ke perpustakaan. Mohonlah seret badan anda banyakkan bahan bacaan. Cuba pergi perpustakaan universiti lain. Seronok!.

16. Selain daripada bekerja untuk membayar duit yuran, anda boleh memohon pinjaman MARA atau PTPTN. Biasiswa kerajaan MyBrain pun ada. Penerangan untuk cara memohon banyak boleh di google.

17. Kalau ada duit lebih, bolehlah beli printer sendiri. Kalau dah tak nak guna lagi, boleh jual semula. Printer penting juga sebenarnya untuk siapkan thesis.

18.  Keluarlah dari bilik dan join program universiti. Walaupun kitalah yang paling tua, banyak lagi ilmu yang boleh kita dapat selain daripada pengalaman. Bersenam, berenang dan lain lain akiviti selain daripada belajar dan membaca. Luangkan masa bersama manusia lain dan alam.

19. Disiplin. Fokus.

20. Jangan malu bertanya dan minta bantuan. Usahakan. Berkawanlah dengan kawan yang lebih baik dan pandai.

21. Selalu baiki niat dan kembalikan semangat "Kenapa aku mahu sambung belajar?". Ada yang mahu capai cita cita, ada yang mahukan untuk kepuasan diri, ada yang atas permintaan ibu bapa. Apa pun, kalau hilang diri, cepat-cepat cari.

22. Anda mungkin menangis kerana terasa susah sangat fasa hidup yang baru ini. Anda mungkin rasa hilang (lost) beberapa kali. Anda rasa mahu putus asa. Tetapi pengalaman ini akan menjadi suatu titik tolak baharu dalam kehidupan anda. Anda akan lihat kebaikan yang banyak hadir selagi mana anda senyum dan bersangka baik dengan ujian dari Tuhan. Eh, kalau tak rasa susah belajar, awak belum belajar taw.

Mohon bertabah my dear postgraduate friends~

Masha Allah, tuan punya post sebenarnya sedang bercakap dengan diri sendirinya terlebih dahulu  . Nanti, saya sambung lagi kalau ada idea datang. Buat masa sekarang, inilah yang dapat saya senaraikan. Saya doakan urusan kalian semua dipermudahkan Allah.

Salam sayang,
#hakakmaster 

18 May 2015

Persiapkan 10 Perkara ini Sebelum Berkahwin (Bhgn 1)




Post ini bukan kayu ukur sebenar sebuah persiapan untuk berumah tangga tapi saya menulis berdasarkan pengalaman melalui zaman ketidakstabilan hormon yang meresahkan jiwa dan raga. Juga berdasarkan roller coaster emosi dan drama air mata yang banyak sudah saya naiki. Bahkan, pembaca sepi (silent reader) blog ini juga barangkali sudah faham akan corak penulisan saya yang selalu berbicara tentang hati. Maka kali ini, izinkan saya berkongsi pula tentang 10 perkara yang saya rasakan wajib untuk saya lakukan sebelum saya bercita-cita mendirikan rumah tangga.


Disklaimer : Matlamat hidup bukan untuk berkahwin. Hidup kita hanyalah untuk mendapat redha Allah. Berkahwin itu sunnah Rasulullah dalam mendapat redha Allah. Bersiap untuk sebuah perkahwinan itu ibarat bersiap mencari redha Allah juga harapnya.


 Pertama : Perelokkan kualiti solat dan bacaan Al Quran.

Ramai yang beranggapan bahawa mereka akan terus menjadi terlebih baik selepas berkahwin. "Nanti aku kahwin dengan dia, pandailah aku jadi imam" kata si lelaki. "Tak apa, suami aku nanti ajarkan aku mengaji lepas solat berjemaah bersama" kata pula si perempuan. "Jangan risau, kita boleh pergi masjid dengan ceramah kalau tak faham bab agama lepas itu kita cari kelas mengaji" kata mereka berdua memujuk rasa. Walhal, perkara sebaliknya yang berlaku. Masa selepas berkahwin semakin terbatas. Antara masa untuk suami, anak dan kerjaya masing-masing perlu berebut dengan masa mempelajari Al Quran. 

Bonda Umi juga beberapa kali berpesan sejak dari sekolah menengah lagi, "Waktu belajar sebelum kahwin lah masa untuk perbanyakkan ibadah". Mungkin jauh di sudut hati Umi, dia rindukan saat berdua-duaan dengan Allah. Ya, waktu muda kita punya masa dan tenaga. Salurkanlah buat Pencipta. Bila lagi kita mahu berjaga keranaNya?. Selepas ini, kita akan berjaga untuk anak pula. Insha allah.

Carilah ketenangan di dalam solat, kemudian bawa ketenangan itu ke dalam rumahtangga kita.
Carilah Allah di dalam solat. Allah akan menjaga kamu sentiasa di luar solat.


Nah, bila dah dapat anak pula nanti siapa yang akan mengajarnya membaca Al Fatihah? Guru tutor mengaji? Tahu tak, pahala bacaan Al Fatihah yang akan dibaca anak itu akan diulang-ulangnya setiap kali solat? Dan setiap kali anak itu mendirikan solat, setiap kali itu jua pahala yang banyak mengalir buat mereka yang mengajar anak itu. Wahai para ibu dan bakal ibu, jadilah murabbi pertama buat anak kita. Wahai ayah, jadilah yang pertama mengajar anak sujud pada Yang Esa.

Kedua: Berhenti memerhati dan mencari. Mulakan mensyukuri dan menyayangi.

Banjiran gambar di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan lain lain kadang-kadang tanpa disedari membuah rasa iri hati dan cemburu dalam diri. Maka mulalah kita membandingkan setiap nikmat yang ada pada kenalan kita dengan diri. Setiap kecantikan yang dipamer, kekayaan yang ditayang, kebahagiaan yang disua pada muka kita membuatkan hati juga ingin yang sama. Kita juga bisa ada seperti mereka. Habis semua produk kecantikan dicuba, semua butik online perlu di geledah cari pakaian yang luar biasa, pelbagai skim cepat kaya mahu diteroka, pada akhirnya kita juga yang merana.

Mulakan dengan bersyukur, kemudian perhatikan bahawa setiap nikmat yang kita syukuri itu akan Allah tambahkan di kemudian hari. Sungguh!

Hentikan membuat perbandingan. "Ah, keluarganya nampak sangat bahagia dapat melancong ke luar negara". "Untunglah, suaminya kaya. Keluarganya keturunan diraja, bolehlah sentiasa bergaya". Kata kata seperti ini, hanya membuatkan kita tanpa disedari mencari kelemahan keluarga. Sudahkah anda bersyukur mempunyai kedua ibu bapa yang sentiasa mendoakan anda?. Sudahkah anda bersyukur dengan nikmat adik beradik yang mewarnakan lagi hidup anda?. Meskipun mereka mungkin tidak sesempurna keluarga yang lain, mereka tetap keluarga kita. Tiada yang kedua. Mohon banyakkan bersyukur dan mulakanlah dengan menyayangi.

Sayangi dulu diri anda. Tak perlu dicari perhatian manusia. Bagaimana mungkin seorang yang ingin dicintai tidak pandai mencintai dirinya terlebih dahulu. Kebahagiaan bukan ditagih, tetapi diraih dengan memberi bahagia. Jadilah anda virus cinta. Biar yang melihat anda itu turut merasai getaran cinta dan bahagia lantas mereka turut sama terasa bahagia.

Kamu tak perlu rasa bahagia dahulu baru bersyukur, namun bersyukurlah supaya kamu berbahagia.

Ketiga: Terokai minat dan impian kamu.

Ya, cuba senaraikan perkara yang kamu ingin cuba dan lakukannya. Terus lakukan!. Tak perlu tunggu hadirnya seorang jejaka bersama kuda hitam mengambil kamu ke destinasi seterusnya. Bukankah kamu punya dua kaki sempurna yang dapat bergerak untuk meneroka. Keluarlah dari kepompong selesa. Terokai dunia. Mahukan sebuah kereta tanpa perlu berhutang?. Cubalah berniaga. Mahu mendekati muallaf, anak yatim mahupun orang asal? Cubalah sertai kelab sukarelawan. Mahu melancong atau cuba aktiviti lasak? Layari Air Asia dan laman laman web yang menawarkan trip pelancongan yang murah dan berpatutan buat kita. Mahu menghafal Al Quran dan mengajarkannya? Pergi cari guru Tajwid dan cuba untuk berkongsi ilmu dengan yang lain-lain. Mahu terbitkan buku? Teruslah menulis.

Terlalu banyak lagi perkara yang dapat kamu terokai sebelum kamu bergelar suami atau isteri, Dan tidaklah keterlaluan juga untuk saya katakan, apabila kamu banyak keluar dan aktif dalam memanfaatkan masa dengan sebaiknya, sudah pasti banyak juga cerita yang dapat kamu kongsikan bersama-sama anak kamu nanti. Indah bukan?. Sudah pasti kelak, kita juga termotivasi sama untuk bawa keluarga kita melakukan perkara yang kita suka. Apatah lagi aktiviti tersebut berpahala dan dapat melahirkan lagi rasa kasih sayang. Kombo berganda di situ. Cipta memori biar terpahat dalam hati.

Keempat : Siapkan apa yang sudah kamu mulakan!

Bagaimana saya harus ulas bagi isi keempat ini ya?. Beginilah, apabila kita mahukan sesuatu, pada mulanya kita akan terasa sangat teruja untuk mencuba. Perasaan berkobar-kobar di dalam dada mendesak kita untuk terus lakukan sahaja. Namun, setelah dilalui pekerjaan tersebut, akan ada angin sepoi sepoi membisikkan kata kata menjadikan semangat serangup enak keropok ikan menjadi semakin lemau dimasuki angin. Lantas, kita terus tinggalkan sahaja. Hanya kerana pekerjaan tersebut seakan sudah tiada nikmat lagi terasa. Tiada faedah lagi untuk aku teruskannya. Amboi, cepat sungguh berputus asa.

Semangat inikah yang ingin kita bawa dalam sebuah perkahwinan. Mulanya sangat berbahagia kerana pada akhirnya si dia milik kita. Kemudian, apabila sudah nampak kontranya impian berbanding realiti, kita mula marah-marah dan hanya ingin tinggalkan sahaja ikatan suci ini. Pelbagai alasan di cipta, walhal belum cuba untuk mencari hikmah dan solusi bagi setiap permasalahan tersebut. Kadang-kadang hanya semudah berkomunikasi sahaja. Pertahankan masjid yang sudah dibina meski tsunami melanda!.

Mohon kentalkan semangat wahai pemuda. Apabila kamu sedang belajar, teruskan belajar, bahagiakan ibu bapa. Apabila kamu sedang bekerja, teruskan berusaha, jangan pernah putus asa. Mari sini saya kongsi cerita satu makhluk yang tak pernah putus asa, dan dia contoh makhluk yang akan sudahkan apa yang dia mulakan. Syaitan namanya. Ha, perlu saya bercerita lagi apa kerjanya?. Menarik kita ke dalam neraka bersamanya. Itu kerja makhluk tersebut sehingga Hari Kiamat. Mahukah kamu kalah dengan makhluk tersebut?. Semestinya tidak!.

Kelima : Cari ilmu, saham dunia akhirat.

Sesebuah buku ditulis adalah melalui pengalaman dan kajian sang penulis. Samalah juga tips dan nasihat sudah terlalu banyak diterbitkan dalam bentuk buku mahupun digital. Tinggal kita sahaja yang mahu menggali cari ilmu. Budayakan amalan membaca. Baca buku resepi pun boleh!.

Ilmu juga dapat kita peroleh dengan menghadiri majlis majlis ilmu. Terlalu banyak sangat konvensyen ilmu berderet menanti untuk kita hadiri. Belum masuk kuliah subuh setiap pagi. Bukankah ada 365 hari dalam setahun?. 365 ilmu baru dapat kita peroleh kalau kita mampu istiqamah ke masjid setiap pagi. Ini saya tujukan buat bakal imam dan ketua keluarga di luar sana. Buat bakal isteri dan ibu yang dihormati pula, saya tak risau sangat. Ops. Bukan apa, ini memang nature kami. Namun, masih ada ruang bukan untuk menambah ilmu?. Jangan terlalu selesa dalam zon kita.

Secara asasnya, ilmu kehidupan itu sememangnya diperoleh daripada pengalaman. Kita perlu melaluinya terlebih dahulu. Akan tetapi ilmu kehidupan dapat kita pelajari melalui penulisan dan perkongsian orang lain juga. Jangan terlalu sombong, merasakan diri sudah tahu. Pandai bukan diukur melalui segulung ijazah, akan tetapi bagaimana kita berjaya menghadapi sesuatu masalah. Eh, nak masuk syurga kena ada ilmu tau. Ilmu apa?. Ha, pergi cari sekarang.




To be continue...

17 May 2015

Manusia




بسم الله والصلاة على رسول الله




Manusia adalah makhluk yang paling kompleks di atas muka bumi ini. Bukan sahaja dari sudut penciptaannya, bahkan dari sudut spiritual dan emosi. Pada pagi hari kitalah sebaik-baik manusia, bahkan boleh jadi lebih baik daripada malaikat. Anehnya, pada waktu malamnya pula, kita berubah 180 darjah, terlalu jahat dan bermaksiat melebihi makhluk bernama syaitan. Kemudian di hening subuh, kita bangkit dalam penyesalan kemudian bertaubat kembali pada Allah. Begitulah rutin hidup seorang manusia. Dia akan tetap berbuat dosa walau sudah beberapa kali dia bertaubat menyesali perbuatannya.

Dan setiap kali itu jugalah, Allah akan tetap mengampunkan kita selagimana hati kita masih terbuka untuk bertaubat.

***

27 April 2015

Ujian Fitnah dan Provokasi




“Adakah dia Terroris?!” tunjuk seorang pak cik pertengahan 60 an ke arah sahabat berniqab hitam di sebelah saya sewaktu berjalan di Istana Topkapi. “Semua ini merepek sahaja” ujar seorang pelancong melihat salah satu khazanah simpanan yang dikatakan helaian janggut Rasulullah sewaktu berjalan di dalam muzium. “Kamu tiada rambutkah?” tanya seorang pemandu teksi di Maghribi apabila melihat saya bertudung melalui cermin belakang teksinya. Siri pengalaman ini dan beberapa pengalaman lain benar-benar membuat saya terfikir, “Adakah aku telah mewakili Islam yang sebenar?, Apakah respon yang terbaik dapat aku berikan ketika diprovok dan diejek sebegini rupa?”. Saya yakin anda juga pernah melalui pengalaman ini, malah mungkin lebih mencabar daripada saya. Jikalau anda berada di tempat saya, apa tindakan yang anda lakukan?.

Beberapa tahun ini, umat Islam diuji dengan beberapa insiden yang benar-benar menuntut kebijaksanaan dalam memberi respon atas tindakan provokatif musuh. Namun, malang sekali kita gagal memberi respon yang baik kepada mereka malah telah meninggalkan kata kata kesat sehinggakan ada yang bertindak mengugut bunuh. Allah telah merekodkan di dalam Al Quran tentang cacian yang telah dilontarkan kepada Rasulullah dan para nabi. Nabi Muhammad telah dilemparkan dengan kata-kata seperti Saahir iaitu tukang sihir dan juga digelar sebagai Majnun iaitu orang gila (51:52). Mereka adalah manusia yang dimuliakan Allah di dalam Al Quran tetapi mereka juga telah menerima ejekan dan penghinaan di sepanjang perjalanan dakwah mereka.

Tetapi apakah tindakan yang patut  dilakukan? Marah dan mengamuk dengan sepenuh hati?. Marilah kita mencontohi para sahabat Rasulullah apabila berhadapan dengan situasi seperti ini. Mereka tidak keluar protes dan melakukan keganasan kepada orang lain. Mereka juga tidak membalas dengan kata kata nista dan ugutun bunuh yang berbahaya kerana mereka benar-benar beriman dengan firman Allah, ‘Bersabarlah kamu dengan setiap apa yang mereka katakan” (73:10). Kerana pada akhirnya setiap kata-kata, mahupun lukisan atau nyanyian hatta movie yang musuh Islam lakukan untuk menjatuhkan Islam hanyalah perbuatan sia-sia dan pembaziran semata-mata. Lihat sahaja fitnah September 11 hanya menjadikan lebih ramai orang Amerika mengkaji tentang Islam dan akhirnya lebih ramai memeluk agama mulia ini setelah mendapat tahu tentang kebenaran Islam.
Allah juga sudah menceritakan kepada kita bahawa kita akan diuji dengan kata cacian dan tuduhan yang menyakitkan hati daripada kaum musyrik dan Allah mengajar kita untuk tetap bersabar dan bertaqwa kerana itu adalah semulia perbuatan yang dapat kita lakukan (3:186) . Perlu kita sedar bahawa tindakan membalas provokasi dengan ledakan amarah dan serangan semula ibarat menambah minyak kedalam api. Kita akan hanya bertambah benci kepada mereka, dan mereka juga bertambah seronok menguji lagi kesabaran umat Islam.

Kita perlu membalas dengan cara yang mengingatkan kita bahawa “Aku ini sedang mewakili Rasulullah di dalam setiap perbuatan dan kata-kataku. Sudah pasti aku tidak mahu menjadi fitnah buat Islam dan Rasul”. Jika semua umat Islam berjaya menghayati kelembutan Nabi Muhammad dalam berbicara dengan kaum musyrik sudah pasti lebih ramai lagi yang akan tertarik dengan Islam. Balaslah dengan kebijaksanaan. Senyum dan berterima kasih buat mereka atas minat yang ditunjukkan terhadap Islam dan berhikmahlah dalam setiap perbuatan dan serta bersabarlah. Moga setiap langkah kita dalam menjadi duta Islam menjadi saksi di akhirat kelak dan semoga kita dapat berjumpa Rasulullah dan baginda berbangga atas usaha-usaha kita dalam berdakwah dengan cara baginda. Selamat berusaha dan selamat maju jaya hendaknya.
(51:52) Surah Az-Zariyat
(73:10) Surah Al Muzammil
(3:186) Surah Aali-Imran


12 April 2015

Jihad Ku




Berikut adalah kisah dan perbualan yang berlaku minggu ini. Seorang adik Junior yang baru pulang dari Maghribi dan sedang menyambung Master di UIA sangat terkejut melihat kakak seniornya yang kelihatan sangat lain pada mata pandangannya.

Kak Na : Eh, Bai apa khabar? 

Bai : Ya Allah, Kak Na ke? Saya dah nampak akak tadi tapi tak tegur sebab takut salah orang. 

Kak Na : Kenapa pula?

Bai : Nampak dari jauh macam orang lain. Ya Allah, kenapa akak ''membesar'' sangat. Lebih besar daripada saya. Lain sungguh.

Bai yang bersungguh sungguh menyatakan kehairanannya tidak sedar bahawa dia sudah meninggikan suaranya sehinggakan orang lain mula memalingkan kepala mereka ke arah orang bernama Kak Na tersebut.

Kak Na : Eh awak, mulut tu. Sekarang awak sambung apa?

Kak Na cuba menukar topik perbualannya kerana sudah malu dan terkesima dengan kejujuran adik juniornya itu. Aduhai, pertama kali bercakap berhadapan sudah ditegur pula tentang keadaan fizikal luaran.

Pulanglah Kak Na beserta nasi berlaukkan ikan ditangan. Segan merah padam muka masih belum beransur lagi. "Dahulu kurus sangatkah aku?" soal Kak Na pada diri.

Keesokan harinya Kak Na menelefon Umi menanyakan khabar sambil mengadu kejadian yang berlaku semalam di Cafe Edu.

Kak Na : Umi, semalam ada adik junior ni kata akak membesar. Gemuk sungguh ke akak?

Umi : Ha, tahu pun. Akak dah kurus ke belum ni? Dah tahu ada orang kata macam tu, kenalah buat sesuatu. Kita kena kurus sebab Rasulullah pun kurus. Kurus untuk sihat tu jihad kita. 

Kak Na : Baiklah umi. Terima kasih untuk tazkirah sebelum maghrib ni. Hihi.

Pada hari Rabu pula, Kak Dil kawan baik Kak Na ada tersempak dengan Bai. Dia sudah maklum Bai sesuka hati menegur kebesaran Kak Na tempoh hari, lantas diusiknya kembali Bai.

Kak Dil : Hai, Bai. Nampak makin membesar pula.

Bai : Besar tang mana tu kak. Cuba akak justifikasikan sikit. Eh, akak saya tengok Kak Na tu lain dah ya. Makin besar badan dia.

Kak Dil : Amboi cakap pasal orang pula.

Bai : Haha. Akak pula saya tengok maintain sahaja.

Kak Dil : Itulah, akak tak boleh dah nak besarkan badan. Macam mana ya nak kasi besar sikit badan?

Bai : Ha, akak cubalah tanya Kak Na.

Kak Dil : Eh, kurang asam ek awak ni. 

Maka bayangkanlah wajah Kak Na beserta padunya genggaman tumbukan di tangannya mendengarkan kata kata jujur Si Bai daripada mulut Kak Dil. Sehinggalah semalam, Kak Na dikejutkan adik juniornya yang lain dengan kehadiran mereka ke UIA. Entah bagaimana mereka merancang untuk makan makan bersama. Hampir 12 orang daripada mereka berkumpul di HS Cafe minum petang merangkap makan malam bersama.

Kak Na dan Kak Dil berdua memesan Kuey Teow Kungfu sambil melayankan karenah adik-beradik seMaghribi yang lain. Riuh juga Cafe dengan kehadiran mereka. Nasib baik hari sabtu petang tidak terlalu ramai yang makan di sana. Sempatlah mereka mengambil gambar memori sebelum masing masing bersurai akhirnya. 



Kak Dil cantik kurus berbanding Kak Na yang semakin membesar, 
Oh ya, Bai sedang menyorokkan kebesaran badannya dengan tangan. 

Ini gambar motivasi untuk Kak Na jihad kurus. Kurus untuk Umi. Biar Umi tak risau lagi anak daranya tidak cantik. Tunggu Kak Na update gambar kurus waktu kahwin tahun depan. Insha Allah. :)

Disklaimer : Adik Mun tertanya tanya akak sudah berpunya kah? Meski Faris Ahlamnya belum kunjung tiba, target itu perlu ada ya wahai adik adik. Senyum penuh harapan. 

Faris Ahlam boleh membawa maksud Prince Charming dan juga Jejaka Idaman 

11 April 2015

Baik untuk Kamu





Bila mana dalam suatu hari, Allah temukan kamu dengan hikmahNya berkali kali, maka sedarlah bahawa Dia benar benar mahu kamu memahami maksud yang diberi.

Minggu ini sibuk benar aku bercerita pada manusia tentang kesukaanku. Bercerita tidak berhenti. Sehinggalah malam semalam, Allah menghantarkan pelbagai wasilah supaya aku terus terusan beringat. Dua kali mungkin sebuah penegasan, tapi bila kali ketiga sudah aku temui, maka aku ambilnya sebagai sesuatu yang benar-benar Allah mahu aku renungkan.

Malam semalam telah diadakan sebuah mesyuarat Liqa Murabbi, pada mukaddimahnya seorang sister dipanggil untuk memberi tazkirah. Dia memilih ayat 216 daripada Surah Al Baqarah.

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Sedang dia menceritakan latar belakang surah ini yang berkisarkan kisah perang, dia mengaitkannya kepada peperangan dalam dirinya melawan nafsu sehinggakan beliau berhenti menahan sendu. Terus kami juga terpaku. Aku pula seakan tertanya, "Wahai Allah, apakah yang cuba Kau mahu sampaikan pada aku?". Sister tadi terus duduk, memohon maaf pada yang lain kerana tidak meneruskan tazkirahnya.

Pengerusi majlis mengambil alih semula mesyuarat dan kami meneruskan agenda seterusnya. Sedang kami berbincang, datang pula sister yang lain sedang menyebarkan sepotong gambar kecil mengandungi kata kata hikmah kepada seluruh warga mesyuarat. Sedang dia tiba ke arahku sambil menghulurkan nota kecil itu, aku tertangkap dengan nombor yang tercatit molek pada kertas tersebut. 2:216 beserta terjemahannya didalam Bahasa Inggeris, "But perhaps you hate a thing and it is good for you: and perhaps you love a thing and it is bad for you".



"Oh, saya dapat surah yang pentazkirah bacakan tadi" kata saya pada si pemberi nota.

"Betul ke?" sambil dia membelek nota itu, "Bukankah tadi bercerita pasal perang?" tanya dia semula.

"Ini sambungan ayat yang dibawa tadi" terang aku kepadanya.

"Betul, saya baru sahaja teringat" katanya.

Ini kali kedua. Ketika itu, benarlah Allah mahu menegaskan isi ayat ini kepadaku. Namun, terasa lagi kuat peringatanNya itu tatkala pagi ini pula, sedang aku membelek Home di Facebook, mataku tertancap pada sebuah post yang dikongsi seorang ukhti.


Katanya, "Jatuh tangga memang menyakitkan. Tapi, jatuh tangga depan orang lebih memilukan.
Jika baiklah satu kejadian itu, maka baiklah kesudahannya walaupun tidak diinginkan."


Maka pada akhirnya tinggal aku sahaja yang akan mengambil hikmah disebalik siri peringatan yang Allah kirimkan ini atau boleh sahaja aku hiraukan. Namun, siapalah aku untuk sombong pada kemuliaan ayat mukjizat, bahkan aku harus berasa bertuah sedang aku dilalaikan dengan cerita cinta dunia, Allah tarik aku bukan sekali tetapi tiga kali untuk benar benar menyerahkan segala kesukaanku itu pada Dia. Biarkan Allah memilih untuk memberi, tugas aku hanya sahaja membaiki diri.

Aku memohon setembok malu melekat pada pipi, daripada aku terus terusan mengulangi kesilapan yang sama lagi. Cukuplah. Biarkan dia datang sendiri, daripada aku terus terusan mencari.

02 April 2015

Ad dafiiyah



Bismillahi as solatu was salaamu a'la Rasoulillah

Di saat diri kamu sudah semakin putus asa bahawa tiada lagi yang lebih baik akan tiba, jangan pernah putus berbisik pilu pada Yang Esa. Saat itu juga Dia akan menghantar suatu hikmah yang tidak akan pernah kamu sangka akan mengetuk pecah prejudis buta terhadap ujian melanda.

Hari ini aku diajar Tuhanku bahawa harapan itu masih ada. Aku hanya perlu terus berusaha dan berdoa. Pengajaran yang tiba melalui seseorang yang sememangnya tidak akan tahu bahawa dia sudah merubah sudut pandang aku. Ya, kini aku sedar. Perjalanan yang telah aku berhentikan seketika ini perlu diteruskan sehingga ke akhirnya.

Kenalan tersebut memiliki semangat yang telah lama aku cari. Setiap yang ada padanya seakan-akan aku sedang mellihat diriku padanya. Seolah-olah Allah ingin katakan padaku, "Nah, Husna!. Bukankah pada dia apa yang engkau selalu inginkan. Pemikirannya, matlamat hidup dan perancangan seterusnya semuanya sama seperti apa yang engkau fikirkan."

Pulang aku semalam, terasa suatu baru menyusup. Segar rasanya. Aku fikir itu semangat yang dibasuh semula cetusan kagum. Semangat ini membuatkan aku terfikir, "Andai dia mampu lakukan perkara tersebut, aku juga pasti mampu sama sepertinya"

Tatih cermat ke hadapan. Kayuh perlahan biarkan sampai. Dayung dan terus mendayung perahu kembara ilmu ini sehingga ke akhirnya.

Terima kasih Allah. Terima kasih kerana Engkau tidak pernah berputus asa menghantarkan kepadaku hikmah. Aku memohon agar Engkau tetap membimbing diri yang berdosa ini meski aku akan lagi berdusta dan terus berdosa. Maafkan hambamu ini wahai Yang Maha Pengampun.

Wahai Yang Maha Memberi Rezeki,
Aku memohon supaya dikurniakan cintaMu, dan cinta mereka yang mencintaiMu, dan cinta pada amal ibadah yang menyampaikan lagi cintaku buatMu.

Rezekikan kami ilham dari sisiMu, pinjamkan kami kefahaman dari khazanah ilmuMu wahai Yang Maha Mendengar. Sungguh padaMu sahaja tempat kami mengadu segala keluh kesah hati kami. PadaMu juga kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau beri. Bantu kami wahai Rabb, menggunakan seluruh nikmat dengan penuh kesyukuran

Aku akan tamatkan penulisanku tahun ini juga, Buat kenalan tersebut, aku juga akan pecut bersama!

Bismillah.

18 March 2015

Buku Rabu #1 Jaddid Hayatak






Bismillahi as solatu was Salaamu a'la Rasoulillah

Hari ini sempat saya singgah ke booth Iman Shoppe berhadapan masjid. Buku Bestseller untuk hari ini berjudul Jaddid Hayatak. Kalau dalam Bahasa Melayu berjudul "Perbaharuilah Kehidupanmu".


Saat saya menulis ini saya masih baru masuk bab ketiga buku yang tebalnya 319 muka surat ini. Sudah lama saya tidak ghairah dalam pembacaan. Ini kali pertama setelah sekian lama. Saya ingin kongsikan ayat yang menyentuh hati dan menyepak jiwa khusus buat saya.

Tentu sahaja ada perbezaan yang jelas antara memikirkan masa depan dan merasa gelisah; antara mempersiapkan diri untuk menghadapinya dan tenggelam dalam kekhuatiran; antara kesedaran menjalani hari ini dan kerisauan yang sering merosak kebahagiaan hari ini.

Teguran yang tepat buat saya ketika ini. Buku motivasi yang perlu kalian baca. Sangat disarankan.

Insha Allah, saya akan update buku yang saya baca dalam Buku Rabu. Tidaklah sunyi lagi blog ini.

Wassalam. ;)

17 March 2015

Mari bangkit!





Bismillah as solatu was salaamu a'la Rasoulillah

Hari ini saya dapat merasakan suatu perasaan baru menyusup dalam diri. Perasaan yang hadir selepas menemani seorang sahabat ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kandungannya. 

"Wah, akhirnya sampai juga aku di tahap baru ini. A new phase of life". monolog saya bersendirian.

Seorang sahabat akan melahirkan anak hujung tahun ini. Seorang sahabat lagi akan menamatkan zaman bujangnya. Dan saya? Saya juga akan menyiapkan thesis saya tahun ini.

Mana mungkin boleh saya ketinggalan bukan?. jadi saya perlu bersungguh daripada sekarang.

***

Kalau mahu saya bercerita soal jodoh, pasti sudah lama saya kongsikan lagi drama baru di sini. Tapi ada baiknya daripada kita berbicara tentang suatu yang sudah pasti tertulis rezekinya di Louh Mahfuz, mari kita berbicara tentang usaha.

Masing-masing punya prioriti yang harus diutamakan bukan?. Dalam kita mengejar masa untuk menunaikan amanah tersebut, pasti di suatu sudut persimpangan akan datang banyak kejutan buat kita. Ujian, kesusahan, kegembiraan, rezeki yang tidak disangkakan dan banyak lagi. 

Kadang kadang kita akan jatuh terduduk sebentar. Jadi hilang punca. Lama pula terduduk tidak mampu untuk bangkit. Kononnya terasa bagai Allah sudah tidak mahu lagi membantu kita. Kita pun mulalah menyalahkan segalanya kecuali siapa? Ya, diri kita. 

Mahukah kalian saya kongsikan suatu kata kata yang sangat terkesan di hati saya?

"Allah tidak pernah menceritakan di dalam Al Quran tentang kejayaan nabi nabi berdakwah. Allah tidak menceritakan banyak kesudahan pada cerita mereka. Apa yang Allah tegaskan di dalam Al Quran, adalah setiap usaha keras, dakwah berhikmah para nabi buat kaum mereka mentauhidkan Allah."

Maka jangan mudah putus asa. Allah tahu kita sedang mencuba. Allah tahu kita akan selalu kembali semula berdosa. Dan Allah tahu kita akan selalu kembali padanya akhirNya. Fitrah kita akan selalu rindu pada kebaikan, percayalah akan rasa itu. Cepat cepat bangkit dan kembali semula pada Allah.

***

Saya doakan semoga Allah permudahkan urusan pembaca sekalian. Usah risau akan natijah yang kita akan dapat. Buat yang terbaik, berdoa dan beristighfarlah selalu. Moga Allah bantu kita gapai syurgaNya. Bersedih, gundah dan kecewa itu perkara biasa. 

Dakapilah perasaan perasaan tersebut ibarat mengutip cebisan kaca yang sudah berderai tidak dapat lagi dibaiki di tangan anda. Kemudian tunjukkannya pada Allah melalui doa. Kerana hanya Dia yang mampu mencantumkan kembali cebisan hati yang sudah disakiti itu. Hanya Dia yang mampu menampal kembali setiap kebocoran emosi terpendam dalam diri. 

Biar lambat langkah diatur menuju Allah, tetap Dia akan berlari pantas menuju kita.

Mari terus bercinta!


16 February 2015

Muda Sentiasa





Bismillah as solatu was salaamu a'la Rasulillah..


Sensatif. Ego. Dua perkara yang semakin bercambah dalam diri. Dua perasaan yang pelik ini semakin membesar tanpa disedari. Anda boleh teka mengapa perasaan ini hadir?.


Ya, kerana kita semakin menua. Oh, saya yang semakin berusia. 


Aku jadi penat.
Berkawan dengan Dewasa yang tenat.

Berhidung tinggi merasa hebat.
"Terima kasih" pula ditutur pelat.
Ada yang tak kena terus diumpat.
Marahnya cepat tapi redanya lambat.
Memohon maaf itu teramat berat.
Bila memaafkan masih ada ralat.
Hinggakan aku turut terjerat.
Ajarkan aku menjadi mereka,
Yang sabar dan betul betul dewasa.

Puisi ini saya karang selepas suatu perasaan geram timbul dalam diri. Mahu sahaja saya pos terus sebaik tulisan ini siap ditaip. Tapi saya privatekan dahulu. Rasionalkan pemikiran, "Andai aku terus post tulisan ini, pasti sahaja ada yang terasa dengan kata kata ini". 

Bila difikirkan semula emosi yang mula menjadi banyak dalam diri seorang Dewasa hanyalah emosi yang negatif. Nama sahaja Dewasa tetapi tindakannya belum menggambarkan bahawa dia benar-benar dewasa. Malah terlalu kebudak-budakan. 

Samada anda yang telah tersinggung, atau anda sendiri yang sedar bahawa anda semakin mudah tersinggung. Begitulah gambarannya yang saya cuba sampaikan di dalam kata-kata di atas. 

Mungkin sahaja kita boleh tersinggung dek kerana ada junior yang telah lupa untuk memberi salam menegur kita di tepi jalan. Walhal, mungkin dia benar-benar tidak perasan akan kehadiran kita. Tapi kita sudah pulang dengan hati yang berang. "Kenapa pula dia tak tegur aku? Takkan tak kenal kot?".

Urutlah dada yang sedang sempit itu agar tidak semput.

Bukankah Rasulullah mengajar kita untuk berlumba-lumba memberi salam. Jadi, kenapa perlu kita tunggu orang yang lebih muda itu untuk menegur kita lantas mengambil pahala memberi salam. Rebutlah kebaikan yang terbentang. Ketepikan ego anda yang tidak berguna itu. Haishh.

Boleh jadi juga, kita marah akan pekerja birokrasi yang seakan tidak bersungguh dalam menjalankan tugas mereka. Semarah marah kita, mereka boleh pula buat-buat lupa, buat buat sibuk dengan minum paginya, membuatkan kerja kita terbantut.

Tenanglah wahai diri. Pandang sahaja dengan kaca mata hikmah.

Mungkin ada bahagian dosa kita yang membuatkan kerja kita tidak dipermudahkan. Mungkin juga mereka benar-benar bermasalah, didoakan supaya mereka cepat-cepat berubah.

Pada akhirnya, semuanya kembali kepada Allah. Sebagaimana hubungan kita dengan Allah, begitulah hubungan kita dengan manusia. Baik tautannya, baik juga balasannya.

Lap peluh..

Istighfar. Muhasabah. Banyakkan bersedekah. Moga yang susah akan akhirnya jadi mudah.

Dah tu apa kaitannya dengan muda sentiasa Cik Husna oii?


Maksudnya, banyakkanlah bersabar. Biar muda sentiasa kerana otot muka kita tidak dikerah untuk mengekspresikan emosi marah, geram mahupun sedih.

Senyumlah.